Archive for the ‘Tag’ Category

Tag Raya

Assalamualaikum wbt

Sejak bila puasa penuh?

Mula berpuasa sejak tadika. Puasa penuh sejak darjah 1.

Pernah ponteng puasa dan apa alasannya?
Waktu darjah 3, dalam kelas Al-Quran di surau sekolah, tiba-tiba ada darah mengalir keluar melalui mulut saya. Menitis-nitis atas helaian Al-Quran. Emak datang sekolah dan bawa saya terus ke klinik. Gastrik saja, kata doktor (gastritis). Waktu itu Ramadhan. Saya terpaksa berbuka serta-merta. Tapi bila dah tingkatan 4, baru tahu rupanya saya ada gastric ulcer. Dan Ramadhan tahun lepas, ketika saya sakit teruk tu, saya tinggal 4 hari puasa kerana keadaan diri yang sangat tak mengizinkan.

Pernah bermain mercun dan bunga-api?
Mestilah pernah. Tapi saya kurang meraikan sangat benda-benda alah ni kerana masih terasa fobia saya terbakar tahun 1993 dulu. Saya main gitu-gitu aje.

Juadah yang paling disukai ketika berbuka?
Apa-apa saja yang emak masak. Saya lagi suka makanan berasaskan mee berbanding nasi untuk berbuka. Ni dulu-dulu. Sekarang, tak dapat nasi waktu berbuka, rasa longlai 1 badan. Hehe. Kalau di rumah, dulu-dulu emak mesti sediakan nasi dan lauk juga makanan seperti mee hailam atau bihun atau apa sajalah yang bukan nasi. Tapi sekarang ni, berapa orang saja yang tinggal di rumah. Emak masak yang sederhana saja. Agaknya tahun depan, meriah semulalah Ramadhan kami. Erk, ni yang buat saya nak kerja di Temerloh saja ni. Boleh tolong tengokkan adik-adik kan. *Alasan*

Lagu raya kegemaran?Beraya di mana tahun ini?
Hanya 3 lagu yang ‘sentiasa hijau’ di hati saya:
1) P. Ramlee – Dendang Perantau
2) Hail Amir dan Uji Rashid – Seloka Hari Raya
3) M. Nasir – Satu Hari Di Hari Raya
Beraya semestinyalah di Tanah Tsar ini. Season Finale Autumn Version =)

Pernah bertugas di Hari Raya?
Belum bekerja lagi. Setakat ni, hanya pernah mempunyai kelas di pagi raya ketika di tahun 2. Erm. Tapi pernah bertugas sebagai pencuci pinggan-mangkuk rasmi ketika hari raya. Hehe. Sebab rumah saya pastinya akan diserbu oleh saudara-mara, orang kampung dan kawan-kawan ayah sebab rumah saya merupakan lokasi lepak-lepak terbaik untuk makan laksa Penang yang best! Emak saya sangat handal membuat Laksa Penang. Sampaikan, orang tersilap sangka ingatkan ayah saya tu orang Temerloh kerana dialeknya yang dah macam orang tempatan manakala emak pula yang disangka orang Penang.

Kenangan paling manis pada Hari Raya?
Hehe. Sentiasa manis. Terutamanya raya tahun 2002 selepas tamat SPM (kali terakhir beraya bersama keluarga) dan pada tahun ini (kali terakhir beraya di Moscow).

Posted on October 11th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Kazoku

Assalamualaikum wbt

Mata belum mengantuk. Saya teringatkan tag dari Fathiyyah. Usrah Lazat Berkrim. Thia, KS dengan sesuka hatinya hendak menukar tajuknya kepada Kazoku. Kenapa Kazoku? Maksud Kazoku juga adalah keluarga. Ini Bahasa Jepun. Sewaktu sempat 2 bulan di PASUM, kami hendak memulakan sistem usrah di kolej. Memandangkan sistem AUKU yang entah apa-apa itu, segala program yang berbentuk agama adalah dilarang keras waktu itu dan sabit kesalahan akan membolehkan kami dibuang kolej. Di kolej juga ada pelajar-pelajar Ambang Asuhan Jepun yang sedang membuat persediaan untuk ke Jepun. Jadi, kami mengambil idea daripada mereka tentang perkataan Kazoku ini untuk mengaburi pihak pentadbiran. Saya masih ingat saya ada menyediakan kertas kerja ringkas yang menyatakan kononnya Kazoku ini adalah projek belajar secara berkumpulan yang digerakkan mengikut blok kolej. Untuk hidup, pandai-pandailah menipu kan. Tapi saya tidak rasa ini adalah penipuan kerana dalam setiap usrah yang dijalankan itu, ada perkongsian ilmu. Jadi, ini juga adalah salah satu daripada sistem belajar berkumpulan. Ok. Mari terus kepada tag.

Berapa lama telah sertai usrah
Saya mula tahu apa itu usrah sejak darjah 6 (1997). Jadi sudah 11 tahun lah lebih kurangnya.

Bagaimana boleh sertai usrah
Saya bersekolah agama swasta dari darjah 1 hingga 6 (Pusat Pengajian Al-Mukmin). Saya merupakan kumpulan kedua sekolah tersebut. Sewaktu saya darjah 6, kami semua mempunyai jadual Usrah yang dijalankan setiap hari Jumaat, selepas waktu rehat. Daripada sebuah program wajib sekolah untuk pelajar-pelajar tahun 6, saya mula memahami kepentingan mengikuti usrah dan kelebihan-kelebihan yang dapat daripadanya.

Ketika masuk tingkatan 1 di SMA Al-Khairiah, saya berulang dari rumah. Bukan budak asrama. Sewaktu itu, tiada program usrah yang boleh diikuti oleh pelajar yang berulang seperti saya. bagi yang tinggal di asrama, mereka ada program mereka sendiri. Sebaik naik ke tingkatan 2, saya masih lagi di sidang petang. Waktu itu saya menjadi Penolong Ketua Pengawas Petang. Saya dipanggil oleh Penyelia Petang waktu itu bertanyakan pendapat saya sebagai pelajar luar, apakah cara yang boleh dibuat untuk mengelakkan pelajar tidak datang lewat ke sekolah untuk sesi petang. Maklum sajalah. Ramai yang suka berlengah bagi pelajar asrama dan pelajar luar pula suka melepak di tembok bawah bukit sekolah dan hanya akan naik apabila pelajar sesi pagi mulai berduyum-duyun turun untuk pulang. Maka saya terlintas satu idea dan mencadangkan supaya dibuat satu sesi usrah atau tazkirah sebelum solat Zohor dan kemudian solat Zohor berjemaah terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Idea saya diterima dan saya bersama-sama 3 orang kawan baik saya mengelolakan program itu. Mereka bertiga merupakan pelajar asrama. Fauzana (Jana), Wahida (Wida) dan Rabi’ul (Bi’ul). Yang dari luar pula ialah Zaiti dan Rushdiah (kedua-duanya adalah rakan saya sejak darjah 1 di Al-Mukmin). Sejak dari itulah masalah pelajar lewat untuk sesi petang dapat diatasi dan dapat memperkenalkan usrah kepada kawan-kawan yang langsung tidak pernah berusrah (sebab hampir 97% daripada mereka berasal daripada sekolah kebangsaan). Dan sejujurnya, di sinilah saya mula belajar menjadi Imamah untuk solat jemaah. Maklum sajalah. Saya bukannya budak asrama. Jadi tidak pernah ada kesempatan belajar menjadi Imam solat. Apabila naik ke sidang pagi pada tahun berikutnya, jika berkesempatan, saya akan menyertai sesi usrah adik-adik sidang petang di surau sekolah sebelum pulang ke rumah. Biasanya saya ada kelas tambahan. Jadi memang di surau itulah tempat saya berehat-rehat dengan beberapa orang pelajar luar yang lain selepas tamat kelas pagi.

Di KISAS pula, segalanya telah sedia ada. KISAS itu sebuah bumi yang suci dan menenangkan. Usrah yang ada di sana sangat mantap. Tapi sewaktu di tingkatan 4, perkataan ‘wajib’ selalu digunakan kepada kami. Sehinggakan menghadiri usrah itu juga disertai dengan ‘wajib’. Kadang-kala datang rasa tidak ikhlas mengikuti usrah kerana terasa seperti dipaksa-paksa. Tambahan pula waktu itu perasaan hendak balik ke rumah terlalu tinggi. Dengan desakan yang macam-macam ini membuatkan saya rasa sebal hati. Jadual usrah saya waktu tingkatan 4 juga kurang kena dengan diri saya. Itu juga membuatkan saya rasa terbeban. Saya jadi marah dengan diri saya kerana tidak ikhlas dengan perkara yang baik begini. Bagi anak-anak Pahang di KISAS, sebulan sekali kami ada usrah bersama pelajar putera pula. Usrah ini best kerana ada bekas pelajar dari generasi-generasi sebelumnya yang datang memberikan pengisian. Semakin lama, saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan usrah saya. Sebenarnya, punca permasalahan saya ialah ketidakserasian dengan ahli usrah saya kerana ada yang hipokrit. Saya ini benci dengan orang yang hipokrit. Yang depan naqibah (kakak usrah) kami, dialah yang paling alim, tahu banyak, pijak semut pun tak mati. Tapi di belakang, dia membawa walkman, membawa handphone dan berhubung dengan pelajar putera dan selalu bercerita tentang pelajar putera. Kurang gemar sungguh saya dengan orang hipokrit seperti ini. Tapi kita ni hidup kena belajar menerima orang lain seadanya. Akhirnya saya abaikan saja orang itu dan sangat gembira setiap kali tiba masa usrah. Sewaktu tingkatan 5 pula, saya seorang naqibah dan memimpin usrah pelajar tingkatan 4. Juga mempunyai usrah yang dipimpin oleh kakak tingkatan 6 atas. Juga mempunyai usrah ‘kami’ sendiri di kalangan ahli Tanzim Jabatan Nuqaba’. Padat sungguh jadual usrah waktu itu. Erm. Ada peristiwa pahit. Tapi tak mengapa. Sudah malas nak ingat.

Dan di Moscow, pada mulanya usrah hanyalah secara kelompok kecik pelajar batch saya yang berminat. Tidak lama kemudian, saya gerakkan usrah untuk pelajar perempuan batch saya saja. Dan kemudian, dengan adanya Amnah, kami berbincang merangka sistem usrah yang lebih tersusun dan sistematis. Amnah adalah junior saya di KISAS. Kami selalu sejiwa. Sentiasa serasi dalam bab-bab ini. Saya mendapatkan bantuan adik saudara di KISAS untuk menghantarkan buku silibus usrah KISAS kepada saya. Bermula dari situ, usrah jauh lebih tersusun rapi dan terancang sehinggalah sekarang. Termasuklah usrah naqibat. Saya gembira setiap kali dapat berusrah dengan adik-adik usrah saya dan juga ketika berkumpul bersama pada naqibah yang lain. Erm. Ada usrah yang pernah saya sertai yang saya tidak berkenan dengan caranya. Tanpa saya mengatakan sudah tidak mahu ikut, rupanya diam-diam saya memang sudah ditolak tepi. Saya tidak lagi dimaklumkan tentang waktu dan tempat usrah. Kelakar. Tapi inilah contoh ‘menolak perbezaan’ yang pernah saya ceritakan dulu. Ok. Abaikan. Dan jangan tanya saya apa-apa ya =) Nanti jadi isu lagi. Mati saya kena terjah dengan macam-macam soalan :p

Kenapa menyertai usrah
Pada mulanya kerana itu program wajib sekolah (waktu di Al-Mukmin). Kemudian, saya mengikuti usrah kerana bagi saya melalui usrah, saya dapat belajar sesuatu yang tidak disediakan di kelas. Ilmu yang didapati dalam usrah adalah ilmu untuk hidup sebagai Muslim dan menjadikan Islam itu sebagai cara hidup. Bukan diterima sebahagian yang kita mahu saja. Dan lama-kelamaan, bagi saya usrah ini adalah satu kewajipan yang boleh mendidik kita membuat persiapan rohani dan memantapkan mana-mana bahagian yang kurang. Wallahu a’lam.

5 perkara yang didapati daripada usrah
Saya tidak mahu menyenaraikan dalam bentuk nombor. Bagi saya, apa yang saya perolehi daripada usrah adalah terlalu besar dan banyak. Tapi yang utama ialah saya dapat menambah ilmu agama untuk lebih mengenali dan memahami kenapa dan bagaimana untuk menghidupkan diri dan hidup saya sebagai seorang Muslim. Kompleks tapi inilah rangkuman ilmu yang saya perolehi dengan berusrah. Dengan usrah juga membuatkan saya lebih memahami orang lain. Tidak semuanya sekepala dengan kita. Tidak semuanya faham macam yang kita faham. Tidak semuanya boleh menerima apa yang dibincangkan. Di sini kita belajar bertolak ansur, untuk menyuarakan pendapat dan cara untuk tetap memenangkan mana-mana hukum yang perlu dimenangkan (jika sedang ada pendapat yang berbeza) dengan cara yang penuh hikmah. Dan juga saya kira penting, saya belajar untuk bertoleransi dengan orang yang hipokrit. Saya belajar menjadi diri saya yang tak pura-pura. Saya jadi seperti apa yang saya cakapkan. Tak berlakon. Sebab saya tahu, saya benci dengan yang hipokrit seperti yang selalu saya jumpa dalam usrah-usrah sepanjang saya mengikuti usrah, jadi saya belajar untuk tidak menjadi begitu.

Saya yakin, kamu semua pastinya ada pengalaman yang tersendiri dalam mengikuti usrah (bagi yang pernah), kan =) Dan dalam banyak-banyak kumpulan usrah yang pernah saya sertai, saya paling terkesan dan rindu dengan rakan-rakan usrah ketika tingkatan 2 dahulu (Jana, Wida, Bi’ul, Zaiti dan Rushdiah) dan juga rakan-rakan usrah naqibah di Moscow. Kenapa? Kerana mereka semua inilah yang telah bersama saya dalam jatuh bangun ‘membina’ mata rantai usrah di SMA Al-Khairiah dan juga di Moscow Medical Academy (Spartivnaya). Terima kasih sahabat!

Ok. Saya tak mahu tag sesiapa. Saya kan baik hati. Huhu =) Tapi sesiapa yang ada masa dan rasa mahu berkongsi, silalah tulis dan maklumkan pada saya nanti ya.

Posted on July 4th, 2008 by Sarah  |  25 Comments »

Kalaulah Boleh Mengidam, Saya Mahu…

Assalamualaikum wbt

Kalaulah saya boleh menyatakan 5 hadiah yang saya hajati, memang ada beberapa perkara yang terlintas. Tapi saya bukanlah orang yang sukakan barang berjenama, terlalu up-to-date atau bercitarasa tinggi. Yang akan saya senaraikan ini hanyalah barang idamanlah kiranya. Tak dapat, tak jadi masalah. Dari kecil, kami adik-beradik tak dimanjakan dengan hadiah. Setiap kali peperiksaan kalau dapat cemerlang, paling habis kami akan mendapat hadiah jam tangan, keluar makan atau… Atau apa ya? Saya pun sudah tidak ingat. Sebab memang tak dibiasakan dengan hadiah-hadiah. Kalau betullah emak ayah perlu bagi hadiah pada kami semua selepas exam, alamatnya memang setiap hujung tahun tercekiklah mereka menyusun perbelanjaan kerana semuanya menghulurkan buku rekod dengan tertera keputusan yang baik. Bagi saya, sayalah yang perlu memberi hadiah semula kepada mereka kerana mereka telah menyekolahkan saya. Dan setakat umur budak sekolah, hadiah terbaik yang boleh diberikan ialah buku rekod yang tak pernah bertukar nombor. Didoakan ini sudah menjadi hadiah terbaik untuk emak dan ayah. Ok. Mari lihat senarainya.

:: Macbook Pro 15’4 MA895 ::
Saya mula berminat dengan Macbook Pro (MP) sejak menjadi pengintip tidak rasmi di sebuah blog kepunyaan En. Batu yang sangat menarik. Setiap hari wajib saya menjenguk ke sana 4-5 kali. (Linknya saya tidak boleh letakkan. Kalau tidak, dia akan dapat mengesan siapalah silent reader di blognya itu.) Dari hari ke hari saya semakin menyukai MP. Kacak sungguh. Badan macam model gitu. Tip top. Skrin pun teramatlah menepati citarasa mata saya. Ada banyak lagilah sebabnya. Harganya sekitar RM8000++. Ini yang membantutkan impian. Tak apa. Saya tak kisah pun tak dapat. Cuma sudah jatuh cinta dengan MP.

:: Menjelajah ke Timur Tengah ::
Kalau orang lain berlumba-lumba hendak menjejakkan kaki ke Eropah, ke UK, Ireland dan negara-negara tersohor yang lain contohnya, atau hendak ke Amerika, saya tidaklah teringin sangat hendak ke sana. Lupa pula hendak beritahu. Saya belum pernah pun sampai ke UK. Ramai je yang gelakkan saya atas fakta ini. Pokoknya, saya tak teringin sangat pun. Saya lebih berminat untuk ke negara-negara di Timur Tengah. Saya lebih berminat dengan tamadun Arab. Tamadun zaman kegemilangan Islam juga melihat negara-negara yang mempunyai komuniti Islam yang tidak disangkakan. Saya teringat dahulu Mak Andak ada menyebut tentang Morocco. Saya teringin ke sana. Tapi entahlah bila. Pokok pangkalnya masa dan wang.

:: Mazda 6 ::
Kacak amat. Tak perlu cerita panjanglah. Sebab memang kacak. Tapi ini memang angan-angan sajalah. Harganya di Malaysia mencecah RM140 ribu. Membazir pula berhabis kerana kereta. Kalau nanti sudah bekerluarga, baik saya fikirkan tentang rumah dan pelaburan masa depan untuk anak-anak. Kalau kereta, pakai Wira atau Waja pun sudah ok kan.

:: Sony Ericson W54S ::
Saya pernah ceritakan di sini dahulu. Masih belum beli. Waktu telefon lama dulu rosak, saya pakai beli saja apa-apa yang sempat saya jumpa dalam lingkungan bajet masa itu. Mungkin nanti di Malaysia kalau harganya sudah turun, saya belilah. Tapi selagi telefon yang ada ini masih elok, tak kuasa saya beli yang baru pula kot. Jangan membazir.

:: Ke Air terjun dengan keluarga ::
Ini serius ni tau. Saya terkilan sebab tidak sempat ke air terjun ketika balik cuti lepas sedangkan bukannya jauh dari rumah pun. Bila tengok video ayah hari tu, rasa sebak pun ada walaupun gelaknya lagi banyak (ayah tahu kenapa Ngah gelak). Cuti nanti, wajib pergi. Memang terasa hati bila tengok gambar yang lain-lain pergi air terjun hari tu. Lupa hendak beritahu. Saya memang sukakan kawasan air terjun.

Ok. Siap. Sebenarnya ini adalah tag daripada Syam (Kid). Mari nak cerita sikit tentang Syam. Dia merupakan seorang junior yang kini menuntut di Nizhny Novgorad Medical State Academy. Mengenalinya kerana sama-sama berada dalam board PPIM-RSC. Kadang-kadang dia panggil saya KS. Tapi sekarang saya rasa dia panggil saya Kak Sarah. Makin mengenali Syam sejak bekerja bersama ketika program Simposium’07 di Kota Bharu. Waktu itu baru saya tahu tarikh lahirnya 11 Ogos dan sampai sekarang saya ingat fakta tentang tarikh lahir ini. Dia sangat handal komputer. Inilah contoh pelajar perubatan yang serba boleh.

Saya juga ditanya apakan ciptaan yang paling saya kagumi. Jika jawapannya dari skop seorang hamba, jawapan saya pastilah manusia. kerana Sang Pencipta itu telah menciptakan manusia yang sangat kompleks ini dengan sesempurnanya. Terperinci dari segala sudut. Maha suci Allah. Tapi dari segi teknologi, saya mengagumi bagaimana teknologi dalam neurosurgery dicipta. Terutamanya yang melibatkan otak. Sangat rumit dan kompleks. Apa-apapun, semuanya adalah idea kebijaksanaan kurniaan Allah.

Dan saya juga ditanya apakah yang paling tidak saya sukai. Jawapannya senang saja. Orang yang menipu dan tidak menepati waktu. Saya memang tidak suka. Lain kata, pantang betul saya dengan orang yang begini.

Saya tidak akan memanjangkan tag. Cukuplah sampai di sini. Kebetulan ada masa terluang, saya terus kemas kinikan blog untuk kali kedua pada hari ini. Bagi sesiapa yang juga tahu tentang blog En. Batu itu, janganlah dibocorkan rahsia saya ya. Sampai ke hari ini, dia tidak pernah tahu siapa saya. Huhu.

Posted on April 19th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Yang Merah Itu Saga

Assalamualaikum wbt

Entri lepas agak sensitif saya kira. Komen masuk berderet-deret dan semuanya mempunyai pendapat masing-masing tentang topik itu. Buktinya, setiap orang bagaikan membuat sub-entri menceritakan pengalaman masing-masing dan menyatakan pendapat tentang topik tersebut. Terima kasih saya ucapkan pada semua yang berkongsi. Tapi maaf saya tidak mengulas satu persatu. Saya rangkumkan saja komen balas buat semua yang telah berkongsi pendapat. Semuanya bernas. Tiada siapa yang salah. Semoga kita semua belajar sesuatu daripada perkongsian itu.

Untuk mengurangkan ketegangan, saya hanya hendak menyudahkan tag daripada Kak Aleeya. Agaknya Kak Aleeya balas dendam pada saya ni. Tagnya tentang MERAH. Letakkan gambar baju, barang kepunyaan atau apa saja koleksi yang berwarna merah yang saya miliki dan terangkan kenapa saya memakai baju itu pada hari itu (kenapa memiliki barang itu). Jadi inilah gambarnya.



Gambar pertama kira-kira setahun yang lalu. Saya rasa baju itu tidaklah terlalu merah. Agak kemerah-jambuan. Gambar ini yang telah diedit untuk 1 entri lama tahun lalu. Gambar asalnya sudah tidak ada rasanya. Lupus bersama laptop lama yang rosak. Sebenarnya kebetulan saja saya pakai baju itu pada hari tersebut. Bukanlah sebab saya suka merah atau merah jambu.

Yang kedua pula ketika majlis Rumah Terbuka Tourism Malaysia Moscow 2 tahun lalu. Saya di tahun 3 waktu itu (erk… muka masih macam budak-budak). Sebenarnya bukan baju saya pun. Kebetulan ketika kami serumah bersiap-siap untuk ke rumah Kak Azizah, Pengarah Tourism Malaysia Moscow, kami bertukar-tukar baju. Saya pakai sajalah baju kurung merah ini. Sedondon dengan stokin lagi tu. Hihi. Saya tidak banyak barang peribadi berwarna merah. Baju pun, ada sehelai je kot rasanya yang berwarna merah. Itupun t-shirt universiti saya yang sentiasa bertemakan merah. Ini t-shirt sewaktu saya mewakili pingpong dalam kejohanan sukan tahun lalu. Paling habis, saya ada sikat yang berwarna merah hitam. Ha! Kalau merah saja saya kurang minat. Tapi sekiranya kombinasi merah-hitam, sangat kacak. Kak Aleeya, saya tiada kereta lagi untuk ditayangkan. Kereta kakak saya adalah. Merah juga warnanya. Baju kahwin warna merah pun tiada lagi. Tak bolehlah nak lawan akak nampaknya. Hehe.

Yang terakhir itu gambar cupcakes yang saya jumpa di internet. Saya belum pernah sentuh apatah lagi melihat dengan mata sendiri bagaimana rupanya cupcakes. Tadi adik saya Nan berjaya membuatkan saya cemburu dengan cupcakes yang dihadiahkan buat Farah sedikit masa dahulu. Huhu. Tapi saya berkenan sungguh dengan cupcakes yang ini. Itu sebab saya menggunakan avatar ini kebelakangan ini. Dan kenapa saya letakkan gambarnya? Pertama sebab ada warna merah. Kedua kerana kata-katanya yang manis.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Posted on April 11th, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

Teman Ke Hospital

Assalamualaikum wbt

Semalam, abang saya yang seorang ni, yang katanya muka dia macam Rosyam Nor, dengan gembiranya telah memberikan saya tag percuma. Bila tengok tagnya, macam menarik. Jadi saya rajinkan diri untuk buat. Bro Hasrul, saya balik Penang nanti jangan lupa Pasembor ye.

Tag: (Diubah suai ikut suka hati dia je) Barang-barang di dalam beg sandang/dompet/poket/tangan.

Setiap hari saya ke hospital membawa beg sandang coklat saya tu. Kalau perlu bawa scrub dan bekal makanan, baru saya guna beg lain warna ungu pula. Jadi, dalam beg itu ada:
1) Lab coat – Wajib dibawa setiap hari.
2) Stethoscope – Harta paling berharga yang saya ada sekarang
3) Passport Malaysia – Tak bawa, silalah cari saya di balai polis terdekat.
4) Kad – Saya beli hampir sebulan lepas. Nak kirim ke Malaysia tapi betul-betul masih belum ada masa. Jadi sentiasa ada dalam beg.
5) Fail lutsinar – Saya isikan nota-nota harian. Yang telah disiapkan terlebih dahulu di rumah dan juga nota ketika di hospital. Ada buku rujukan Psychiatry, pen dakwat basah Pilot G2-05 dan cecair kertas (liquid paper).
6) Dua buah buku cerita – Yang saya akan baca bila masa rehat (jika saya tidak main Sudoku). Di Atas Sajadah Cinta adalah novel kiriman Tuan Haji Sabtu yang saya terima sebulan yang lalu. Sebuah lagi adalah buku Wahai Ananda (Wasiat Al-Ghazali Atas Pengaduan Seorang Muridnya) yang saya pinjam daripada Iman Al-Wahdy (masih ingat Iman?). Kedua-dua buku ini adalah terbitan publikasi Indonesia. Sangat menyentuh jiwa.
7) Kad pelajar – Yang saya isikan dalam pemegang kad dan diluarnya saya kepilkan bersama pas bergambar untuk memasuki bangunan rumah.
8) Buku rekod exam – Yang berwarna merah gelap itu. Di dalamnya dicatatkan semua keputusan exam saya sejak di tahun pertama.
9) Kad perpustakaan – Berwarna merah terang. Tak pernah bertukar tempat.
10) Losyen badan Body Shop – Digunakan untuk tangan saja. Bau strawberi. Saya tidak suka pakai sarung tangan ketika sejuk. Rimas. Jadi untuk mengelakkan kulit kering, wajib ada losyen.
11) Pelembap bibir Vaseline – Warna neutral. Wajib dibawa ke mana saja.
12) Ubat – Yang wajib dibawa ke mana saja. Ubat apa? Ahaaa…
13) Kunci rumah – Tapi biasanya saya tak perlu risau tentang kunci. Bila saya keluar pagi-pagi, mereka semua masih tidur lagi. Bila saya pulang, semuanya sudah ada di rumah.
14) Cermin mata kedua – Dalam bekas bewarna ungu (sebelah beg). Saya ada 2 pasang. Yang ini saya gunakan dalam keadaan tertentu saja.
15) Beg duit – Adalah sedikit duit (tak sampai seribu rubles, memang kempis je), kad-kad penting dan gambar emak dan ayah.

Di dalam poket pula, hanya ada telefon bimbit Samsung. Warna merah hati, buka tutup (flipped). Yang ini saya selitkan di dalam poket depan seluar. Telefon inilah kawan yang paling banyak berjasa mengejut bangun dan sebagainya. Dan kadang-kala telefon ni jugalah yang buat saya tiada mood.

Di tangan pula, saya memakai jam Polo San Francisco yang saya beli 4 tahun lalu. Jangan suruh saya tukar. Selagi tidak rosak hancur, saya tidak akan tukar. Saya sayang jam ini. Muka jam ini berwarna ungu gelap dan jarumnya serta numerikalnya bewarna silver. Cantik.

Saya terasa hendak melampiaskan tag ini kepada beberapa rakan yang berlainan bidang dengan saya:

1) Cikgu yang paling saya sayang – Cikgu Jawe
2) Ibu kepada si Damia yang terlampau comel – Kak Aleeya
3) Seorang yang sangat rajin belajar dan bekerja – Kak Inah
4) Kawan saya yang comel dan nun jauh di Glasgow – Mimi Amilia

Posted on March 20th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »