Jumaat Itu Indah
Assalamualaikum wbt
Akhirnya Jumaat tiba juga. Sejak semalam lagi saya tak sabar-sabar menanti tibanya hari ini. Pertamanya kerana bagi orang seperti saya, kehidupan yang terikat dengan rutin hospital memang memenatkan. Apabila sampai di rumah, rehat sekejap dan kemudian sudah mula membuka nota. Sebelah senjanya berhenti makan dan malamnya kembali menyepi di meja dengan nota-nota revisi. Di dalam kepala pula akan terfikir-fikir tentang kelas pada keesokan harinya. Kena membuat persiapan ke kelas lagi. Jadi kitaran tu takkan sudah selagi Jumaat belum tiba.
Keduanya kerana secara peribadi, menelaah pada hari cuti tanpa gangguan perasaan bimbangkan kelas pada keesokan harinya adalah lebih berkualiti. Dari semalam saya tak sudah-sudah menyebut tak sabarnya hendak habiskan kelas hari ni. Mana tidaknya. Malam tadi saya mengalami attention deficit disorder (ADD). Kronik juga. Baru baca seperenggan, fokus dan hilang. Mulalah terfikirkan itu ini. ADD ini adalah satu masalah yang biasa ditemui di kalangan kanak-kanak. Mereka ini hiperaktif, tidak boleh duduk diam dan hanya boleh bertahan menekun dengan sesuatu perkara itu selama beberapa minit saja. Agaknya, saya ni masih ada aura kanak-kanak dalam jiwa kot.
Syukurnya, hari ini kami mendapat pelepasan awal. Macam bulan jatuh ke riba saja rasanya. Balik rumah, perkara pertama yang saya buat ialah minum air yang dibancuh pagi tadi. Disebabkan terkocoh-kacah hendak ke hospital, air yang masih panas dibancuh pagi tadi tidak sempat dihabiskan. Saya masukkan ke dalam peti. Dan sekarang, perut sudah lapar. Tapi saya tak mahu makan yang berat-berat lagi. Diet protein seperti emakkah? Tidak kot. Saya cuma hendak makan nasi petang nanti saja. Selain nasi, saya tak mahu sentuh. Huhu.
Petang ini bolehlah kembali menghadap nota dengan amannya. Tak perlu memikirkan tentang persediaan kelas. Hendak tahu kenapa untuk posting kali ini, bagi saya persediaan kelas itu merumitkan? Kerana setiap kali saya hendak mendapatkan sumber bacaan tambahan di internet, saya terpaksa melihat banyak gambar autopsi dan pelbagai perkara lain yang menyebabkan jantung saya mengalami palpitation.
Dahsyat sungguh kemelut jiwa yang melanda minda sedar dan separuh sedar saya sekarang. Sampaikan malam tadi, ketika melihat rakaman video autopsi, saya menjeling Fareena yang duduk membelakangi saya semata-mata untuk menyedapkan hati sendiri bahawa masih ada yang berjaga bersama saya di saat itu.
Nota: “Awak cari saya ke?” – “Sepanjang hidup saya, awak.”
