Author Archive

Pachti Vrach

Assalamualaikum wbt

Pagi tadi kumpulan saya tidak perlu ke hospital. Sebaliknya kami perlu ke Scientific Central Hall (NITS) di Pejabat Dekan untuk mengikuti International Paediatric Conference yang berlangsung di sana selama dua hari sempena meraikan ulang tahun ke-250 akademi saya. Akademi saya memang sudah tua. Siap ada muzium sejarah penubuhannya dan kenapa ia bergelar akademi dan bukannya kolej atau universiti. Ramai tokoh perubatan Rusia dilahirkan daripada akademi ini. Eh, saya sebenarnya lebih kerap menyebutnya sebagai universiti. Senang untuk memahamkan kawan-kawan yang tidak berada di sini.

Pagi ini salji turun dengan lebat. Seperti biasa kami semua berpakaian kasual: jeans, t-shirt atau kemaja. Tambahan pula dengan cuaca sejuk begini, tiada siapa yang teringin nak melawa lebih-lebih ke kelas. Tapi sebaik tiba di NITS, terasa seperti kami masuk ke satu dunia lain. Orang lain datang dengan kotnya, baju yang cantik-cantik, kami pula dengan pakaian biasa-biasa saja. Tak kisahlah kan. Janji kami dah datang ke persidangan itu. Lagipun, kami belum doktor lagi. Tak perlu melaram melebih pun. Tapi, doktor-doktor kami selalu sebut bahawa kami ini pachti vrach. Rasanya, hari-hari kot kami dengar perkataan pachti vrach tu.

Dan tadi saya balik ke bilik penuh dengan beg plastik. Sudahlah saya terlupa sarung tangan saya. Terpaksa pula mengusung plastik yang banyak itu. Beku tangan. Sekali tengok seperti baru balik dari membeli-belah. Iya sangatlah tu. Padahal, setiap kali kami menyinggah di booth yang ada di NITS, kami mengutip risalah yang ada. Banyak buku percuma diberikan dan yang lebih penting, ada banyak rujukan terkini yang boleh kami guna pakai dalam praktis harian. Yang tak tahannya, waktu mendaftar untuk menghadiri persidangan saja pun kami telah mendapat sebeg penuh buku-buku dan pelbagai rujukan terkini beserta cenderahati tajaan akademi.

Balik penat mengusung buku dan beg-beg hadiah cenderahati itu saja. Tapi dah alang-alang mendapat bahan bacaan percuma, kita pun cekau sajalah, kan. Itupun nasib baik lagi tadi ada yang tidak mengambil sampel pampers dan susu kanak-kanak yang disediakan di booth yang berkenaan. Hahaha. Tapi yang pasti, saya ada banyak sangat pen, sticky note dan notepad hasil cekauan yang berjaya. Hahaha. Mouse pad pun ada! Hahaha lagi.

Pachti – Hampir
Vrach – Doktor
= Hampir menjadi seorang doktor

Posted on November 20th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Shahida Zainal Abidin

Assalamualaikum wbt

Sejak kembali menulis di blog ini, saya sudah tanamkan satu hajat. Saya hendak membuat entri khas untuk sambutan hari lahir kesemua teman serumah saya. Kami tinggal berenam serumah tetapi Shahida yang tinggal di tingkat lain turut memasak dan makan bersama kami. Jadi, jumlahnya kami yang makan bersama adalah 7 orang. Sha tinggal bersama Mily dan kami juga rapat dengan Mily.

Tengah malam tadi, kami ke rumah Mily untuk menyambut hari lahir Shahida yang ke-20. Selamat hari lahir Sha. Sha ini yang paling muda antara kami semua. Kadang-kadang, kami gelar Sha sebagai Chi Chi. Dia satu-satunya pelajar tahun 3 yang tinggal di sini. Pelajar tahun 3 yang lain tinggal di Kahovskaya dan Kuzminki. Tapi Sha tak sendirian. Dia ada kami dan yang lebih penting, teman istimewanya juga ada di sini. Hehe.

Sha, entri ini KS tujukan khas untuk Sha sebagai kenang-kenangan kita bersama. Tapi maaf sangat sebab lambat siapnya entri ni. Dah nak bertukar hari, barulah siap. Awal-awal dulu, ada orang kata muka Sha dengan KS ada meh. Iras-iras gitu. Entahlah iya atau tak. Tapi yang pasti, KS suka betul tengok Sha tersenyum. Aura manis orang Kelantan memang terpancar pada muka Sha. Semoga Allah permudahkan segala urusan Sha dan semoga Sha menjadi anak yang solehah untuk Mama dan arwah Papa Sha. Kami serumah sayangkan Sha seperti adik kami sendiri =)

Sha dapat 3 biji kek malam tadi!

Rombongan rumah 205 walaupun semuanya dah pun mengantuk =p

Mily dan Pena yang aktif sungguh malam tadi

Kek yang Sha teringin. Kami tempah dari Auyun sajalah kan. Erm, Hadri, hehe, mesti kamu terkejut kan tengok kek ni. Sangatlah sedap =) Sha dah cerita pasal kamu dah. Hehe.

Ahha. Pena pun sudah memiliki DSLR sekarang ni! Dapatlah kami ber-photo outing mengikut Pena nanti. Huhu. Erm, Pena inilah teman ketawa menangis di dalam bilik =) Lepas ni birthday kamu pula ye, Pena!


Nota:
Selamat Hari Lahir buat Nadia Hamimah, kawan baik saya di RSMU. Awak tahu saya sayang awak selamanya kan walaupun awak dah kahwin =) Oh ya. Salji sudah mula memutih. Indahnya Moscow…

Posted on November 20th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Anak Era 80-an

Assalamualaikum wbt

Jika ada yang menanyakan saya perihal lagu-lagu terkini di Malaysia, saya angkat bendera putih awal-awal lagi. Baik nasyid atau lagu, saya biasanya ketinggalan dari segala segi. Biasanya, sekali saya sudah suka sesuatu lagu, saya setia menyukainya sehinggalah saya rasa betul-betul muak. Seperti sekarang ini, saya tidak tahu perkembangan lagu-lagu termasuklah nasyid yang menjadi pujaan ramai. Tentang artisnya apatah lagi. Sebab itu saya masih melayan lagu-lagu dan nasyid-nasyid lama sehingga ke hari ini.

Sewaktu kecil dulu, zaman saya dan Kaklong betul-betul kecil, ketika kami diberikan mikrofon untuk bermain-main di rumah, saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh tahu lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu. Rock kapak habis ketika itu. Mungkin pengaruh daripada ramai dua pupu kami yang lelaki yang tinggal dengan neneknya (Tok Cik) di sebelah rumah Tok. Dari Abang Zani, Abang Jay, Abang Tilah, Abang Erry, Abang Mizi dan mungkin juga arwah Chik Joe. Mereka muda remaja dan sudah bersekolah menengah. Mungkin Abang Erry dan Mizi saja yang besar sikit saja daripada kami. Jadi, pengaruh abang-abang yang lain itulah yang menyebabkan kami terdedah dengan zaman rock kapak yang sedang mengganas ketika itu (pertengahan 80-an).

Sewaktu sekolah rendah, ketika saya dan Kaklong masih belum dipisahkan di bilik tidur yang berasingan, kami ada sebuah radio di dalam bilik. Saya dalam darjah 5 dan Kaklong pula darjah 6. Waktu itu, rancangan Pilihan Bersama di radio muzik yang ke udara dari jam 9 hingga 12 malam sangat kami nanti-nantikan. Kami sanggup teliti dan catit apa lagu-lagu yang telah dipilih oleh pendengar ruangan itu. Ketika itu, Kaklong sangat meminati kumpulan Exist. Waktu itu, Ezad baru saja masuk menjadi vokalis utama Exist menggantikan Mamat. Saya pula sangat gilakan kumpulan Umbrella. Aduhai. Bila sudah besar begini, baru saya terfikir, apalah yang istimewa sangat dengan kumpulan itu sehingga saya begitu gilakan mereka. Kebetulan ketika itu, di sekolah kami ada regu lawan mulut yang meminati kumpulan lain. Mimi adik kepada Kak Tikah, kawan baik Kaklong, dan juga Che’ Yah, adik Kak Piah, rakan sekelas Kaklong dan Kak Tikah. Mereka berdua sangat meminati kumpulan Slam. Jadi setiap kali berkumpul untuk latihan bola jaring pada setiap petang Selasa, pasti ada sesi berbalah mulut (orang Temerloh sebut bertaki) untuk memenangkan kumpulan masing-masing.

Ketika itu, apabila menjelangnya hujung minggu, saya akan sibuk mendengar rancangan Carta Mingguan di setiap stesyen radio yang saya dapat dengari dari rumah. Antaranya ialah Radio Muzik, Radio Malaysia Pahang, Radio Malaysia Negeri Sembilan, Radio Malaysia Kuala Lumpur, Time Highway Radio dan Best 104. Waktu itu masih belum ada Hot.fm dan yang seangkatan dengannya. Kalau boleh, saya hendak tahu di kedudukan manakah lagu-lagu kumpulan Umbrella berada pada minggu itu dan sebolehnya juga saya hendak tahu lagu-lagu manakah yang berjaya menjada juara carta. Ha! Sampai begitu sekali. Antara lagu-lagu hit kumpulan Umbrella ialah Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu, Maruah, Retak Jangan Relai dan Rindu. Saingan hebat pada waktu itu semestinya lagu-lagu dari kumpulan Ukays yang tak pernah luput dek masa, tak lekang dek zaman. Lagu Sebak, Sesak, Seksa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Kekasihku Di Menara adalah antara yang terhangat di corong-corong radio. Lagu-lagu Exist pula seperti Masih Terserlah Ayumu, Diammu Gunung Berapi, Alasanmu dan Anugerah. Fuh. Macam tidak percaya saya masih mengingati semua ini. Tak dilupakan juga kumpulan-kumpulan lain yang menjadi tumpuan saya seperti Fotograf (Luka Seribu Rindu), Scan (Kau Dipaksa Aku Terpaksa), Eye (Namamu Kini Menjadi Sebutanku), Arrow (Aku Tak Marah, Terimalah Sayang Cintaku Seadanya) dan juga Lestari (Mahligaimu Dari Air Mataku). Ha. Tajuk lagu masa itu semuanya panjang-panjang. Kalau boleh, satu ayat dalam lagu nak dijadikan tajuknya. Hehe.

Saya masih ingat lagi, pada tahun itu, saya memenangi Pertandingan Bercerita Peringkat Daerah. Hadiah tempat pertama pada waktu itu termasuklah wang saguhati sebanyak RM50. Tidak banyak manapun. Tapi dengan duit itulah, saya belikan hadiah hari lahir buat Kaklong berupa kaset Exist album Anugerah (1996) dan juga kaset Umbrella album Seribu Rahmat untuk diri saya sendiri. Hahaha. Nak minta pada ayah? Uh. Jangan harap. Ayah menentang kami mendengar lagu-lagu ini semua. Kaklong pada ketika itu sangat berani membeli majalah hiburan. Kena seludup masuk majalah itu melalui tingkap bilik untuk mengelakkan emak atau ayah nampak. Tapi seingat saya, pernah juga ditangkap oleh emak kerana membeli Mangga tapi Kaklong beralasan baik kononnya hendak membaca kisah adik Siti Musliha yang mendapat laporan eksklusif di dalamnya. Maka terselamatlah majalah yang itu daripada ayah sebab emak pun tumpang membaca cerita itu. Yang lain-lain? Hahaha. Walaupun telah disorokkan di dalam laci di dalam almari baju kami, ayah datang kutip, koyak-koyakkan dan dicampak bertaburan di perdu pohon manggis di tepi laman rumah. Hendak menangis pun sudah tidak berguna. Siapa suruh kami buat apa yang ayah larang. Kaklong memang kecewa betul waktu itu. Mana tidaknya. Duit untuk membeli majalah itu (ketika itu berharga RM3.50) disimpan daripada duit belanja.

Inilah zaman meningkat remaja kami dua beradik. Nasiblah kami berdua saja perempuan. Kalaulah saya ada adik perempuan, apalah agaknya kecenderungan muzik adik saya itu. Kalau dikisahkan adik-adik lelaki saya pula, si Adnan lebih meminati lagu-lagu seperti Redline95, Domino Effect dan Apple Trees. Bila masuk adik-adik yang lain, lagu-lagu Indonesia lebih menjadi minat mereka. Terutamanya Adlan dan Adam. Dari Sheila On 7 hinggalah Nidji dan macam-macam lagi. Zaman saya dan Kaklong dulu masih tiada radio IKIM.fm. Selepas tamat SPM baru saya menghabiskan masa dengan IKIM saja. Sebetulnya, zaman muzik-muzik saya ni hanya sekitar darjah 5 dan 6 saja. Masuk saja ke tingkatan 1, saya sudah tinggalkan semua ini. lebih matang. Dengar pun setakat dengar saja. Lebih-lebih lagi bila Kaklong sudah ke asrama, saya tiada teman untuk bercerita tentang kumpulan-kumpulan ini semua. Zaman rock kapak jiwang-jiwang dah lama ditinggalkan. Legasi nasyid mula mengambil tempat sekitar saya tingkatan 3 (sebab abang kepada Zaiti kawan saya ialah anggota In-Team), maka bertukarlah aliran muzik remaja pada waktu itu. Tapi jiwang tak ingat dunia juga! Kasih Kekasih-lah, Impian Kasih-lah, Nur Kasih-lah, dan segala kasih-kasih yang lainlah. Aduhai. Bila tamat SPM pula, UNIC mula menyengat dengan lagu CUDIPT dan Hanya Tuhan Yang Tahu. Masya Allah. Nasyid pun boleh tahan jiwangnya ya. Hehe.

Sebenarnya, emak dan ayah saya sangat tegas dalam bab-bab hiburan ini. Kami tidak boleh menonton rancangan Muzik-muzik dan Melodi dulu-dulu. Anugerah Skrin dan anugerah-anugerah yang lain pun tidak boleh juga. Kadang-kadang, kami berkeras cuba juga membuka TV walaupun ayah telah padamkan suisnya tapi tak lama selepas itu, ayah keluar dari bilik dan memadamkan TV semula. Ini bentuk didikan yang kami terima. Tapi saya berterima kasih kepada emak dan ayah, terutamanya ayah, kerana sangat bertegas dengan kami dalam memilih hiburan. Sejak Raihan muncul, era kegemilangan nasyid pun bermula. Tapi saya dan adik beradik lebih meminati Hijjaz kerana banyak nasyid yang Hijjaz nyanyikan mengimbau kenangan kami ketika sekolah rendah dulu, ketika kami popular dalam pasukan nasyid sekolah. Huhu. Dan bila munculnya Firdaus dan Mirwana, emak pun menyukai mereka dan kami pun terikut-ikutlah. Saya tak menyesal dengan didikan emak dan ayah. Bagi saya, sememangnya dunia hiburan ini jika tidak diletakkan satu garis pemisah boleh menyebabkan seorang remaja itu hanyut dan melupakan banyak perkara. Antaranya tentang perkara fardhu, adab pergaulan, batas aurat, terabai pelajaran sehingga menjejaskan masa depan dan melalaikan.

Ha. Entri ini menjadi bukti bahawa saya anak era 80-an. Ada yang segeng dengan saya? Sila tersenyum sendiri =)

Posted on November 19th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

5 Kriteria Blog Yang Saya Lawati

Assalamualaikum wbt

Kalau sebelum ini saya selalu bercerita tentang kehidupan saya di sini dan memori di Malaysia juga pendapat peribadi saya tentang isu yang berlaku di sekeliling saya tapi kali ini saya hendak berkongsi tentang blog-blog yang menjadi pilihan saya.

Saya ada beberapa kriteria yang menyebabkan saya boleh jatuh cinta dengan sesebuah blog. Disebabkan kriteria-kriteria ini, saya pasti akan melawat blog-blog ini hampir setiap hari. Dipenghujung entri nanti, saya akan nyatakan apa yang saya buat dengan blog-blog yang saya minati ini.

1. Saya sukakan kekemasan. Jadi, dalam menulis entri juga, saya sukakan jika aspek kekemasan dititikberatkan. Maksud saya, alignment untuk entri itu mestilah disetkan sebagai justify atau kalau yang mahu ditengahkan, setkan dengan align center dengan sepenuhnya. Jadi, sesebuah blog itu akan nampak kemas dan rapi. Disebabkan faktor kemas ini, hari-hari saya melawat blog Nadia Yuna dan Menteil. Blog mereka kemas menurut pendefinisian saya tadi. Warna pilihan juga menepati citarasa. Seorang coklat gelap, seorang lagi putih bersih. Memang menjadi pilihan sayalah=)

2. Tiada widget atau aksesori elektronik tambahan yang terlalu berat. Mungkin ada yang tidak kisah tentang hal ini tapi saya kisah kerana kedudukan meja saya di rumah ini adalah yang terjauh daripada sumber wireless modem kami. Jadi, jika ada blog atau laman web yang berat untuk dibuka, prosesnya mengambil masa hampir seminit. Saya tak banyak masa hendak menunggu selama itu untuk proses ini. Jadi, ini menyebabkan saya kurang melawat blog-blog yang penuh dengan widget gambar, lagu, atau apa sahaja yang diletakkan di bahagian tepi blog yang boleh melambatkan proses. Jadi, atas sebab ini saya memilih blog Cikgu Jawe dan sebuah blog yang saya stalk (baca: intai-intai dari jauh saja) kerana keistimewaannya yang tersendiri. Pemilik blog ini adalah rakan email saya tapi link-nya tidak boleh diletakkan kerana dia sukakan privasi.

3. Saya suka membaca kisah-kisah orang yang berlainan bidang dengan saya. Saya suka untuk tahu hal-hal yang berkaitan kerjaya, studi ataupun apa saja yang terjadi dalam hidup mereka. Syarat utama yang sama ambil kira ialah cara penceritaan. Maka saya memilih 3 blog pilihan. Pertamanya Yasir Tamizi. Dia ini unik. Dari banyak segi. Saya suka cara dia menyampaikan pendapatnya sama ada tentang politik atau agama dan kadang-kala tentang kerjayanya dan aktiviti sampingannya dalam sebuah band. Blog Azwan Ngali juga menjadi pilihan saya. Ini antara rakan blogging yang terawal yang saya kenal tapi sayangnya saya tidak tahu apa masalahnya sehingga blognya tidak dapat dibuka sekarang (sejak minggu lepas). Mungkin dalam proses baik pulih. Yang ketiga ialah blog Critical Thinker. Dia inipun unik. Pada mulanya penuh rahsia tapi sekarang identitinya bukan lagi rahsia. Saya yakin dia ini orang yang berilmu dari cara penyampaian ceritanya. Dan setelah mengenali pemiliknya buat seketika, ternyata telahan saya benar belaka. Dia sedang melanjutkan pelajaran di Adelaide sana. Apa yang unik, ketiga-tiga mereka ini berblog dalam bahasa yang tersendiri. Kalau tak percaya, silalah kaji. Memang menarik. Hehe.

4. Saya seorang yang sangat pentingkan aspek bahasa. Saya lebih mengutamakan Bahasa Melayu. Jadi, di blog saya, saya akan menulis menggunakan bahasa formal. Jika saya selitkan penggunakan istilah pasar, saya akan italikkan perkataannya. Saya bukan pengamal bahasa rojak. Jadi, jika saya hendak menyelitkan perkataan Bahasa Inggeris di dalam entri (bukan di ‘Nota’), saya akan mengitalikkan perkataan tersebut supaya dapat dibezakan dengan bahasa standard yang saya gunakan. Begitu juga jika saya menulis di dalam Bahasa Inggeris. 100% akan menggunakan bahasa ini. Tiada rojak atau singkatan yang salah seperti gimme, gonna, lemme, gtg, etc dan lain-lain lagi. Di atas sebab ini, saya memilih blog Noktah Hitam yang 100% berblog dalam Bahasa Inggeris yang baik dan juga blog Najib (kawan baik adik saya) yang sangat unik bahasanya. Hampir 100% Najib menggunakan Bahasa Melayu di blog ini.

5. Saya suka membaca entri-entri yang bersifat prihatin agama dan masyarakat. Lagi seronok jika isu-isunya disampaikan dalam cara penceritaan yang unik. Jadi, disebabkan kriteria ini, saya menjadi mengunjung setia blog Cik Ati yang saya sayangi ini. Cik Ati memang best orangnya. Dan saya akui, dia bukan seorang yang berpura-pura dalam nasihat-nasihat yang terselit dalam penceritaannya. Saya tabik hormat pada Cik Ati =)

Dan disebabkan saya meminati blog-blog ini, saya bookmark-kan mereka di bahagian atas enjin internet yang saya gunakan ini untuk memudahkan saya melihat update terkini daripada mereka semua tanpa perlu saya merujuk ke blog saya untuk mencari link-nya. Kiranya, saya bookmark RSS blog-blog ini di toolbars kerena mereka semua istimewa bagi saya yang dahagakan ilmu pelbagai bidang yang merangkumi dunia dan akhirat. Dan sebenarnya, ada beberapa lagi blog yang saya bookmark-kan tetapi saya tidak tahu mereka tergolong dalam kategori mana satu. Antaranya ialah blog Salman Faris dan blog ibu saudara saya, Mak Andak =) Dua blog terakhir ini ialah blog wajib yang saya buka setiap hari sama ada kedapatan entri baru ataupun tidak. (“,)

Posted on November 17th, 2008 by Sarah  |  41 Comments »

5.24 Pagi

Assalamualaikum wbt

5.24 pagi. Saya masih belum lelap walau sepicingpun. Usaha saya naik ke katil barang sejam untuk menidurkan diri langsung tak berhasil. Indahnya malam bulan mengambang dengan ditemani bunyi rintik-rintik salji tak menjadi yang turun sebagai renyai di dini hari. Puas malam berbisik cuba menidurkan tapi sayangnya mata saya tak terpujuk. Tertekannya. Malam minggu sepatutnya saya nyenyak tidur beralaskan lengan dan hanyut diulit mimpi yang wardah. Sebaliknya saya terkebil-kebil di dalam pekat malam sendirian. Kalaulah dapur saya di sini kedap bunyi, sudah lama 20 biji kek tersedia rapi indah berhias dengan icing warna pelangi.

Heh. Mengarut sungguh. Kot ye pun, mana sempat siap 20 biji Sarahnya… Ah. Cubalah lelap wahai mata. Saya rindukan nikmat tidur…

Posted on November 16th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »