Semoga Bertemu Kekuatan Itu
Di sini baru pukul 8.20 malam. Bunyi bunga api masih belum kedengaran. Tapi dalam dua jam lagi, seluruh Kota Moscow akan mula bermandikan cahaya bunga api. Saya tak perlu ke mana-mana. Memandang ke luar dari tingkap bilik saja pun sudah membolehkan saya melihat bunga api memenuh di langit.
Saya tidak pernah menyambut tahun baru di luar. Saya tidak nampak sebenarnya apa kepentingan dan kebaikannya untuk saya. Mungkin bagi sesetengah orang lain pula keadaannya. Terpulanglah. Setiap orang itu mempunyai keadaan dan latar belakang yang berbeza. Saya tidak pernah dibiasakan dengan keadaan itu. Jadi saya lebih selesa dengan keadaan yang ada sekarang.
Minggu lepas, saya sudah menilai semula pencapaian saya sepanjang 2008 dan azam saya untuk 1430H dan 2009M. Hari ni, sebelum berlabuhnya tahun 2008, saya sekadar hendak melihat apa yang telah saya lalui sepanjang tahun ini. Ada banyak perkara. Salah satunya ialah, kejayaan yang dicapai oleh kami adik beradik. Kaklong dapat mengejar apa yang diimpikannya. Adnan sudah tamat belajar dan sudah pun mula bekerja dan adik-adik yang lain masing-masing meneruskan pelajaran mereka dengan baiknya. Rezeki kami sekeluarga juga semakin bertambah. Alhamdulillah. Keadaan kesihatan saya yang turun naik sepanjang tahun ini akhirnya sudah stabil. Hajat saya untuk bertemu dengan ketiga-tiga orang Tok saya termakbul pada cuti yang lalu dan kesemua 5 orang terbaik dalam hidup saya sudah mendirikan rumah tangga (Faiq, Nadia, Mahfuuzah, Kak Ani dan Abang Khairil). Saya tumpang gembira untuk mereka semua. Inilah antara yang paling bermakna untuk saya sepanjang tahun ini.
Juga ada perkara yang kalau boleh saya hendak hapuskan sejarah kewujudannya. Supaya nanti jika ada yang bertanya, saya tidak akan ingat langsung tentang kewujudannya. Benci? Tidak juga. Tapi keadaan ketika itu membuatkan saya rasa terlalu bodoh kerana tertipu disebalik kebaikan yang ada. Saya mohon dengan sangat bahawa saya boleh membuang terus sejarah itu daripada lipatan sejarah 2008.
Jadi ada baiknya kita membersihkan hati dan diri kita supaya kita dapat memulakan langkah baru sempena tahun baru ini dengan lebih tenang dan berlapang dada. Tidak rugi kita memuhasabahi diri. Malah kita dituntut untuk bermuhasabah setiap hari supaya niat kita sentiasa betul pada tempatnya dan jiwa kita bebas daripada perkara mungkar.
Maksud penyucian jiwa itu sendiri ialah menyucikan diri kita daripada sifat-sifat yang tidak baik (mazmumah) dan pada masa yang sama cuba menyuburkannya dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah). Dua proses ini patut berjalan seiringan. Bukannya menunggu sehingga tiada lagi sifat-sifat yang tidak baik barulah kita hendak mula melakukan perkara-perkara yang baik. Fitrah iman kita ini ada pasang, ada surutnya. Sebab itu dua proses itu perlu berjalan seiringan.
Dengan memuhasabah diri, kita dapat mecapai tiga natijahnya yang utama. Dapat membersihkan diri dari penyakit hati dan sifat mazmumah (tatahhur), dapat menyuburkan diri dengan sifat-sifat mahmudah (tahaqquq) dan seterusnya dapat menyempurnakan diri dan hati kita seperti akhlak nabi (takhalluq). Manis kan natijah yang kita dapat capai dengan memberishkan jiwa kita?
Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas segala salah silap saya untuk tempoh 366 hari di tahun 2008 ini. Selamat bermuhasabah dan mencari jalan teladan terbaik untuk mendapatkan hati dan jiwa yang lapang untuk setahun yang mendatang. Selamat datang tahun 2009 Masihi. Semoga jiwa-jiwa kita kuat untuk menolak jahiliyyah. Semoga kekuatan itu kita temui pada tahun baru ini.
Nota 1: Jangan lupa membaca Qunut Nazilah memohon kekuatan dan pertolongan Allah buat saudara-saudara kita di Palestin. Darah mereka, darah kita juga.
Nota 2: 10 tahun dulu, saya tidak pernah terfikir saya akan menjadi saya yang sekarang.
Nota 3: Sekarang sudah pukul 9.17 malam. Bunyi bunga api sudah pun kedengaran di luar.
