Kenduri Kahwin, Reunion Dan Edisi Siasat
Semalam hari yang sangat memenatkan tapi menggembirakan. Di awal pagi, dapat berita adik saya Adnan akan pulang ke rumah. Tersangat rindukan dia! Sekitar jam 11.30 pagi, saya keluar membawa Aiman ke bandar untuk membeli hadiah buat kawan lama saya yang mendirikan rumah tangga pada hari semalam. Masih ingat yang saya ceritakan namanya Zaiti dalam entri Kazoku yang lalu? Semalam Zaiti telah selamat mendirikan rumah tangga bersama pasangannya Khaled.
Ingatkan sekejap saja hendak membeli hadiah. Sudahnya lama pula saya membelek barang dan kemudian terkejar-kejar pergi membungkusnya. Jam 1.15 baru siap semuanya. Nan pula telag sampai di terminal. Jadi saya pergi menjemputnya dulu sebelum bertolak ke rumah pengantin.
Sebaik sampai di rumahnya, saya pergi menemui Zaiti yang telah hampir 3 tahun tidak ditemui. Kali terakhir berjumpanya sewaktu saya ke UIA Gombak sekitar 2005. Dan apa yang lebih menggembirakan, saya bertemu 2 orang lagi kawan lama yang sekelas dengan saya dari darjah 1 sehingga tingkatan 3. Sharifah Nurfaizah dan Ruhana! Macam reunion pula. Sudah 8 tahun tidak bertemu Sharifah. Sharifah merupakan teman semeja saya sejak darjah 2 sehingga darjah 5. Bertemu dengannya membuatkan selera makan pun kurang. Macam-macam yang kami borakkan. Apabila Ruhana tiba, berpelukanlah kami bertiga. Saya rapat dengan keluarga Ruhana. Emaknya adalah kawan emak saya, juga seorang guru. Dulu Ruhana sakit. Dia menduduki SPM setahun lewat kerana bercuti sakit. Disebabkan sakitnya, Ruhana memang sangat kurus. Kini Alhamdulillah Ruhana telah sihat dan sudah makin berisi! Terkejut melihat dia semalam. Oh. Terlupa nak cerita. Zaiti merupakan adik kepada Hazamin In-Team (Amin).
Dan ketika di kenduri itu juga, secara kebetulan saya bertemu seseorang. Sebaik keluar dari kereta, sudah terasa cam. Rupa-rupanya betul. Abdul Hayyi. Seorang kawan atas kawan yang juga merupakan antara rakan blogger terawal yang saya kenal. Hayyi merupakan pelajar tahun akhir jurusan Perundangan di UIAM. Kecil saja dunia ni kan, Hayyi. Tak sangka terjumpa di kenduri Zaiti pula.
Sebaik sampai di rumah, saya hanya masuk ke untuk mengambil laptop dan kemudian terus bergegas mengikut ayah saya ke Shah Alam pula. Kami menghantar 2 orang sepupu untuk balik ke universiti. Sem baru akan bermula Isnin ini. Dalam perjalanan pergi, ayah bertanyakan saya sama ada membawa kamera atau tidak. Saya kata ada. Lalu, sebaik tiba di Genting Sempah, ayah melencong naik ke Jalan KL Lama. Kata ayah, ada edisi siasat. Ayah hendak menunjukkan sebuah tokong Cina yang menggunakan nama seorang Melayu dan di dalamnya juga ada patung seorang lelaki Melayu. Saya bertanya macam-macam kerana saya tidak faham sebenarnya apa yang diceritakan oleh ayah. Tapi sebaik sampai di tokong itu, segalanya terjawab. Nama tokong merah itu ialah Datuk Md Hitam.
Tapi ada seorang lelaki Cina bermotor sedang sembahyang di situ. Maka kami berpura-pura berehat di tempat lapang di sebelahnya. Memang udara di situ segar. Itu jalan untuk ke Genting Highland. Lama kami menunggu lelaki itu beredar tapi nampaknya dia sedang khusyuk berbual-bual di dalam tokong itu. Lalu ayah mengajak kami beredar kerana sudah lama menunggu. Tapi di saat kami menapak mendekati kereta, datang sebuah kancil yang dinaiki oleh sepasang suami isteri berbangsa India. Ayah bertanya, sudah biasakah dia ke situ. Katanya, ini pertama kali. Saja dia singgah di tokong itu kerana katanya selalu dengar disebut orang. Tak lama kemudian, laki Cina tadi keluar dan menyapa kami semua. Saya tergatal mulut. Alang-alang sungguh hendak tahu banyak tentang tokong itu, saya bertanya kepada lelaki itu. Ni boleh masuk tak? Saya memegang kamera pada waktu itu. Jadi saya dengan muka yang penuh innocent berlakon seperti hendak tahu banyak tentang tokong itu. Kemudian, ayah saya mengikut dan begitu juga adik dan sepupu saya. Pasangan India itu juga turut datang ke depan tokong itu. Maka ayah saya pu memulakan sesi perbualan dengan lelaki Cina tadi.
Ringkasan yang boleh saya ceritakan, menurutnya, mereka percaya yang mengatur alam ini hanya satu iaitu Allah. Allah-lah yang berkuasa menjadikan apa yang Dia inginkan. Tapi mengapa mereka sembahyang di tokong yang dinamakan Datuk Md Hitam ini kerana katanya Datuk ini dulu seorang panglima yang keramat. Yang kuat beribadah. Dia seorang muslim. Dan disebabkan dirinya suci dan hatinya terjaga, mereka sembahyang supaya Allah menghantar roh (sebutnya soul semalam) Datuk itu datang menjaga kawasan itu. Ibaratnya soul itu adalah Menteri di kawasan itu. Tapi apa-apapun, mereka percaya bahawa Allah itu yang paling utama. Oh. Sungguh terkejut juga saya mendengar penjelasannya. Yang mereka sembah di tokong-tokong pula adalah perantara yang dihantar Allah untuk membantu mereka menjaga tempat mereka. Dengan memperingati tokoh-tokoh yang kuat beribadat dan bersih hatinya, moga-moga mereka juga dapat memiliki hati dan kehidupan yang kudus, tidak kiranlah tokoh itu beragama apa kerana pokok pangkalnya tetaplah Allah juga. Begitulah lebih kurang kisahnya. Cuma ynag menjadi persoalan, bolehkah kita membiarkan saja nama soerang Muslim dipuja-puja begini? Dan sebenarnya, apa yang manjadi tanda tanya juga ialah kewujudan bendera UMNO bersilang keris merah kuning putih berkibar di sisi tokong itu. Apa motif? Hoho. Ada unsur-unsur ‘serampang dua mata’ di sini :p Selepas mendengar lelaki itu bercerita (lelaki itu memang nampak yang jenis kuat beribadat), kami pun meneruskan perjalanan. Lambat sampai ke Shah Alam. Banyak betul menyinggah sana-sini. Ayah pula tak habis-habis melawak itu-ini.
Sampai di Shah Alam, terus menghantar Linda ke kolejnya dan kemudian menghantar Hidayah ke rumah sewanya. Kemudian kami terus bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang, ayah dan Azizi tidur. Saya memandu seorang diri. Dalam pekat malam, saya terbayang-bayang patung Datuk Md Hitam itu tadi. Huhu~ Inilah yang membezakan kita Muslim dan agama lain. Mereka percayakan Allah. Sayangnya, mereka tetap menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Moga-moga aqidah kita semua tetapp jitu mengesakan Allah dan Muhammad s.a.w itulah pesuruh Allah yang terakhir. Tiada lagi perantara lain yang diutus Allah untuk menjadi perantara menjaga bumi ini. Allah Taala a’lam…
