Ramadhan Di Malaysia

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah sepuluh hari kita semua berpuasa. Dan itu bermakna selama itu jugalah saya tidak mengemaskinikan blog ini. Ikutkan hati hari-hari saya mahu menulis tapi disebabkan saya tidak dapat online dari laptop saya di dalam bilik, maka perasaan hendak menulis dan bercerita itupun terbantut.

Apa nikmatnya berpuasa kali ini? Bagi saya ada dua nikmat yang paling utama. Pertamanya, sepanjang sepuluh hari ini, baru hari semalam saya menyentuh dapur. Mana tidaknya, hari-hari emak memasak untuk berbuka dan bersahur. Sedikitpun saya tidak memasak sepanjang cuti sekolah seminggu ini. Hari semalamlah merupakan hari pertama saya masuk ke dapur semula untuk memasak sepanjang Ramadhan ini. Itupun sekadar hendak menyediakan puding karamel. Menu utama tetaplah juga dimasak oleh emak.

Kalau dulu di Moscow, balik saja dari hospital setiap petang, siapa yang bertugas memasak pada hari itu akan kelam kabutlah memasak di dapur supaya dapat menyempatkan menu utama siap dimasak sebelum waktu berbuka tiba. Menu pun sangat sederhana. Sejenis lauk, sejenis sayur, buah tembikai dan kurma. Kalau ada yang rajin dan berkesempatan, barulah ada pencuci mulut seperti kuih-muih tradisional, bubur atau pai.

Keduanya, Ramadhan kali ini saya berada dalam keadaan lapang. Jadi, waktu untuk bertadarus dapat diperuntukkan dengan banyaknya. Selepas sahur mengaji. Selepas Subuh mengaji. Selepas Zohor pun mengaji. Selepas Maghrib mengaji lagi bergitu juga selepas selesai Tarawikh. Pendek cerita, laju betul dapat membaca kali ini. Dalam masa lima hari sudah tamat sepuluh juzuk.

Kalau di Moscow dulu, hanya selepas sahur, Maghrib dan di tengah malam sebelum tidur saja sempat mengaji. Keterikatan dengan jadual hospital, tanggung jawab di rumah dan ulangkaji serta persediaan sendiri di bilik membataskan segalanya. Bila sudah di hujung-hujung Ramadhan, kadang-kadang tu masih berbaki sepuluh juzuk. Maklum sajalah. Orang perempuan ada fitrah daruratnya yang tersendiri. Jadi akan ada beberapa hari yang tertinggal untuk bertadarus. Maka di saat akhir itulah, sanggup bersengkang mata bangun sahur awal dan tidur lewat semata-mata untuk menamatkan bacaan Al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Alhamdulillah. Kelapangan kali ini sangat bermakna rupa-rupanya.

Bercerita tentang makanan pula, saya makan apa saja yang emak saya masak. Apa saja. Kalau emak masak telur dadar sajapun mungkin saya akan makan padahal saya tidak suka telur pun. Tapi sebab emak yang masak, mesti sedap punyalah. Pasar Ramadhan pun setiap selang sehari saya akan jengah. Saya sudah dapat makan semua kuih yang saya teringin kecuali dua. Badak berendam dan Puteri Mandi. Jenuh saya mencari di tempat saya ni, tiada pula yang menjualnya. Mungkin kurang mendapat sambutan jadi tiada yang menjualnya kali ini. Oh ya. Sebenarnya sudah hampir tujuh tahun saya tidak ke Pasar Ramadhan. Kali terakhir saya ke Pasar Ramadhan ialah ketika musim SPM di penghujung tingkatan lima di Klang dulu. Nostalgia sungguh.

Tapi setiap kali ke Pasar Ramdhan, saya akan pergi bersama adik-adik dan Kaklong. Jadi saya akan mengutamakan apa yang adik-adik selerakan. Biasanya mereka lebih berhajatkan air daripada kuih-muih. Apa tidaknya. Kalau beli kuih sekali pun, yang dijamah mereka hanya seketul seorang dari seringgit setiap jenis kuih. Bukankah membazir? Sudahnya, baki kuih akan kami bungkus dan bawa ke masjid untuk moreh. Sejak itu, adik-adik pun kurang gemar hendak membeli kuih lagi dan hanya mencari sesuatu yang mereka hajati saja. Conothnya kebab atau tau fu fa.

Dan pada hari ini, negara kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-52. Besar maknanya sambutan kali ini buat saya. Mana tidaknya. Sudah lima tahun saya tidak berada di Malaysia pada tarikh ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikekalkan-Nya buat kita semua. Moga-moga Malaysia kekal berdiri atas nama Malaysia berdaulat, rakyat berbilang kaum masih tetap bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain, agama Islam dijunjung di samping tidak menghina dan mengabaikan hak agama lain. Semoga Allah terus memelihara negara kita.

Nota: Ada lagi cerita-cerita lain akan menyusul. Apapun sekarang nak kena keluar isi minyak kereta dulu. Nak kasi penuh tangki. Harga minyak naik lagilah. Dan-danlah nak naik masa ni kan. =__=

Posted on August 31st, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wbt

Sebaik saja saya siap menulis entri lepas, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Jadi terbantutlah niat saya hendak menulis entri baru. Disebabkan tiada elektrik selama dua jam setengah, maka selama itu jugalah saya mengemas rumah dan rak kasut luar rumah sebab disuruh oleh ayah. Saya tahu kenapa ayah meyuruh saya mengemas rak kasut itu. Sebab di tepi rak kasut itu ada kotak kucing ayah bersama empat ekor anaknya yang comot pada pandangan mata saya yang tidak menyukai kucing sangat ni.

Pagi ini terasa gembira sikit. Saya dapat berhubung semula dengan dua orang kawan lama saya. Izzaidi dan Wahida. Kami bertiga ni sekelas dari tingkatan 1 sampai 3. Selepas PMR, tiga-tiga berpindah mengambil aliran sains di sekolah yang berlainan. Tapi sehingga ke hari ini kami masih berkawan.

Tengahari pula saya sempat berbual sekejap dengan Faaiqah dan Kak Anisa. Tapi dengan dua-dua pun tidak dapat berbual lama. Ada maslah dengan talian. Senang terputus. [Update: Faaiqah baru telefon semula. berborak lama dengan dia. Seronoknya!] Dua-dua ni kawan baik saya. Sudah lapan tahun saya mengenali kedua-duanya. Kak Ani sudahpun selamat melahirkan anaknya sebulan yang lalu. Seronok sungguh dapat berbual dengan mereka.

Saya sebenarnya hendak bercerita tentang hal lain. Tapi saya rasa macam tidak berperasaan hendak cerita pula. Lepas ni nak kena hantar Tok ke bank pula dan saya kena mengemas bilik Kaklong, Nan dan Adi yang akan balik pada hari esok. Kan dah kata yang saya ni penganggur terhormat sebab saya sibuk mengalahkan YB. :cool:

Senja ini kita akan mula melihat anak bulan. Bukan kitalah. Tapi ahli-ahli yang faqih dalam bidang ini. Kalau tiada aral, esok kita akan mula berpuasa. Eh, terasa sebak menulis ayat ini. Ya. Ramadhan sudah hampir tiba. Jadi sebelum saya menyudahi entri ini, saya ingin memohon maaf atas segala silap dan salah selama ini. Semoga kita saling meredhai sesama kita.

Mari kita hidupkan Ramadhan kita kali ini dengan penghayatan ibadah yang lebih lagi. Baik dari segi puasanya, tadarus Al-Qurannya atau apa-apa saja amalan lain termasuk tarawih dan berzakat. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lalu. Kita kena minta ini sungguh-sungguh. Rugi kita kalau disia-siakan Ramadhan kali ini. Siapa tahu, ini Ramadhan terakhir kita di dunia ini. Lagipun, Ramadhan adalah bukti Allah itu sangat menyanyangi kita semua. Bulan ini dicurahkan-Nya dengan seribu keberkatan, ditutupkan pintu neraka, dihentikan azab kubur, dibukakan seluas-luasnya pintu syurga dan dilipatgandakan ganjaran untuk semua amalan kebaikan.

Semoga ibadah puasa kita tahun ini diterima oleh-Nya dan tadarus kita di bulan barakah ini menjadi perisai kita di akhirat nanti. Selamat berpuasa buat semua.

Nota 1: Sudah 6 tahun saya tidak berpuasa di rumah. Akhirnya… (Ya Allah, memang sebak sungguh ni…) :cry: Bersyukurnya aku, Ya Allah! Sempat lagi aku menunaikan ibadah puasa bersama keluarga.

Nota 2: Tidak kira di mana pun kamu semua berpuasa pada tahun ini, saya doakan kesihatan kamu semua dalam keadaan yang baik, tiada yang sakit-sakit. Sebenarnya, keterasingan dan kejauhan itu mengenalkan kita dengan satu lagi nikmat berpuasa iaitu sabar.

Nota 3: Saya akan rindu suasana sibuk-sibuk memasak untuk berbuka selepas pulang dari hospital di Moscow dulu-dulu. Rindunya pada PENA, WANIE, FATT, DIBA, EMY dan SHA!

Posted on August 20th, 2009 by Sarah  |  39 Comments »