Archive for the ‘Student’ Category

Kontradiksi

Assalamualaikum wbt

Tahun lepas, untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Spartivnaya, saya ditugaskan memasak 9 kg kuah kacang. Waktu itu, saya masih sakit. Badan kurus. Selera tiada. 3 minggu begitu. Ramadhan yang berlalu pun terasa kurang ‘izzahnya untuk diri sendiri. Raya pun saya tak berpeluang merasa banyak benda. Berpantang. Tekak dan perut merajuk.

Tahun ini, untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Spartivnaya, saya ditugaskan memasak 10 kg kuah kacang. Waktu ini, saya sihat wal’afiat. Badan semakin gemuk. Selera semakin naik. Sudah 3 hari terasa begini. Tapi Alhamdulillah, Ramadhan yang berlalu sangat terasa ‘izzahnya untuk diri sendiri. Raya pula saya berpeluang merasa banyak benda. Tak berpantang. Tekak dan perut sama hebatnya.

Ha, padan muka. Dah gemuk dah.

Nota: Bagi rakan-rakan yang berada di Moscow, jemputlah datang ke Rumah Terbuka Aidilfitri di Spartivnaya Hostel esok tengahari ye. Ada Nasi Kerabu tau. Hazreen dan Raimy, tahun ni KS mengulikan diri untuk kuah kacang lagi. Tahun ini lebih pedas. Selera tekak KS. Huhu. Datang tau.

Posted on October 11th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »

Berebut Hati

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli ‘alaa saidina Muhammad wa’ala aalihi wa ashaabihi ajma’in.

Semalam di hospital segalanya kelam kabut. Dari A sampailah ke Z. Kalau wujud huruf lain selepas Z, pastinya kelam kabut juga keadaannya. Daripada 10 orang sekumpulan, hanya 5 orang yang datang. 5 lagi? Missing in action. Tapi memang rugi betul siapa yang terlepas sesi seminar semalam. Doktor yang mengajar itu kacak sungguh. Ini pendapat rakan-rakan sekumpulan sayalah. Mari kita lihat aksi mereka:

Ketika menganalisis CT Scan:
A: Mak aih. Wanginya doktor ni. Aku nak jadi isteri dialah.
B: Eh, mana boleh. Aku nak cop dulu. Kau lambat. Aku dah cop dalam hati dulu.
A: Shuh. Shuh. Aku yang duduk tepi dia ni.

Setelah selesai mendapat penerangan di meja:
C: Huih. Aku tengok A dengan B, korang memang teruja habis tengok doktor tu. Huyyo. Rebutlah korang ye.
A: Eh, mestilah. Kalau kita tak tunjuk, nanti dia tak sedar.
B: Aku blushing gila tadi. Kau sedar tak, doktor tu asyik tenung aku je.
(memang A dan B duduk bertentangan dengan doktor itu)
C: Ala. B, kau kantoi dengan aku tadi. Aku nampak apa kau tulis kat note kau. Kantoi!
B: Apa kau nampak?
C: Kau tulis yang pasal anastomosis tu jadi lain! Patutnya Gastroenteroanastomosis. Kau tulis shortform jadi pelik gila. Gastroentero then hujung tu gambar love (heart). Hahaha!
Kami: Ha?!! Huh. Direct flirting! Mak aih B.
S: Aik, kenapa kena ada love? (Biasanya kami gunakan simbol love sebagai pengganti perkataan heart)
C: Innocent gila kau ni S. Tu flirting la tu.
S: Perlu ke gitu sekali? Huhu.

Dalam perjalanan ke metro:
A: Aku tak boleh fokus waktu dia mengajar tadi. Aku duk asyik fikir ke lain.
B: Aku memang tak fokus langsung. Aku tengok je muka dia.
A: Korang nak tahu tak apa aku imagine? Aku terbayang, kalau aku dah duduk dengan dia, mesti aku hari-hari belajar Anat (Anatomy) balik semula. Sure aku jadi hebat gila macam dia tadi. Hahaha.
Kami: Euuuuwww. Jauh gila berangan!
F: Aku nampak satu je tadi. Muka dia macam Alex Grey’s Anatomy tu. (Jujur ni, saya memang tak kenal dan tak tahu muka Alex dalam cerita Grey’s Anatomy. Saya tak ikuti)
C: Eh korang, korang. S diam je. Takde bagi komen apa-apa pun pasal doktor tu. Entah-entah dia pun ada hati kat doktor tu.
S: Saya ni ada ke hati kat dalam ni? (Sinikal)
C: Ha! Kalau kau takde hati, kita tunggu esok. Kalau doktor tu bagi hati dia dekat kau, kau dapatlah satu hati! Seronok gila tengok cerita berebut 1 hati ni. Hahahaha! (Gelak sungguh-sungguh!)
S: Huh. Tak kuasa kome weh!

Erm. Hari ni Hari Jumaat. Penghulu segala hari. Banyakkan berselawat ye buat Rasul Junjungan kita. Setakat maklum balas yang saya dapat daripada kawan-kawan sekumpulan malam tadi, mereka semua akan hadir ke seminar hari ini awal-awal. Semuanya nak tengok muka doktor itu! Ha. Kita tengoklah ye apa akan jadi hari ini. Huhuhu. Sesi cop-mengecop akan bertambah dengan bertambahnya jumlah doktor dari kumpulan saya yang hadir. Hehe. Tambahan pula, hari ni kami akan bincangkan topik tentang Kanser Hati. Ha! Hati siapalah yang akan berkanser sebaik balik dari hospital petang nanti ye dan hati siapa pula akan berbunga-bunga =)

Posted on October 10th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Berakit-Rakit Ke Hulu

Assalamualaikum wbt

Pagi tadi, group saya ada final presentation dengan para profesor. Kena bentangkan laporan kes kamilah kiranya. Sepanjang sebulan ini, kami semua melalui posting Internal Disease (Therapy) di sebuah hospital untuk veteran perang. Seronok ketika posting di sana. Jadi setelah tamat sebulan, kami perlu menjawab soalan-soalan daripada profesor hasil laporan daripada kes yang kami dipertanggungjawabkan.

Saya menjadi orang pertama mewakili kumpulan saya yang masuk menghadap profesor. Ada 2 orang profesor yang bertugas untuk menilai kami pelajar-pelajar English Medium. Kebetulan, profesor yang saya temui itu sebilik dengan Ketua Unit Kardiologi yang menjadi pemeriksa saya ketika final exam bulan Mei lalu. Terus Ketua Jabatan itu memberitahu profesor yang bertugas bahawa saya merupakan pelajar yang menjawab exam dulu dengannya. Hah. Saya cuak. Nanti mesti ditanya banyak-banyak. Alhamdulillah. Orang putih kata: Hard work pays well. Wendy pula menjadi orang pertama yang menjawab dengan profesor seorang lagi yang mana di dalam bilik yang sama, Ketua Jabatan Perubatan sedang berada. Sebaik selesai kesemua pelajar English dan Russian Medium menjawab soalan bersama para professor, kami semua dikumpulkan di bilik Ketua Jabatan untuk mendengar sedikit ucapan daripadanya.

Alhamdulillah! Beliau telah memberikan kredit yang tinggi kepada kami sekumpulan atas prestasi yang sangat bagus berbanding pelajar-pelajar tempatan dan kerja keras kami untuk membuktikan bahawa kami boleh mengatasi masalah bahasa yang kami hadapi. Secara keseluruhannya pula, beliau sangat kagum dengan prestasi pelajar-pelajar English Medium pada tahun ini berbanding tahun lalu. Alhamdulillah!

Selesai Medical Conference tengahari tadi, kami sekumpulan ke rumah Kak Zah mengikut Meor (Meor tinggal di sana) untuk makan tengahari bersama. Makan lauk-lauk raya yang masih sangat banyak berbaki. Ini aktiviti kami meraikan kejayaan kami hari ini. Tapi ini bukan penyudah. Bak kata Ketua Jabatan tadi: Teruskan belajar. Teruskan belajar.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau nak naik bot laju terus, boleh tak? Hehe.

Posted on October 3rd, 2008 by Sarah  |  2 Comments »

Selamat Datang Warga Baru Sechenov

Assalamualaikum wbt

Semalam dari pagi saya keluar rumah. Bersama Aizat, Jimi dan Zai. Menuju ke Hostel Pushkin (dulu saya tinggal di sini sewaktu tahun 1 dan 2). Kami ke sana kerana kami merupakan antara fasilitator program Induction Day untuk ke semua pelajar pre-medic dan tahun 1 di akademi saya. Ada 200 orang pelajar semuanya. Program diadakan di Kedutaan Besar Malaysia. Kami terpaksa ke Hostel Pushkin dahulu untuk membawa adik-adik ini ke sana. Mereka masih tidak tahu jalan. Ada lebih kurang 30 orang fasilitator pada hari semalam.

Teringat sewaktu saya mula-mula datang dulu. Mana ada semua program ini. Semuanya cuba-jaya sendiri. Semuanya pakai redah sendiri. Semuanya hentam ikut kata hati. Hentam sajalah cakap Rusia yang memang tak fasih lagi waktu tu. Inilah kisahnya untuk 3 batch yang pertama. Alhamdulillah kami telah lalui semua itu dengan baik.

Saya gembira dapat bertemu mereka semua semalam. Walaupun hujung minggu saya (yang sepatutnya wardah gitu :p) dihabiskan di kedutaan dari pagi sehingga petang, tapi kepuasan dapat melihat komitmen penuh yang diberikan oleh komiti Sechenov Malaysian Student Association (SMSA) betul-betul buat saya kagum. Ehem, buat ahli majlis tertinggi SMSA sesi 2008-2010, KS ucapkan tahniah atas menifesto yang kalian canangkan yang telah betul-betul dilaksanakan. Juga atas usaha kalian mendekatkan jurang yang ada antara segala jenis tajaan yang ada untuk pelajar-pelajar baru kali ni. Mantap! Terutamanya Faiz, Dalvin, Maryam, Tiha dan Jimmy Lim. Senyum seorang KS semalam bila melihat kamu semua bertungkus-lumus memastikan majlis berjalan lancar.

Buat pelajar-pelajar yang baru tiba, jangan rasa kurang sedikit pun dengan keberadaan kamu semua di sini. Moscow adalah sebuah kota yang cantik dan seronok tapi pandai-pandailah kamu semua mengurus diri, pelajaran, perbelanjaan dan jangan sampai tersalah pilih kawan. Tak dinafikan, di mana-manapun akan ada masalah yang menanti. Jadikan ini cabaran. Apa-apapun, Selamat Datang ke Sechenov Moscow Medical Academy =)

Kalau kena kacau ke, tolak-tolak dalam metro ke, pukul sikit-sikit ke dek orang Rusia tu, adatlah tu. Upsss :p

Nota: Jangan risau. Moscow ni bandar yang selamat. Akan jadi tidak selamat jika kita sendiri yang menempah nahas. Siapa suruh keluar malam-malam ke, ke kelab-kelab ke. Memanglah akan bertemu benda yang bukan-bukan. Malang terjadi di mana-mana. Sedangkan di Malaysia pun ada banyak benda buruk terjadi. Kan? =) Di mana-mana sajalah. Pokok pangkalnya balik pada diri kita ni.

Nota muhasabah: Saya tak pernah lupa untuk membaca doa keluar rumah sebaik melangkah keluar dari pintu rumah, doa naik kenderaan, istighfar dan disudahi dengan lafaz syahadah. Takut-takut ajal tiba dipertengahan jalan, kan.

Posted on September 29th, 2008 by Sarah  |  3 Comments »

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Posted on September 24th, 2008 by Sarah  |  6 Comments »