Moskovskaya Metropolitena
Moscow Rapid Transit System (Metro) adalah pekhidmatan pengangkutan yang paling penting di bandaraya ini. Mempunyai 11 jaringan laluan yang menghubungkan seluruh pelosok kota ini, jaluran-jaluran ini dikenal pasti berdasarkan warnanya yang berbeza. Sebagai contoh, jaluran pertama lebih dikenali dengan nama Jaluran Merah (Krasnaya Linia atau Red Line). Daripada 11 jaluran ini, 9 jaluran adalah jaluran panjang dan penting dan 2 lagi adalah jaluran pendek.
Menurut laporan The Moscow Times di penghujung 2007, purata 2.3 juta warga Moscow menggunakan perkhidmatan Metro pada hari-hari bekerja. Memang tidak dinafikan, setiap pagi Metro memang padat dan sendat namun tiada apa yang dapat menyebabkan perkhidmatannya menjadi lambat sebaliknya sentiasa tepat dan sangat cepat. Bagi insan kecil seperti saya, menjadi mangsa penyekan orang adalah biasa. Tetapi untungnya, jika saya tersepit di celah-celah orang ramai yang sedang berdiri, saya tidak perlu risau jika tidak dapat berpaut pada tempat pemegang. Sesungguhnya badan orang di sekeliling saya adalah dinding lembut yang boleh saya bersandar jika saya hampir terjatuh. Jadi kebiasaannya, saya perlu memasang kuda-kuda seperti hendak bersilat supaya tidak terjatuh ketika berdiri di dalam metro yang bergerak laju.
Walaupun saya selalu memilih untuk berdiri dan bersandar di pintu belakang yang tertutup, tetapi saya kerap ditawarkan tempat untuk duduk. Lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Mungkin bagi mereka, saya ini kanak-kanak sekolah yang terpaksa ke sekolah bersendirian pada waktu pagi. Untung menjadi orang bersaiz kecil ini. Jadi, saya boleh duduk membaca. Atau, kalau tidak cukup tidur pada malam sebelumnya, perjalanan ke hospital yang jauh boleh digunakan untuk mengqadha’ tidur dengan nyenyaknya.
Sistem tiket yang kami gunakan adalah kad metro yang perlu diaktifkan dengan membayar secara bulanan. Istilah lainnya adalah top up. Kali pertama saya tiba di sini dahulu, bayaran top up bulanan hanyalah 65 ruble sahaja. Itu pada tahun 2003. Setiap kali tahun baru menjelma, harganya semakin naik. Kini pada tahun 2008, harganya ialah 180 ruble. Hampir 2 kali ganda daripada harga dulu! Kad ini mempunyai cip di dalamnya. Menggunakannya sama seperti menggunakan kad sentuh dan lalu (touch ‘n’ go) di Malaysia. Tapi yang lebih istimewa, pada kad tersebut ada gambar dan butiran ringkas pemiliknya.
Di bawah ini ialah laluan setiap hari saya ke hospital. No. 1 ialah stesyen di mana letaknya International Hostel Spartivnaya. No. 2 ialah tempat saya melakukan pertukaran laluan metro untuk hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan hospitalnya terletak di No. 3. Untuk hari Selasa, Khamis dan Sabtu, tempat pertukaran adalah di No. 4 dan hospitalnya terletak di No. 5. Sangat penat! Ini belum termasuk jarak menaiki trolley bus atau tram dan jarak jalan kaki.
Motivasi ke-2: Boleh kuruskan badan. Hooray!


