Archive for the ‘Student’ Category

Chantek

Assalamualaikum wbt

Saya ni sebenarnya tengah sidang berehat. Baru selesai Maghrib bersama rakan serumah. Sesi tazkirahnya meleret-leret. Dari satu cerita, macam-macam pula maklumat tambahan yang dikongsikan bersama. Baguskan adik-adik rumah saya ni. Ha! Semuanya masih solo. Mari cepat siapa cepat dia dapat. Hiks.

Kenapa saya menulis malam ini ada 2 sebab. Pertamanya kerana saya nak berehat. Baru inilah saya menjenguk blog hari ini. Keduanya kerana saya rasa geli dengan entri lepas. Huhu. Tapi tulis juga kan. Entah apa aja saya ni. Tapi tetap geli dengan tajuk begitu. Terasa macam orang tua. Eh, macam tak sedar je hidup dah cecah suku abad. Jadi saya kena cepat-cepat kemaskinikan entri terbaru. Takkan mahu disimpan semula entri itu kan. Saya ni kadang tu cakapnya saja yang lebih. Silap haribulan, esok lusa tulis lagi. Tapi biasanya bila ada pemangkin, itu yang buat saya tulis tajuk-tajuk yang menggelikan macam itu. Sebelum tu, kena bagi amaran. Entri ini agak panjang. Nanti ada yang kata tidak diberi amaran dulu, terperangkap sampai ke hujung. Jenuh pula membaca.

Saya nak cerita pasal kecantikanlah pula. Pun menggelikan? Oh, tak kot. Sebab saya bukan nak ceritakan pasal alat solek, minyak wangi atau produk diet yang segala macam itu. Tapi tentang berseri tak berserinya wajah. Orang sekarang suka ambil jalan muda tenyeh alat solek untuk menutupi kekurangan. Yang pucat diceriakan. Yang tiada tahi lalat pun boleh diadakan. Huhu. Yang saya nak utarakan ialah tentang garis hitam di bawah mata atau juga disebut lebam mata dalam bahasanya. Orang selalu kata kalau ada garis hitam bawah mata ini tidak cantik, tidak lawa dan nampak tua dari usia kita. Tak kiralah bagi perempuan mahupun lelaki. Jangan tak percaya ya. Lelaki akan lebih mudah nampak keserabaiannya kalau garis hitam ini dilihat dengan jelas. Jadi, isu ini pun melibatkan orang lelaki juga.

Minggu lepas saya ditegur oleh seorang kawan. Katanya saya nampak letih padahal saya berjalan kaki dari stesyen metro menuju ke hospital dengan penuh menikmati alam sekitar. Bukannya terkejar-kejar sampai boleh keletihan. Saya bagi alasan, saya pakai kanta lekap jadi mungkin nampak kurang segar sebab tidak cukup tidur. Dia angguk-angguk saja. Dan sebetulnya memang sampai ke hari ini, saya rasa tak mahu tengok muka di cermin. Memang teruk sungguh. Garis hitam di bawah mata sangat jelas. Ini semua gara-gara tidak cukup tidur. Tidur tak menentu. Subuh sekarang masuk hampir jam 3 pagi. Jadi, saya akan berjaga menunggu Subuh sambil menelaah dahulu. Selesai Subuh, baru akan jejak katil. Tapi biasanya lepas solat kita akan segar kan. Jadi saya akan berjaga sampai pukul 4 lebih sambil menelaah di atas katil. Bila terlelap itu tak jadi hal. Ikut sesedap mata. Ewah. Macam semalam, sudah hampir pukul 7 pagi baru terlelap. 9 lebih sudah jaga kembali. Manalah tidak berbeg bawah mata kan. Pulak tu, bila mata dibuka, nak baca apapun tidak nampak. Kena capai cermin mata barulah rasa berfungsi mata ni. Allahu Akbar…

Jadi saya cuba mencipta cara merawat rasa keletihan mata dan sekaligus untuk menghilangkan kesan hitam itu. Bunyinya macam pakar kecantikan saja. Hiks. Setiap kali sedang belajar dan mata terasa sangat letih, saya akan berhenti sebentar dan akan membuat senaman mata. Mari cuba bersama-sama. Saya membulatkan mata dengan sebesar-besarnya dan memfokuskan pandangan pada sesuatu yang paling jauh mata saya dapat fokuskan. Tanpa cermin mata ya. Jadi saya akan memandang luar tingkap bilik. Kebil-kebil dua tiga kali. Ok cukup. Kemudian dongakkan kepala memandang syiling. Kali ni tak perlu bulatkan mata. Normalkan saja. Tenung dalam beberapa saat, kemudian tutup mata rapat. Ulang tiga empat kali. Lepas itu tundukkan kepala pandang ke bawah meja yang agak gelap. Picit-picit sikit tengkuk ya. Bagi segar. Tutup mata sebentar dan dari kawasan cahaya yang suram di bawah meja, alihkan mata ke kawasan yang terang. Ini dapat senamkan otot-otot mata yang mengawal anak mata tau. Lepas tu, rajinkanlah ke tandas membasuh muka. Biar ada kelembapan yang cukup. Kalau hendak urut mata, kawasan yang dibenarkan hanyalah pada rangka orbit di bahagian atas kelopak mata. Itupun tidak boleh ditekan kuat tau. Sekadar urut-urut dengan jari saja. Di bahagian rangka orbit mata itu ada saraf-saraf penting yang keluar. Sebab itu tidak boleh picit kuat-kuat.

Jadi, ini cara saya menjaga mata. Tapi ini bukan cara jaga mata yang menundukkan pandangan tu. Yang itu lain skopnya. Yang itu arahan dari Boss kita supaya jangan memandang orang bukan muhrim atas bawah kiri kanan berkali-kali. Sekali ternampak, itu rezekilah. Lepas tu, kenalah dikawal, kan. Cara saya ini memang takkan dapat hilangkan 100% garis hitam itu tapi setidak-tidaknya kesegaran mata dapat dikekalkan. Tambah pula kalau muka memang dah sememeh macam saya ni, buatlah cara macam mana pun tetap sememeh juga kan. Tapi itulah. Bila mata segar, wajah pun akan berseri. Cantik tak cantik, itu tolak tepi.

Tapi, kalau masih tak segar-segar juga, cuba buat macam saya petang tadi. Saya yang tak pernah-pernah simpan air sejuk dalam peti telah berjaya menyejukkan sebotol air dengan cepat sebab meletakkan di bahagian sejuk beku dan kemudian telah membancuh air sirap ais! Haha. Dan untuk menjaga kesegaran mata di hari yang panas dan sedap untuk tidur, saya menelaah sambil berbekalkan sebotol air sirap macam zaman sekolah rendah dulu. Syurga~ Saya rasa sekejap lagi pergi makan tengah hari entah-entah ada orang yang menempah air sirap ais juga. Hihi.

Ok. Kembali sibuk. Salam. Daa~

Posted on May 12th, 2008 by Sarah  |  25 Comments »

Kembali Kepada Fitrah

Assalamualaikum wbt

Bangun Subuh pagi tadi sangat awal. Maklum sajalah. Subuh jam 4. Selesai solat, tidur semula. Kelas pagi tadi jauh hospitalnya. Selewat-lewatnya 7.45 memang sudah bertolak. Biasanya 7.30 sudah hilang dari rumah.

Pagi tadi hendak mencetak nota di mesin cetak. Dakwat pula habis. Geram betul saya. Pagi-pagi lagi sudah hitam tangan terpaksa menyuntik dakwat isian. Selesai satu kerja, basuh tangan dan hendak menggosok tudung pula. Rupa-rupanya ada kesan dakwat hitam di jari yang belum betul-betul tanggal dan apabila memegang tudung yang dikeluarkan dari almari, dakwat terkena tudung pula. Sedang menggosok, baru tersedar hal ini. Bergegas ke bilik air mencuci segera supaya dakwat tidak kekal. Alhamdulillah. Selesai. Tapi sudah macam agak terlambat pula hari ini.

7.45 selesai calow bete dan menghantar sms pada sepupu, saya kabut terus. Baru 10 tapak keluar dari pintu utama bangunan, saya berlari laju mendaki tangga balik semula ke rumah. Kena kejar anjing? Eh bukan. Sejuk sangat. Tak tercapai akal yang pagi ini terlalu sejuk. Saya lihat suhu pagi tadi 3’C. Jadi saya kira pakai jaket biasa seperti 3-4 hari sudah tidak ada masalah. Tapi silap. Jadi saya balik untuk menukar jaket. Saya capai kot labuh hitam ala-ala The Matrix. Macho? Ye kot.

Bila jalan-jalan menuju ke metro, terasa nyaman amat sebab suhu sejuk tapi saya ada kot yang macho ini. Saya kata dalam hati, nanti petang bila hendak balik hari sudah panas, pegang sajalah kot ini. Tak jadi masalah pun. Masuk metro, saya kena berdiri. Oh, tak dapat tempat duduk pun tak mengapa. Malam tadi tidur cukup. Jadi tak perlu tidur lagi. Saya baca buku di sepanjang perjalanan. Sebaik melihat bumi semula setelah hampir 45 minit berada di bawah tanah, saya terkejut. Sudah mula bersalji pula. Sedangkan seminggu yang sudah, suhu sudahpun mencecah 18’C. Ajaib kan aturan Allah. Bila Dia mahu matahari itu disorokkan, bila-bila masa saja boleh ditarikNya. Bila-bila masa saja Dia mahu titik-titik hujan digantikan dengan keping-keping salji yang seperti kapas, tiba-tiba saja langit nampak gelap berkumuluskan salji. Bumi pun kemudiannya putih.

Sambil jalan-jalan kaki kurang lebih 15 minit menuju ke hospital, saya bernasyid Keluarga Bahagia versi Saujana wanita. Seorang-seorang. Siapa kisah kan. Sebenarnya tersangat rindukan ayah dan emak. Terus saja terbayangkan nasyid ini. Layan sajalah. Blues pagi Khamis. Sekerat jalan, saya tunduk betulkan tali kasut tercabut. Bila saya dongak hendak mulakan perjalanan, saya nampak 2 orang gadis berlari-lari anak dari arah depan. Skirt pendek separas lutut, jaket nipis separas pinggang, kasut 2 inci lebih tingginya kot. Lari, lari dan lari. Kedek-kedek saja sebenarnya. Laju manalah sangat kalau dah kasutnya tinggi yang amat. Dan di hadapan saya kemudiannya ada 3-4 orang lagi yang sebegitu. Berskirt pendek. Lari-lari kecil menuju arah bertentangan.

Saya tahu kenapa mereka lari begitu. Mereka sejuk sebenarnya. Cuaca pagi tadi memang tidak disangkakan. Tiba-tiba lari dari jangkaan. Ramai yang berjaket nipis saja. Berskirt pendek saja. Berbaju pendek pula memang normal rasanya. Tiba-tiba daripada dendangan suara perasan seorang diri tadi, saya bertukar kepada gelak-gelak seorang pula.

“Ha… Padan muka. Pakai lagi pendek-pendek. Pakai lagi singkat-singkat. Dah sejuk. Kasut pulak tak boleh tak bertumit rumah 2 tingkat. Nak lari pun kena beringat. Kalau jatuh golek-golek, nanti malu muka yang tebal warna-warni tu.”

Lepas itu saya beringatlah untuk berhenti gelak-gelak. Tak baik kan. Nanti saya pula yang jatuh atau apa, padan muka sendiri. Pagi tadi, Allah kurniakan akal yang waras dan sihat. Supaya lari balik menyalin kot yang sedikit tebal. Alhamdulillah juga saya hanya berkasut Sketchers dark brown-pink berbatu 3 kecil berkilat. Tapaknya leper. Pastilah boleh lari ligat-ligat balik ke rumah. Jatuh tiada masalah. Saya tak malu sebab muka saya memang tak lawa pun. Tiada warna-warni. Orang pun tak mahu pandang lama-lama.

Saya hanya berminat dengan promosi seorang kawan saya. Katanya siapa pakai ketat-ketat, tak ikut yang sepatutnya, segan berkopiah, bertudung dan sebagainya, orang tu ketinggalan zaman. Sekarang ini trendnya bertemakan kembali kepada fitrah. Siapa tak mahu rasa kuno, jom kita sama-sama buat. Kembali kepada fitrah.

Nota:
Mula hari Jumaat sehingga Selasa depan, kami semua di Moscow bercuti 5 hari. Jika dirujuk dalam takwim kerajaan Persekutuan Rusia, tiada cuti pun yang tercatat untuk tempoh ini. Jadi kami di sini bercuti apa? Huh. Saya malas hendak cerita. Sebenarnya saya benci duduk di sini kerana adanya isu ini. Dan inilah salah satu sebab kenapa saya tidak suka bulan April. Kenapalah kolot, sempit fikiran dan bodoh sombong sangat mereka ini? Ok. Saya emo pula. Tinggal dulu. Perechek….~

Posted on April 18th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Hai Lah Nasib, Hai Lah Badan…

Assalamualaikum wbt

Pada hemat saya, setiap daripada kita mesti mempunyai sesuatu yang kita takuti atau serami. Skopnya bukan setakat momokan tentang hantu jembalang saja malah lebih luas dari itu. Saya teringatkan kawan saya yang tidak boleh melihat haiwan berbulu termasuklah kucing. Dia jadi seram sejuk tapak tangan kerana baginya bulu haiwan tersebut bila-bila masa saja boleh tercabut daripada badannya dan ini akan amat menyakitkan haiwan tersebut. Agak memelikkan imaginasi kawan saya ini.

Yang paling ramai saya jumpa ialah takutkan haiwan-haiwan kecil yang menggelikan seperti lipas, katak, ular dan pacat lintah. Alasannya hampir sama saja. Geli. Pada pergerakannya, pada kulitnya, pada kedinginan badannya dan pada strukturnya yang melekit. Saya tidak geli atau takut pada haiwan-haiwan ini sebaliknya saya rasa unik terutamanya pacat dan lintah itu.

Bagi kanak-kanak pula, cerita hantu momok dan saudara-maranya yang lainlah boleh membuatkan mereka fobia untuk ke satu-satu kawasan. Mereka diingatkan berulang kali tentang kewujudan itu dan ini yang berupa begitu dan begini. Hantu busutlah, poconglah, bunianlah, langsuirlah hinggakan hantu kopek pun ada. Bagi yang sudah bersekolah, wujud bermacam-macam versi cerita seram yang boleh menjadikan mereka fobia untuk ke tempat tertentu bersendirian terutamanya pada waktu malam. Kisah-kisah begini biasanya lebih popular bagi yang tinggal di asrama. Saya pun pernah merasa tinggal di asrama. Pengalaman begini memang tidak dapat tidak akan terjadi di mana-mana saja. Mengapa ya? Adakah ini mentaliti hidup di asrama?

Tapi saya tidak takut atau fobia pada semua ini. Nak tahu saya fobia pada apa? Air milo panas. Ya. Air milo atau apa saja minuman malt coklat yang panas. Kisahnya, ketika berada dalam tingkatan satu, saya suka berjaga malam untuk menyudahkan kerja rumah. Pada suatu malam, saya minum semug milo panas. Sejurus selepas itu, saya mual yang teramat dahsyat dan mula muntah-muntah tanpa henti. Lebih kurang 2 hari saya begitu. Badan memang lembik. Sejak dari itu, saya mula takut untuk menyentuh air milo atau minuman malt coklat yang lain. Namun seandainya dihidangkan orang, saya jamah juga seteguk dua tapi tidak akan habis. Sebenarnya bukan kerana perut saya tidak boleh menerima minuman ini tapi kerana fobia yang saya rasa masih kuat menguasai minda. Jadi, saya akan terus rasa mual jika meneguk juga air ini.

Ketika saya teramat sibuk di bulan Febuari dan Mac yang lalu, saya agak kurang makan. Selera hilang. Jadi untuk menambah tenaga, saya membeli bahan makanan tambahan yang mengandungi serat dan vitamin yang tinggi untuk memastikan saya tidak sakit. Ia berupa bancuhan malt coklat. Pertama kali membancuhnya, saya tambahkan Nescafe ke dalamnya supaya rasanya seakan-akan Neslo. Saya hanya bancuh separuh mug supaya saya boleh mengadaptasikan diri saya dengan rasa loya saya itu. Dan sejak membelinya, hanya 4 atau 5 kali saja saya membancuhnya. Yang pasti wajib ditambahkan dengan Nescafe.

Semalam disebabkan teramat letih selepas habis exam dan badan seakan memberi isyarat terasa seperti tidak sihat, saya pun membancuh semug penuh malt coklat itu dan meminumnya sedikit demi sedikit. Jenuh juga saya hendak menghabiskannya. Belumpun separuh diminum, saya sudah loya. Saya mengadu pada Pena yang saya tidak sedap badan selepas minum air itu. Tambahan pula, sebelum itu Sha datang ke bilik membawa puding yang disaluti yogurt coklat Chudo yang pekat. Saya sukakan puding itu tapi yogurt coklat pekat yang sedikit itupun sudah berjaya membuatkan saya mual.

Sudahnya malam tadi saya tidur sangat lewat kerana tidak sedap badan dan loya yang berpanjangan. Saya melepek saja di sisi Pena dan Emy yang sedang menonton sesuatu di Laptop. Dan pada pukul 5 saya sudahpun terjaga kerana mual saya masih ada. Dan tidak dapat dielak lagi, saya muntah-muntah dengan agak teruk sebelum solat Subuh.

Inilah yang saya fobiakan. Air milo atau apa saja minuman malt coklat panas yang lain. Kerana saya boleh mual dan muntah-muntah sehingga lembik badan. Kononnya nak jaga kesihatan, sudahnya semakin tidak sihat pula. Hai lah nasib, hai lah badan…

Nota:
Nanti malam bila dah segar (sebab ni nak qadha’ tidur malam tadi yang tak cukup), saya jalan-jalan ke blog kamu semua ye. Dah lama tak beraktiviti merayap ni =)

Posted on April 15th, 2008 by Sarah  |  42 Comments »

Menjadi Insan Berkualiti

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, exam yang terakhir untuk tempoh dua bulan ini sudahpun berakhir. Alhamdulillah. Puji dan syukur layaknya hanya untuk Allah. Terima kasih buat rakan-rakan sekumpulan yang memberikan kerjasama terbaik untuk persiapan exam kali ini. Usaha kita sekumpulan memang tidak sia-sia. Juga buat emak dan ayah yang tidak putus mendoakan saya.

Dulu saya pernah menulis tentang satu nilai yang perlu kita ada untuk berjaya. Fokus. Itulah kuncinya. Tapi untuk melengkapkan diri menjadi seorang yang bergelar insan, kita perlukan elemen-elemen sampingan yang tidak kurang pentingnya untuk menjadi insan berkualiti.

Menghargai masa, bersabar, berhubung baik sesama kita, tidak lokek membantu, menerima ujian dengan berlapang dada dan yakin dengan ganjaran yang menanti. Ini semua antara elemen sampingan yang perlu dititikberatkan dalam diri kita.

Sebenarnya, kita tidak perlu duduk menekun membaca buku-buku motivasi yang spesifik berkisar tentang ciri-ciri orang yang berjaya hanya semata-mata untuk mencari rahsia kejayaan. Bongkakkah saya dengan berkata bergitu? Jangan salah faham. Sebenarnya ada sumber lain yang lagi tepat dan indah dalam mencirikan dengan lebih terperinci keperibadian insan yang berkualiti. Sumbernya tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran.

Ciri-ciri yang saya senarai pendekkan di atas semuanya terkandung di dalam Al-Quran. Sebagai rujukan, sila rujuk surah Al-Asr ayat 1-3, surah Al-Hujurat ayat 10, surah Ali Imran ayat 103, surah Al-Hadid ayat 16 dan ayat yang menjadi pilihan ramai semestinya surah Al-Baqarah ayat 286. Kesemua ayat di atas menceritakan ciri-ciri yang perlu ditanam dan disebatikan dalam diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti.

Disebalik kita perlu berusaha memberikan yang terbaik daripada diri kita, jangan kita lupa satu lagi ciri yang amat disukai Allah. Sebolehnya, ciri terakhir ini perlu kita kemas kinikan dari masa ke semasa. Itulah dia penyucian jiwa. Mengapa kita perlu menyucikan jiwa? Sebenarnya dalam sedar atau tidak, dalam kita ligat melengkapkan diri menjadi insan yang berkualiti untuk mencapai kejayaan, kita terlepas pandang skop rohaninya. Kita mengabaikan banyak benda. Kita asyik mencari zon selesa untuk kehidupan kita di dunia. Kita silap di sini. Jadi, kita diusulkan agar sentiasa menyucikan jiwa kerana kita tergolong sebagai orang-orang yang beruntung andai melaksanakannya. Inilah ciri yang diajarkan oleh Al-Quran dalam surah Asy-Syams ayat 7-10.

Dan persoalannya, kenapa kita perlu berusaha melengkapkan diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti? Jawapannya mudah. Kerana setiap daripada kita mempunyai potensi dan keistimewaan yang tersendiri. Kita ini makhluk yang unik dan setiap yang unik itu mempunyai nilai entiti yang tersendiri.

Kalau ada yang kata dirinya tiada apa yang luar biasa, itu kurang tepat. Paling tidak, mungkin dia unik kerana pandai menggulungkan lidah atau boleh membunyikan siulan. Saya tidak unik dari segi siulan. Tapi uniknya diri saya kerana saya pandai berangan. Kamu pula bagaimana ya? =)

Hari buat dia:
Biar apapun yang kita lakukan, pokoknya adalah redha Allah. Kita tidak lagi berkualiti andai agama dibelakangkan.

Posted on April 15th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Sepetang Bersama Mereka

Assalamualaikum wbt

Kegembiraan

Kesungguhan
Keceriaan

Persahabatan

Gelak-tawa

Suka-duka

Pasti akan terpahat selamanya

Semalam hari yang indah. Hari saya dapat bersuka-ria bersama adik-adik serumah dan beberapa orang junior tahun 3 yang lain. Saya kecil saja. Kira tahun 3 pun boleh jugalah. Seperti lazimnya, musim bunga sentiasa menyajikan suasana yang ceria. Bak kata sesetengah pelajar, musim bunga juga musim menjadi. Apa yang menjadi, nanti kita dengar komen adik-adik ini ye.

Perkongsian sepetang bersama mereka cukup mudah.
Akal yang cerdas lahir daripada badan yang cergas.
Ukhwah itu indah jika bertemu dan berpisah kerana Allah.

Saya juga tenang. Dapat berehat-rehat melepas tekanan. Bersama mereka yang menceriakan. Saya tersenyum. Dan mereka ketawa keriangan.

Posted on April 8th, 2008 by Sarah  |  31 Comments »