Archive for the ‘Life’ Category

Tukang Kebun Jadian

Assalamualaikum wbt

Sehingga tengahari tadi, badan saya berbau kambing. Bukan kerana tiba-tiba saja keluarga saya ada menternak kambing di belakang rumah tetapi kerana saya tidak mandi-mandi lagi sejak hari semalam menguruskan kawasan belakang rumah saya.

Semalam, sebaik sampai dari Penang, rumput di keliling rumah baru saja dipotong. Jadi, selesai Asar, saya memulakan operasi mencakar rumput di sekeliling rumah. Tapi sebelum Maghrib, halaman belakang yang kedua (adeh, tak reti nak cerita, rumah saya ada dua halaman belakang) masih belum sempat saya sudahkan.

Jadi malam tadi saya berniat. Hari ini tidak boleh online di waktu pagi. Kena jauhi internet. Jadi sebaik emak, ayah dan adik-adik meninggalkan rumah pagi tadi, saya terus mengemas rumah, sarapan nasi lemak yang emak masak dan terus saya bekerja di luar rumah semula.

Matahari sudah meninggi, barulah selesai semuanya. Dan tangan saya melepuh-lepuh. Tolong! Tolong! Kambing ini melepuh tangannya. Kasihan dia. Eh, kambing ada tangankah?

Kalau ikutkan hati saya, saya hendak robohkan rumah arnab yang terletak di sudut belakang halaman ni. Sudah tiada arnab pun. Apa kata kalau digantikan dengan kandang untuk dua ekor kambing. Berjasa juga kalau memelihara kambing. Rumput keliling rumah takkan panjang-panjang punyalah. Cumanya, siapa nak bersihkan tahi kambing tu nanti ye. Huhu. Dan saya khuatir kalau ayah saya membaca cadangan ini. Saya takut kalau-kalau dia teruja dan merealisasikan idea memelihara kambing ni. Mati saya, siapa nak jaga nanti. Pagi-pagi saya seorang saja yang ada di rumah ni.

Kalau perasan, dalam gambar di bawah ini ada dua buah beg plastik besar di hujung sana halaman. Sebenarnya, emak saya ni mengamalkan budaya kitar semula dengan tegarnya. Katanya, di sekolah kita ajar budak-budak supaya membudayakan kitar semula. Jadi kita sendiri pun kenalah buat. Jadi dalam plastik tu ada barang plastik dan aluminium yang diasingkan yang menunggu masa saja untuk diambil oleh orang kutip barang kitar semula ni. Kalau sayalah, tin susu manis ke, botol kicap ke, semuanya saya buang dalam plastik sampah yang sama dan hantar ke tong sampah. Saya kira, nanti ada la yang asing-asingkan bahan-bahan ini. Nampak gayanya, kesedaran sivik saya masih rendah. Tiba-tiba insaf dan rasa sayangkan bumi menggunung tinggi. Jadi, mari contohi emak saya. Budayakan amalan kitar semula. Sayangi bumi kita.

DSC_0070

Sepanjang bekerja di luar rumah tadi, dua ekor kucing inilah yang menemani saya. Maka saya pun berborak-boraklah dengan mereka. Kambing berborak dengan kucing menggunakan bahasa manusia. Hahaha.

DSC_0076

Sekarang, kedua-dua halaman belakang ni sudah bersih dari sebarang rumput panjang. Siapa-siapa yang teringin nak bergolek sakan, dijemput datang ke halaman belakang rumah saya. Hehehe.

DSC_0075

Ha, Kaklong, Nan, Adi dan semua cucu Tok Lebak, silalah tatap rambutan ni puas-puas. Jangan risau. Ni gambar rambutan kebun sebelah. Bukan rambutan Tok. Rambutan Tok ada banyak sangat lagi. Balik cepat sebelum puasa ok. Kita balun sama-sama.

Nota 1: Ada sesiapa perlukan tukang kebun? Hehe. Upah boleh dirunding. :mrgreen:

Nota 2: Selamat bergraduasi untuk kembar saya si Salman Faris! Yeay! Kita dah tamat belajar!

Posted on August 10th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »

Temuduga

Assalamualaikum wbt

Dalam seminggu ini, saya banyak menghabiskan masa terperuk dalam bilik. Perasaannya seakan-akan hendak menduduki State Exam yang lalu. Burkurung tak keluar-keluar. Sebab utamanya ialah saya mengulangkaji semula segala apa yang dipelajari dulu. Err… Sejak habis exam pada 11 Jun yang lalu, saya langsung tidak membuka buku. Memang cuti habis-habisan!

Kenapa saya perlu membuat ulangkaji? Kerana pada hari semalam (6 Ogos) saya perlu menghadiri temuduga untuk ambilan sebagai kakitangan perkhidmatan awam di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Putrajaya.

Alhamdulillah! Saya lepas dengan melalui sesi temuduga selama tiga minit sahaja! Rekod terpendek hari semalam. Huhu. Murahnya rezeki.

Nota 1: Dua hari lepas, saya terserempak dengan seorang kenalan sewaktu mengikuti SUNATHON (di Mersing dulu). Dia posting di Temerloh! WOW! (Nisa, sila diam. Hahaha) :mrgreen:

Nota 2: Saya rasa sekarang saya dah kena mula kena ambil tahu tentang urusan-urusan pembelian kereta dan yang sama waktu dengannya. :roll:

Posted on August 7th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang

Assalamualaikum wbt

Minggu lepas dua orang adik saudara saya yang menuntut di UiTM Shah Alam bercuti selama seminggu kerana UiTM dikuarantin. Sudah lama kami tidak berpeluang mengunjungi jeti tempat kami selalu berkumpul sewaktu kecil-kecil dulu.

DSC_0194

Jadi sehari sebelum mereka pulang semula ke Shah Alam, saya dan Hidayah ditemani dua orang adik saya, Azizi dan Aiman, kami ke jeti kampung kami, berjalan-jalan di tepi jalan bawah bukit rumah kami dan sekitar kawasan sekolah di sebelah rumah kami.

DSC_0203

Suatu masa dulu, kanak-kanak di seberang sana sungai kawasan ini akan bersekolah di sekolah di sebelah rumah kami ini. Pengangkutan ke sekolah ialah bot. Disebabkan itu, jeti di hadapan sekolah itu sangat terjaga dan berjasa besar untuk anak kampung seberang itu.

DSC_0207

Tapi sekarang mereka tidak perlu menggunakan bot lagi. Bukan kerana sudah adanya jambatan. Mustahil tu. Nak letak berapa banyak jambatan pula kan untuk merentas Sungai Pahang di Temerloh ini saja. Tapi sebuah sekolah rendah baru sudah dibuka di seberang sana. Jadi, perkhidmatan bot sekolah juga sudah ditamatkan. Dan faktor ini, bagi saya, menjadi punca mengapa jeti itu kini terbiar dan penuh dengan semak.

Sayang sungguh saya melihatnya. Sebenarnya, jeti kampung saya ini sangat cantik. Dari jeti, kami dapat melihat pulau yang terletak betul-betul di tengah-tengah Sungai Pahang. Pulau Lebak namanya. Dari atas bukit rumah saya pun sudah boleh melihat pulau ini. Tapi dari jeti, permandangannya lebih jelas. Di tebing jeti juga ada didirikan tembok batu untuk mengelakkan tanah runtuh. Sekali lihat, rupanya seakan-akan pemecah ombak di kawasan pantai atau dinding empangan. Sayangnya sekarang ni, dengan segala semak samun yang ada, tembok batu itu langsung tidak kelihatan lagi.

DSC_0216

Kemudian kami mendaki bukit sekolah rendah di sebelah rumah kami itu pula untuk pergi melawat tadika kami dulu. Bagi Hidayah, di situlah juga letaknya sekolah rendahnya. Sebaik tiba di hadapan tadika, sayunya hati melihat keadaan Tadika Kemas Lebak itu. Rupa-rupanya bangunan kayu lama itu sudah tidak digunakan sebagai tadika. Bangunannya sudah uzur benar. Tadika pula sudah berpindah ke bangunan Pejabat Penghulu di sebelahnya. Nampaknya, tiada proses baik pulih dijalankan selama ini sehingga akhirnya bangunan kayu itu reput dimakan anai-anai. Tapi memang baguslah dipindahkan tadika itu ke bangunan baru. Demi keselamatan anak-anak yang belajar.

Kami balik ke rumah dengan menggunakan jalan belakang. Kami merentas kawasan rumah dan kebun orang. Sebaik sampai di depan rumah Tok, kami pun duduk makan rambutan gula batu sehinggalah kedengaran azan Maghrib berkumandang.

Indahnya bila dikenangkan semula zaman kanak-kanak saya membesar di kampung ini. Kenangan saya bersekolah di kampung hanyalah ketika tadika dulu. Sekarang, saya sudah tidak jumpa kawan-kawan tadika saya dulu. Tapi saya masih ingat nama-nama mereka semua. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat dan rakan-rakan bermain. Apa khabarlah kamu semua ya.

Nota 1: Dulu-dulu kalau kami tujuh orang perempuan ni turun ke jeti, mesti akan ada yang nak mengorat. Tahu-tahu sajalah perangai budak lelaki macam mana kan. Tapi sekarang ni, sumpah saya kata, orang kampung saya tak kenal saya dan kalau yang lelaki memang tak berani nak tegur-tegur saya tak memasal. Ngahaha. Adik saya report, dia kata ada kawan dia kata muka saya garang. Saya memang garang apa. 😎

Nota 2: Saya teruja bila tahu ada salah seorang kawan lama zaman tadika (dan sekolah menengah) saya dulu membaca blog ini. :o

Posted on August 7th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Entri Emosi

Assalamualaikum wbt

Saya tak faham kenapa bila saya tulis entri yang berbunyi negatif sikit je, mulalah saya terima komen yang saya tak berminat nak baca. Tak kiralah, pasal malas ke, bosan ke, tertekan ke, sedih ke.

Saya tak maksudkan langsung yang saya tak hargai cuti dan masa lapang yang saya ada. Saya bukan maksudkan yang saya bosan dengan cuti saya ni. Saya maksudkan yang saya bosan sebab tiada kawan. Tanya emak saya. Berkali-kali dah saya katakan padanya yang saya sedih sebab kawan-kawan saya semuanya jauh. Saya bosan sebab saya tiada kawan yang tinggal berdekatan. Saya tak faham kenapa senang sangat nak salah tafsir benda yang mudah tu. Pasal aktiviti waktu cuti, takkanlah semuanya saya nak cerita di sini kot. Kalau setakat meneruskan hobi saya di waktu cuti ni, tu memang dah buat pun. Setakat nak menulis sajak, yang tu tak perlu ada kawan pun. Tapi ada situasinya memang kita nak bersama kawan. Tapi itu yang mustahil. Mungkin ada yang tak bosan 24 jam duduk sendiri-sendiri.

Tak payah mesej-mesej saya secara personal nak tegur-tegur tentang kenegatifan isi kandungan entri saya. Contact form yang saya sediakan di atas tu bukannya dikhaskan untuk tujuan itu. Maaf. Saya tidak suka. Saya cakap terus terang sebab saya rimas.

Saya ni bukannya pakar motivasi ke apa yang bersemangat sepanjang masa. Saya ni orang biasa. Apa tak boleh ke saya ada mood yang turun naik? Apa saya ni tak boleh rasa bosan ke? Tolonglah jangan salah faham dengan apa saya maksudkan dengan bosan tu. Saya bukan bosan dengan masa lapang yang saya ada. Bapaklah saya sukanya dengan cuti saya ni. Tapi saya bosan sebab tiada kawan-kawan tinggal berdekatan dengan saya. Dua perkara tu amatlah jauh berbeza maksudnya.

Patutnya saya tak payahpun nak emosional ke apa tentang hal ini. Tapi saya ni pun manusia biasa juga. Bengang betul saya bila disalahertikan pada perkara yang senang begini apatah lagi hal ni lumrah. Kalau nak baca cerita-cerita yang bermotivasi tinggi ke apa, bacalah laman web pakar motivasi. Anda pun senang hati.

Sekian.

Nota: Dan saya pun orang biasa yang boleh bengang bila-bila masa je.

Posted on August 3rd, 2009 by Sarah  |  No Comments »

Kebosanan Ini Membunuhku

Assalamualaikum wbt

Saya rasa hari-hari saya tidak berkualiti langsung sejak kebelakangan ini. Semalam, kebosanan betul-betul membunuh saya. Sedangkan pada masa yang sama saya sedar saya perlu membuat ulangkaji. Nota penuh di atas meja tetapi bacanya baru dua, tiga muka saja.

Bosannya tiada kawan berdekatan dengan rumah. Mati kutu saya duduk rumah tercongok seorang diri. Naik buai seorang diri. Termenung seorang diri. Melepek pun seorang diri. Makan seorang diri. Tidur lagilah seorang diri. Jadi buat masa ini, saya amat malas hendak mengemaskinikan blog dan saya nekad hendak membuat ulangkaji secara maksimum.

Salam. Daa~

Nota 1: Selamat pengantin baru buat Hanim dan Hanafee. Maaf tak dapat datang walimah awak berdua.

Nota 2: Kenapa tak ada kawan sebab semua kawan dah kahwin. :roll:

Posted on August 3rd, 2009 by Sarah  |  16 Comments »