Dunia Wanita Dewasa
Dua orang sepupu saya yang menuntut di UiTM Shah Alam masih berada di rumah sekarang ini. Hidayah dan Linda. Sem baru belum bermula lagi. Semalam saya mengajak mereka berdua duduk-duduk di buaian di hadapan rumah Tok. Bercerita itu ini. Macam-macam yang hendak dikemaskinikan dengan mereka. Kami membesar bersama-sama sejak kecil. Mereka berdua ialah anak sulung dan kedua Mak Tam. Kakak-kakak kepada Iman.
Baru bercerita sedikit, Tok Cik saya datang menjengah. Tok Cik adalah kakak Tok saya. Sebaik dia datang, dia sajalah yang bercerita. Bermula dari cerita tentang budak mati lemas di sungai yang baru-baru ini terjadi di Temerloh dan diungkitnyalah satu persatu kes mati lemas di sungai sejak dari yang boleh diingatinya di zaman mudanya dulu. Ya ampun. Bertahanlah kami bertiga melayan Tok Cik bercerita. Hidayah pandai melayan Tok Cik. Ada jugalah dia menyampuk menambah itu ini bila perlu. Saya pula hanya tumpang angguk dan gelak sajalah. Menyampuk sikit-sikit saja. Sebelum azan Maghrib, kami beransur balik. Saya menceritakan pada emak dan ayah tentang Tok Cik tadi. Emak dan ayah pun tumpang ketawa sajalah kerana sudah kenal dengan perangai Tok Cik ini.
Siang tadi, seharian saya duduk di rumah tidak keluar-keluar. Bila emak balik dari sekolah, emak mengajak ke Pasar Tani selepas Asar nanti. Saya katakan, saya mahu ke kedai kasut sekali. Mahu membeli sandal. Saya tidak punya sandal untuk digunakan. Emak bersetuju. Selesai Zohor, saya ke rumah Tok bertemu Hidayah dan Linda. Saya katakan mahu membeli sandal sekejap lagi. Terus laju saja mereka berdua menyarankan saya membeli kasut yang bertumit tinggi. Katanya: Kak Ngah, awak kena jadi macam perempuan sikit. Jalan janganlah ganas-ganas laju-laju sangat. Bila pakai high heels ni, awak akan control sikit. Jalan pun sopan je. Mak Tam yang ada di situ pun bersetuju. Katanya: Alah. Umur dah 23 dah pun. Apalah salahnya bergaya sikit. Untuk diri sendiri. Bukan nak menunjuk-nunjuk ke apa. Bukannya tak tutup aurat kan. Awak kan pakai stokin.
Kemudian Linda menyampuk: Kalau awak tak mula sekarang, nanti awak kekok untuk jadi macam orang dewasa. Saya bertanya pada mereka: Aik. Sekarang ni Ngah tak cukup dewasa lagi ke? Hidayah dan Linda riuh memberikan pendapat tapi pendapat Mak Tam yang lebih saya utamakan: Dewasa tu dewasah dah. Tapi kurang pandai melawa je lagi. Bukannya nak melawa beria-ia. Cukup untuk nampakkan diri awak tu bukan macam budak-budak je. Nampak matang sikit. Nampaknya, ada macam-macam lagi rupanya yang saya perlu baiki tentang diri ini. Saya kena berguru dengan budak dua orang itulah gayanya.
Apabila tiba di kedai kasut, emak menurunkan saya terlebih dahulu kerana emak hendak mencari parking. Sebaik emak masuk, saya berbisik pada emak: Emak, nak beli heels la. Respon emak: Ha. Eloklah. Takdelah nampak rendah sangat. Hahaha. Terkena saya. Saya tunjukkan satu contoh yang menarik minat saya. Emak kata: Macam ni ok lah. Bukannya tinggi tak ingat dunia. Cantik pun cantik.
Hari ini, baru saya dapat melihat persepsi orang lain tentang kasut tumit tinggi. Bagi saya, saya kurang selesa bertumit tinggi. Memang tak reti. Memang cantik melihat orang lain pakai. Tapi saya sendiri tidak tahu apa pentingnya untuk saya pakai. Memang saya rendah saja. Tapi saya tidak rasa berkasut tumit tinggi adalah satu keperluan. Tapi setelah mendengar pendapat emak, emak saudara dan sepupu yang berdua itu, maka tadi saya dengan jayanya telah membeli kasut bertumit tinggi. Lebih tepat adalah sandal bertumit tinggi. Tapi tidaklah tinggi mana. Huhu. Tapi bolehlah buat saya memandang seorang kawan lama yang terserempak di kedai itu seperti gaya orang tinggi memandang orang yang rendah. Oh. Begini perasaannya! Hehehehe.
Apa kaitannya kisah tumit tinggi ini dengan Tok Cik yang di atas tadi? Sebenarnya, setelah membeli kasut itu, saya teringatkan Tok Cik. Tok saya selalu bercerita Tok Cik itu muda-muda dulu sangat cantik. Ramai yang hendak berkahwin dengannya. Sampaikan askar Jepun pun berminat. Dan pada petang semalam ketika mendengar Tok Cik bercerita, dia ada menyebut tentang dia dulu-dulu muda-muda pun pakai kasut bertumit tinggi dan bergincu bibir. Oh. Saya memang gelak besar mendengarkan hal tersebut. Tak sangka sungguh!
Macam manalah saya agaknya bila sudah tua nanti ye. Hehe.


