Gadis Melayu-Muslim
Bagi yang berada di Malaysia, pasti biasa terdengar atau menonton rancangan realiti TV, Gadis Melayu, di TV9. Sebenarnya, kami yang di luar inipun ramai yang mengikuti perkembangan rancangan ini. Terutamanya budak lelaki. Haha. Maklum sajalah. Ramai yang comey-lotey terpilih sebagai 10 finalis Gadis Melayu.
Tapi saya tahu, sebenarnya ramai yang mengikuti kisah pencarian ikon Gadis Melayu ini sekadar hendak melihat apa yang mampu dan apa pula yang tidak termampu dilakukan oleh mereka. Lepas tu, borak-borak dengan kawan-kawan tentang apa yang ditonton oleh mereka dalam setiap episod terkini yang terdapat di laman rasmi TV9. Sah-sahlah ada yang puji itu ini, kutuk-kutuk sikit, komen-komen tentang macam-macam hal dan tak lupa juga sekadar hendak tahu siapa yang akan tersingkir bagi minggu itu. Padahal diri sendiri pun tidaklah tahu mana pun.
Saya mula menonton rancangan ini selepas dijaja-jaja oleh Farah, rakan sekumpulan saya, yang teruja melihat episod pertama siri ini. Tapi hanya selepas episod kelima, barulah saya mula menontonnya. Pada mulanya saya sekadar hendak tahu apalah yang diketawakan oleh Farah dan kisahnya ada pelajar lepasan Rusia (dari Volgograd) menyertai saringan di Terengganu. Saya tengok pun melompat-lompat. Tiada masa hendak menonton secara total dari prolog ke kredit. Tapi sekarang ni, saya pun sudah terbawa-bawa perangai budak lelaki yang menonton sekadar untuk melihat telatah mereka pada setiap minggu itu (ini minggu kedua saya menonton secara total).
Tapi, sejak menonton saringan lagi, saya sudah mula menjadi pengomen tetap tak bertauliah di sini. Huhu. Tapi disebabkan saya menonton seorang diri, jadi segala komen itu tak kedengaran di luarlah. Hanya di dalam hati saja (mengumpatkah saya?). Ada sekali dulu, saya sedang mengemas dapur selepas memasak dan Wanie masuk ke dapur. Saya pun memulakan topik Gadis Melayu ini. Biasanya, saya dan Wanie sekepala bab-bab rancangan pilihan yang ditonton ketika lapang.
Selepas kami mengeluarkan pendapat itu ini, begitu begini, saya pun berkata begini kepada Wanie: KS rasa, kamu ni jauh la lagi layak nak jadi Gadis Melayu. Wanie menjawab semula: Eh, apa la KS merepek ni. Tak kuasa Wanie.
Hehe. Saya melawak saja. Kalau ditakdirkan Wanie berada di Malaysia sekalipun, saya takkan benarkan dia menyertai rancangan itu (walaupun saya tak berhak melarangnya). Tapi pada mata saya, kalau hendak dibandingkan sepuluh orang itu dengan seorang Wanie yang saya kenal ni, kesepuluh-sepuluhnya pun kalah. Huhu.
Pada pendapat saya, hendak menjadi Gadis Melayu itu bukan pada luarannya saja. Bukan pada budi bahasanya, pakaiannya, komunikasinya, kebolehan memasaknya (ayam lada hitam tu punyalah senang, adeh) atau pada kehebatannya dalam seribu satu kebolehan yang lain, tetapi juga pada agamanya yang menyempurnakan keindahan seorang Gadis Melayu itu. Kalau kita sedar, jika sempurna agama kita, sempurnalah kehidupan kita dari kita membuka mata sehinggalah kita menutup mata semula. Agama kita menjaga kita dari setiap sudut baik dari segi budi bahasa, pergaulan, kesopanan dan segalanyalah.
Setakat yang saya kaji (terbukti saya ini seorang juri tak bertauliah yang sesuka hati memberi pendapat di sini), Aida dan Husna mempunyai kriteria yang hampir menepati ciri-ciri ikon yang dicari. Cumanya, mungkin akan lebih lengkap kriteria itu jika aspek muamalah (cakap Melayunya yang senang orang faham, bab-bab salam-salam dengan lelaki ni) dititikberatkan.
Mungkin ada yang kata saya konservatif. Tapi saya pernah mengikuti kursus asas ibadah sebelum ke sini dulu bersama Ustazah Fatimah Zahra yang terkenal itu di Port Dickson. Kalau kita betul-betul menghormati agama kita, orang lain akan menghormati kita. Contohnya bab bersalam dengan bukan muhrim. Sebenarnya, kita boleh mengangkat tangan seperti hendak bersalam dan meletakkannya di dada seolah-olah sudah menyambut huluran salamnya. Praktikalnya sila tonton dalam filem Kiamat Sudah Dekat ketika seorang lelaki menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Sarah. Begitulah caranya. Kalau kita belum cuba, kita tak tahu bagaimana hasilnya, kan.
Saya juga tak sempurna. Jadi saya cuba belajar untuk menuju ke arah kesempurnaan. Apa yang betul, kita praktikkan. Kalau tidak tahu, kita bertanya. Untuk calon-calon ikon Gadis Melayu, tanggung jawab kalian besar sebenarnya. Kalian akan jadi ikutan dan sebut-sebutan. Semoga tanggung jawab yang ada itu digunakan pada jalan yang sepatutnya untuk menjadi contoh Gadis Melayu-Muslim.
Dulu, saya menangis menonton filem ini. Hmm.
Nota: Ketika menonton Gadis Melayu episod 8 tadi, mulanya saya diam saja kerana menggunakan earphone. Tapi, ada satu part saya terkekek-kekek seorang apabila sotong kering yang hendak dimasak sambal terus digunting saja tanpa direndamkan ke dalam air dulu! Keras-ketung tu Cik Kak! Buah pelaga jadi buah pala. Udang geragau jadi udang garau. Adeh la hai. Apo nak jadi neh.