Author Archive

Jangkitan Tisu Lembut

Assalamualaikum wbt

Baiklah, Sarah. Malam ni dengan rajinnya, silalah pergi menelaah tajuk Soft Tissue Infections. Macam manalah awak boleh hilangkan nota ringkas awak yang secotet tu? Di manalah awak tertinggal buku nota yang ada kulit keras warna-warni tu? Kan dah jadi satu kerja lagi nak buat semula.

Sebenarnya, lebih kurang dua minggu lepas saya sudahpun mempunyai satu nota peribadi yang lengkap tentang tajuk ini. Setiap hari, saya berhadapan dengan pesakit-pesakit yang mempunyai masalah ini. Jadi, saya sudah siapkan semuanya untuk dijadikan rujukan peribadi. Kebetulan tadi Ketua Jabatan saya menanyakan soalan ini kepada seorang lagi HO. Tapi entah ke mana perginya buku itu. Apa yang saya ingat, Alhamdulillah lah. Tapi apa yang saya tidak ingat, saya tidak dapat untuk merujuk kepada mana-mana sumber. Terpakulah saya diam mendengar Ketua Jabatan memberi penerangan. Terasa bodoh sungguh waktu itu.

Jadi malam ini, saya hendak khatamkan sekali lagi. Moga-moga ilmunya kekal sampai mati.

Adik-adik sekelian, sila mantapkan ilmu tentang Soft Tissue Infections. Realitinya, terlalu banyak kes yang akan kita temui dalam kehidupan seharian di Jabatan Orthopedic. Apa, ingat Orthopedic ni yang patah-riuk saja ya. Silap tu. Segala kes diabetic foot ulcer, abscess, necrotizing faciitis, cellulitis, thrombophlebitis dan gangrene pun termasuk juga.

Eh, sebelum menyambung studi, tiba-tiba teringat dua kes yang boleh memberi inspirasi dan semangat untuk diri sendiri. Sejak bertugas di Jabatan Orthopedic ini, saya telah diberikan tugasan oleh Ketua Jabatan saya untuk menguasai segalanya tentang diabetic foot care. Payah hendak saya huraikan di sini. Tapi pendek ceritanya, saya diberikan cabaran untuk memastikan dua orang pesakit saya di wad menjadi semakin baik. Untuk pesakit yang pertama, muda lagi orangnya. Baru 34 umurnya. Tapi sudah mengalami komplikasi ini. Sejak hari pertama saya diberikan tugas itu, saya membuat wound desloughing di dalam wad untuk kakinya itu. Dan esoknya sekali lagi saya buat. Fuyyo! Kakinya kini hanya memerlukan dressing menggunakan normal saline dan jelonet saja. Lukanya bertambah baik dan dagingnya semakin cantik. Alhamdulillah!

Pesakit kedua pula, seorang pakcik berumur lewat 50-an. Juga mengalami komplikasi kencing manis di kakinya. Saya diberikan cabaran yang sama. Pada hari saya diberikan cabaran itu, saya membuat wound desloughing di dalam wad. Lukanya saya rendamkan dengan larutan Hydrogen Peroxide dan kemudian saya sapukan dengan duoderm gel dan menutup keseluruhan luka dengan jelonet sebelum dibalut kembali. Alhamdulillah, dua hari selepas itu, pakcik itu sudah dibenarkan pulang. Lukanya sebelum balik adalah bersih dan cantik. Daging sudah merah saja. Tiada lagi nanah ataupun serpihan tisu yang tidak cantik berada di sekeliling luka itu.

Inilah kepuasan saya. Melihat pesakit bertambah sihat dan luka mereka bersih dan cantik. Cuma yang mencabarnya, saya sayu mendengar suara pakcik itu ketika saya membersihkan lukanya itu. Ubat tahan sakit sudahpun diberikan sebelum prosedur. Begitu juga dengan local anaesthesia. Tapi masih tidak cukup. Katanya:

“Tuan doktor, saya sakit takpe. Tuan doktor buatlah yang terbaik untuk kaki saya ni. Sakit ni hilanglah nanti. Tapi kalau hilang kaki, nanti tak dapat cari ganti dah.”

Aduh. Menyayat hati sungguh. Dan sebelum dia dibenarkan pulang, dia berkata:

“Kalau tak sakit-sakit hari tu, tak cantik lagilah jawabnya kaki pakcik ni, Tuan doktor. Terima kasih, Tuan doktor. Banyak pahala dapat tolong selamatkan kaki orang.”

Ah… Lagi sekali terpujuk hati saya mendengar kata-kata pakcik itu. Itu baru selamatkan satu kaki. Kalau selamatkan tangan, buah pinggang, hati, otak dan lain-lain, Subhanallah, banyaknya pahala!

Baiklah. Mari bancuh Nescafe dan sambung studi! Eh, eh. Saya belum mandi lagilah!!!

Kemas kini (1:54 am) Sebelum beredar, ini sedikit perencah tambahan untuk hari ini yang saya jumpa sewaktu membuat carian bahan-bahan bacaan dengan bantuan Encik Google. Dan inilah realiti yang saya jumpa dalam kehidupan di wad Orthopedic.

Nota 1: Tajuk entri adalah sangat lucu. Macamlah ada tisu keras lembut pula. Huhuhu. Ah, biarkan. Tisu lembut tu termasuklah kulit, otot, ligamen dan yang seangkatan dengannya. Tisu keras tu tulanglah. Huhu. Haa. Kan dah kata. Bahasa kita pun ada istilah yang cukup untuk menterjemahkan istilah perubatan ni walaupun bunyinya agak kelakar. Kalau tak percaya, cuba lihat pelajar-pelajar di Indonesia. Istilahnya kebanyakkannya menggunakan Bahasa Indonesia itu sendiri. Kan kan kan? :mrgreen:

Nota 2: Opsss. Ada yang tak tahan tengok gambar-gambar tu ke? Hehe.

Posted on March 15th, 2010 by Sarah  |  34 Comments »

Sesat Dan Tenggelam

Assalamualaikum wbt

Saya rasa seperti tenggelam dalam dunia sendiri. Semua yang saya lakukan seperti terkepung antara saya dan dinding ruang lingkup kehidupan saya. Tidak terkeluar sedikit pun daripada ruang itu.

Kalau pergi kerja, ulang-alik di jalan yang sama. Tidak perlu masuk bandar pun. Isi minyak kereta pun di stesyen minyak antara rumah saya dan hospital. Di hospital pula, ruang lingkup saya meliputi kerja-kerja di wad dan klinik. Kadang-kadang, kalau ada mood, saya turun makan di kafe. Kalau tiada mood, saya lebih sanggup balik makan di rumah saja selepas habis kerja di waktu petang. Kerja saya sama saja setiap hari. Dan saya rasa usaha saya untuk memantapkan semula ilmu neuroanatomy saya seperti melepas batuk di tangga saja. Kalau dulu, saya sentiasa cuba untuk memberikan impresi yang baik kepada pakar. Tapi kali ini, saya tahu, mesti pakar kecewa kalau ada soalan-soalan yang tidak berjaya dijawab oleh saya.

Alasan saya cuma satu. Saya rasa sesat dalam dunia sendiri. Serba tidak kena. Sekarang ini saya sangat tidak sabar menantikan hari Rabu tiba. Saya mengambil cuti yang agak panjang untuk menguruskan hal keluarga dan untuk mengecaj kembali semangat dan prestasi diri.

Harap-harap, cuti ini nanti membawa perubahan dalam diri saya. Saya mahu menjadi saya yang dulu.

Rabbi yassir wala tu’assir.

Nota 1: Saya terasa jauh dengan segalanya. Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang ni.

Nota 2: Saya tahu ada seorang rakan sekerja saya membaca blog saya. Saya harap awak simpan cerita-cerita di sini antara kita saja ye.

Posted on March 14th, 2010 by Sarah  |  11 Comments »

Saya Terima Nasyidnya

Assalamualaikum wbt

Dulu pernah seseorang ini menujukan lagu Seribu Tahun untuk saya. Aduhai. Syahdu betul hati waktu itu. Waktu itu sajalah. Huhu. Lepas itu sudah tidak syahdu lagi. Dan tadi saya sempat berbual sebentar dengannya. Dia akan berlayar ke tengah lautan buat seketika. Sebelum bertolak pergi, dia menujukan nasyid Muhasabah Cinta.

Rasa syahdu itu datang kembali. Semoga semuanya baik-baik saja.

Baiklah. Emak sudah memanggil ajak menonton drama Cinta Tikar Sejadah. Jadi, marilah tutup laptop dan menghadap TV pula. Sekian sketsa petang Ahad yang panas terik ini.

Nota: Comel sungguh cerita CTS tu. Lagipun, kan ada Farid Kamil. 😉

Posted on March 7th, 2010 by Sarah  |  8 Comments »

Jangan Dekat

Assalamualaikum wbt

Hari yang diributi emosi. Semua benda serba tak kena. Ditambah pula apabila terjadi, menerima dan terbaca perkara-perkara yang boleh membakar hati.

Ah. Emosi! Sila jangan dekat sekadar untuk menambah bara ini.

Posted on March 7th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Program Hujung Minggu

Assalamualaikum wbt

Insya Allah esok saya hendak ke sekolah rendah saya dulu. Ada program di sana sempena majlis penyampaian hadiah untuk Sukan Ilmiah Dwi Tahunan yang berlangsung sepanjang seminggu lalu. Kebetulan adik bongsu saya masih bersekolah di sana. Dia memenangi tempat pertama deklamasi sajak patriotik. Saya akan mewakili emak dan ayah untuk ke majlis itu. Bekas-bekas pelajar juga dijemput hadir. Dan saya sudah berjanji untuk berjumpa dengan beberapa orang kawan lama di sana.

Sayangnya, dia tiada. Dan dua orang kawan baik saya juga tidak dapat turut serta.

Nota: Handphone saya senyap sunyi sejak dua hari ini. Hospital pun telefon hanya sekali je. Huhu.

Posted on March 5th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »