Pengembara
Assalamualaikum wbt
Sejak awal pagi semalam, berkali-kali saya menerima ucapan ‘s vesnoi!’ daripada kawan-kawan saya yang berbangsa Rusia. Maksudnya ialah ‘selamat bermusim bunga!’. Nampaknya, memang gembira sungguh mereka dengan keadaan cuaca yang sudah semakin memanas ni.
Suhu hari semalam hanyalah 0’C. Bagi kami di sini, suhu begini sudah sangat nyaman dan tidak memerlukan pakaian yang terlalu tebal. Yang sedang-sedang saja sudah cukup. Jalan sangat lecah sekarang ni. Salji dalam proses hendak cair. Di hujung seluar jeans yang dipakai tak terkata kotornya.
Hendak dijadikan cerita, semalam saya ke hospital seorang diri seperti biasa. Sampai di stesyen metro yang dituju, saya perlu menaiki bas pula untuk ke hospital. Saya sudah lupa nombor bas yang menuju ke sana tapi saya ingat nama jalannya. Jadi, saya pun membeleklah beberapa buah bas yang sudah sampai untuk mengambil penumpang. Saya jumpa sebuah. Nombor 141. Saya terus naik.
Di pertengahan jalan, bas ini membelok ke arah lain. Saya sedikit resah pada mulanya. Tapi disebabkan saya sudah terlalu biasa meredah ke mana-mana seorang diri, saya tidak kisah langsung kemungkinan bas ini akan melalui jalan lain dulu kerana saya yakin akhirnya ia akan melalui jalan berhampiran hospital juga. Sistem bas di sini sangat sistematik. Saya percaya pada laluan perjalanan yang tercatat di dinding bas.
Kalaupun sungguh bas ini akan menyimpang entah ke mana-mana lagi, insya Allah saya boleh survive. Saya bertolak awal dari rumah dan saya masih ada banyak masa waktu itu. Di sepanjang perjalanan melalui kawasan perumahan dan sekolah, mata saya fokus memerhatikan sekitar. Saya hendak cuba mengecam jalan. Saya berkata dalam hati, kalau akhirnya bas ini tidak melalui jalan yang saya tuju, saya akan turun saja di mana-mana nak menaiki teksi saja. Ini niat saya.
Tapi saya tidak terus turun. Suara hati saya kuat mengatakan jalan yang dilalui ini akan menuju ke arah hospital juga. Tidak lama kemudian, saya ternampak simpang empat dan di tepinya ada sebuah kiosk menjual minuman dan biskut. Saya cam tempat itu. Tanpa mendengar suara dari mesin suara automatik yang menyebut nama-nama perhentian bas di situ, saya terus turun.
Tadaaaaaa! Saya terus boleh melihat bangunan hospital yang paling tinggi dari tempat saya turun. Rupa-rupanya, bas itu melalui jalan belakang dan melalui simpang empat yang paling hampir dengan hospital. Biasanya, kami semua melalui jalan utama yang lurus saja dari arah bandar. Dari tepi jalan besar untuk menuju ke hospital pula, kami perlu berjalan kaki dalam 10 ke 15 minit. Tapi hari ini, saya hanya perlu berjalan selama 5 minit saja. Dalam keadaan santai pula tu.
Setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Belajar dari pengalaman adalah pengajaran yang paling baik dalam hidup. Sedangkan Vienna dan Uzbekistan pun saya pernah pergi seorang diri, inikan pula setakat dalam Moscow ni saja. Insya Allah, selagi ada duit dalam tangan dan mulut tidak malu bertanya jika ada apa-apa yang tidak tahu, campaklah ke mana sekalipun, insya Allah, I will survive. Huahuahua.
Oh ya. Ini juga mungkin adalah hikmah di sebalik memulakan perjalanan dengan doa keluar rumah dan langkah kanan. 🙂
Nota 1: Esok dan seterusnya saya akan menaiki bas itu lagi, insya Allah.
Nota 2: Dalam metro menuju ke stesyen yang dituju, dua orang makcik masuk dan duduk di tepi saya. Saya sedang berdiri ketika itu. Menurut mereka, baru saja sebelum itu ada seorang pemuda mati dibunuh di Vakzal Kurskaya (Stesyen Keretapi Kurskaya). Jadi untuk junior yang menggunakan laluan biru tua menuju ke Ismailovkaya mahupun semua pelajar tahun lima dan enam yang menuju ke Semenovskaya atau Pervomaiskaya, semoga kita semua lebih berhati-hati. Geng tu dah mula beroperasi kot. 😡
Nota 3: Hari ini hari pelepasan untuk group saya. Library day. Bukan cuti umum. Tapi hari untuk ke perpustakaan mengambil buku (jika perlu) dan membuat persiapan sendiri (self-study). Kebetulan terdemam pula malam tadi. Jadi hari ini hari untuk berehat saja di Dunia Sarah.






