Mencari Hati

Assalamualaikum wbt

“Pesanan daripada seorang sahabat buatku: Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama, sewaktu bangun membaca Al-Quran. Jika tidak ditemui, carilah ketika kamu mengerjakan solat. Jika tidak ditemui juga, carilah ketika duduk bertafakur mengingati mati. Jika tidak ditemui juga, maka berdoalah kepada Allah dan pintalah hati yang baru. Kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati.” Imam Al-Ghazali

Posted on February 18th, 2010 by Sarah  |  7 Comments »

Tawaran Istimewa

Nota: Entri ini adalah sticky post sehingga Jumaat malam. Entri baru boleh didapati di bawah entri ini.

Assalamualaikum wbt

  • Apa perasaan kamu semua apabila membaca Al-Quran tetapi tidak dapat memahami apa yang sedang dibicarakan Allah kepada kita menerusi susunan ayat-ayat indah-Nya itu? Mesti ada rasa terkilan, kan.
  • Lebih-lebih lagi jika kita tidak mempunyai asas Bahasa Arab. Maksud ayat-ayat yang dibaca adalah seratus peratus bergantung kepada Al-Quran terjemahan.
  • Pernahkah kamu terfikir untuk membaca Al-Quran dan dapat mengetahui maksud setiap patah perkataan yang dibaca itu? Teringin? Mahu menambah ilmu asas Bahasa Arab dan Al-Quran?

Ini jalan penyelesaiannya.

quran syaamil

Dapatkan Syaamil Al-Quran Terjemahan Per Perkataan.

Mashaf Al-Quran terjemahan ini didatangkan dalam versi Al-Quran Al-Karim berterjemahan penuh juga per perkataan. Syaamil Al-Quran Terjemahan ini membolehkan kita mengetahui maksud setiap patah perkataan yang dibaca disamping menambahkan kefahaman kita dalam asas Bahasa Arab.

Mashaf ini adalah hasil terbitan Indonesia. Ia sudah mula boleh didapati di Malaysia pada harga pasaran RM150. Ada juga yang boleh didapati dengan harga RM129.

Tapi jangan risau.

Saya boleh membantu bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Syaamil Al-Quran Terjemahan per perkataan ini pada harga RM100 saja.

Saya jamin, memiliki senaskhah Syaamil Al-Quran Terjemahan ini adalah sangat berbaloi dan dapat menambahkan kefahaman dan penghayatan kita ketika membaca Al-Quran. Ini adalah satu alternatif yang tidak boleh dilepaskan!

Sempena Ramadhan yang sudah hampir tiba selang sehari atau dua lagi, apa kata kita ambil kesempatan Ramadhan kali ini untuk cuba menambahkan penghayatan kita dalam memahami Al-Quran.

Sesungguhnya, Al-Quran adalah perantaraan Allah berbicara tentang segalanya dengan kita semua. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar dan memahami Allah bercerita dengan susunan kalam-Nya yang terindah dan puitis.

Untuk tempahan, sila hubungi saya melalui email di sarahmohdshukor[at]gmail[dot]com. Berikan detail diri, alamat, nombor telefon dan kuantiti. Warna yang available buat masa ini hanyalah yang mempunyai corak daun coklat itu saja. Tempahan dibuka sehingga hari Jumaat malam 21 Ogos 2009 jam 11.30 malam.

Posted on August 19th, 2009 by Sarah  |  34 Comments »

Menjadi Penakut

Assalamualaikum wbt

Selepas Isyak tadi, kami sekeluarga duduk berehat-rehat di meja makan sambil minum kopi. Pada mulanya hanya emak dan ayah yang duduk berbual. Saya datang ke dapur dengan muncung panjang. Saya bercerita kepada mereka bahawa dua orang kawan saya sudahpun mendapat tempat posting mereka. Sekarang ini pun mereka sedang mengikuti kursus induksi sebelum mula berkhidmat minggu hadapan.

Menurut kawan-kawan saya ini, mereka mendapat pilihan pertama masing-masing. Seorang di Kuala Lumpur, seorang lagi di Penang. Saya memberitahu emak dan ayah, kalau saya dapat di Temerloh, takutnya saya hendak balik malam-malam. Saya takut hendak keluar dari kereta untuk membuka pagar di bawah bukit. Saya takut kena serang di situ. Takut ditegur oleh sesuatu pun iya juga. Ya. Saya memang penakut orangnya.

Tambahan pula, kalau balik di tengah-tengah malam, bila sudah dibuka pagar yang di bawah bukit itu, bila sudah naik, nanti terpaksa turun dengan berjalan kaki sedikit untuk menutup semula pagar. Kalau mengikut cadangan emak suatu ketika dulu, nanti hendak dipasangkan alat kawalan jauh saja. Biar selamat. Tak perlu keluar dari kereta di waktu malam. Tapi tadi ayah menyuarakan pendapatnya.

Kata ayah, nanti ayah akan buatkan pagar masuk baru menggunakan laluan jalan ke rumah belakang (jiran). Jalan masuk ke rumah belakang itu melalui kebun buah di tanah sebelah rumah kami. Jadi, pagar itu akan membolehkan kereta terus masuk ke halaman belakang rumah kami atau Tok. Begitulah cadangan ayah. Oh. Saya sangat bersetuju dengan cadangan itu. Setidak-tidaknya, bila saya keluar hendak membuka pagar, saya sudah boleh melihat rumah dari jarak yang dekat. Tidak perlu takut-takut hendak membuka dan menutup pagar lagi. Begitulah angannya.

Seketika kemudian, adik-adik saya yang bertiga itu datang menempek di meja makan juga. Mereka hendak mendengar apa yang sedang kami bertiga bincangkan. Tiba-tiba, ayah makin rancak bercerita. Mungkin sengaja hendak melihat apa reaksi kami empat beradik.

“Ayah pulak, kalau balik malam-malam, berhenti kat bawah nak bukak pagar je, ada ditegur macam ni: Baru balik, Kor? Tengok-tengok Ayah We Sat.”

Meremang bulu roma saya. “Ayaaaaaah… Kenapa cerita macam ni!”, saya menjerit sebab sudah mula terbayangkan segalanya. “Aaaaaa… Kenapa boleh ada macam tu pulak. Ni yang lagi takut ni.”

Ayah We Sat yang dimaksudkan oleh ayah saya ialah arwah datuk saudara saya, Aki We Sat. Rumahnya terletak di tanah sebelah rumah Tok, dipisahkan oleh pagar dan kebun buah. Sudah lama arwah meninggal dunia. Itu sebabnya saya geram bila ayah saya membuka cerita itu dengan tiba-tiba tadi. Kemudian ayah menambah lagi.

“Laa… Macam tu la dulu-dulu. Petang-petang ayah balik kerja, macam tu la dia tegur ayah. Jadi ni dah balik malam, dia tegur malam-malam pulak. Siap berkumpul ramai-ramai macam dulu-dulu. Ada arwah Tok Abah dengan Ayah Chu Mat Ali. Duduk la berborak kat perhentian bas bawah bukit tu.”

“Aaaaaaaaaaa… Apa ayah cerita time macam ni nih… Aaaaaaaa…”, siapa lagi yang menjerit. Mestilah saya. Hahaha. Manalah saya tak menjerit geram dengan ayah. Sengaja sungguh dia nak cerita semua ni di waktu malam-malam begini. Sudahlah tu, dibuatnya saya betul-betul kena balik waktu malam nanti, memang semua ini amat mencuakkan saya. Adik-adik saya semuanya sudah diam dan nampak cuak. Semuanya tahu, nama-nama yang disebutkan itu sudah lama meninggalkan dunia ini.

“Laaa. Ayah tak habis cakap lagi. Ni semua ayah terbayang je. Ayah rasa, kalau-kalau la ada yang nak tegur ayah, macam nilah kot keadaannya. Duduk ramai-ramai bersidang, lepas tu tegur “Baru balik, Kor?” pada ayah. Hahahhaa.” Ayah tergelak besar. Macam apa sajalah ayah ni! Habis kami semua tergelak besar. Tapi, bagi saya yang memang penakut ini, saya seram mendengar lawak tak best ayah tu. Kemudian ayah menyambung ceritanya lagi.

“Pernah suatu hari dulu, ayah pergi rumah ke rumah Ayah Aji Sudin.” Saya berdebar semula. Aki Aji Sudin ini pun sudah arwah. Saya memang dah bersiap sedia hendak ketuk-ketuk tangan ayah. Kemudian ayah menyambung, “Sampai kat rumah dia, ayah tanya Ayah Aji ke mana, isteri dia jawab “Kair”. Ayah pun patah balik rumah semulalah. Entah kat mana Kair tu. Kot jauh, jenuh pulak nak tunggu Ayah Aji balik. Sekali bila ayah sampai rumah, Tok tanya ayah jumpa tak Ayah Aji. Ayah jawab dia Kair. Tok tanya semula kenapa ayah tak tunggu je di rumahnya. Ayah jawab, ingatkan jauh tempat tu. Tok tergelak. Rupa-rupanya Kair yang ayah faham tu sebenarnya ialah ‘ke air’! Loghat sinilah tu. Ke sungai! Ayah patah balik pergi rumah dia. Tengok dia elok je baru naik dari sungai. Tuala bersidai lagi atas bahu.”

Maka gamatlah kami berlima tergelak mendengar cerita ayah. Maklum sajalah. Ayah ni orang Temerloh celup. Dulu-dulu manalah dia cekap sangat dengan loghat-loghat tempatan ni. Selepas selesai semua tergelak, ayah menyambung cerita. Saya berdebar semula. Mungkin kali ini baru sampai ke babak seramnya.

“Ayah Aji ada cerita. Dulu dia dengan arwah Ustaz Osman, ayah mufti Rahman ni, jalan kaki sampai ke jalan keretapi belakang sana nun. Malam waktu tu.”

Saya sudah mula terasa seram kembali. Hari tu ketika di Penang, ayah baru saja bercerita tentang gajah jadian di laluan keretapi menuju ke Perak. Bukit Berapit atau apa entah nama tempat itu. Saya mula membayangkan arah tuju cerita hampir sama saja.

“Bila sudah tengah malam kat kawasan jalan keretapi tu, tiba-tiba arwah Ustaz Osman ni menggeletar. Dia pegangnya bahu Ayah Aji. Waktu Ayah Aji cerita semula ni, Ayah Aji kata macam ni: Tu mufti tu yang takut-takut tu. Kita yang lagi kurang beriman ni macam mana?”

Fuh. Tujuan ayah saya bercerita panjang meleret sampai ke hujung dunia ni sebenarnya dia hendak mengingatkan kami semua supaya janganlah takut akan hantu syaitan semua ni. Selagi kita masih ada rasa takut pada benda lain, iman kita masih belum kuat. Kita kena perbetulkan semula. Kaji semula siapa yang kita imani. Siapa yang kita takuti. Itulah dia pengajaran yang hendak ayah bicarakan.

Jadi kawan-kawan, mari kita kaji semula diri. Perbetulkan semula konsep takut kita kalau ada lagi yang tahap penakut macam saya ni. Hehe. Saya tahu memang ada. Cuma tak nak mengaku terang-teranganya saja. Bila dalam gelap, terbayang macam-macam, terus istighfar macam apa aja. Langsir dalam bilik bergoyang ada bunyi sikit-sikit pun dah cuak. Ternampak kelibat tepi pintu dapur pun dah berpeluh dahi ketiak. Mari kita menjadi penakut hanya pada Yang Satu. Hanya Allah. Dan Allah itu tidak boleh disekutukan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad), “Dia Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.” (112:1-4)

Nota 1: Selamat hari lahir untuk Yasir Tamizi. Berkat selamat dalam segalanya untuk awak ya. Semoga umur dirahmati, rezeki dilipatgandakan, jodoh ditemukan, urusan dipermudahkan. 😉

Nota 2: Handphone saya mula menunjukkan gejala kerosakan. Kasihanilah saya. Saya masih berstatuskan seorang penganggur tercomel terhormat. :|

Posted on August 11th, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

The Heart

The Heart of a Muslim

Looking up at the sky, searching for Allah most High
He rejected the way of worshipping Gods of clay
Prophet Ebrahim knew that Allah was near
And that the heart of a Muslim is sincere

Under the hot burning sun, he declared God is one
Though with stones on his chest, his Imaan would not rest
The Muadhin knew that right would conquer wrong
And the heart of a Muslim must be strong

It’s the heart of a Muslim through the guidance of Islam
That makes you fair and kind and helpful to your fellow man
So living as a Muslim means that you must play a part
Allah looks not at how you look, but what is in your heart

In our poor meager state, little food on our plate
Mother said she was glad, always sharing what we had
When I asked how can we share what’s not enough
She said the heart of a Muslim’s filled with love

He said its time you should know, you will learn as you grow
That some people around will do what’s bad to bring you down
Father said to be a star that’s shining bright
For the heart of a Muslim does what’s right

So whatever you do, make sure your words are true
Honesty is the best, because life is a test
Even if it hurts so much you want to cry
For the heart of a Muslim does not lie

Note 1: This is the first time ever I posted up just a plain video with lyrics.

Note 2: This is the first time ever I genuinely hope that each of us do learn something from this song.

Posted on March 17th, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Kasut

Assalamualaikum wbt

Apa khabar dunia? Rindunya nak menulis. Padahal baru 36 jam berjauhan dari blog. Gian sungguh nak menulis ni. Memandangkan ayam saya sedang diperap di dapur, baik saya menulis dulu.

Saya melihat trafik keluar masuk blog ini. Lucu pula dibuatnya. Ada yang menemui blog ini menggunakan kata carian ‘hiasan dalaman Bangunan Sultan Abdul Samad’. Sejak bilalah saya menulis tentang hiasan dalaman ya. Mesti encik-encik yang mencari kecewa apabila hanya menemui entri saya keluar bersama teman serumah dulu.Yang lucunya, bukan seorang yang mencari menggunakan kata carian itu. Ada tiga orang. Lebih kurang sajalah susunan ayatnya. Saya rasa, ini mesti budak-budak universiti mana entah ni sedang mencari maklumat yang sama. Jangan dibuat kerja tu dengan memasukkan hiasan dalaman bangunan di Rusia sudahlah ya. 😉

Saya punya Google Reader penuh. Menteil yang jarang update pun berderet-deret dia update kali ni. Jaga Menteil. Masa saya sibuk inilah dia update sekali banyak ye. Diya pun sama. Yang ni lagilah banyak. Ada tiga blog Diya yang sangat aktif dikemaskinikan sejak kebelakangan ini. Ampun ya Menteil dan Diya. Saya tak sempat nak menjenguk blog semua lagi. Buat yang lain juga sama. Kak Inah, Am, Sweet Thinker, Ainul, Thia, Kak Su, Kak Aizal, kawan-kawan di Plurk (Huhuhu. Saya sangat suka dengan komuniti kawan-kawan di Plurk. Mereka memang best!) dan juga semua email yang dikirimkan. Ampun sangat-sangat. Saya tiada masa lagi hendak membaca semuanya.

Hari ini, mari dengar saya cerita mengenai kasut. Dulu sewaktu tadika, datang ke sekolah pakai kasut Bata yang comel-comel tu. Di hujung tahun tu, untuk majlis penyampaian hadiah, setiap pelajar dikehendaki membeli sepasang kasut sekolah saiz sendiri berwarna putih dan diserahkan kepada pihak tadika untuk dibalut. Kedekut sungguh tadika saya waktu tu. Kasut yang sudah dibalut itu kemudian dihadiahkan semula kepada pelajar ketika majlis penyampaian hadiah. Mungkin ini caranya untuk memberi semangat kepada para pelajar untuk melangkah ke alam sekolah rendah. Tapi kena beli sendirilah hadiah tu. Hehe.

Sayangnya, saya bersekolah rendah di sekolah swasta agama. Dari uniform hinggalah kasut kami semuanya berbeza dengan sekolah kebangsaan. Kasut saya berwarna hitam. Jadi, kasut yang dibeli dan dihadiahkan untuk diri sendiri ketika tadika itu tak digunakan untuk sesi persekolahan langsung.

Sewaktu darjah satu, emak membelikan kasut hitam yang boleh digilap. Bukannya kasut hitam jenis kain kanvas. Tapi sebaik naik saja ke darjah tiga, saya dan juga Kaklong sudah mula pandai meminta emak membelikan kasut hitam Pallas Jazz tu saja. Tak payah yang kulit boleh digilap. Ini kerana kami berdua mewakili sekolah dalam bola jaring. Kasut hitam sekolah pun boleh digunakan untuk bermain terus. Tak payah susah-susah hendak membawa kasut salin yang lain pula. Saya berterusan menyukai kasut hitam Pallas Jazz sehingga tamat darjah enam. Orang kata macam lelaki pun saya tak kisah langsung. Maklumlah. Kasut jenis itu bertali. Kawan-kawan rapat yang turut mewakili bola jaring pun memakai kasut yang sama. Tiada nak bersusah payah membawa kasut salin untuk Pendidikan Jasmani ataupun latihan bola jaring.

Naik ke tingkatan satu, buat pertama kalinya saya memakai kasut sekolah berwarna putih. Baru belajar nak mengapur kasut. Hahaha. Terasa janggal juga berkasut putih tapi kira layan sajalah ya. Kali ini, sekali lagi saya mewakili bola jaring untuk pasukan 15 tahun ke bawah. Sepasukan dengan Kaklong. Waktu itu, hampir satu pasukan semuanya menggunakan kasut hitam Pallas Jazz. Yang otai-otai sikit beranilah menggunakan kasut yang nampak macam ganas ala-ala All America warna hitam. Sungguh bagi saya, yang memakai kasut All America hitam bertapak getah warna putih pada ketika itu nampak ganas dan terserlah keotaian mereka. 😈

Naik ke tingkatan dua, saya sudah menjadi pengawas. Jadi, tamatlah riwayat kasut putih. Saya sudah tidak mempunyai sebarang kasut putih sejak itu. Kebetulan, ketika tingkatan tiga juga saya masih menjadi pengawas dan seterusnya ketika melangkah ke KISAS sewaktu tingkatan empat, uniform rasmi kolej ialah kasut hitam yang dipadankan dengan baju-kain putih-biru seperti sekolah harian biasa. Ini juga merupakan kali pertama saya memakai seragam putih-biru ini (sekolah menengah rendah saya berkain hijau gelap).

Sayangnya, sewaktu di KISAS, baik putera atau puteri diwajibkan memakai kasut hitam yang boleh digilap. Siap ada kursus khas mengajar protokol berkasut dan cara-cara menggilapnya oleh pakcik bomba. Kelakar kan? Nak tahu petua menggilap kasut yang terbaik? Kiwikan kasut dan kemudian lalukan di atas api lilin untuk mendapatkan kesan kilatan yang termasyhur di dunia. Hahaha. 😆

Begitulah kisahnya. Hidup saya sejak sekolah rendah sehingga tamat tingkatan lima hanya berkasutkan kasut hitam saja. Jenama yang patut memberi saya dan Kaklong anugerah pelanggan paling setia ialah Pallas Jazz. Setia betul kami menggunakan kasut jenis itu. Kami tak reti nak meminta jenama-jenama lain. Tak tahu jenama pun satu hal juga. Yang saya tahu, walau sedahsyat manapun kasut tu digunakan, baik ke sekolah mahupun untuk bermain bola jaring (juga hoki), pernah saya tidak menukar kasut saya selama dua tahun. Cayalah kan.

Puncanya kerana saya bersama emak dan adik beradik ada menonton sebuah drama arab yang bertajuk Hiza’. Hiza’ maksudnya kasut. Waktu itu saya dalam tingkatan satu. Hiza’ mengisahkan sepasang adik beradik yang hidup susah. Pernah sehingga si adik berlari-lari balik sekolah untuk membolehkan kasutnya diserahkan untuk dipakai oleh si abang pula. Si abang pula asyik didenda kerana lewat tiba ke sekolah. Jadi, si abangnya ni memang hebat berlarilah kan. Hari-hari berlari ke sekolah kerana sudah terlewat. Maka pada suatu hari, abangnya nekad masuk pertandingan rentas desa di bandar itu semata-mata untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Acara itu menawarkan hadiah sepasang kasut putih untuk pemenang tempat kedua. Tahu apa kesudahannya? Walau bersungguh macam manapun si abang untuk menempatkan dirinya di tempat kedua, dia tetap menang sebagai juara. Jadi, Umar, si abang, dan Fatimah, si adik, tidak dapat memiliki hadiah sepasang kasut itu. Sedih menonton drama itu. Menangis-nangis jugalah kami adik beradik. Emak pula asyik menyebut: Ha, tengok tu orang susah macam mana. Jadi, memang terkesanlah hati kami ni kan.

Saya belajar sesuatu daripada drama itu. Kalau kita senang dan mudah saja hendak dapat apa yang kita mahu, jangan kita lupa ada orang yang hidup susah dan bergantung pada apa yang mereka miliki seadanya saja. Mungkin bagi saya dan adik beradik senang saja mahu kasut itu, kasut ini, barang itu, barang ini. Tapi kami lupa bahawa ramai lagi orang di kampung saya itu yang susah. Yang masih menerima sumbangan Baitulmal. Yang layak menerima wang fidhyah dan lain-lain.

Perkara ini realiti, kan? Di mana-mana saja masih ada lagi orang yang dhaif. Kalau kita rasa kita berada dalam zon selesa kita, berpada-padalah dalam hidup sebagai tanda kita meneladani kesusahan mereka. Dan jangan lupa kita ada tanggung jawab yang perlu dilunaskan untuk mereka. Melalui zakat. Ahha. Kali ini saya tolong Acai pula. Siapa nak bayar zakat, boleh jumpa Acai ya. Dengan wajah tersenyum dia sanggup melayan encik-encik dan puan-puan sekelian. Yang bujang-bujang pun dia layan dengan mesra tau. 😉

Nota 1: Insya Allah ada masa saya akan melawat blog semua.

Nota 2: Tadi terserempak dengan Annas jejaka Syria itu. Dia malu, saya lagilah malu. Hihik. 😳  Lama dah tak nampak dia sebenarnya walaupun rumah kami ni selang dua pintu saja. 😉

Posted on February 25th, 2009 by Sarah  |  52 Comments »