Dunia Saya
Subuh pagi tadi, bumi di luar bagai hamparan permaidani putih. Serba putih. Salji turun dengan lebat tapi halus-halus saja butirannya. Sekitar pukul 10.30 pagi, tiba-tiba matahari menerik. Terik sungguh. Sehinggakan keping-keping salji dibirai atap jatuh mencair. Dan salji di langit luruh sebagai hujan. Bumi basah. Saya terasa panas kerana baru sudah bersenam. Membuat regangan ringan saja. Tapi gembira melihat ada terik kuning masuk ke bilik.
Jam 11.30 pagi, saya duduk di meja. Membaca buku dan makan biskut. Biskut Fitness. Tekak mahukan nasi lemak. Tapi siapa yang rajin mahu masak? Saya tersenyum membaca kisahnya Khairul Azzam. Untung Ayatul Husna punya abang sepertinya. Saya tiada abang. Jadi saya cemburukan Ayatul Husna. Boleh tak begitu?
Saya toleh memandang tingkap. Langit luas melaut. Langit hari ini sangat biru. Oh, hati saya gembira. Sudah terlalu lama tidak nampak rona biru terang di langit. Ada tompok-tompok putih juga. Cantik. Lama juga saya memandang langit tanpa menyedari air di dalam gelas sudah menyejuk.
Saya tarik gelas mampir ke diri. Saya pusingkan badannya. Ada gambar empat ekor anak kucing comel. Padanya tertulis:
Dlya tebya, s lyuboviyu… Buat kamu, dengan penuh kasih…
Saya tersenyum. Dan terus tersenyum. Ironinya, gelas ini dibeli sendiri, bukan dihadiahi 🙂
