Archive for the ‘Life’ Category

Loghat Temerloh

Assalamualaikum wbt

Malam ini saya berjaga lagi. Tak boleh lelap. Kebetulan tengah dengar playlist lama ni, semuanya lagu orang putus cinta. Sabar ajelah kan. Terus saya tukar mendengar nasyid. Jauh lebih tenang. Tapi ada pula lagu Rapuh dendangan Opick. Tersentuh kembali hati.

Petang tadi seperti biasa duduk-duduk di buaian. Kemudian melihat adik-adik bermain badminton. Sebelum Maghrib, singgah ke rumah Tok. Minum petang di sana. Kemudian Iman merengek mahu didukung keluar sedangkan baru saja masuk ke rumah setelah dibawa berjalan tadi. Mak Tam berkata: Eh, mana boleh dik. Ni dah nak Allah Babat dah ni.

Mendengarkan perkataan Allah Babat, terus dia menggayakan cara orang mengangkat takbir. Dia faham itu tandanya waktu solat. Lalu Tok yang sedang bersiap untuk mengambil wudhuk menyampuk:

“Moh le kite ke semejid. Semayang Maghareb. Lepaih tu makan semekut empat semegi. Minum air merah melenggang.”

Tercengang saya mendengarnya. Masya Allah. Apa yang Tok saya cakapkan ini? Saya faham dua ayat pertama itu saja. Saya tanyakan Tok, apa makna ayat yang penyudah itu. Semekut empat semegi? Air merah melenggang? Saya yakin sepupu saya yang dua orang itu pun tidak faham. Kata Tok, inilah ayat Ayah Long suka sebut dulu-dulu. Maksudnya:

“Jomlah kita ke masjid. Sembahyang Maghrib. Lepas tu makan biskut empat segi (biskut tawar tu lah). Minum air sirap.”

Ya Rabbi. Tak terjangkau dek akal saya. Saya teringat entri tentang Bahasa Pahang yang saya tulis dulu. Ada yang kata kalau beginilah pekatnya loghat Temerloh asli, perlu ada terjemahan jika keluar di TV. Ya. Saya setuju amat. Hehe. Tapi saya suka betul mendengar perbualan orang tua di kampung saya atau di Pekan Sari (Pekan Sehari – pasar hari Ahad). Pekat sungguh loghatnya. Unik tau! Rugi kalau tak faham.

Ayah Long – Abang emak saya. Ayah kepada Nisa, sepupu saya yang paling disayangi. Nisa, sayangnya awak ‘gebar’ pun tak faham dulu waktu kita pergi Cherating kan. Hihik. Awak kena menuntut dengan Abah awak nampaknya ni. Dia sangat pakar bab-bab bahasa ni =)

Ok. Mahu menidurkan diri dulu. Esok pagi perlu ikut ayah ke klinik. Erm… Tak sukanya… Tapi harapnya segalanya dipermudahkan. Dan saya terkilankan satu perkara sebenarnya. Kenapa jadi begitu ye. Hmm…

Posted on June 28th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Menjadi Nakal

Assalamualaikum wbt

Kelmarin kan saya dikenakan dek Iman dengan memanggil saya Tok. Nak tahu bagaimana saya mengenakannya semula?

Rumah saya di atas bukit. Ada empat buah rumah saja di atas bukit ini. Rumah saya, Tok, Tok Cik dan sebuah rumah emak saudara. Bagi saya dan Kaklong, kami tidak perlu bertudung di atas kawasan rumah kami ini kerana semua lelaki yang ada adalah muhrim. Kebetulan adik saya semua lelaki dan Ayah Tam pula adalah adik emak saya. Kecualilah jika ada adik saudara yang sudah besar di rumah emak saudara di sebelah rumah Tok itu. Kimi namanya. Tapi kebiasaannya Kimi tiada di rumah. Lainlah kalau mahu duduk-duduk di buaian. Wajib bertudung. Dari buai itu, boleh dilihat oleh kenderaan yang lalu-lalang di bawah.

Kebetulan petang semalam saya ke rumah Tok hanya berbaju kurung, tidak bertudung. Apabila hendak balik untuk solat Asar untuk keluar dengan emak, saya lihat ada kereta di hadapan rumah emak saudara di sebelah itu. Rupanya Ayah Su saya ada balik. Sepupu emak. Jadi saya masuk semula ke dalam rumah Tok dan meminjam tudung Hidayah. Ketika itu, Iman sedang berdiri di penghadang pintu tempat saya hendak keluar. Memang menjadi kebiasaan dia akan didukung keluar setiap petang. Sebaik melihat saya bertudung, dia mendepangkan tangan minta didukung.

Saya pun apa lagi. Menghulurkan tangan untuk mendukungnya. Tapi acah saja. Apabila dia hendak mencapai tangan saya, saya menarik semula tangan saya. Dua kali saya buat begitu. Dia mencebik mahu menangis. Ha… Tu lah. Panggil lagi Kak Ngah awak ni Tok. Kan dah tak dapat dukung. Huhuhu.

Sekian dari saya yang nakal :p

Posted on June 27th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Dunia Wanita Dewasa

Assalamualaikum wbt

Dua orang sepupu saya yang menuntut di UiTM Shah Alam masih berada di rumah sekarang ini. Hidayah dan Linda. Sem baru belum bermula lagi. Semalam saya mengajak mereka berdua duduk-duduk di buaian di hadapan rumah Tok. Bercerita itu ini. Macam-macam yang hendak dikemaskinikan dengan mereka. Kami membesar bersama-sama sejak kecil. Mereka berdua ialah anak sulung dan kedua Mak Tam. Kakak-kakak kepada Iman.

Baru bercerita sedikit, Tok Cik saya datang menjengah. Tok Cik adalah kakak Tok saya. Sebaik dia datang, dia sajalah yang bercerita. Bermula dari cerita tentang budak mati lemas di sungai yang baru-baru ini terjadi di Temerloh dan diungkitnyalah satu persatu kes mati lemas di sungai sejak dari yang boleh diingatinya di zaman mudanya dulu. Ya ampun. Bertahanlah kami bertiga melayan Tok Cik bercerita. Hidayah pandai melayan Tok Cik. Ada jugalah dia menyampuk menambah itu ini bila perlu. Saya pula hanya tumpang angguk dan gelak sajalah. Menyampuk sikit-sikit saja. Sebelum azan Maghrib, kami beransur balik. Saya menceritakan pada emak dan ayah tentang Tok Cik tadi. Emak dan ayah pun tumpang ketawa sajalah kerana sudah kenal dengan perangai Tok Cik ini.

Siang tadi, seharian saya duduk di rumah tidak keluar-keluar. Bila emak balik dari sekolah, emak mengajak ke Pasar Tani selepas Asar nanti. Saya katakan, saya mahu ke kedai kasut sekali. Mahu membeli sandal. Saya tidak punya sandal untuk digunakan. Emak bersetuju. Selesai Zohor, saya ke rumah Tok bertemu Hidayah dan Linda. Saya katakan mahu membeli sandal sekejap lagi. Terus laju saja mereka berdua menyarankan saya membeli kasut yang bertumit tinggi. Katanya: Kak Ngah, awak kena jadi macam perempuan sikit. Jalan janganlah ganas-ganas laju-laju sangat. Bila pakai high heels ni, awak akan control sikit. Jalan pun sopan je. Mak Tam yang ada di situ pun bersetuju. Katanya: Alah. Umur dah 23 dah pun. Apalah salahnya bergaya sikit. Untuk diri sendiri. Bukan nak menunjuk-nunjuk ke apa. Bukannya tak tutup aurat kan. Awak kan pakai stokin.

Kemudian Linda menyampuk: Kalau awak tak mula sekarang, nanti awak kekok untuk jadi macam orang dewasa. Saya bertanya pada mereka: Aik. Sekarang ni Ngah tak cukup dewasa lagi ke? Hidayah dan Linda riuh memberikan pendapat tapi pendapat Mak Tam yang lebih saya utamakan: Dewasa tu dewasah dah. Tapi kurang pandai melawa je lagi. Bukannya nak melawa beria-ia. Cukup untuk nampakkan diri awak tu bukan macam budak-budak je. Nampak matang sikit. Nampaknya, ada macam-macam lagi rupanya yang saya perlu baiki tentang diri ini. Saya kena berguru dengan budak dua orang itulah gayanya.

Apabila tiba di kedai kasut, emak menurunkan saya terlebih dahulu kerana emak hendak mencari parking. Sebaik emak masuk, saya berbisik pada emak: Emak, nak beli heels la. Respon emak: Ha. Eloklah. Takdelah nampak rendah sangat. Hahaha. Terkena saya. Saya tunjukkan satu contoh yang menarik minat saya. Emak kata: Macam ni ok lah. Bukannya tinggi tak ingat dunia. Cantik pun cantik.

Hari ini, baru saya dapat melihat persepsi orang lain tentang kasut tumit tinggi. Bagi saya, saya kurang selesa bertumit tinggi. Memang tak reti. Memang cantik melihat orang lain pakai. Tapi saya sendiri tidak tahu apa pentingnya untuk saya pakai. Memang saya rendah saja. Tapi saya tidak rasa berkasut tumit tinggi adalah satu keperluan. Tapi setelah mendengar pendapat emak, emak saudara dan sepupu yang berdua itu, maka tadi saya dengan jayanya telah membeli kasut bertumit tinggi. Lebih tepat adalah sandal bertumit tinggi. Tapi tidaklah tinggi mana. Huhu. Tapi bolehlah buat saya memandang seorang kawan lama yang terserempak di kedai itu seperti gaya orang tinggi memandang orang yang rendah. Oh. Begini perasaannya! Hehehehe.

Apa kaitannya kisah tumit tinggi ini dengan Tok Cik yang di atas tadi? Sebenarnya, setelah membeli kasut itu, saya teringatkan Tok Cik. Tok saya selalu bercerita Tok Cik itu muda-muda dulu sangat cantik. Ramai yang hendak berkahwin dengannya. Sampaikan askar Jepun pun berminat. Dan pada petang semalam ketika mendengar Tok Cik bercerita, dia ada menyebut tentang dia dulu-dulu muda-muda pun pakai kasut bertumit tinggi dan bergincu bibir. Oh. Saya memang gelak besar mendengarkan hal tersebut. Tak sangka sungguh!

Macam manalah saya agaknya bila sudah tua nanti ye. Hehe.

Posted on June 27th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Berakhirnya Tahun Lima

Assalamualaikum wbt

Yeay~ Alhamdulillah. Exam telahpun berakhir pagi ini. Alhamdulillah tahun ini Allah limpahkan rezeki yang tak terhingga buat saya. Saya mendapat Excellent Mark untuk kesemua 8 subjek. Alhamdulillah. Dengan berakhirnya exam sebentar tadi, maka rasmilah kini saya bergelar pelajar perubatan tahun akhir. Macam tak percaya. Perjuangan saya hampir menuju penyudah. Tapi saya takut sebenarnya untuk masuk ke alam pekerjaan nanti.

Nasihat buat junior terutamanya adik-adik rumah saya yang akan masuk ke tahun klinikal, jangan bertangguh. Sentiasa bersedia sebelum ke kelas dan sentiasa membuat persediaan exam dari awal. Tahun klinikal bukan seperti tahun 1, 2 atau 3. Letih, padat dan tertekan.

Terima kasih buat semua groupmates saya yang sememangnya best! Hidup saya lengkap di Moscow ini kerana ada kamu semua. Sama-sama kita tempuh setahun yang terakhir ini dengan jayanya ya. Buat Faisal, Wendy, Davina, Farah, Smoque, Meor, Fizy, Mus, Thines dan Azam, selamat bercuti. Jumpa di sem depan ok. Kekalkan ke-best-an group kita (^^,)v

Thanks Faisal for the pic

Hari tu saya ada katakan yang saya ada satu berita gembira, kan? Sebenarnya, petang ini, saya, Fareena dan Fatini akan bertolak ke Vienna. Yeay! Bercuti 6 hari. Destinasi kami:

Moscow-Vienna-Prague-Budapest-Bratislava-Vienna-Moscow

Pada mulanya kami merancang untuk ke Itali. Tapi tidak kena pula dengan jadual exam kami. Jadi kami menukar rancangan. So, Vienna, here we come! Jadi, jumpa lagi Ahad depan ya!

Daa~ Salam.

Posted on June 16th, 2008 by Sarah  |  33 Comments »

Penyakit Keturunan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya menelefon rumah seperti biasa. Bual dengan ayah. Bual dengan emak. Emak memberitahu serba sedikit keputusan peperiksaan pertengahan tahun adik-adik. Kata emak, adik-adik semuanya rendah-rendah saja Bahasa Melayunya. Pelik. Maka saya pun berbual dengan adik-adik yang di rumah kecuali Aiman. Sudah tidur awal kerana hendak bangun tengok bola katanya. Yang ada hanyalah Adam dan Azizi.

Selidik punya selidik, mereka semua ni sama saja. Adui. Apa nak jadi. Bahasa Inggeris semuanya tinggi tapi Bahasa Melayunya pula rendah. Selepas membebel pada Adam yang akan mengambil PMR pada tahun ini, saya megomel-ngomel pada emak pula. Kenapalah pelik sangat adik-adik ni. Nak dikata tidak cakap Melayu, hari-hari pun berbahasa Melayu. Emak jawab:

“Diorang ni semua kan kaki lagu. English je la hari-hari. Faham-faham je la, Ngah. Budak laki ni lain. Kena pantau, duduk sebelah dia, baru nak buat. ” Adui la… Itukah alasannya. Gelak sajalah saya dan emak. Saya tanya emak, saya dulu-dulu macam mana ye. Kena dikerah semua ke baru hendak buat? Emak jawab:

“Awak bertiga dulu, sampai Nan, tak pun. Duduklah masing-masing memerap dalam bilik masing-masing, buat kerja masing-masing. Tak exam pun belajar jugak.” Wah. Terus ketawa-ketawa kami semalam mengingatkan Kaklong, saya dan Adnan dulu-dulu. Kami bertiga yang di atas ni kiranya budak baiklah. Huhu. Tiba-tiba saya teringat waktu saya dalam tingkatan 2, ketika itu saya sudahpun berada dalam pasukan bahas sekolah. Satu hari cikgu bahas saya menegur saya. Kebetulan dia adalah guru kelas kepada Adnan. Katanya:

“Sarah, apa nak jadilah dengan adik kamu si Adnan tu. Bahasa Melayu dia rendah. Bahasa Inggeris je asyik A. Kakaknya pembahas, adiknya Bahasa Melayu pun C.” Cikgu itu menegur bukan marah, tapi dalam keadaan ketawa-ketawa. Tapi nak buat macam mana. Bukannya saya boleh tukar Nan untuk jadi macam saya, kan. Dah kelebihan dia waktu itu adalah pada Bahasa Inggerisnya. Kebetulan, dia wakil syarahan Bahasa Inggeris ketika itu.

Dalam hati baru saya dapat kaitkan, ini penyakit keturunan ni. Abangnya yang teratas pun ada masalah dengan Bahasa Melayu dan ‘mematsaleh-celupkan’ diri, patutlah adik-adik pun sama. Haa… Inilah perangai anak lelaki. Liat sikit. Perlu disuruh, diteman, dipujuk suruh buat, barulah hendak buat. Tapi bab-bab makan dan ‘mengusha’, tak suruh pun tak apa. Ups…

Semalam kan, saya duduk studi dari jam 6 pagi sampai ke 5.30 petang. Rehat setakat gitu-gitu aje. Makanan pertama yang masuk ke perut pun ketika sudah pukul 7 petang. Sebelum makan dan sebelum menelefon rumah, saya berangan. Saya terbayang sedang berada di atas rumput belakang rumah dekat dengan ampaian belakang. Saya terbayang saya duduk melihat langit dengan Aiman. Kronik betul saya ni. Siap boleh terbayang berhindustanrama dengan adik di atas rumput pula!

Esok exam terakhir sebelum naik taraf bergelar pelajar tahun akhir. Tak sabar mahu balik rumah (^^,)v

Ayah, selamat hari ayah!

Posted on June 15th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »