Archive for the ‘Life’ Category

Selamat Tinggal Kopi

Assalamualaikum wbt

Saya telah berubah. Jika dulu, sehari hidup tanpa segelas kopi, nescafe dan yang seumpama dengannya adalah tidak sah untuk saya. Itu minuman ruji. Air masak pun bukanlah seruji itu bagi saya. Tekak saya memang susah hendak menerima air masak atau air mineral di sini. Bagi saya, rasanya pelik. Untuk membolehkan saya menerima air masak, saya perlu mencampurkan air panas dan air mineral biasa. Barulah boleh diminum. Kalau tidak, saya lebih suka membancuh air dan wajiblah air itu sejenis kopi.

Tetapi sejak empat hari lalu, saya sudah berhenti minum kopi seratus peratus. Untuk mengelakkan saya terbancuh air tersebut, saya langsung tidak membeli stok susu manis baru. Jadi, saya tidak dapat membancuhnya. Bila saya menyebut kopi, saya memaksudkannya sebagai nescafe susu. Tapi sekarang saya bukannya menggunakan nescafe. Saya boikot. Saya telah bertukar menggunakan produk tempatan di sini.

Dalam tempoh empat hari ini, saya bersarapan dengan air suam. Saya suka makan sekeping roti bakar kosong ketika bersarapan. Memang pelik rasanya untuk bersarapan hanya dengan air suam begini. Tapi saya cuba merutinkannya. Alhamdulillah setakat ini masih bertahan dan saya suka dengan rutin ruji baru saya ini.

Semalam saya keluar bersama rakan serumah untuk membeli barang rumah. Kami singgah makan ringan sedikit memandangkan semuanya sedang lapar. Kalau dulu, walau apapun kedai yang saya singgah untuk makan, minuman saya hanyalah kopi. Tidak kisahlah kopi apapun. Janji ialanya sejenis kopi. Capuccino, American Coffee, Mocha, Black Coffee atau apa saja. Semalam, saya berdiri lama di kaunter. Kaunter pun kebetulan kosong. Saya memesan pancake karamel dan untuk memesan air, saya jenuh memandang keliling. Saya tidak mahu sewenangnya merosakkan rutin baru saya.

Akhirnya, buat pertama kali saya memesan jus saja. Amat jarang sekali saya memesan jus ketika minum atau makan di luar. Saya tersenyum sendiri dengan perubahan kali ini. Semoga saya bertahan dengan rutin baru yang lebih sihat untuk saya ini.

Nota 1: Buat sementara waktu, kamu tidak dapat menghubungi saya menggunakan Hubungi Sarah. Ada masalah teknikal.

Nota 2: Saya sedang bersarapan roti bakar kosong. Tapi saya teringat-ingat mi goreng yang emak selalu masak. 😥

Nota 3: Tajuk macam orang putus cinta. Huahuahua. 😆

Posted on February 21st, 2009 by Sarah  |  20 Comments »

Semangat Setahun Lalu

Assalamualaikum wbt

“Conversation starts with a question.”

Seseorang menyebutkan ini kepada saya suatu masa dulu. Dan saya sangat menyetujuinya untuk masa itu. Saya belum pernah bertemu dengan seseorang yang bertanya begini kepada saya ketika saya tiada mood: Dalam pada awak takde mood ni, apa yang awak rasa awak ada mood nak buat sikit?

Saya betul-betul tidak tahu apa jawapan terbaik yang boleh saya berikan. Bila sedang tiada mood, biasanya otak terasa kosong daripada sebarang agenda. Sehinggakan soalan yang sebegini mudah pun terasa sangat susah untuk dijawab.

Saya cuba menyenaraikan beberapa perkara yang terasa seperti hendak dilakukan ketika itu kepadanya. Tapi kemudian saya menarik balik segala yang telah saya kemukakan. Kata saya: Bukan. Sebenarnya takdelah terasa nak buat sangat pun ni semua.

Dia mengulas sedikit. Katanya, tahap menjauhkan diri dari segala aktiviti dan menjadi pengabai tegar (ignorant) yang ada pada saya pada waktu itu setinggi tembok Gaza. Nasihatnya, saya kena berhadapan dengan apa yang terjadi. Tak boleh lari. Kena hadapi juga semuanya.

Saya bertanya, kalaulah hal itu berkaitan dengan studi, maksudnya, perlukah saya menjauhkan diri daripadanya? Dan kalau ia berkaitan dengan orang, perlukan saya menjauhkan diri daripadanya? Responnya, kalau itu berkaitan dengan studi, wajiblah didepani. Kalau itu berkaitan dengan orang, usaha dulu sebaiknya untuk jauhi andainya itu yang terbaik. Tapi kalau diri sendiri tahu yang suatu hari nanti kita tetap mahu kembali padanya, buat apa larikan diri. Berdepan dengan keadaan tu dari awal-awal lagi adalah yang terbaik.

Bagi saya, pendapatnya itu sangat bernas tetapi saya tidak nyatakan padanya betapa saya sangat menyetujuinya. Nanti dia kata, saya ni asyik bersetuju saja. Bagaikan tiada yang cela pada pendapatnya. Saya cuma sudahi sesi itu dengan berkata:

“Actually, what a person needs when she/he in depressed is a person to talk to.”

Sesungguhnya saya mula mencari apa punca yang menyebabkan saya tiada mood pada ketika itu dan lebih berani berdepan dengan masalah itu. Masalah itu cukup besar untuk orang seperti saya ini. Alhamdulillah masalah itu sudah lama selesai walaupun mengambil masa yang agak lama. Setidak-tidaknya, dengan nasihat dan pandangan yang saya terima pada malam itu membuatkan saya mula berani menjadi saya yang lebih tegas dan berdepan dengan keadaan.

Sebenarnya, sejak pagi tadi, saya rasakan seperti ada sesuatu yang saya lupa. Bila sudah malam, baru saya teringat bahawa kekuatan yang saya bina dalam diri ini disimbah ke dalam diri saya tepat setahun yang lalu. 20 Februari 2008.

Nota 1: Terlalu banyak perkara yang pertama kali saya terima/buat/tahu berlaku pada 18-20 Februari 2008.

Nota 2: Semua yang termaktub di dalam entri hari ini ada kaitan dengan 20 Februari 2008. Termasuk instumental Jangan Bilang Tidak. Ini piano piece yang paling saya gemari.

Nota 3: Esok saya akan memulakan posting baru. Obstetrics. Subjek ulangan. Sepanjang semester akhir ni, setiap posting hanya sekejap-sekejap saja. Selamat berhujung minggu untuk semua.

Nota 4: Entri melankolik. Klise sungguh. Sarah, tolonglah jangan menulis macam ni dah. Dah tua nanti baca semula, mesti rasa sebak. Suami, anak, cucu baca pun menangis sama.

Posted on February 20th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Kisah Di Hospital (ii)

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah posting selama dua minggu di Forensic Medicine sudahpun berakhir. Kami mendapat tanda tangan doktor kami sehari awal. Jadi, saya akan bercuti sehari pada hari esok sebelum menyambung posting seterusnya pada hari Sabtu.

Ketika dalam perjalanan balik dari hospital, saya dan Farah bercerita tentang pengalaman dengan beberapa orang doktor yang paling meninggalkan sejarah selama berada di sini. Maka, tercetuslah idea saya untuk menyenaraikan doktor-doktor yang paling saya ingati dan kenapa mereka begitu signifikan dalam hidup saya selama saya di sini.

Prof. Zurabyan – Beliau merupakan profesor saya untuk subjek Bioorganic Chemistry ketika di tahun satu dulu. Umurnya sudah tua. Sudah seperti Albert Einstein saja rupanya. Kelasnya setiap Sabtu pagi pukul 8.30. Ketika itu, hostel saya terletak di barat daya Moscow dan kelas pula nun di timur laut Moscow. Perjalanan mengambil masa sejam setengah ke dua jam untuk ke sana. Jadi, kami semua terpaksa keluar seawal 6.45 atau 7 pagi untuk tiba ke sana tepat pada masanya.

Malangnya ketika di kelas, apa yang beliau ajar langsung tidak difahami. Mana tidaknya. Beliau kuat merokok. Bila masuk ke kelas untuk mengajar, baru bercakap sedikit, beliau sudah terbatuk-batuk. Kalau tak teruk, tak mengapalah juga, kan. Ini sampai termengah-mengah. Dalam Bahasa Rusia, masa rehat disebut ‘peririv’ dan merokok pula disebut ‘kurit’. Tetapi dengan Prof. Zurabyan, dia menyebut rehat sebagai ‘kuririv’ kerana baginya itu masa untuk merokok. Masya Allah. Yang buat saya tidak boleh lupa kepadanya ialah kenangan saya dan Farah yang pulang lewat malam ke hostel ketika musim sejuk tahun itu kerana terpaksa menunggu Prof. Zurabyan untuk menjawab soalan colloqium dengannya. Entah ke mana saja dia menghilang. Saya dan Farah tercongok di pejabatnya untuk menjawab soalan oral dengannya dari tengahari sehingga 8 malam! Berbuka makan biskut sekeping seorang saja pada pukul 4 petang itu. Tiada air. Bayangkanlah bila dah pukul 8 malam tu, punyalah lembik kami berdua sebab tak makan apa-apa lagi. Di department itu memang tiada kafe di dalam bangunan. Kedai terdekat memerlukan kami berjalan kaki keluar dari situ. Menyusahkan. Sudahnya berlaparlah kami sehingga balik ke hostel. Ini gara-gara beliau yang hilang entah ke mana. Dan bila kami hendak pergi kepadanya untuk menjawab soalan, dia pergi merokok pula. Aduh. Sabar jelah.

Bila kami sudah selesai final exam untuk subjek itu, kami pun sudah tidak menemuinya lagi. Ramai yang mengatakan bahawa beliau sudah meninggal dunia. Memang tak mustahil pun kerana beliau memang sudah sangat tua.  Hehe. Tapi ada sekali tu ketika di tahun tiga, saya ke Pejabat Dekan. Saya ke stalovaya (baca: kantin, tapi hakikatnya bukanlah kantin). Baru saja nak melangkah masuk ke sana, tiba-tiba saya terserempak dengannya. Terkejut juga saya waktu kerana kononnya beliau sudah meninggal. Tapi ni ada lagi ni. Huhu. Dengan rambutnya yang sudah putih, badan bongkok, yang saya mampu ucapkan padanya ketika itu hanyalah: Zdrastvuitye (ucapan selamat secara hormat apabila bertemu seseorang). Dia mengangguk-ngangguk saja. Dalam hati saya berkata: Eh eh, hidup lagi ya dia ni rupanya. 😆

Prof. Yonkina – Beliau merupakan seorang guru Physiology. Saya bukan pelajarnya. Tapi ramai yang memberitahu ketika colloqium (ujian bulanan), sangat susah untuk lepas dengannya. Saya tidak pernah mengenali wajahnya sehinggalah ketika semester kedua di tahun dua, beliau kerap memberi lecture. Sebelum itu, ada yang melawak dengan saya. Kata mereka, kalau tak kenal beliau sekarang pun tak apa. Nanti final exam dapatlah saya mengenalinya. Uishh. Simpang malaikat la hai. Saya dapat membayangkan susahnya menjawab final exam dengannya.

Sudahnya, ketika final exam, saya betul-betul terkena dengannya! Saya duduk selama 45 minit untuk soalan oral bersamanya. Segala benda ditanyanya! Menggeletar Ya Rabbi rasanya waktu tu. Di sebelah saya ada meja seorang doktor lain. Ada tiga orang pelajar sudah selesai menjawab dengan doktor itu, saya masih tidak selesai lagi. Huhu. Tapi Prof. Yonkina betul-betul berjaya membuat saya seram sejuk. Yang seronoknya, walau apapun soalan yang ditanyanya, semuanya mengena pada topik pujaan hatiku. Huhu. Yang paling saya ingat ialah soalan terakhir saya. Tentang Sleep Disorder dan kaitannya dengan Higher Nervous System. Fuh. Tajuk kesukaan tu! Tapi berbaloi Alhamdulillah. Saya dapat 5. Hehe. (Excellent = 5, Good = 4, Satisfactory = 3, Fail = 2).

Dr. Gulyaev – Beliau merupakan doktor untuk subjek Internal Disease ketika saya di tahun tiga. Ya Rabbi. Sukanya saya pada doktor ni. Jatuh cinta gitu. Beliau sangat hebat di mata saya. Ya Rabbi sukanya. Tak reti nak cerita macam mana. Beliau sangat tenang orangnya. Kebetulan pada tahun itu, masalah tulang belakang saya semakin teruk. Beliaulah yang merawat dan menolong saya. Makinlah saya sayang kepada doktor ni.

Hospital saya untuk subjek ini dikenali sebagai sangat lenient kerana para doktor di situ ramai yang tak berapa mengajar sangat tetapi lebih kepada membiarkan pelajar membuat persediaan sendiri. Tapi Dr. Gulyaev ni lain daripada yang lain. Saya hanya sempat menjadi pelajarnya ketika semester pertama saja. Semester kedua, saya memang belajar sendiri saja kerana doktor saya untuk semester itu ‘sibuk bebenor’ dengan hal lain. Ketika final exam, saya berharap sangat bahawa saya akan menjawab soalan oral dengan Dr. Gulyaev. Berdebar-debar saya menunggu pada siapakah credit book saya diberikan (credit book = buku rekod keputusan peperiksaan). Oh. Gembiranya saya. Buku saya diambil oleh Dr. Gulyaev. Sebaik duduk di hadapannya, saya mengucapkan selamat dan beliau terus bertanyakan khabar saya. Wahaa! Beliau masih ingat akan saya. Suka. Suka. Suka. Huhu.

Ada dua sebab kenapa saya mahu menjawab soalan oral final exam itu dengannya. Pertama kerana, saya sudah studi teruk untuk subjek itu. Saya tidak main-main membuat persiapan untuk subjek itu sebab memang ada yang ambil mudah saja kerana hospital itu lenient sangat ketika exam. Jadi, saya mahu disoal seadilnya dan bukannya ala kadar saja. Dr. Gulyaev terkenal sebagai seorang yang serius dan tidak bias. Jadi saya berharap agar dapat menjawab dengannya. Keduanya kerana, saya banyak menggunakan material dan nota daripanya. Untuk semester pertama, kerana beliau sendiri yang mengajar kumpulan saya. Untuk semester kedua, saya berusaha mendapatkan nota daripada pelajar-pelajar yang diajarnya. Jadi, saya memiliki set lengkap nota yang diajarnya. Sangat lengkap segala material yang diajarnya. Itu sebab saya sangat suka!

Dr. Gulyaev sangat memberika kesan yang besar dalam hidup saya. Saya mengidolai caranya. Sistemnya bekerja. Sifatnya secara peribadi juga hemah dan budi bahasanya. Beliau membuat saya mengubah tafsiran saya terhadap orang sini kerana sifatnya yang sangat suka membantu. Beliau membuat saya berhasrat hendak menjadi sehebatnya. Beliau membuat saya mula mempunyai matlamat yang tersendiri dalam bidang ini. Beliaulah pembuka jalan itu. Beliaulah punca segalanya.

Ketika mengikuti posting Ophthalmology di hospital bersebelahan hopital itu ketika di tahun lima, saya pernah terserempak dengannya ketika dalam perjalanan balik. Saya mengucapkan selamat. Beliau membalas dengan senyuman dan mengangkat tangan kanannya ke arah saya. Huwaaa. Saya bagaikan mendapat suntikan semangat waktu tu. Balik tu, terus saya bercerita dengan housemates saya tentang Dr. Gulyaev. Kalau kamu jadi housemates saya, kamu tahulah sendiri berapa kerap saya bercerita tentang Dr. Gulyaev ini. Terlalu kerap! Hahaha. 😆

Panjangnya cerita saya ni. Ni baru tiga orang doktor ketika pre-clinical years. Ada lagi ni. Nantilah saya sambung dalam bahagian ketiga pula ya.

Nota 1: Kisah Di Hospital (i) ada di blog lama. Ini episod kenangan yang seterusnya.

Nota 2: Ketika dalam perjalanan balik dari hospital tadi, saya jatuh seperti nangka busuk. Jalan penuh dengan ais. 😆

Nota 3: Maaf. Saya hanya sempat mengikuti perkembangan semua melalui Google Reader saja buat masa ini. Inipun ada banyak sangat yang saya tak sempat baca lagi. Maaf amat ya.

Nota 4: Selamat hari lahir buat Hazreen (20 Februari). Terima kasih banyak-banyak ye Hazreen. Terkejut dapat buku-buku tu tadi. 🙂

Posted on February 19th, 2009 by Sarah  |  25 Comments »

Jubah Graduasi

Assalamualaikum wbt

“Aku ingin engkau selalu
hadir dan temani aku
di setiap langkah
yang meyakiniku
kau tercipta untukku”

Entah terkena tiupan angin mana, di telinga saya asyik terngiang-ngiang bait-bait lagu Tercipta Untukku ini. Bila saya dalami maksudnya, wah, indahnya lirik. Entah kenapa saya baru menyedari ini semua. Sebelum ini saya tidak berapa menggemari lagu-lagu cinta melankolik sebegini. Dengar tu dengarlah juga tapi bukannya menjadi genre pilihan.

Untuk kisah hari ini, pertamanya saya hendak mengucapkan selamat hari lahir untuk rakan serumah saya, Diba. Semalam, sempat kami serumah meraikan ulang tahun Diba yang ke-22 ini. Saya buatkan kek pisang bercoklat untuknya. Atas permintaanlah kononnya. Dah hampir sebulan saya tak membuat sebarang kek. Melepas gian jugalah kiranya malam semalam.

Hari ini saya telah meleburkan USD150. Ada sedikit menyesal tapi selebihnya adalah gembira. Menyesal kerana saya menukar sejumlah Ruble yang banyak kepada USD kerana nilai USD masih tinggi. Saya agak rugi di situ. Tapi gembira kerana ia digunakan untuk membayar jubah graduasi nanti. Hip hip hooray! Untuk menempah jubah itu, ketinggian diperlukan. Saya mengukur ketinggian saya. Percaya atau tidak, dalam tempoh 6 tahun ini, saya hanya bertambah 2 cm saja. Pendeknya saya.

Ingat tak saya ada menulis tentang misi saya untuk cuti yang masih berbaki dua hari pada minggu lepas (sebelum sem baru bermula)? Alhamdulillah. 2 daripada 3 misi saya telah disempurnakan dengan sekelip mata dalam satu malam saja. Dengan rasminya, saya meletak jawatan daripada 2 jawatan yang saya sandang. Saya lakukan dengan drastik sebab saya tak mahu dipersoalkan. Untuk satu lagi jawatan, baru saja saya berniat hendak menghubungi pihak tertentu untuk menyatakan hasrat saya, tiba-tiba saya menerima SMS yang melibatkan saya dalam hal tersebut. Nampaknya, untuk yang satu ini, Allah belum izinkan untuk saya mengundur diri. Tapi saya harap saya dapat melepaskan semuanya secepat mungkin. Allah lebih tahu kenapa.

Nota 1: Saya masih demam. Di saat ini, hidung saya maish berdarah kerana panas badan. Takpa na cek. Sat lagi kita mandi malam kasi sejuk badan. Huhu. :mrgreen:

Nota 2: Seorang kawan saya di sini terlibat dalam kemalangan. Semoga Layla cepat sembuh.

Posted on February 18th, 2009 by Sarah  |  17 Comments »

Kisah Buku

Assalamualaikum wbt

Disebabkan semalam tidak dapat langsung untuk menghubungi keluarga, maka tadi terus saya menelefon emak di rumah. Tidak banyak yang dicelotehkan dengan emak kali ini. Topik hari ini berkisar tentang perkembangan adik-adik dan buku cerita.

Emak bertanya sama ada saya masih mahukan koleksi buku-buku cerita sewaktu kecil-kecil dulu. Saya bertanya apa yang hendak emak buat dengan buku-buku itu. Kata emak, emak hendak berikan kepala sekolah rendah saya dulu kerana banyak buku yang rosak ketika banjir yang lalu. Saya terus bersetuju saja. Tetapi kemudian, emak bercerita bahawa Kaklong ada menyuruh emak menyimpan beberapa buah buku yang dia sayang. Contohnya Maniam The Rubber Tapper.

Lalu emak bertanya sekali lagi, dalam banyak-banyak buku koleksi Enid Blyton yang ada di rumah, masih adakah buku yang saya mahu simpan. Baru saya teringat, saya ada beberapa buah buku yang sangat bermakna untuk saya. Saiznya hampir sama seperti buku-buku Enid Blyton cuma ini versi Bahasa Melayu. Saya mengingatkan emak supaya mengasingkan kesemua buku yang berkisar tentang Sekolah Seri Melur. Dari Tingkatan Satu di Seri Melur sehinggalah Tingkatan Lima.

Koleksi ini bermula dengan sebuah buku yang dihadiahkan oleh Makde saya sempena hari lahir saya yang ke tujuh pada 1992. Saya dalam darjah satu. Saya tahu buku itu ada sambungannya pada siri-siri yang seterusnya tetapi saya tidak meminta ayah belikan. Sudahnya, saya hanya mampu untuk memiliki tujuh buah lagi sambungan untuk siri itu ketika tahun 1997 (darjah enam).

Kebetulan saja ketika itu saya terjumpa buku-buku untuk siri itu dijual murah (kerana buku lama yang sudah tidak diminati) dengan harga RM1 sebuah. Beberapa tahun sebelum itu, saya ada menjumpai siri ini dijual di kedai buku di bandar saya itu. Tetapi harganya RM5.50 untuk sebuah buku. Saya tetap tidak mahu meminta ayah belikan. Jadi saya diamkan saja. Sehinggalah ketika darjah enam, saya ke sebuah kedai untuk menempah tanda nama baru untuk sekolah. Di sana, saya terlihat buku itu di rak buku. Harganya cuma RM1. Saya punyalah gembira.

Esoknya saya datang lagi ke situ untuk mengambil tanda nama yang telah siap dibuat. Saya membawa RM10. Untuk tanda nama itu, saya perlu membayar RM1.50. Dengan baki RM8.50 itu, saya memborong tujuh buah buku siri tersebut. Dengan baki RM1.50, saya pulang menaiki bas. RM10 yang saya bawa itu adalah hasil tabungan sendiri. Nekad saya sejak darjah satu itu akhirnya tercapai iaitu untuk membeli buku-buku sambungan yang saya miliki hadiah daripada Makde itu dengan duit sendiri. Saya puas hati walaupun mengambil masa bertahun-tahun untuk memilikinya. Oh. Sebak pula.

Tiba-tiba saya teringatkan dua buah buku cerita yang emak hadiahkan kepada saya dan Kaklong ketika kami darjah satu dan dua. Hadiah hari lahir. Ketika itu emak mengajar di Mentakab dan seingat saya emak membeli buku tersebut melalui promosi buku yang datang ke sekolah emak. Tajuknya ialah Anjing Yang Malang dan Rumput Di Tepi Pagar. Saya dan Kaklong selalu bergaduh buku mana satukah milik masing-masing. Saya menyuruh emak menyimpan juga dua buah buku ini kerana nilai sentimental yang dimilikinya.

Menurut emak, kesemua edisi Sesame Street dan The Owl Family (koleksi ensiklopedia kanak-kanak seperti Sesame Street yang berkulit keras) tidak akan diberikan kerana sudah uzur benar keadaannya. Mana tidaknya. Dulu-dulu waktu kami kecil-kecil, kami dipaksa membaca buku-buku ini. Kalau hari Sabtu emak terpaksa ke sekolah, balik dari sekolah emak akan bertanya buku mana yang kami sudah baca. Sudah habis pun, kami akan ulang baca lagi. Inilah latihan kami dulu-dulu untuk memahirkan Bahasa Inggeris. Adik-adik sekarang sudah lain. Bukan macam zaman kami tiga beradik yang teratas. Punyalah kena kawal, kena paksa baca macam-macam. Tapi seronok sungguh kenangan itu.

Dan yang terakhirnya, saya menyuruh emak menyimpan buku bertajuk Ito The Green Alien. Inilah buku yang paling bersejarah dalam hidup saya. Kalau Kaklong menyuruh emak menyimpan buku Maniam The Rubber Tapper kerana dulu dia menangis-nangis ketika dipaksa membaca buku itu, saya lain pula ceritanya. Dulu saya lebih suka membaca buku Sherlock Homes. Waktu itu baru tadika atau darjah satu. Tak padan dengan umur. Buku budak-budak yang nipis-nipis saya ketepikan. Jadi saya dipaksa membaca buku Ito The Green Alien. Saya memberontak. Nak tahu apa yang saya buat sebagai tanda protes?

Saya lari dari rumah. Saya lari ke rumah Tok saya. Dan sebenarnya, rumah Tok saya cuma terletak 200 meter saja dari rumah saya. Hahaha.

Apa-apapun, saya sangat sayang kesemua koleksi buku yang pernah Kaklong, saya dan Nan miliki sejak kecil dulu. Termasuklah koleksi buku sirah yang ayah belikan dulu-dulu. Zaman adik-adik di bawah kami, koleksi mereka sudah sedikit lain. Sudah ada ensiklopedia sains yang lebih cantik dan canggih. Tapi persoalannya, adakah adik-adik saya yang lain betul-betul memanfaatkan apa yang mereka miliki itu? Setiap kali balik bercuti, saya mesti tarik Aiman dan Azizi duduk di ruang tamu bersama saya semata-mata untuk mengajak mereka membelek-belek buku-buku yang emak ayah belikan untuk mereka. Sudahnya, tinggal saya seorang saja yang ralit dengan segala info menarik yang terdapat di dalamnya. Tentang pelbagai eksperimen. Memanglah menarik, kan. Mereka pula sudah ke depan TV menonton Sponge Bob dan The Blue’s Clue.

Adoi. Dilema susahnya kanak-kanak zaman dulu dan sekarang berbeza, kan? Emak, sila suruh Adam, Azizi dan Aiman baca apa yang Ngah ceritakan ni. Biar mereka sedar sikit susah senang kami ni dulu-dulu macam mana. Bukan sesenang hati boleh meminta itu ini dan sanggup bersusah menyimpan duit belanja semata-mata untuk memiliki sesuatu buku itu dengan duit sendiri. Ngah ingat lagi. Nan dulu-dulu pun menyimpan duit belanja sendiri untuk membeli siri Detektif Conannya tu.

Oh ya. Selamat bertemu kembali untuk kawan-kawan dari blog lama saya. Maaf lambat memaklumkan. Semoga kita dapat menyambung ukhwah di sini pula ya. Mari berkenalan semula.

Hai. Saya Sarah. Siti Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama cuma telah berpindah rumah dan berjiwa lebih gagah. Jangan harapkan apa-apa daripada saya. Saya menulis sebagai teguran dan kenangan untuk diri sendiri. Apa yang baik harap dapat dikongsi bersama dan apa yang tidak baik diteguri. Oh ya. Sekarang saya seorang pengabai yang tegar. Jika ada yang cari pasal dengan saya seperti dulu, saya tidak teragak-agak untuk membela diri. Kan saya dah kata. Saya kini berjiwa gagah kerana saya adalah Sarah. Marilah perkenalkan diri kamu pula ya.

Nota 1: Saya teringat-ingat kenangan dipaksa membaca buku-buku Bahasa Inggeris dengan kuat oleh emak dulu-dulu. Kalau salah, kena tegur. Huhu. Malu seh kalau salah. 😛

Nota 2: Gembira akhirnya saya tidak perlu merahsiakan lagi tentang blog ini. Selamatlah untuk semuanya ya! 🙂

Posted on February 15th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »