Archive for the ‘Isu Perubatan’ Category

Mandi Malam Dan Asthma

Assalamualaikum wbt

Sekarang tepat 12.55 pagi. Semakin lama habit mandi tengah malam saya semakin menjadi-jadi. Kalau dulu paling lewat sekitar 11.30 sudah selesai. Sekarang ni, sekitar 12.15 baru nak bersiap tutup buku untuk mandi. Kalau di rumah, saya mesti ditegur oleh emak. Emak kata, dah tengah-tengah malam sejuk ni baru nak mandi. Tak takut batuk ke. Oh. Kalau emak panjangkan lagi ceramahnya pun, saya tetap akan mandi juga.Mandi malam itu nikmat. Saya suka sejuk! (senyum lebar mata tertutup buat muka puas hati)

Sebenarnya, lain orang lain ketahanan fizikalnya terhadap cuaca sejuk. Memang ada keburukannya mandi malam kerana secara umumnya suhu pada waktu malam lebih sejuk. Penjelasan saintifik tentang larangan mandi malam ini adalah kerana proses pengecutan saluran pernafasan kita berlaku lebih aktif dengan adanya rangsangan suhu sejuk. Bronchospasm namanya. Selain proses pengecutan atau pengecilan saluran bronchus ini, lapisan dalamnya juga akan lebih aktif untuk menghasilkan cecair pelincir atau mukus.

Fungsi mukus ini adalah sebagai cecair pelindung untuk dinding dalam bronchus. Secara normalnya, mukus ini akan dibuang keluar melalui proses batuk dan pembuangan mukus ini (terutamanya di waktu pagi) boleh membersihkan salur pernafasan kita. Malangnya, bagi yang tidak tahan dengan cuaca sejuk, keadaan suhu yang rendah boleh menjadi trigger factor (faktor perangsang) yang menyebabkan mukus dihasilkan dengan banyaknya. Jadi, salur pernafasan kita akan semakin mengecil. Ditambah pula dengan bronchospasm yang terjadi yang berkadaran dengan faktor suhu ini, kes sebegini dikelaskan sebagai Bronchiol Asthma. Lelah dalam Bahasa Melayunya. Simptom yang paling mudah dilihat ialah semput nafas, batuk dengan penghasilan kahak yang banyak, postur badan yang sedikit menunduk ke depan untuk memudahkan bernafas dan pucat.

Asthma sebenarnya lebih kerap ditemui di kalangan kanak-kanak. Ketika posting Pediatric, saya kasihan sungguh melihat kanak-kanak berumur 3 ke 10 tahun yang menghidap asthma. Semput yang mereka alami menyebabkan saya rasa saya sendiri pun semput sama. Semput melihat mereka semput. Sebab saya tahu susah bagi mereka untuk bernafas dalam keadaan itu. Aktiviti harian mereka pun terbatas.

Selain cuaca sejuk, asap rokok, bulu binatang, debunga, habuk dan bermacam-macam lagi faktor peransang yang lain, ada sejenis lagi asthma yang terjadi bukan kerana faktor ini. Kes asthma ini adalah disebabkan alahan kepada sejenis ubat: Aspirin. Maka dinamakannya sebagai Aspirin-induced Asthma. Mengapa hal ini terjadi? Dengan mengambil NSAIDs, proses penghasilan sejenis metabolit (Leukotriene) menjadi dominan. Bahan ini menyebabkan segala aktiviti berkaitan dengan saluran pernafasan menjadi aktif. Ini termasuklah bronchospasam, pertambahan mukus, radang hidung dan lain-lain lagi.

Jadi saya simpulkan semula tentang kaitan mandi malam dan kesannya kepada kesihatan kita. Semuanya bergantung kepada tahap ketahanan fizikal individu itu sendiri. Kalaupun bukan mandi malam, aktiviti yang berkadaran ialah mandi hujan/berhujan. Berkenan dengan asthma ini, terdapat banyak kaedah rawatan yang digunakan sekarang. Sebagai langkah keselematan, pesakit kebiasaannya membawa inhaler mereka ke mana saja. Rawatan untuk asthma membawa matlamat yang sama: untuk mengurangkan bronchospasm supaya saluran pernafasan kembali bebas untuk membawa bekalan udara yang secukupnya ke paru-paru sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang. Untuk serangan asthma yang kuat, pesakit wajib dikejarkan ke hospital secepatnya. Inhaler tidak lagi dapat membantu dalam kes ini.

Nota 1: Asthma adalah penyakit yang rutin di kalangan kanak-kanak.

Nota 2: Saya harap dengan perkongsian di dalam Bahasa Melayu ini dapat menambahkan lagi tahap pemahaman semua tentang mekanisme asthma. Kadang-kala, ramai yang setakat tahu asthma tu ialah semput nafas tetapi kenapa terjadinya asthma itu, masih ramai yang tidak jelas. 🙂

Nota 3: Saya pernah mendapat asthma. Sekali saja. Kerana overdose allgergic saya terhadap daging sehingga menyebabkan saya semput nafas di waktu malam. Dalam kes saya, faktor perangsang adalah makanan. Nah. Terbukti saya boleh terus mengamalkan habit mandi malam kerana saya bukannya penghidap tipikal asthma. 😀 Lagi satu, suhu di dalam rumah di sini adalah panas. Memanglah bersalji di luar sana tapi di dalam rumah, sistem pemanas berjalan 24 jam. Tambahan pula katil saya di tepi pemanas. Panas! Tapi di Malaysia saya mandi malam bukan sebab panas. Tapi sebab saya memang berjaga malam sehingga ke Subuh. Kiranya, mandi malam tu menyegarkan lagi sesi kehidupan saya di malam harilah. Huhu~ 😛

Nota 4: Sevodnia Pyatnitsa. Davaite chitaem solawat k nasyemu Proroku Muhammad SAW. (Hari ini hari Jumaat. Mari kita bacakan selawat buat Nabi kita Muhammad SAW.) “Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala aalihi wasohbihi tasliman kathira.”

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »