Archive for the ‘Life’ Category

Hidup Baru

Assalamualaikum wbt

Saya kira ini entri terakhir saya sebelum kelas bermula hari Jumaat ini. Tiada apa yang hendak saya katakan cuma mulai Jumaat ini sehingga bulan April nanti, saya tidak akan ada banyak masa untuk menulis di sini. Jadual saya padat. Di bawah ini ialah jadual Tahun 5, Semester 10 untuk group saya, Group 6. (Saya buka dan download dari website MMA, dalam Bahasa Rusia. Mungkin kamu tak faham. Boleh klik untuk gambar yang jelas).


Yang saya gariskan hijau ialah subjek-subjek untuk bulan Febuari dan yang digariskan dengan warna merah adalah subjek-subjek untuk bulan Mac. Ke semuanya terletak di hospital yang berbeza dan jauh. Seawal 7.15 pagi saya perlu bertolak dari rumah. Sepanjang Febuari (Infectious Diseases dan Traumatology), kelas bermula dari jam 9 pagi sehingga 2.30 petang. Hanya akan tiba di rumah sekitar jam 4 petang. Beginilah setiap hari termasuk Sabtu. Sepanjang Mac pula (Pediatric dan Psychiatry), kelas setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang. Alhamdulillah tiada kelas pada hari Sabtu. Dan ada 7 disiplin mempunyai Final Exam untuk sem ini!!!

Tinggal dulu ya semua. Jaga diri, jaga iman. Kamu semua sentiasa di hati saya 🙂

Motivasi: Setahun je lagi nak habis, Sarah!

Rabbi yassir wala tu’assir… Wahai Tuhanku, Kau permudahkanlah dan jangan Kau susahkan… Amin.

Posted on February 6th, 2008 by Sarah  |  49 Comments »

Nota Kecil Di Bangunan Dekan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya berjaya mendisiplinkan diri untuk bangun awal pagi seperti hari lazim ke kelas. Tepat jam 6.15 pagi, jam yang dikunci pun berbunyi.

Pagi masih gelap. Tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seorang kawan. Katanya mahu berjumpa dengan segera di lobi bangunan dekan yang terletak di Trubetskaya Street. Tidak jauh dari rumah. Kurang lebih 10 minit saja berjalan kaki. Saya bersiap pantas. Melihat suhu Moscow di internet. Tidak sejuk. -2’C saja. Saya hanya mengenakan blaus biru muda dan tudung biru putih dan disarungkan dengan kot labuh hitam separas lutut. Cukup.

Tibanya di sana, saya melepasi pintu kawalan keluar masuk pelajar. Selepas menunjukkan pas pelajar, mata saya melilau melihat sekeliling lobi. Kawan itu tiada. Saya terpusing-pusing di tangga utama menuju ke Dewan Persidangan Saintifik di tingkat satu. Tak semena-mena, saya didatangi seorang pelajar tempatan yang bertanyakan nama saya. Selepas saya mengiyakan nama saya Sarah, pelajar tahun 5 dari Malaysia, pelajar itu menghulurkan sekeping nota kecil. Katanya, nota buat saya.

Sarah,
Saya tunggu dalam Conference Hall.
Cepat. Nanti awak lambat.
-Kawan-

Saya pelik. Lambat untuk apa pula? Saya tetap mendaki tangga menuju ke dewan itu. Dari jauh saya lihat pintu utamanya yang di hadapan, di sisi kanan dewan terbuka luas. Dari situ, orang di luar boleh melihat pentas dan layar di hadapan. Sebaik tiba di situ, saya tercegat. Melihat satu susuk yang sedang hebat membuat pembentangan di atas pentas. Lengkap dengan sebuah laptop, LCD dan layar putih yang memaparkan projek pembentangan. Dia kelihatan kemas dan bertambah hebat dengan mikrofon yang sedang dipegangnya itu.

Iya. Itu kawan saya. Yang tadi dicari-cari. Berkemeja ungu gelap. Bertali leher kuning cair yang cocok dengan kemejanya. Saya terpegun melihat pembentangannya dari luar dewan. Ya Allah. Hebatnya dia… Siapa-siapa sajalah aku ini Ya Allah… Siap dengan tajuk besarnya tertayang di skrin itu: ‘To Expedite, Confirmation, Maintainance and Follow-Up Projects’. Saya terasa kerdil berdiri di situ.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Saya laju mengeluarkannya dari poket dan membuka membuka lipatan flipped phone itu. Nyatanya, setelah menekan satu butang, bunyinya berhenti. Tapi saya tidak mendengar sebarang suara apatah lagi berbual. Yang dapat saya lihat, jam digital pada telefon berkelip-kelip menunjukkan jam 7.15 pagi.

Ya ampun! Saya bermimpi rupanya! Jam 6.15 pagi tadi saya telah terbangun seperti biasa tapi kemudiannya tertidur semula. Hanya saja apabila alarm kedua yang saya setkan pada jam 7.15 berbunyi, baru saya tersedar sepenuhnya.

Logiknya juga, universiti saya masih bercuti. Sangat jarang ada pelajar berlegar-legar di lobi bangunan dekan. Keduanya, universiti saya sebuah akademi perubatan sepenuhnya. Tiada kursus selainnya ditawarkan di sini. Tetapi pembentangan kawan saya itu berkisar tentang bidang kejuruteraan. Dan ketiganya kawan saya itu di Malaysia. Bukannya di Moscow ini.

Kesimpulannya, lain kali terus bangun apabila alarm berbunyi. Jangan snooze. Kelas sudah hampir bermula semula. Bahaya amalkan snooze alarm dah lepas ni. Faham tak, Sarah?

Uwaa… Mimpinya rupanya saya pagi tadi! Oh, hati. Rindukan Malaysiakah kamu? Titik, titik, titik.

Posted on February 5th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »

Dunia Saya

Assalamualaikum wbt

Subuh pagi tadi, bumi di luar bagai hamparan permaidani putih. Serba putih. Salji turun dengan lebat tapi halus-halus saja butirannya. Sekitar pukul 10.30 pagi, tiba-tiba matahari menerik. Terik sungguh. Sehinggakan keping-keping salji dibirai atap jatuh mencair. Dan salji di langit luruh sebagai hujan. Bumi basah. Saya terasa panas kerana baru sudah bersenam. Membuat regangan ringan saja. Tapi gembira melihat ada terik kuning masuk ke bilik.

Jam 11.30 pagi, saya duduk di meja. Membaca buku dan makan biskut. Biskut Fitness. Tekak mahukan nasi lemak. Tapi siapa yang rajin mahu masak? Saya tersenyum membaca kisahnya Khairul Azzam. Untung Ayatul Husna punya abang sepertinya. Saya tiada abang. Jadi saya cemburukan Ayatul Husna. Boleh tak begitu?

Saya toleh memandang tingkap. Langit luas melaut. Langit hari ini sangat biru. Oh, hati saya gembira. Sudah terlalu lama tidak nampak rona biru terang di langit. Ada tompok-tompok putih juga. Cantik. Lama juga saya memandang langit tanpa menyedari air di dalam gelas sudah menyejuk.

Saya tarik gelas mampir ke diri. Saya pusingkan badannya. Ada gambar empat ekor anak kucing comel. Padanya tertulis:

Dlya tebya, s lyuboviyu… Buat kamu, dengan penuh kasih…

Saya tersenyum. Dan terus tersenyum. Ironinya, gelas ini dibeli sendiri, bukan dihadiahi 🙂

Posted on February 4th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »

Bila Kad Dan Buku Bertemu

Assalamualaikum wbt

Dua hari lepas, saya terkejut menerima dua kiriman. Satu dari Malaysia dan satu lagi dari Indonesia.

Kiriman pertama adalah daripada Rynn Arunak Arina Ku Sayang. Sekeping Kad Hari Lahir yang beralamat dari Kuching, Sarawak. Terima kasih banyak-banyak Ryn! Saya sangat suka kata-kata dalam kad tu. Terharu. Pasal nombor yang ditunggu-tunggu, nanti saya SMSkan ye. Terima kasih Ryn Ku Sayang!

“Red roses to keep you warm with love, pink roses to wish you all the happiness in th world and peach roses to say thank you for being a great friend. I’ve more roses for you. And these are white – so full of reverence and such a heavenly sight.”

Kiriman kedua pula adalah sebuah bungkusan kecil. Pada mulanya saya tidak dapat mengagak siapa pengirimnya. Tetapi sebaik melihat kandungannya, saya menjerit gembira kerana saya mendapat novel Ketika Cinta Bertasbih 2! Dan sungguhpun tiada nama pengirim disertakan (nak rahsia-rahsia kot), tapi melihatkan tulisan tangannya saja saya sudah tahu siapa itu. Terima kasih Isa Azzaki! Sangat gembira dan terharu dengan tanda ingatan dari awak ni. Saya ada kirim SMS untuk maklumkan bungkusan sudah selamat diterima tapi saya rasa awak tak dapat SMS tu sebab saya tak dapat sebarang delivery report pun. Huruf S dan Z awak agak unik. Jadi saya cam tulisan tu. Apa-apapun, terima kasih Isa! Untuk pengetahun semua, ini buku keempat yang saya terima daripada Isa. 3 yang lain ialah Ayat-ayat Cinta (versi Indonesia), Ketika Cinta Bertasbih 1 dan Suzana (novel pembangunan jiwa di Malaysia hasil tulisan ayah Isa sendiri). Kesimpulannya, Isa memang baik!!!!!!

“People are like stained-glass windows. They sparkle and shine when the sun is out but when the darkness sets in, their true beauty is revealed only if there is a light from within” [Elizabeth Kubler Ross : 1926-2004]

Kaut rumput kemuncup tersisih,
Semalu mendiam lalang memanjang,
Kukenang kuucap terima kasih,
Sepanjang hayat akan kukenang.

Bila kad dan buku bertemu, saya benar-benar terharu!

Selamat Hari Lahir yang ke-21 buat Fatini Najwa (Housemate). Fatt, meriah sungguh malam ni bila Shaun, Khairul, Shashi, Reza, Ika dan Arzilza datang kan. Semoga hidup kamu diberkati Allah.

Nota: Fareena, siap kamu ye. Ada ke patut dia kata bunyi huruf S yang Mouth (One Tree Hill) sebut macam saya. Aiishhhh… :

Posted on February 3rd, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Kita Ini Manusia

Assalamualaikum wbt

Bangun dari tidur pagi tadi (31 Jan), saya sedar saya sedang memegang Ma’thurat saya. Tenangnya hati pada waktu itu. Saya menghabiskan 2 jam tengahari tadi menghafal semula jenis-jenis rawatan untuk beberapa penyakit. Senangnya ilmu masuk hari ini. Macam air mengalir. Kemudian saya berehat sebentar dengan membuka beberapa blog kawan-kawan.

Saya terpempan membaca perkongsian yang ditulis oleh Hidayat. Tidak pernah saya membayangkan seperti apa yang diceritakannya ini. Bacalah coretannya kali ini. Moga-moga kita dapat menilai semula diri kita. Ya. Kita manusia memang tidak pernah lari dari salah dan silap tetapi kita tidak pernah terlambat untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dan selepas membacanya, saya terfikir apalah agaknya yang kamu semua dan rakan-rakan, baik yang sekarang mahupun kawan-kawan lama fikirkan tentang saya. Saya dengan rendah diri memohon maaf atas segala salah silap, bahasa yang kasar mahupun tindakan yang tidak menyenangkan yang pernah saya lakukan. Maaf dengan sangat.

Semalam 31 Januari 2008. Hari penyudah bulan Januari. Juga hari bersejarah buat seorang insan yang cukup penting dalam hidup saya. Kak Nuranisa Anuar. Seorang senior yang saya kenali sejak zaman sekolah dahulu. Yang sudah saya anggap seperti kakak kandung. Ketika saya masuk ke KISAS, Kak Ani sudahpun tamat SPM. Kami menjadi rapat kerana Kak Ani datang membimbing pasukan bahas ketika itu.

Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke-25 buat Kak Ani. Semoga redha Allah sentiasa bersama Kak Ani. Juga Selamat Bertunang buat Kak Ani dan Abang Ewan. Semoga impian Kak Ani dan Abang Ewan untuk hidup bersama dipermudahkan Allah. Nasib baik majlisnya bulan Ogos nanti. Kalau tak, saya merajuk tau Kak Ani. Nampaknya ada 2 walimah orang penting dalam hidup saya yang akan saya hadiri ketika pulang nanti. Walimah sahabat baik saya Faaiqah dengan pasangannya (juga sahabat saya) Saufi dan walimah Kak Ani dan Abang Ewan. Gembira betul saya. Mereka berdua inilah penyimpan mohor-mohor besar untuk diri saya. Sekarang tinggallah saya seorang nampaknya.

Dan pada hari ini pula (1 Februari), Selamat Hari Lahir yang ke-13 buat Adik Azizi. Ngah doakan Zizi diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan dalam menuntut ilmu dan dipanjangkan umur. Macam yang Ngah mesejkan pada Zizi, semoga Zizi jadi anak yang baik, tak tinggal solat, tak melawan kata dan rajin belajar. Ngah gembira dengar Zizi suka kelas baru Zizi ni. Walau macam mana sekalipun keadaan Zizi, Ngah sayang Zizi. Sayang dengan sangat.

Salam maaf atas segala kekhilafan diri sepanjang saya bernama Sarah buat kamu semua. Salam sayang buat Kak Ani sepanjang saya bergelar Aya dalam hidupnya. Dan salam rindu buat Adik Azizi sepanjang Ngah menjadi kakak buat Zizi.

____________________________________________________________

Hari buat dia:

85) Petikan dari Ma’thurat – Ya Allah, aku terjaga (atau tertidur) olehMu dalam nikmat afiah (keselamatan dari bencana) dan terjaganya dari rahsia-rahsia (dosa-dosa)ku. Maka sempurnakan nikmatMu, afiahMu dan penjagaanMu itu ke atasku di dunia dan di akhirat. Doa ini cukup memotivasikan hari dan tidur kita. Semoga Ma’thurat terus menjadi amalan kita semua. Motivasikan diri kita untuk rajin mengamalkannya.

Posted on February 1st, 2008 by Sarah  |  23 Comments »