Archive for the ‘Life’ Category

18 Tahun Lalu

Assalamualaikum wbt

Sudah 1 Mei. Sudah tiga minggu blog tidak berjengah. Keadaan kesihatan tidak mengizinkan dan setiap hari sebaik pulang dari kerja, selesai saja solat Maghrib, saya sudah terlantar di atas katil. Saya tahu saya masih berhutang cerita yang satu itu. Tapi tunggu dululah, ya. Semuanya sudah siap ditulis cuma masih belum ada masa untuk sentuhan terkahir. Hehe.

Hari ini genap 18 tahun kisah saya mati hidup semula. Syukur Ya Allah. Pada hari ini saya masih dipanjangkan usia. Tiada lain yang selayaknya untuk saya ucapkan melainkan Alhamdulillah. 18 tahun lalu saya hanyalah seorang budak perempuan buruk yang berusaha untuk menyembuhkan kulit badannya yang terbakar. Dan pada hari ini, saya sedang oncall di hospital membantu seorang kanak-kanak yang berparut terbakar di pehanya kerana terkena air panas. Hidup ini memang seperti roda. Sebaik terpandangkan kesan melepuh kanak-kanak itu, hati saya sangat sebak dan saya hampir-hampir menangis teringatkan saya yang dulu.

*Tiba-tiba termenangis sewaktu menulis entri ini*

Baiklah. Hari ini saya berumur 18 tahun ye. Sweet 18 gitu~ :mrgreen:

Nota: Ok ok. Janji! Entri seterusnya nanti ialah entri yang tertangguh tu ye. ;-)

Posted on May 1st, 2011 by Sarah  |  13 Comments »

Selamat Sebulan, Sayang~

Assalamualaikum wbt

Pejam, celik, pejam, celik, hari ini genap sebulan kami bergelar suami isteri. Tiada lafaz yang lebih layak melainkan Alhamdulillah wa syukru lillah. Hidup terasa sangat sempurna. Walaupun berjauhan, bagi saya, inilah kesempurnaan. Sebelum saya menulis dengan lebih panjang, masih belum terlambat untuk saya dan suami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan pembaca yang mengirimkan ucapan doa barakah untuk kami berdua. Juga untuk rakan-rakan yang sudi memeriahkan majlis kami baik di Temerloh mahupun di Putrajaya. Terima kasih tak terhingga. 😉

Sebulan bergelar isteri, ada banyak perkara baru yang saya pelajari tentang suami saya. Serba-serbi baru. Yang boleh saya simpulkan di sini, bercinta selepas kahwin adalah awesome! 😉 Pada hari kenduri di sebelah pihak saya, sebelah malamnya itu juga saya terus mengikut suami pulang ke rumah keluarganya di Putrajaya. Iya. Dia bekerja pada keesokan harinya. Sadis sungguh, kan. Hehe. Di saat hendak meninggalkan rumah pada malam itu, saya sangat sebak sewaktu bersalaman dengan emak dan ayah. Pertama kali dalam hidup saya dilepaskan keluar dari rumah mengikut seorang lelaki. Dan yang pertama kali itu ialah mengikut seorang yang bernama suami. Dan selama beberapa hari bergelar surirumah untuknya di sana, saya dijaga pula oleh keluarga mertua . Alhamdulillah. Saya dikurniakan mertua yang sangat baik dan comel. Sentiasa mesra walau di mana mereka berada. Terima kasih umi dan baba! 🙂

Suami saya pendiam dan kelihatan serius orangnya. Tapi bila dengan saya, dia banyak cakap dan kelakar sebenarnya. Hihi. Kalau dia tersenyum atau ketawa, matanya sepet terus sampai tak terbuka dah. Macam Cina! Oh, comelnya dia! Dia suka kopi. Saya pun suka kopi. Tapi dia lagi suka kopi. Lebih suka daripada saya suka kopi. Eh, berbelit-belit ayat saya. Tapi memang hakikatnya dia suka kopi. Pagi-pagi sebelum pergi kerja, dia suka bersarapan dengan kopi dan karipap sardin. Kalau hari-hari makan karipap sardin pun dia kata tidak kisah. Pelik juga. Tapi memang dia suka. Suami saya tidak makan tempoyak. Tapi nasib baik dia masih makan durian. Hehe. Suami saya menitikberatkan tentang perkembangan rohani. Tentang ma’thurat, mengaji, usrah dan tarbiah. Alhamdulillah. Saya tidak salah memilih calon untuk dijadikan teman hidup saya dunia dan akhirat, insya Allah. 😉

Saya tahu saya masih berhutang dengan kamu semua tentang kisah bagaimana kami berjumpa, di mana titik pertemuannya. Insya Allah, kalau tiada aral akan menyusul dalam entri yang seterusnya. Kebetulan pula saya masih bercuti sehingga hari esok. Saya akan cuba kemas kinikan entri secepat mungkin ya.


Buat suami tercinta, selamat ulangtahun sebulan, Abang. Sarah sayang Abang dunia dan akhirat. Terima kasih kerana memberi Sarah bahagia dan syurga dunia. Dan pimpinlah keluarga kita menuju syurga akhirat. Jangan lupa balik Temerloh Jumaat ni ya. Sarah tunggu Abang balik~ 😉

Nota 1: Semua gambar adalah hasil sentuhan sahabat baik saya, Acai. Memang superb! Terima kasih sahabat 🙂 Lagi gambar di entri ini dan ini. Dan sila like Acai Jawe Photography di Facebook 😉

Nota 2: Di saat inai masih merah di jari, ada sesuatu telah terjadi. Nantikan ceritanya nanti ya. :cool:

Posted on April 12th, 2011 by Sarah  |  50 Comments »

Fasa Baru: Sarah & Thaariq

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Syukur yang tak terhitung tingginya buat Yang Maha Esa.

Dengan sekali lafaz, saya dan suami selamat diijabkabulkan pada 12 Mac 2011 yang lalu. Syukur tak terkata. Perasaannya sangat lain selepas disahkan sebagai suami isteri. Serius. Sangat lain. Rasa lega, gembira, terharu, bahagia dan yang paling utama, rasa sangat tenang hati. Alhamdulillah.

Buat suami saya, Ahmad Thaariq Mohd Khairudin, tiada lain yang boleh saya katakan melainkan: Terima kasih kerana sudi mengambil Sarah sebagai isteri.

Semalam, sebaik saja suami saya pulang dari kerja (Iya, dia sudah mula bekerja. Saya tinggal di rumah sebagai suri rumah sepenuh masa. Hihi), dia bertanya:

Thaariq: Sarah dah update blog?
Sarah: Belum lagi. Kenapa?
Thaariq: Cepat-cepatlah update. Ramai yang tunggu.

Hihi. Comel betul dia. Suami pula yang mengingatkan saya untuk mengemaskinikan blog. Jadi disebabkan petang ini saya ada sedikit masa lapang sementara menanti dia pulang, jadi saya berkesempatan untuk menatap blog buat seketika (lama juga sebenarnya, huhu). Gambar-gambar belum ada pada kami. Semuanya masih ada pada ahli keluarga kami dan juga official photographer of the day, Acai! Jadi, tengok teaser saja dululah ya.

 

This is my soulmate, till Jannah, insya Allah.

Nota 1: Saya sebak sewaktu hendak meninggalkan emak ayah untuk mengikut suami balik ke rumahnya. :cry:

Nota 2: Syukur yang tak terhingga dikurniakan mertua yang sangat memahami dan sentiasa memberi nasihat dan motivasi. ;-)

Posted on March 16th, 2011 by Sarah  |  50 Comments »

1 Hari

Assalamualaikum wbt

Kurang 24 jam daripada sekarang, segalanya akan berubah. Saya akan bersuami, mempunyai mertua, ipar duai dan yang paling penting, tanggung jawab saya juga akan bertambah satu lagi.

Saya teringat apa yang Kaklong katakan selepas perkahwinannya dulu. “Perkahwinan ini adalah satu amanah dan pada amanah ini ada ibadah. Rindukan suami kita pun adalah ibadah. Jadi, kalau rindukan dia banyak-banyak, pahala pun akan banyak juga.”

Semoga ikatan yang akan terbina ini terlindung daripada sebarang fitnah, dilimpahi barakah, dikekalkan kami bercinta dengan penuh mawaddah dalam membina keluarga yang sakinah, menguatkan kami untuk kekal di jalan dakwah dan kini saya belajar untuk menerima hakikat, berjauhan selepas bernikah nanti adalah satu proses mengumpul dana pahala untuk kami berdua, yang perit tapi indah. 😉

Doakan kami ya, kawan-kawan. 😉

Kepada yang berkelapangan, jemputlah ke Temerloh pada Ahad ini ya.

Posted on March 11th, 2011 by Sarah  |  43 Comments »

1 Minggu 1 Hari

Assalamualaikum wbt

Malam ini saya oncall. Pada masa yang sama saya demam. Sudah tiga hari demam. Masih belum kebah. Hari ini ditambah pula dengan batuk. Cukup pakej tiga serangkai; demam, batuk dan selsema. Dalam tempoh sebulan lebih ini, saya terlalu banyak oncall, kurang rehat dan pada masa yang sama tertekan dengan tanggungjawab saya sebagai ketua HO di jabatan ini kerana terpaksa menyediakan jadual oncall bulanan untuk HO. Setiap hari akan ada lima orang yang oncall dan pada masa yang sama saya perlu memastikan jadual oncall itu tidak bertindih dengan cuti yang telah diminta oleh mereka serta memastikan kelancaran tugasan di klinik pesakit luar, unit rawatan harian dan bilik endoskopi.

Apa yang boleh saya kata, hampir setiap selang setengah jam mesti ada yang menelefon. Sama ada bertanyakan jadual oncall ataupun terpaksa melayan permintaan HO lain yang mahu menukar jadual oncall secara last minute ataupun permintaan peribadi atas sebab-sebab tertentu. Dan jika ada HO yang cuti sakit secara tiba-tiba atau MC dan pada masa yang sama tiada HO lain yang available untuk oncall, secara sukarela saya terpaksa mengambil oncall tersebut. Bulan lepas terlalu kerap saya oncall secara every other day (EOD). Biasanya pada hari yang saya oncall, saya akan membawa sebuah beg khas yang sudah sedia berisi dengan kelengkapan alat mandi, baju salinan dan sedikit bekalan makanan. Jadi, disebabkan oncall saya secara EOD, jika terlihatkan saya menggalas beg oncall itu, emak atau ayah akan menyapa: Aik, oncall lagi hari ni? Aduh. Stress saya bila diajukan soalan itu. Hari itu ketika menyalam ayah sebelum pergi kerja, saya berkata kepada ayah: Sedihnya setiap kali ayah tanya macam tu. Lain kali jangan tanya. Ayah diam je. Kalau tak Ngah sedih.

Huhu. Dilema seorang HO, anak dan bakal pengantin. 😛

Tapi Alhamdulillah. Ada hikmahnya saya banyak oncall bulan lepas. Ini ayat motivasi untuk diri sendiri ni. Hehe. Saya lebih memahami pakar-pakar saya dan pada masa yang sama, saya akui, saya jauh lebih komited dan sangat bertanggung jawab dengan kerja yang saya lakukan. Saya lebih matang dalam segalanya. Saya harap perkembangan positif ini dapat menjadi bekalan saya untuk menjadi MO lebih kurang 6 bulan dari sekarang, insya Allah.

Ok. Cerita tentang kahwin pula. Haa. Saya tahu ada yang cuba-cuba google nama saya dan bagi yang sudah tahu nama tunang saya, habis dengan tunang saya sekali di-google-nya ya. Hehe. Ish ish ish. Apa sajalah kamu semua ni. Macam-macam keyword yang ada dalam carian kamu semua ya. Tergelak-gelak saya membacanya. Insya Allah memandangkan tempohnya tinggal 8 hari saja lagi, mari saya kongsikan siapa tunang saya.

Insya Allah, teman yang Allah hadiahkan untuk saya diberi nama Ahmad Thaariq Bin Mohd Khairudin. 🙂

Kami bertunang pada 13 November yang lalu. Mesti ramai yang tertanya-tanya apa kisahnya disebalik pertunangan ini, kan. Kami ni orang yang dekat tapi jauh, jauh tapi dekat. Hehe. Tak naklah cerita apa-apa sekarang. Tunggu semuanya selesai dulu ya. 🙂

Hmm. Sekarang hanya tinggal seminggu sehari saja lagi sebelum kami bernikah. Wah! Dah boleh kira dengan jari saja! Tapi ini yang buat saya terfikir-fikir. Bagaimanalah keadaannya nanti kalau kehidupan saya sebagai seorang houseman officer masih sibuk dan padat sebegini. Kadang-kadang saya terfikir, seronoknyalah kalau boleh jadi housewife saja. Hehe.

Tapi saya ingat semula apa matlamat dan peranan saya sebagai doktor muslimah. Dan saya nak buktikan doktor perempuan pun boleh mengurus keluarga dengan baik, insya Allah.

Nota 1: Nanti saya letakkan pelan ke rumah saya ya. 🙂

Nota 2: Terima kasih pada emak, ayah dan Mak Tam yang sangat banyak menolong saya membuat persiapan. 🙂

Posted on March 4th, 2011 by Sarah  |  69 Comments »