Sunathon

Assalamualaikum wbt

29 November 2015

Semalam saya dapat turut serta dalam Program Khatan Perdana di Masjid Al-Islah, Telok Gong, Pelabuhan Klang, anjuran bersama Muslim Care Malaysia Society. 33 peserta berjaya dikhatankan, Alhamdulillah.

Terima kasih kepada semua yang telah membantu menyebarluaskan status saya semalam. Daripada hanya saya seorang doktor yang dapat hadir setakat hari semalam, hebahan melalui Facebook untuk perhatian rakan-rakan doktor yang lain turut serta telah mendapat perhatian bukan sahaja doktor muslim, tetapi juga di kalangan doktor berlainan bangsa dan agama. Alhamdulillah akhirnya ada 5 orang doktor yang dapat hadir sebagai sukarelawan dan 5 orang lagi MA dari KL. Kerana semangat kesukarelawanan kami berkumpul di sana. Alhamdulillah berjalan lancar. Yeay!

Ini gambar saya bersama peserta pertama untuk dikhatankan pagi tadi. Berani dan cool betul adik ni.

Sunathon

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »

Ujian Itu Tanda Allah Sayang

Assalamualaikum wbt

Lama pula rasanya tak menulis. Agak sibuk dan tak larat hendak menatap laptop lama-lama. Semenjak kebelakangan ini, saya lebih selesa hanya online di telefon bimbit sama ada untuk membaca email mahupun mengintai perkembangan kawan-kawan di Facebook. Selebihnya, saya tak sempat buat.

Berbalik kepada cerita tentang ujian yang tertangguh dulu. Ujian oh ujian. Satu demi satu saya terima dan terpaksa lalui. Bukan saya seorang, suami pun turut merasai tempiasnya. Kesian Abang. Saya menangis, dia pun menangis sama. Untuk memujuk hati, saya selalu membaca surah Al-Insyirah. Mahu atau tak, saya memang terpaksa terima semua yang telah Allah tetapkan ini. Mungkin ini rezeki kami untuk masa ini. Jadi, apa lagi yang boleh saya buat.

Kisahnya, pada 23 September lepas, saya perlu menghadiri mesyuarat di Hospital Temerloh. Jadi hari sebelumnya itu, selepas tamat tagging call di tengah malam Khamis itu, suami saya mengambil saya di hospital dan kami terus bertolak balik ke Temerloh. Mesyuarat keesokan harinya bermula pada pukul 9 pagi. Saya tiada pilihan melainkan bertolak di tengah-tengah malam itu untuk mengelakkan kelewatan pada keesokannya harinya. Kami tiba di rumah emak ayah di Temerloh sekitar jam 2 pagi. Tak sempat mandi apa dah. Masuk bilik terus tertidur kepenatan.

Selesai mesyuarat, saya terus pulang ke rumah. Suami ajak keluar pun saya tak larat. Begitu juga dengan hari Sabtu. Memandangkan ada beberapa benda yang perlu kami selesaikan, terpaksa jugalah kami keluar. Keesokannya, saya hanya berbaring saja kerana tiak sedap badan. Sekitar 4.30 petang,  kami pun bertolak untuk pulang ke Kuala Lipis. Pada hari Isnin itu, saya akan bekerja seperti biasa.

Di dalam kereta, saya memberitahu suami bahawa saya sudah merasakan regular contraction. Kadarnya 2 kali bagi setiap 10 minit (baca sebagai 2:10). Sebenarnya, sejak pagi itu lagi saya sudah merasakan rahim saya mengeras dan sakit. Saya malas ambil pusing sangat sebab ia masih belum regular. Mungkin ia hanya amaran palsu saja. Tetapi, semakin ke petang, kontraksi semakin kerap dan sakit semakin kuat. Saya berkira-kira di dalam hati. Saya baru saja 26 minggu lebih pada ketika itu. Masya Allah. Bahayanya kalau terbersalin juga. Anak saya akan dikategorikan sebagai severe premature baby.

Saya menelefon sepupu saya Nisa yang sama-sama bekerja di Hospital Temerloh dulu. Saya memberitahunya apa yang sedang saya alami. Dia menasihatkan saya supaya terus ke hospital. Suami saya pula kelihatan agak cemas tapi dia sebolehnya cuba untuk bertenang. Dia bertanya sama ada hendak meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis atau bagaimana. Saya berkira-kira. Kalau kena tahan di wad di sana, saya tiada sesiapa yang lain pun di sana. Kalau terpaksa berhenti di Hospital Jerantut pula (Hospital Jerantut berada di tengah-tengah perjalanan antara Temerloh dan Kuala Lipis), nanti saya akan dirujuk ke Hospital Temerloh juga. Jadi, saya mengambil keputusan menyuruh suami saya berpatah balik ke Temerloh. Dia memecut laju ke hospital.

Siapa sangka, sebaik saja tiba di Dewan Bersalin, ketika itu, kadar kontraksi sudahpun 3 kali bagi setiap 10 minit (lepas ini baca sebagai 3:10). Tempohnya pula 25 saat bagi setiap kontraksi. Tempoh ini dikategorikan sebagai moderate contraction. Tapi disebabkan ia sudahpun 3:10, vaginal examination (VE) tetap juga dibuat untuk memastikan sama ada jalan sudah terbuka atau belum. Adui. Terpaksa sajalah menyerah diri untuk dilakukan speculum dan VE. Taubat dah lepas ni taknak benarkan speculum dibuat dah. Hahaha. Sakit tau! Jadi saya telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Dewan Bersalin (HDU Labor Room) kerana mengalami premature contraction tanpa sebarang leaking lagi.

Tapi Alhamdulillah. Walaupun sudah 3:10 with moderate contraction, jalan masih tertutup. Saya sangat bersyukur akan hal itu. Untuk mengelakkan kontraksi itu menjadi lebih kerap dan kuat yang boleh menyebabkan pintu rahim terbuka, saya perlu di tocolyse. Tocolysis ini ialah satu cara untuk menghentikan kontraksi dengan cara memakan ubat atau dimasukkan ubat secara intravenous (IV). Pada mulanya saya hanya memerlukan Nifedipine. Selama 5 jam lebih saya dipantau tapi sedikit pun kontraksi tidak berkurangan. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Selain itu, saya turut menerima IM Dexamethasone untuk mematangkan paru-paru kandungan. MO yang oncall pada malam itu rapat dengan saya. Dia terpaksa berterus terang dengan saya bahawa jika saya bersalin juga pada malam itu, anak saya mempunyai peluang yang amat tipis untuk hidup. Iya. Saya faham. Baru 26 minggu lebih saja. Dan katanya, tiada ventilator yang available di wad Pediatrik (NICU). Jadi dia terpaksa membuat tempahan daripada Kuantan Medical Center (KMC) untuk saya. Saya hanya pasrah. Dalam pada menahan sakit kontraksi itu, saya menangis seorang diri.

Sekitar jam 2 pagi, kontraksi masih berterusan pada kadar 3:10. Seterusnya saya menerima tocolysis menggunakan IV drug pula. Bricanyl. Tapi malangnya, saya mengalami komplikasi selepas ubat itu dimulakan. Saya mengalami palpitation yang sangat teruk sehingga mencecah 130 ke 140 beat per minute. Rasa nak pecah dada. Sudahlah tengah sakit. Dada pula macam nak meletup. Ketika itu pula, staff nurse yang bertugas di bilik itu memasukkan CBD (tiub kencing) untuk mengelakkan saya bergerak merata ke tandas.  Masya Allah. Kali ini sakitnya bertambah-tambah. Saya rasa dia tidak meletakkan sebarang analgesic gel (lignocaine gel) di hujung tiub itu sebelum memasukkannya. Saya mengaduh kesakitan. Tak tahannya. Sudahnya, Bricanyl diberhentikan kerana komplikasi yang saya alami dan saya terus meminta CBD itu ditanggalkan juga. Saya mengalami dysuria (sakit untuk kencing) secara tak pasal-pasal kerana tiub itu.

Ketika itu hari semakin cerah. Sudah mencecah pukul 7 pagi. Waktu itu barulah kadar kontraksi berkurangan ke 2:10. Tapi dysuria saya masih berterusan dengan teruknya. Siap ada hematuria (kencing berdarah) lagi. Bengang juga saya waktu itu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula. Sepatutnya staff nurse perlu lebih prihatin dan bertimbang rasa ketika hendak memasukkan CBD kepada pesakit. Nasib baiklah saya jenis yang tak banyak mulut. Saya tahan sajalah. Tapi sampai ke tahap saya duduk melutut di tepi katil saya kerana kesakitan dan terpaksa memakai pad! MO itu datang menemui saya lagi dan menyarankan saya menerima juga ubat tahan sakit (IM Pethidine). Sebelum itu, saya menolak untuk mengambil sebarang ubat tahan sakit ketika kontraksi sedang kuat. Tapi untuk dysuria ini, saya sudah tidak boleh tahan. Sampai mengalir-ngalir air mata saya setiap kali hendak membuang air tetapi sakit dan berdarah. T____________________T

Selepas menerima pethidine, saya semakin mengantuk dek penangan ubat itu dan hampir-hampir tertidur di dalam tandas. Suami saya dibenarkan masuk seketika pagi itu. Saya hanya sempat bercakap ala-kadar saja dengannya kerana kemengantukan yang teramat sangat. Sepanjang malam saya tidak tidur kerana kesakitan dan pada pagi itu dengan kesan ubat yang diambil menyebabkan mata saya susah untuk dibuka. Suami saya membelai kepala saya dan dia menyuruh saya sambung tidur semula. Sekitar jam 10 pagi, kontraksi hanya tinggal 1:10 dan di sebelah petangnya saya dibenarkan ditukarkan ke wad biasa dan tidak perlu dipantau di HDU lagi. Syukur Alhamdulillah.

Maka, berehatlah saya beberapa hari di wad. Saya ingatkan sekejap saja saya di sana. Rupa-rupanya ada masalah lain pula. Tekanan darah saya asyik rendah memanjang. Sampai saya pening-pening untuk bangun. Begitu juga apabila saya sudah dibenarkan pulang. Saya mengalami hypotension yang agak lama di rumah. Asyik terbaring dan saya tidak larat untuk bangun langsung. Saya diberikan cuti rehat selama 2 minggu. Jadi, saya hanya berehat saja di rumah. Lebih tepatnya, baring dan tidur saja.

Konklusinya, saya mengalami premature contraction ini kerana overworked. Saya terlalu penat. Dalam tempoh dua minggu sebelum ia terjadi, saya terlalu banyak travelling menguruskan pertukaran saya ke Kuala Lipis, berulang-alik antara Temerloh-Kuala Lipis-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh. Boleh kata, hampir 9 ke 10 kali saya berulang-alik antara bandar-bandar itu. Itu belum dengan beban kerja di klinik lagi. Sesungguhnya ujian ini ada hikmahnya juga. Allah hendak beri saya rehat yang cukup setelah cukup lama tidak betul-betul berehat.

Hmm. Itu baru ujian yang pertama. Ada satu lagi ujian yang datang pada masa yang sama. Sebaik suami saya membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak kerjanya di Putrajaya dan menemani saya di Kuala Lipis sementara menanti viva masternya, kami sudah berbincang untuk kekal dengan keputusan itu sehingga ada peluang yang lebih baik datang. Tiba-tiba, di saat saya ditahan di wad itulah, suami saya mendapat tawaran daripada jabatannya dulu untuk kembali bekerja di sana dan kini pangkatnya dinaikkan, dan sudah tentu gaji juga semakin naik. Kami berdua berada dalam dilema. Saya sedih sebenarnya. Kalau dia terima, nanti saya akan bersendirian di Kuala Lipis. Tapi kalau dia tolak, rugi besar pula untuk masa depan dia.

Pernah apabila suami bertanya apa pendapat saya tentang hal itu, saya memberi jawapan hanya dengan air mata. Saya tak sanggup hendak jawab. Saya menangis kerana sebenarnya saya mahu dia terus menemani saya di Lipis tapi pada masa yang sama, saya mahu dia mengejar cita-cita dia.

Saya ambil kesempatan malam-malam yang saya tidak dapat tidur ketika di wad itu untuk membuat istikharah. Saya menangis setiap kali selepas solat itu tapi hati saya tenang. Jadi, apabila suami saya datang, saya memberitahunya apa keputusan saya. Kata saya: Pergilah. Abang jangan risau Sarah dan baby. Dulu 6 tahun Sarah boleh hidup sorang-sorang kat Moscow. Kat Lipis nanti, Allah kan ada untuk jaga kami.

Dan setiap kali teringatkan detik itu, saya pasti menangis. Menangis sebab Allah betul-betul menguji keredhaan hati saya untuk menerima rezeki yang diberikannya kepada kami ini. Yang sepatutnya saya balasi dengan ucapan syukur.

Selepas tamat cuti sakit, saya kembali ke Lipis seorang diri. Menjalani kehidupan seorang diri dan hampir setiap malam, memang kesunyian yang saya rasa. Dan setiap kali suami menelefon, saya katakan padanya: Allah kan ada untuk jaga Sarah dan baby kat sini.

Padahal saya menangis setiap kali mengucapkan kata-kata itu.

Setiap hari Jumaat malam, suami saya akan sampai dari Putrajaya, terus dari tempat kerja. Dan di awal pagi hari Isnin, dia akan bertolak balik ke sana semula. Begitulah kehidupan kami. Paling tidak, untuk masa ini, begitulah ia. Suatu malam pada minggu lepas, suami saya mendedikasikan sebuah lagu untuk saya dengar. Katanya, liriknya sedap didengar. Itu doa dia pada Allah: Tuhan tolong aku, tolong jaga dia…

Saya berpaling daripada memandang monitor laptop. Saya berpaling sebab saya menangis.

Nota 1: Setiap malam saya akan tidur awal untuk mengelakkan sedih, sunyi dan rasa keseorangan. :|

Nota 2: Saya yakin, setiap yang terjadi ini mesti ada hikmahnya. Kalau bukan sekarang, mesti Allah nak bagi kemudian sikit. Tapi mesti ada hikmahnya. Jadi, berbaik sangka sajalah dengan Allah. ;-)

Nota 3: Baby ni kuat. Dia teman mama dia kat sini. Setiap kali ayah dia call, dia pun aktif sangat. Dia kuat sebab semua orang sekeliling dia kuat. Allah sayang ayah. Allah sayang mama. Allah sayang baby. 😉

Posted on October 24th, 2011 by Sarah  |  39 Comments »

Hari Ini Dalam Sejarah

Assalamualaikum wbt

Hari ini di klinik, saya didatangi seorang pesakit perempuan yang kelihatan agak adik bagi saya. Setelah selesai konsultasi dengannya dan saya menyerahkan slip ubat, dia berkata: Dr. Sarah, saya pembaca blog doktor. Dah 3 tahun saya baca.

Dia tersenyum manis dan saya tersengih malu.

Dear readers, thanks for reading! 😉

Posted on October 13th, 2011 by Sarah  |  22 Comments »

Tempat Tumpah Rezeki

Assalamualaikum wbt

Dalam entri sebelum ini saya ada menyatakan bahawa saya sudahpun ditukarkan ke hospital lain. Iya. Di sinilah titik tolaknya saya memulakan tugas sebagai seorang Medical Officer (MO). Alhamdulillah saya ucapkan. Allah sangat mempermudahkan jalan saya sewaktu menjadi seorang HO dulu.

Di kesemua enam posting yang telah saya lalui sebagai seorang HO (Medical, Orthopedic, Paediatric, Obstetric and Gynaecology, Surgical dan Anaesthesiology), tiada satupun yang saya tersangkut. Rekod kerja juga baik, tiada tindakan disiplin atau tatatertib, tiada tempoh extension dan pernah dua kali menjadi ketua HO di dua buah jabatan. Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi. Tanpa rahmat dan redhanya, saya tidak mungkin dapat menjalani ujian ini dengan baik.

Tips untuk semua adik-adik pelajar perubatan dan para HO yang lain: Jaga disiplin diri, jangan berkira jika terpaksa datang awal dan pulang lewat, jaga hubungan baik dengan tenaga kerja hospital yang lain, tahu kes pesakit kamu lebih daripada pakar, sentiasa memperbaiki diri dengan membaca dan bertanya, merendah diri dan jaga hubungan dengan Allah. Insya Allah, semuanya akan berlalu dengan baik walaupun kadang-kadang tak seperti yang dirancang. Kena marah itu ini dek MO atau pakar tu biasalah, kan. ;-)

Ok. Berbalik ke cerita asal. Atas percaturan-Nya, saya dihantar bertugas di Hospital Kuala Lipis berkuat kuasa pada 19 September lepas. Hanya Allah yang tahu apa hikmahnya. Lain yang saya rancang, lain pula yang jadi. Perancangan awal, saya memohon untuk kekal di Jabatan Anaesthesiologi di Hospital Temerloh. Tapi sebaliknya saya mendapat surat pertukaran pula. Dan sayangnya rayuan saya semuanya tidak dilayan. Waktu itu suami saya baru saja menamatkan kontrak kerjanya di Putrajaya untuk menemani saya. Jadi, ada jugalah peneman saya di Kuala Lipis.

Ketika sedang bercuti selepas menamatkan housemanship saya, memang terlalu banyak saya dan suami mengembara. Berulang-alik Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh. Begitulah lebih kurang. Kami ke Kuala Lipis lebih awal untuk mencari rumah sewa. Tapi memang tiada rezeki nak dapat rumah sewa. Semuanya penuh! Setelah emak ayah dan umi baba pun turut ke Lipis bersama kami untuk mencari rumah sewa, akhirnya kami ambil keputusan untuk menyewa di hotel dulu sementara menanti jika ada kekosongan rumah sewa. :???:

Alhamdulillah. Rupanya memang rezeki saya di sini agaknya. Saya disambut dengan sangat baik oleh seluruh warga hospital. Hari pertama melapor diri, saya terus kena bekerja. Untuk sementara waktu ini, saya ditempatkan di Jabatan Pesakit Luar (OPD) sebelum diserap penuh ke Jabatan Anaesthesiologi. Kalau ikutkan ada dua orang lagi doktor yang bertugas bersama saya di OPD tapi masing-masing juga ada tanggung jawab lain. Jadi, kadang-kala, saya bertugas sendirian di bahagian klinik bersama dua orang lagi MA dan terpaksa memberi rawatan kepada seratus lebih pesakit sehari!

Penatnya hanya Allah yang tahu. Hakikatnya kami masih kekurangan MO dan pakar di sini. Insya Allah pada tahun baru ini sebuah bangunan baru akan mula beroperasi. Jadi sekarang ni, menurut pengarah, kami sedang menanti kedatangan lebih ramai MO dan pakar dari luar untuk memenuhi kuota.

Syukurnya, suami saya ada bersama saya di sana. Ada beberapi hari yang saya terpaksa pulang jam 11 malam kerana sedang tag call bersama kawan saya, dialah yang akan menjemput saya. Ketika saya di hospital, suami saya duduk di hotel membaca jurnal-jurnal sebagai persediaan viva masternya. Di hospital pula, saya memang tak sempat nak berhenti makan tengah hari. Sudah pukul 2 pun masih ramai lagi di klinik. Saya gagahkan juga menghabiskan pesakit yang datang untuk sesi pagi dan kemudian baru saya berehat sekejap. Berehat yang dimaksudkan ialah solat Zohor dan dan menikmati bekal air Milo panas yang saya bawa di dalam termos kecil. Itu saja. Nak makan memang tak sempat dan tak ada selera.

Biasanya, balik saja dari kerja, saya akan sakit pinggang yang teramat sangat. Maklum sajalah. Saya ke sana dalam keadaan mengandung 26 minggu, kepenatan berulang alik Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh, bergerak ke seluruh hospital berjalan kaki dan menaiki tangga, duduk terperap di OPD dari jam 8 pagi sehingga 6 petang untuk merawat pesakit, tidak makan dan hanya sempat minum bekal air yang dibawa dari hotel. Pernah sekali tu sebaik masuk saja ke kereta selepas pulang dari kerja, saya mengalami sakit belakang yang teramat sangat sehingga mengalir air mata. Suami saya memandu pulang dan di bilik, saya tidak lalu makan kerana terlalu sakit. Saya hanya terbaring mengiring sambil membengkokkan kaki untuk mengurangkan rasa sakit.

Suami sayalah yang akan mengurut belakang saya. Kasihan saya melihatnya. Sampai sakit-sakit jarinya kerana mengurut belakang saya. Terima kasih ya, abang…

Pada hari Jumaat 2 minggu lepas, saya terlibat dengan satu mesyuarat di Hospital Temerloh. Mesyuarat itu di sebelah pagi. Saya dan suami bertolak balik ke Temerloh pada Khamis malam itu selepas saya habis kerja. Penatnya tidak terkata. Sampai saja di Temerloh, dua-dua pun tidur mati! Keesokannya saya menghadiri mesyuarat di HoSHAS dan sebelah petangnya saya hanya berehat di rumah saja kerana terlalu penat.

Pada petang Ahad itu, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lipis. Tetapi, ada ujian lain pula yang datang. Ujian yang lebih besar. Dua serentak. Sederap ke atas bahu saya. Untuk memujuk hati dengan setiap ujian yang datang ini, saya selalu berkata: Mesti ada hikmahnya kenapa semua ni terjadi. Mesti ada! Mesti ada! Mungkin belum masanya lagi untuk saya tahu dan nikmati apakah hikmahnya. :roll:

Apa ujiannya, tunggu entri seterusnya.

Sesungguhnya, kita merancang, Allah juga merancang. Dan Allahlah sebaik-baik perancang…

Nota: Saya rasa dah sampai masanya saya kena tukar gambar dan description di Tentang Sarah tu. Hehe. :mrgreen:

Posted on October 11th, 2011 by Sarah  |  20 Comments »