Archive for the ‘Birthday’ Category

7 Ogos 2008

Assalamualaikum wbt

Ini entri wajib. Hutang yang saya janjikan dengan beberapa insan penting dalam hidup. Maka saya hendak menyempurnakan segalanya supaya tiada hutang lagi. Sempena Ogos ini, di dalam keluarga saya saja ada ramai yang menyambut ulang tahun kelahiran. Terlebih dahulu, saya ucapkan Selamat Pengantin Baru buat sahabat saya Nadia dan Alif (KB 2 Ogos 2008), sepupu saya Along Hafiz dan Kak Ain (Shah Alam, 3 Ogos 2008), juga buat teman terbaik merangkap abang yang paling saya hormati, Abang Khairil dan Kak Salwa (Teluk Intan, 9 Ogos 2008) dan senior bahas yang paling saya rapat merangkap kakak yang paling banyak menyimpan rahsia saya sejak 8 tahun dahulu, Kak Anisa dan Abang Ewan (Serdang, 16 Ogos 2008). Juga buat kenalan yang menjadi pembaca MW, Mahani dan Hafiz (KL, 23 Ogos 2008), 2 pasangan junior di Moscow, Awe dan Dayout (Johor, 9 Ogos 2008) serta Rafeeq dan Sikin (Klang, 17 Ogos 2008). Selamat Pengantin Baru. Semoga hidup kalian dalam redha Allah sentiasa. Juga takziah buat keluarga Abang Nizam dan Kak Maslina sekeluarga atas pemergian ibu kepada Kak Maslina pada petang semalam (Temerloh, 6 Ogos 2008). Semoga arwah ditempatkan di kalangan mukminin yang lain.

Dan pada tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kombo untuk 9 orang sekali gus.

Buat Kaklong, Selamat Hari Lahir yang ke-25 (9 Ogos). Ngah doakan awak berjaya menjadi pendidik yang bercita-cita tinggi dan lain dari yang lain.
Buat adik saya Adi, Selamat Hari Lahir yang ke-17 (10 Ogos). Semoga cemerlang dalam SPM tahun ini dan semoga awak kekal menjadi anak yang baik dan contoh kepada adik-adik.
Buat sepupu saya Ahmad Ridhuan (Wawan), Selamat Hari Lahir yang ke-19 (11 Ogos). Semoga dapat fly ke Australia pada Febuari depan dan kekal menjadi cucu contoh buat adik-adik saudara yang lain. Ngah bangga dengan apa yang awak buat sewaktu pemergian arwah Chik dulu. Awak contoh produk KISAS yang berkualiti =)

Juga buat dua orang rakan blogger, Azwan Ngali (8 Ogos) dan Yasir Tamizi (11 Ogos). Selamat Hari Lahir yang ke-24 buat awak berdua. Selamat menamatkan dunia kolej untuk Azwan dan selamat membina kerjaya untuk Yasir. Didoakan yang baik-baik saja ya.

Juga Selamat Hari Lahir yang ke-18 buat dua orang sepupu saya, Sufyan (18 Ogos) dan Liyana (29 Ogos). Selamat meneruskan pelajaran di peringkat tinggi. Jangan main-main. Terlalu banyak yang menanti di hari muka. Buat seorang teman lama, Afifi Saifuddin di CSMU, Selamat Hari Lahir (7 Ogos). Saya tak pernah lupa tarikh ini sejak hampir 10 tahun yang lalu. Dan Syam Leokid, Selamat Hari Lahir juga buat kamu (11 Ogos). KS ingat tau =)

Buat semua, Terima Kasih kerana sudi membaca blog ini selama ini. Maaf atas segalanya. Saya undur diri dengan harapan tiada dendam berbekas di hati dan terima kasih atas ukhwah yang telah diberikan. Hidup saya ceria kerana dapat mengenali kamu semua. Kamu semua tahu siapa kamu semua dalam hidup dan hati saya.

Hari ini hari Khamis, 7 Ogos 2008. Assalamualaikum wbt.

Posted on August 7th, 2008 by Sarah  |  48 Comments »

Momenti Radosti

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya hati saya bercampur-baur ketika menulis entri ini. Pertamanya, kerana jam di saat ini menunjukkan jam 2.03 pagi. Saya tahu saya sudah terlambat untuk satu detik yang bermakna tapi saya tidak sengaja terlepas akan detik itu kerana memberi peluang perkara lain yang saya rasa lebih utama berlaku dahulu. Hari ini 12 Jun. Tarikh penting buat seseorang yang telah lama saya kenal. Maka saya sengaja biarkan detik 12 malam tadi sepi dari sebarang khabar dan ucapan daripada saya kerana saya hendak memberi peluang dia bersama rakan-rakannya buat kali terakhirnya di Moscow ini.

Dialah Khairil Idham Ismail. Seorang senior yang telah saya kenali sejak di bangku sekolah ketika di Klang. Seorang yang saya anggap Abang terbaik yang pernah saya kenali. Seorang yang juga saya anggap sebagai sahabat terbaik yang saya punya di sini. Yang juga mejadi tempat rujukan saya dalam pelbagai masalah. Yang menjadi sifu saya dalam pelbagai bidang. Baik agama, penulisan dan juga fotografi.

Saya rasa sudah ramai daripada rakan-rakan pembaca mengenali Abang Khairil. Saya pernah menulis tentangnya dulu. Tahun ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dia akan bergaduasi pada bulan Julai ini. Akhirnya penantian 6 tahun di sini akan berakhir sudah untuk dirinya. Akan kembali ke tanah air bergelar seorang doktor muda.

Abang Khairil, kalau tahun-tahun sebelum ini saya menjadi orang pertama yang menghubungi Abang Khairil tepat jam 12, maafkan saya kerana kali ini saya tertinggal entah menjadi yang keberapa. Saya sebak sebenarnya. Abang Khairil sudahpun akan tamat di sini. Memang saya terlalu sebak. Jadi di sini, saya hendak kongsikan beberapa kenangan masa gembira yang pernah kita lalu sepanjang 5 tahun sempat bersama di sini.

2003/04
-Kita kembali bertegur sapa setelah hampir 2 tahun perang dingin disebabkan insiden ketika dalam pasukan bahas dulu. Sejak itu, saya sangat hormati Abang Khairil kerana saya silap dengan prasangka yang saya ada dulu-dulu. Ketika saya demam, Abang Khairil titipkan ubat pada Eza. Malu pula saya teringatkan dulu-dulu betapa saya pernah ‘geram sangat’ pada ‘Abang Senget’ ini. Banyak yang telah Abang Khairil tolong saya ketika di tahun pertama di sini. Tanggal 12 jun 2004, sebelum saya pulang bercuti ke Malaysia dan sempena kita selesai final exam dan juga hari lahir Abang Khairil pada hari itu, kita menjadi kanak-kanak riang di Gorky Park. Saya masih ingat setiap permainan yang kita cuba hari itu. Gembira sungguh! Dulu, kita masih ‘kanak-kanak’. Sekarang bila teringat semula, lucu pun ada juga, kan. Tapi sayangnya, gambar kita di sana tiada dalam simpanan saya di sini. Saya kira, semuanya ada disimpan di rumah. Tidak dapat pula saya sorot kembali detik itu.

2004/05
-Tidak banyak yang berlaku di tahun itu. Abang Khairil sibuk sebagai pelajar tahun 3. Kita pun hanya banyak terserempak di Kedutaan apabila ada majlis-majlis rasmi di sana. Saya kira, memori kita untuk tahun itu agak terhad. Melainkan, kita pada tahun itu sama-sama punya masalah besar yang sama. Meraunglah kita dua beradik bersama. Hanya Abang Khairil yang memahami situasi saya pada waktu itu. Dan tanpa saya sedari sebenarnya Abang Khairil sendiri sudah mula berhadapan dengan situasi yang makin meruncing.

2005/06
-Saya tumpang sedih dengan setiap yang terjadi. Pada tahun ini, terlalu banyak yang terjadi baik pada saya mahupun Abang Khairil sendiri. Di saat saya ada masalah rumah, masalah itu ini dan macam-macam lagi, Abang Khairil lah tempat rujukan untuk berbincang. Abang Khairil lah yang faham segala-galanya. Dan saya sebenarnya masih rasa terhutang budi dengan segala pertolongan dan semangat yang Abang Khairil berikan. Tahun itu juga kita mula bergabung tenaga menggerakkan PPIM di universiti masing-masing. Banyak tunjuk-ajar yang saya dapat sepanjang bekerjasama bersama Abang Khairil dan mantan AJK PPIM yang lain. Gambar ini ketika kita sama-sama ber-ice skating bersama Faiz Khaleed, Faiz Pilot dan VJ. Saya ‘roger’ Abang Khairil pada hari itu kerana saya tahu Abang Khairil pasti gembira dapat turut serta. Memang hari itu dipenuhi kegembiraan hingga ke malam, kan.

2006/07
-Abang Khairil sudahpun di tahun 5 pengajian. Semakin sibuk. Saya pula baru mencecah ke tahun klinikal. Dua-dua sibuk. Tapi dalam pada sibuk itulah, ‘kretiviti’ kita menjadi-jadi. Abang Khairil dengan fotografinya. Saya dengan penulisannya. Ada-ada sajalah yang kita lakukan sepanjang tahun itu, kan. Dan jika dulu saya yang banyak menyusahkan Abang Khairil dengan masalah peribadi saya, pada tahun itu, saya simpati pula dengan setiap apa yang terjadi pada Abang Khairil. Kita masing-masing cuba mengalih arah kesedihan yang terjadi dengan menyibukkan diri dengan beraktiviti. PPIM semakin aktif pada tahun itu. Dan saya pula selalu saja mendapat khidmat nasihat dalam penulisan saya daripada Abang Khairil mahupun arwah ayah Abang Khairil yang selalu memberikan motivasi buat saya (Al-Fatihah buat arwah ISBIHA). Gambar ini kenangan kita sewaktu pulang dari Pulau Tioman selepas selesai SUNATON di Endau-Mersing-Tioman dulu. Oh ya. Saya masih ingat ya saya dipaksa rela mendeklamasikan sajak ketika di Mersing. Ada ubi ada batas, ada hari saya mesti akan balas =) Kalau dibangding-bezakan gambar ini dan yang sebelumnya, bagi saya, sangat ketara air muka ‘kanak-kanak’ dan ‘kedewasaan’ kita, kan. Dan terima kasih juga kerana sepanjang cuti tahun lepas, saya sentiasa ada kawan untuk berborak atau apa saja walaupun kita terpaksa membayar bil telefon yang tinggi. Siap menyusun atur untuk ‘berjanji temu’ dengan ‘orang di Kuantan’. Huhu. Lucu pula saya kenangkan. Semuanya sudah jadi kenangan kini =)

2007/08
– Ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dan tahun ini juga kita sangat sibuk dengan hal masing-masing. Tapi bila ada kelapangan, kita pasti akan berhubung bertanya khabar. Sungguhpun bukan setiap hari berhubung terus, tapi saya sentiasa mengikuti perkembangan Abang Khairil di blog Abang Khairil. Ada satu masa, kita sepi seketika. Masing-masing bagaikan terkejar-kejar dengan kesibukan dunia masing-masing. Sehinggakan untuk online bersama bagi membincangkan mutu penulisan masing-masing pun, terpaksa menyusun satu janji temu yang khas. Itu kerja sayalah tu. Mengada sungguh. Tapi memang maaf sangat. Kebetulan tidak ada kredit pada hari tu, terpaksalah saya guna email saja. Mesti Abang Khairil gelak dengan apa saya repekkan waktu itu, kan. Terima kasih sebab sentiasa menjadi yang teramat mengambil berat tentang kesihatan saya. Kadang-kala, bila Abang Khairil ingatkan saya tentang itu ini pasal kesihatan, saya rasa macam saya ini budak kecil saja. Gambar ini adalah satu-satunya gambar raya yang kita pernah ada di sini. Sudah 5 tahun, barulah ada kenangan ya. Ini pun gambar paksa. Seorang ‘muka clown‘ dan seorang lagi ‘ muka euphoria‘. Terima kasih berkunjung ke rumah saya pada raya yang lepas. Saya kira, itulah satu-satunya raya yang sempat Abang Khairil berkunjung ke sini, kan.

Abang Khairil, saya memang tidak banyak gambar kenangan sepanjang 5 tahun kita di sini. Tapi setiap apa yang terjadi saya simpan kemas dalam susunan memori. Saya memang tiada sahabat terbaik lain melainkan Abang Khairil. Yang saya hormati lebih daripada itu. Di saat saya tiada orang lain di sisi, saya sentiasa mendapat sokongan daripada Abang Khairil. Manalah saya dapat balas jasa ini semua. Saya rasa hendak mengalirkan air mata di saat ini kerana teringat semula segala yang telah Abang Khairil bantu saya sepanjang di sini. Sungguhpun bantuan yang datang itu hanya dengan kata-kata semangat melalui panggilan telefon atau mesej. Yang paling saya ingat adalah di malam cuti Women’s Day 3 tahun yang lalu. Ketika saya ditinggalkan keseorangan di rumah saya (bukan rumah sekarang) dalam keadaan demam, Abang Khairil lah satu-satunya yang mengambil berat akan saya pada waktu itu. Di saat teman serumah keluar berhibur. Saya sangat terharu dan sedih teringatkan kisah itu.

Dan pada hari ini, saya seakan sudah hilang kata-kata untuk menyusun kembali kenangan 5 tahun kita di sini, yang menjadikan total tempoh perkenalan kita telah menginjak ke 8 tahun. 8 tahun bukannya sekejap. Kita sudah kenal, lebih daripada kenal. Dan perkenalan kita bukan setakat kita. Kita ada keluarga bahas kita di sekolah dulu yang melengkapkan kita menjadi sebuah keluarga.

Abang Khairil, Selamat Hari Lahir yang ke-24. Semoga Allah permudahkan segalanya buat Abang Khairil. Pulang menjadi doktor muda yang hebat, dikurniakan rezeki yang berkat, dilengkapkan hidup dengan pelbagai nikmat, diberikan keluarga yang sihat, ditemukan jodoh yang menjaga syariat dan dihadiah anak-anak yang menjadi saham di akhirat. Amin. Maafkan saya andai sepanjang saya bergelar adik, saya tidak memberikan yang terbaik setelah menerima yang terbaik. Semoga Allah memelihara Abang Khairil dalam redha-Nya dan membalas segala jasa Abang Khairil selama ini.

Momenti radosti ialah saat-saat yang gembira. Dan bagi saya, saat yang gembira di sini ialah kerana saya mempunyai seorang abang yang sangat baik hati. Yang sentiasa ada walau tak selalu menemani. Yang dengannya saya boleh menjadi diri sendiri. Selamat Hari Lahir Abang Khairil!

Dekat tapi jauh,
Sarah,
16-205 Malaya Piragovskaya,
3.08 am

Posted on June 12th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Selamat Hari Lahir Emak

Assalamualaikum wbt

Dulu waktu kecil-kecil, saya selalu bergaduh dengan Kaklong. Maklum sajalah. Dua beradik saja perempuan. Yang lain semuanya lelaki. Dulu kami sebilik. Tapi semakin besar, kami dipisahkan duduk bilik berasingan. Dia di bilik berwarna kuning menghadap laman belakang rumah. Saya di bilik berwarna biru menghadap laman hadapan rumah. Siapa yang memisahkan, itu emak kami. Emak geram agaknya melihat kami asyik bergaduh.

Mentaliti budak kecil, saya selalu rasakan emak berpihak kepada Kaklong. Serba-serbilah. Semuanya saya rasakan emak memandang Kaklong yang betul. Kadang-kadang membawa dirilah saya merajuk dengan emak dan bercerita di buai depan rumah Tok dengan Mak Tam. Tapi apabila sudah semakin besar, di sekolah menengah saya kira pada waktu itu, saya mula nampak dan faham kenapa emak bertegas dengan saya dulu-dulu. Pada waktu itu, Kaklong sudahpun bersekolah di Kuantan dan tinggallah saya satu-satunya anak perempuan di rumah.

Kenapa emak tegas dengan saya kerana saya dulu seorang yang garang. Macam lelaki perangainya. Pemarah pun iya juga. Ganas pula tu. Kalau dengan budak lelaki, jangan harap saya nak kasi can mereka menang. Tapi Kaklong yang sebaliknya. Kaklong lembut. Pandai berjenaka. Sentiasa manis dengan senyuman. Memang 100% bertentangan kami berdua ini. Kaklong pandai mengambil hati orang tua. Kalau bersamanya mengikut Tok ke Pekan Sehari hari Ahad, Kaklong pandai melayan kerenah Tok dan kawan-kawannya.

Sejak itu saya mula faham kenapa emak mendidik saya begitu. Saya sayang emak saya sebab mendidik saya dengan sebaiknya untuk menjadi saya yang sekarang. Saya masih tidak seperti Kaklong tapi inilah saya seadanya. Yang paling berharga, hasil didikan emak, menjadikan saya seorang yang kental jiwa. Sangat kental. Hanya emak yang tahu kenapa saya katakan begini.

Hari ini hari istimewa buat emak saya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-52 buat emak saya, Hajjah Noor Azimah Kamaruddin. Semoga emak dalam redha Allah sentiasa. Emak, emaklah katalis hidup Ngah. Emak, Ngah sayang emak. Sayang sangat-sangat. Uwaa… Mahu nangis… Rindu sama emak…

Emak (berbaju hijau) bersama Tok Maryam (Penang) dan adik-beradik ayah di rumah Makcik Liza di Alor Setar.

Nota: Selamat hari lahir buat ibu kepada Isa Azzaki juga. Isa, saya ingat lagi yang birthday mak kita sama 😀

Posted on June 9th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Selamat Hari Lahir Ayah

Assalamualaikum wbt

Saya teringat satu masa dahulu ketika saya di tahun pertama di sini, saya mendapat SMS dari ayah mengatakan mereka semua sedang dalam perjalanan balik ke Penang. Saya bertanya kenapa tiba-tiba saja balik kampung. Ayah menjawab: Saja cuti-cuti Malaysia. 1-0 saya terkena. Setahun yang lalu, saya ada menulis entri tentang Bahasa Pahang. Saya ada menyebut tentang ayah yang bermata coklat. Di ruang komen ayah menulis: Yang sebenaqnya mata ayah ni asalnya warna biru. Tapi lama kelamaan, due to overheating dia jadi coklat. Aduh. 2-0 sudah. Selalu saja kami semua terkena dengan lawak ayah. Malah, bukan saja kami adik beradik. Kawan-kawan baik adik saya juga selalu terkena dengan lawak ayah dalam bentuk komen di blog mereka.

Tapi ayah pernah kalah sekali kepada kami. Sedang ayah bercerita kisah Nabi Muhammad dengan kaum Quraisy di pintu Gua Thur kepada Adi dan Adam sebelum mereka tidur suatu waktu dulu, ayah bertanya mereka berdua sekadar menguji pengetahuan mereka apalah agak-agaknya yang terjadi di muka pintu gua itu. Tanpa diduga, Adam menjawab: Diorang bagi salam dan jerit “Tokcik, orang datang nak beli kat kedai ni”. Tok Cik merupakan nenek saudara kami yang suatu masa dulu mempunyai kedai runcit. Selalu saja kami sampai di muka pintu kedai dan jika ia tutup, kami akan melaung begitu memanggilnya. Terkena ayah pada malam itu. 1-0 buat ayah. Habis satu rumah berair mata tergelak.

Inilah ayah saya. En. Mohd Shukor Haji Mahamud. Tidak sah jika tidak mengenakan kami semua. Hari ini 14 Mei. Ulangtahun kelahiran ayah yang ke-48. Ayah, Selamat Hari Lahir. Semoga ayah dipanjangkan umur untuk melihat dan menikmati kesenangan yang kami semua akan berikan pada ayah pula nanti. Terima kasih kerana telah membesarkan kami dengan sebaiknya. Semoga ayah dalam redha-Nya selalu, di dunia dan akhirat. Kami sayangkan ayah!

Buat emak pula, Puan Noor Azimah Kamaruddin, Selamat Hari Guru. Semoga jasa emak mendidik kami dan pelajar-pelajar yang lain akan diberkati Allah dan menjadi saham terbaik buat emak di akhirat nanti. Kami sayangkan emak!

“All my children should be strong to undertake loneliness, stress, no money situation, heart break and death. Everything happens as God wants it to happen and He knows best to put things in proper place” (SMS dari ayah, 2/11/05 -malam raya-)

“Kalau penat sangat, zikirlah dengan nada yang lembut lama-lama. Nanti penat akan hilang…” (Emak, Januari 2004 -persiapan exam Bioorganic Chemistry-)

Dan saya berpegang dengan kedua-dua nasihat ini sehingga ke hari ini…

Posted on May 14th, 2008 by Sarah  |  23 Comments »

Aiman Mohd Shukor

Assalamualaikum wbt

Hari ini 29 April. Ulang tahun kelahiran Adik Aiman yang ke-10. Ini adik bongsu saya. Buat Adik Aiman, Selamat Hari Lahir.

Aiman merupakan adik yang paling suka request saya masak itu ini ketika di rumah. Dia jugalah yang boleh menjadi peneman terbaik untuk dibawa berjogging (mak tak bagi jogging seorang diri di Taman Tasik Temerloh *saya pun tak berani*). Dia juga peneman terbaik yang boleh saya bawa ikut membeli barang (makanan ringan) selepas berjogging. Kadang-kala, selepas berjongging kami berdua akan singgah makan roti canai di Old Town. Sangat best. Dia ini agak lembik badannya tapi hebat bertaekwando. Ada beberapa pingat yang telah dimenanginya. Tapi dia pernah patah tangan tahun lalu. Tak pasti pula saya sama ada dia masih aktif atau tidak. Rasanya masih bertaekwando lagi cuma sudah tidak seperti dulu.

Jika hari dia ada taekwando, pulang dari menjemputnya, wajiblah kami singgah di pasar tani. Wajiblah dibelikan untuknya air coconut shake sehinggakan abang di kedai itu sudah mengenalinya. Aiman suka bergambar dan akan membuat simbol peace. Dia rasa cool begitu agaknya. Hehe. Aiman seorang yang tinggi. Umurnya 10 tahun tapi sudah hampir mencecah bahu adik saya Adnan yang paling tinggi melangit di rumah itu. Dan Aiman ini manja dengan semua. Dengan emak ayah dan juga Tok dan Mak Tam.

Saya teringat dulu kami mengusiknya dengan memanggilnya sotong (sumpah Aiman. Ni Adi yang kata mula-mula tu tau). Dia sedang melukis di meja makan sambil berdiri dan kami semua pula duduk-duduk menonton TV di sofa dapur. Tiba-tiba Adi berkata: ‘Cuba tengok sotong tu berdiri’, kami semua menoleh. Aiman terdengarkan usikan kami. Dia melukis sambil bergenang air mata. Sebak pula saya rasa ketika itu. Dan kemudian, dia jerit kuat-kuat ‘Aiman bukan sotonglah!’ dan terus berlari ke biliknya dan mengunci pintu dari dalam. Sayalah yang pergi mengambil gugusan kunci pintu-pintu bilik dan kemudian memujuknya. Saya duduk di tepi katilnya dan hanya begini yang saya katakan. ‘Aiman bukannya sotong, kan. Aiman tak kuat je lagi. Aiman besar sikit nanti Aiman kuatlah kan’. Terus dia kesat-kesat air mata dan ke dapur semula untuk menyambung lukisannya. Saya rasa, disebabkan inilah dia berusaha untuk membuktikan dia kuat dengan bertaekwando.

Aiman, awak memang kuat. Buktinya, awak selalu jadi peneman dua orang kakak awak ini, awak selalu jadi peneman emak di rumah, awak selalu tolong Abang Azizi dan awak selalu jagakan adik Iman untuk Mak Tam. Dan awak memang anak yang baik. Awak dengar kata, boleh diharap untuk menolong kerja rumah dan awak rajin bangun pagi sebelum Subuh masuk sebab awak hendak solat hajat terlebih dahulu. Ngah yakin, emak dan ayah sejuk hati melihat awak begini.

Selamat hari lahir Adik Aiman. Semoga awak cemerlang dalam semua yang awak ceburi. Doa Ngah pada adik-adik setiap kali ulang tahun sama saja. Semoga menjadi anak yang baik, dengar kata dan jangan tinggal solat.

Dan saya juga hendak mengucapkan Selamat Hari Lahir buat beberapa nama penting dalam hidup saya:

::Sepupu saya Farzana Che Ismail (25 April)
::Sepupu saya Syafiq Che Ismail (30 April)
::Sepupu saya Rifqa Kamarul Ariffin (30 April)
::Kawan saya yang ada signifikannya yang tersendiri Ammar Azhar (1 Mei)
::Abang kesayangan keluarga bahas kami, Abang Wan Zokhrie (3 Mei)

Dan ucapan selamat pengantin baru buat Iffah Azhar (adik Ammar) yang akan melangsungkan majlisnya pada 1 Mei ini di Doha, Qatar. Ifa, akak doakan semoga jodoh kamu berdua diberkati dan berkekalan insya Allah 🙂 Akak dah janji nak ucap dalam Bahasa Arab. Tapi dah terlupa pula teks panjang yang akak hafal dari malam tu. Jadi pendeknya hanyalah Alf Mabruk ya ukhti 🙂

Posted on April 29th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »