Kembar (ii)
Masih ingat akan kisah kembar imaginasi saya? Ini pula kisah saya menemui kembar nyata. Siapa sangka dalam berimaginasi sendirian, akhirnya saya temui kembar di alam nyata pula.
Dipendekkan cerita, dia merupakan salah seorang di antara kawan baik adik saya. Umur kami sebaya. Tapi dia lahir awal sedikit dari saya. Dia seorang anak yang baik. Juga seorang kawan yang mementingkan kawan-kawannya. Bagaimana kami mula berhubung, semuanya kerana kelompok kawan baik adik saya ini yang menamakan diri mereka Jinggo. Golongan computer geek yang saya sangat senang dengan kesemuanya. Disebabkan kami sebaya, maka sedikit demi sedikit kami menjadi sekepala dan banyak pula persamaan yang dikongsikan.
Dia baik hati. Suka cuba tolong adik beradiknya juga kawan-kawannya dengan sedaya upaya. Saya tahu dia seorang yang tenang. Tapi jangan cuba diuji api kemarahannya. Dia juga seorang yang kuat bermimpi. Kemudian suka cuba mengingati mimpinya semula. Mimpinya selalu pelik-pelik. Tapi saya suka melayan apa yang diceritakannya. Walaupun pelik, tapi ada sesuatu yang boleh buat saya ketawa.
Dia suka memberikan pendapat kepada saya. Kalau saya ada soalan pelik-pelik, saya boleh tanyakan saja padanya. Kami boleh berbincang tentang banyak perkara. Kalau dia terlupa untuk memberikan respon kepada soalan saya secara cepat, walaupun sudah berbulan selepas itu, dia masih ingat akan apa yang ditanya dan akan cuba memberikan pendapatnya berkaitan apa yang ditanya. Hebat betul memori dia. Mungkinkah berkat mengasah minda menggunakan teknik mengingat mimpi?
Dia pernah mengalami masalah dengan keretanya yang dirosakkan orang. Saya tumpang simpati dengan masalahnya. Jelas dia sangat terkilan dengan apa yang terjadi pada keretanya. Waktu itu, saya pula sedang berhadapan dengan masalah peribadi. Semuanya tentang kehidupan di sini. Tapi sengaja saya tak ceritakan padanya. Sebab saya tahu dia sedang pening dengan masalahnya sendiri. Jadi, tidaklah kami berhubung melainkan mengikuti perkembangannya melalui blognya saja.
Pernah suatu hari saya menemaninya pergi membaiki keretanya itu. Pada mulanya pusat baiki kereta itu tidak mahu menerima keretanya kerana sudah penuh kereta lain menanti. Saya berusaha memujuk mekanik kedai itu supaya menerimanya juga dan akhirnya keretanya siap dibaiki dengan harga yang berpatutan. Selepas itu saya hendak pulang terus. Tapi datang sekumpulan manusia yang paling tidak saya gemari kewujudan mereka berhampiran dengan saya. Saya dijerkah berkali-kali dengan sekuat alam menggunakan bahasa yang kasar. Alasan mereka, saya sengaja memburukkan nama mereka. Kisah di bahagian ini tidak perlu difahami sangat. Cukuplah tahu bahawa ini sebahagian daripada apa yang saya alami.
Kebetulan dia ada berhampiran dengan saya. Dengan semangat kesatriaan yang tinggi (seperti yang selalu didakwanya), dia berbalas hujah demi saya. Dia bukanlah jenis yang begini. Tapi demi saya yang sedang berhadapan dengan situasi itu, dia sanggup bertegang leher menyebelahi pihak saya yang sedang dikerumuni sepuluh orang yang dikelaskan sebagai orang jahat itu. Saya menangis kerana masalah yang saya alami diselesaikan olehnya dan dalam pada saya berdiam diri tidak dapat menolongnya tentang masalah keretanya selama ini, akhirnya dapat juga saya berbakti sedikit kepadanya.
Selepas apa yang terjadi ini, saya tidak lagi sedih memikirkan apa yang saya alami selama ini. Sebab saya tahu saya ada seorang kembar yang sentiasa bersama saya. Dia mungkin tidak memahami saya 100% tapi dia sentiasa cuba menjadi kembar terbaik selagi mana yang dia mampu.
Hari ini 15 Januari 2008. Kembar saya sudah genap berumur 24 tahun. Selamat hari lahir buat Salman Faris. semoga Allah makbulkan segala yang awak idamkan selama ini. Semoga berjaya membina kerjaya dengan baik dan segala rancangan masa panjang awak akan terlaksana. Kata nak jadi kaya, kan. Hehe.
Ya. Kembar saya itu bernama Salman Faris. Safuan sudah lama hilang dari bayangan.
Nota 1: Cerita di penghujung entri ini berkaitan kereta dan dimarah orang itu hanya sekadar di dalam mimpi saya. Tapi saya menangis bila terkenangkan apa yang terjadi. Salman, inilah yang saya janji nak cerita tu. Tapi dah diringkaskan.
Nota 2: Apa agaknya kejutan daripada Jinggo sekelian ye? Farah, Nan, Najib, Azra, Adeep dan Faezah, apa kamu semua buat ye untuk si Salman ni?