Assalamualaikum wbt
Di sepanjang hari ini, baik di dewan kuliah atau ketika sesi kelas praktikal yang pertama untuk Forensic Medicine bermula, suasananya memang kelam kabut. Macam-macam terjadi.
Ketika masuk ke muzium khas yang terdapat di hospital tersebut, terkejut juga dibuatnya. Ada banyak simulasi kes jenayah ditempatkan di dalam muzium tersebut. Ada banyak moulage yang merakamkan detik-detik kematian kes-kes menarik. Jadi, ada banyaklah mata yang terbeliak, leher dijerut, lidah terjelir, tulang patah, kulit tersiat, daging terkoyak dan macam-macam lagi.Terbayang-bayanglah juga kiranya saya ni.
Balik dari hospital petang tadi, saya tidak berapa sihat. Makan ubat (dengan sengaja dilebihkan dosnya) dan terus pengsan tidur sampai ke petang. Sebaik segar, terus makan nasi. Mana boleh tak makan nasi dalam sehari. Pengsan semula dibuatnya nanti. Pengsan rindukan nasi. Huhu. Kemudian baru duduk menghadap nota. Saya utamakan ulangkaji untuk State Exam nanti. Persediaan untuk kelas esok sengaja saya letak tepi dulu. Hajatnya hendak mula membaca selepas mandi di tengah malam hari.
Selesai menutup nota ulangkaji, saya mula mencetak nota-nota tambahan yang saya ambil dari internet untuk tajuk hari esok. Tetapi dengan tiba-tiba saya terasa seram. Baru saya sedar bahawa tajuk yang hendak saya baca itu penuh dengan lakaran autopsi dan gambar-gambar yang boleh menyebabkan saya berpusing 360 darjah beberapa kali dalam masa seminit untuk memastikan tiada apa-apa di sekeliling saya. Sampaikan ada satu gambar tu (gambar saja pun, bukannya video atau apa), saya menutup kedua-dua tapak tangan ke muka. Mata hanya melihat skrin dari celah-celah jari saja. Bila gambar dah terpapar sepenuhnya di skrin, ceh, rupanya hanya gambar tali yang digunakan untuk satu kes bunuh diri saja. Saya ingatkan ada gambar orang tergantung sekali. Hahaha. Maka sayapun menggelakkan diri sendiri.
Tadi saya ada membelek update kawan-kawan di Google Reader (Kan dah kata. Saya memang ikuti update kamu semua 🙂 ). Salah satu daripadanya ada menyenaraikan filem-filem seram atau aksi yang ditontonnya kebelakangan ini. Salah satunya ialah Cannibal Holocaust. Saya teringat bahawa saya sudahpun menonton cerita itu. Sebuah filem kisah benar yang sebahagian daripadanya adalah daripada rakaman video asli oleh kumpulan penyiasat yang tak berapa nak cerdik tu.
Banyak unsur ganas, seram dan meloyakan. Saya pernah cerita bahawa saya loya dengan Milo, kan? Ya. Ketika menonton filem ini dulu (Oktober 2004), saya baru sudah minum Milo panas. Sudahnya saya termuntah dua kali. Pertama kerana saya tak tahan dengan Milo tu. Kedua kerana filem itu sendiri yang sangat memualkan.
Kenapa tiba-tiba saya melompat daripada cerita pasal persediaan tajuk hari esok terus ke cerita Cannibal Holocaust tu? Sebenarnya, tadi tiba-tiba saja saya pelik dengan diri sendiri. Dulu saya menonton filem itu seorang diri saja. Dalam bilik seorang-seorang saya saja. Ketika itu saya baru saja memulakan tahun dua saya di sini. Junior yang bakal ditempatkan sebilik dengan saya tiba lewat petang itu dari Malaysia.
Macam mana dulu-dulu saya boleh sangat berani ya? Filem Texas Chainsaw Story pun saya boleh tengok macam tu saja. Sekarang ni, jangankan nak tengok, tertengok trailer pun dah tutup mata. Saya terkena badi agaknya. Huhu. Sekarang ni, daripada saya menonton filem seram bersama housemates, saya lagi rela masuk bawah selimut dan selawat seorang diri bila terdengar bunyi seram jerit-jerit daripada filem yang ditontoni mereka.
Oklah. Panjang pula malam ni. Hampir 30 minit dah. Tamat masa bersama blog. Sekarang masa untuk menatap nota sedikit lagi. Kemudian tidur.
Nota: Saya membaca sedikit tentang latar belakang kerjaya seorang Forensic Pathologist. Mereka yang telah menyambung dalam bidang ini digelar sebagai pemegang Extreme Degree kerana kerjaya ini sememangnya sukar, memerlukan keberanian, kegagahan fizikal, kekuatan mental dan kreatif untuk berfantasi berada di pihak yang melakukan jenayah atau sebagai mangsa. Hebat sungguh otak mereka. Tak pelik doktor saya untuk kelas pertama pagi tadi memang gagah orangnya. Untuk makluman, dia adalah seorang perempuan. Tapi minta maaflah. Ini bukan bidang pilihan saya. 😀