Selamat Setahun Bercinta

Assalamualaikum wbt

Sedar-sedar sudah setahun menjadi isteri kepada Ahmad Thaariq. Ya Allah. Sekejapnya masa berlalu.

Abang, terima kasih atas segalanya selama setahun kita hidup bercinta bersama.ย Setahun bersama, kita dah pun bertiga. Terima kasih atas segala cinta dan pengorbanan Abang buat Sarah dan Izz.ย  Sarah mahu terus hidup bercinta bertahun-tahun lamanya dengan Abang dan anak-anak, sampai syurga.

Abang selalu kata Abang sayangkan Sarah. Sekali pun Abang tak luahkan, Sarah tahu itu semua. Kerana yang paling romantis Abang lakukan setiap hari ialah, Abang sentiasa menyebut nama Sarah dalam garapan doa selepas solat.

Selamat setahun bercinta, Abang. Ini cuma permulaan. Kita ada masa depan yang jauh lagi untuk diukir dan dibentuk menjadi nota cinta penuh barakah. Semoga kita sama-sama dapat membentuk keluarga kita tanpa berpaling sikit pun dari jalan Allah.

Sarah tak perlu nak ucapkan kata cinta buat Abang di sini. Kerana Abang tentu tahu, cinta Sarah itu lebih daripada apa yang dapat diucap atau ditulis. Cinta itu hanya boleh Abang rasa dan hayati dengan hati. ๐Ÿ˜‰

Posted on March 12th, 2012 by Sarah  |  23 Comments »

Nota Untuk Anak Mama

This is a backdated entry. Specially dedicated for my son. Was written at the end of my pregnancy. But had no time to finalize it until one day before the delivery. But I was already in labour pain before I could publish it. Dear my son, Izz Zamani. This is the story of our journey together. The precious 40 weeks of my life.

Assalamualaikum anak mama,

Apa agaknya anak mama tengah buat tu? Keras-keras perut mama malam ni. Mama rasa, sejak mama sampai saja di rumah petang tadi, anak mama macam ajak mama pergi berenang saja gayanya. Berombak-ombak perut mama. Geli tau, sayang. Alhamdulillah. Mama sendiri tak sangka, diam tak diam tinggal lagi 13 hari saja sebelum tibanya due date sayang. Mama tahu, apa-apapun boleh berlaku dalam tempoh ni. Tapi setiap hari mama dan ayah berdoa banyak-banyak supaya sayang sihat dan selamat dilahirkan seperti yang dijangka. 1 Januari 2012. Itulah tarikh jangkaannya. Mama harap sangat anak mama akan lahir pada hari tu. Bolehlah sayang geng dengan mama. Kita sama-sama jadi Januarian ya, sayang!

Dah lama sebenarnya mama nak tuliskan nota ni untuk anak mama ni. Supaya satu hari nanti, bila sayang dah besar, dah boleh baca sendiri, sayang boleh baca semula kenangan sayang hidup selama 9 bulan bersama mama, dalam rahim mama. Mama tak tahu nak kata macam mana tapi pengalaman selama 9 bulan inilah yang tak ternilai harganya. Mama lalui satu fasa yang tak pernah mama jangkakan dalam hidup.

Mama ingat lagi tarikh mama tahu yang mama mengandung. 21 April. Waktu tu mama masih sakit-sakit tengkuk akibat kemalangan dulu tu. Mama saja cuba-cuba buat UPT di rumah. Sangat tak percaya yang keputusannya positif. Mama MMS-kan gambarnya kepada ayah. Ayah ketika itu sedang menuju ke tempat usrah. MMS itu berbunyi: Assalamualaikum ayah! Terus ayah menelefon mama untuk mendapatkan kepastian. Iya. Kami berdua sangat gembira dan bersyukur atas nikmat ini. Sejak malam itu, ayah sangat banyak menasihati mama supaya tidak terlalu aktif dan jangan stress dengan kerja.

Tapi mama ni masih lagi seorang HO pada ketika itu. Selepas bulan April tamat, mama kembali diberikan oncall setelah sebulan direhatkan daripada sebarang oncall akibat cervical injury yang mama alami. Disebabkan mama sudah senior, sudah berada di posting yang kelima dan sudah hampir menamatkan posting di Surgical, mama asyik-asyik diletakkan oncall sebagai 5th call. Tugasnya ialah menjaga kes-kes surgical di wad kanak-kanak Melor 1, kes-kes rujukan di periferi, kes-kes kritikal di ICU/HDW, membantu resusitasi di Kecemasan dan mengiri pesakit yang perlu dirujuk ke hospital luar seperti Hospital Kuala Lumpur atau Kuantan. Bertugas sebagai 5th call sangat banyak perlu bergerak. Kadang-kadang mama terpaksa berlari. Tidak dapat tidak, dalam hati mama sangat risau akan keadaan anak mama. Bolehkah anak mama survive? Usia kandungan baru mencecah 8 minggu waktu itu. Mama risau mama akan keguguran.

Mama masih ingat lagi. Pada satu malam tu, mama oncall sebagai 5th call lagi. Mama baru saja naik ke wad Melor 1 untuk berehat setelah berulang-alik dari Tabung Darah ke Red Zone. Ada kes UGIB. Mula-mula ambil packed cell 3 beg. Lepas tu hantar DIVC regime pula. Lepas tu kena ambil packed cell lagi. Memang separuh mati mama rasakan kepenatannya. Jarak antara Tabung Darah dan Kecemasan adalah antara dua hujung bangunan kompleks hospital yang luas tu! Selepas pesakit stabil dan mama iringinya ke wad Kenanga 7, mama berniat untuk naik berehat di bilik komputer HO di Melor 1. Baru saja mama duduk di kerusi, mama menerima panggilan. MO oncall mama memaklumkan berkemungkinan akan ada satu kes yang perlu dihantar ke HKL pada malam itu. Kes ICB. Allahu Akbar. Dalam hati mama berdoa moga-moga kes itu tidak perlu di-transfer ke HKL. Mama sangat perlukan rehat!

Kalau anak mama nak tahu, bilik komputer tempat mama jadikan tempat berehat tu bukannya ada katil. Yang ada cuma dua buah kerusi (kusyennya lembut jugalah) tapi agak tinggi yang jika digabungkan, tempat duduknya boleh muat untuk orang bertubuh kecil baring. Dulu-dulu waktu sebelum mengandung, mama akan tidur di atas kerusi itu saja. Ada juga sebuah kerusi lipat yang boleh dijadikan tempat baring di dalam bilik itu tapi sudah rosak dan ditumpangkan sementara di situ. Tapi sejak mama mengandung, mama tidak berani tidur di atas kerusi lipat yang rosak itu mahupun kerusi duduk yang agak tinggi berwarna biru itu. Mama takut jatuh dan membahayakan anak mama. Jadi, mama memilih untuk membentangkan selimut tebal di atas lantai di belakang meja komputer itu untuk mama berbaring. Dalam hati, mama sedih sebab dalam keadaan mengandung begini, mama terpaksa lalui semua itu.

Di wad itu ada bilik oncall HO. Tapi bilik itu digunakan (atau setepatnya dikhaskan) oleh HO Paediatrik yang oncall kerana itu wad multidisiplin mereka. Untuk HO Surgical pula, ada dua bilik oncall di wad lelaki dan perempuan. Tapi kedua-duanya digunakan oleh HO yang oncall di setiap wad itu. Jadi, memang orang 5th call merempat sikit hidupnya. Nasib badanlah, kan. Jadi pada malam itu, mama hanya sempat berehat dengan menunaikan solat Isyak di bilik komputer itu dan makan sebungkus roti bun ikan bilis Gardenia yang kecil tu. Tak sempat habis lagi roti tu, MO mama menelefon kembali. Dia memerlukan mama untuk menyelesaikan kes di Kecemasan. Mama capai labcoat dan stethoscope. Terus mama meluru ke lif. Di Kecemasan, terdapat 2 kes ICB menanti dan satu lagi kes baru UGIB. Dah nyata-nyata mama perlu berulang-alik ke Tabung Darah lagi untuk ketiga-tiga kes itu.

Selepas selesai menstabilkan mereka semua, salah satu daripada kes ICB itu mama perlu iringi pesakit tu ke HKL. Sudah tentulah naik ambulan nenoneno huyung-hayang gegar-gegar dari Temerloh, kan. Pesakit itu pula intubated dan hemodinamiknya dibantu oleh inotropes. Keadaannya tidak berapa stabil. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.45 am. Mama tiba di HKL sudah hampir jam 6 pagi. Selepas selesai memindahkan pesakit tersebut ke Unit Neurosurgical, mama pulang bersama team mama ke Temerloh. Mama terlentok di dalam ambulan. Kepenatan yang teramat sangat. Sampai di wad semula pada pukul 9.30 pagi. Mama meneruskan ward round bersama pakar dalam keadaan mengantuk, kelaparan dan tak mandi pagi! Huhu. Selepas itu, mama turun ke Klinik Pakar SOPD, tengaharinya membuat review di wad seperti biasa dan pada pukul 5 petang mama masih di wad menyelesaikan PM round bersama pakar. ย Hampir pukul 6 barulah mama mula berkemas untuk pulang.

Mama macam kebuluran bila tiba di rumah. Elok saja selepas makan, mama hendak mandi. Ya Allah. Terkejut sungguh mama kerana mama lihat mama sedang mengalami pendarahan. Mama terasa cuak yang teramat sangat. Usia kamu di dalam rahim baru 8 minggu. Apa-apa saja boleh berlaku. Mama menangis sekejap. Tapi macam cuba mempositifkan diri. Mama tidak rasa sakit. Jadi mama simpulkan kemungkinan anak mama masih selamat. Cuma mengalami Threatened Abortion. Mama tidak memberitahu ayah pun. Mama menelefon sepupu mama, Maklong Nisa, yang juga satu posting dengan mama di Surgical. Mama memintanya untuk scan mama di Labour Room. Kebetulan, Ayah Tam Adi bercuti sem di rumah. Dia yang menghantarkan mama ke hospital. Setelah di scan, mama rasa sedih sangat. Denyutan jantung kamu tak dapat dilihat. Tapi sac masih regular dan IUGS kelihatan dengan jelas. Mama pasrah. MO O&G mulakan Duphaston untuk mama dan mama perlu rehat selama 2 minggu. Mama memberitahu ayah tentang hal ini. Ayah sedih tapi ayah ajak mama banyakkan berdoa agar anak mama selamat.

Walaupun diberikan MC 2 minggu, tapi apakan daya. Mama tak boleh guna! Cuti mama sudah habis. Kalau mama bercuti juga, nanti mama akan di extend posting ni mengikut jumlah cuti mama. Mama tak mahu kena extend. Mama tak pernah kena extend sebelum ni. Kawan-kawan satu posting dengan mama yang maklum akan hal ini menggantikan oncall mama dalam tempoh semingu. Selepas seminggu, mama kembali oncall walaupun ketika itu, ada ketikanya, pendarahan masih berlaku. Mama tawakkal saja. Mama masih ingat. Kawan mama yang banyak membantu dan memahami mama ialah Dr. Faizal (yang gantikan mama jadi Ketua HO dan membuat jadual oncall), Dr. Ili (tolong mama ketika mama mengalami pendarahan ketika oncall), Dr. Marissa, Dr. Michelle (kawan baik mama) dan tentunya sepupu kesayangan mama, Dr. Nisa. Pada masa yang sama juga, kami semua sedang menjayakan Surgical Night untuk jabatan kami. Mama jadi Naib Pengerusi. Walaupun keadaan mama begini, mama tak ralat untuk bekerja siang malam bagi menjayakan program itu kerana kawan-kawan yang terlibat sebagai AJK semuanya sangat membantu dan bersemangat.

Dalam tempoh 2 minggu itu, badan mama memang lemah. Mama ajak ayah pergi membuat scan di sebuah klinik swasta di Mentakab. Alhamdulillah! Denyutan jantung anak mama kelihatan! Anak mama survived! Mama dan ayah sangat bersyukur. Ayah melarang mama membuat kerja berat. Tapi apa yang mama boleh buat? Memang semua yang ada di wad tu adalah kerja rutin kami semua sebagai doktor. Tidak dapat tidak, memang mama tetap bekerja seperti biasa.

Selepas masalah Threatened Abortion selesai, mama mula muntah-muntah dengan teruk. Mama ada cerita ini dalam satu entri lama dulu. Hampir 5 kg berat mama turun. Tak larat sungguh rasanya. Waktu itu mama sudah pun berada dalam posting terakhir sebagai HO Anaesthesiology. Ketika berada di OT, berulang-aliklah mama ke tandas untuk muntah. Pernah mama dimasukkan air dan berehat di bilik oncall. Pernah juga dihantar ke Kecemasan dan terima drip lagi. Muntah sampai berdarah-darah. Muka mama pun ada bintik-bintik darah kecil-kecil. Dah macam ada episodes of asphyxia je dah masa muntah tu. Tapi kerja tetap kerja. Cuma mama jadi sangat pendiam untuk elakkan mual semakin teruk. Memang pendiamlah kiranya. Tak seperti biasa. Haha. Nampak sangat mama ni banyak cakap juga, kan.

Pernah sekali tu, mama ikut ayah balik ke Putrajaya. Tiga hari di sana, tiga hari jugalah mama melepek. Muntah-muntah tak usah cakaplah. Terlalu kerap. Hari ketiga tu, ayah bawa mama ke klinik. Masuk drip lagi sekali. Dan keadaan mama sangatlah pucat ketika itu. Nak berjalan pun terketar-ketar jadinya. Doktor di klinik tu kawan ummi (nenek kamu). Dr. Rohaya namanya. Dia sangat lembut dan banyak memberikan kata perangsang kepada mama. Sepatutnya mama perlu dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk admission. Tapi mama tak mahu. Mama kena balik ke Temerloh sebab lusanya tu mama kerja. Mama dapat MC tapi MC daripada GP tak laku untuk kami ni. So MC tu awal-awal lagi mama dah simpan bawah bantal sajalah. Waktu tu, usia kamu baru 16 minggu. Dan waktu scan di situ, mama dah pun tahu apa jantina kamu nanti, insya Allah. Hebat betullah Dr. Rohaya tu. Hehe.

Sewaktu usia kamu 18 minggu lebih, mama sudah mula rasakan tendangan pertama kamu di dalam perut. Subhanallah! Amazing betul rasanya. Mama sedang makan cendol dengan Mak Tam Ani ketika itu. Terus mama telefon ayah. Sejak itu, mama macam ternanti-nanti bila lagi akan merasa tendangan-tendangan kecil itu. Seronok betul rasa. Kalau tengah malam tiba-tiba mama merasa tendangan kamu, mama boleh tersenyum seorang diri. Hehe.

Alhamdulillah, mama berjaya berpuasa sebulan penuh. Keadaan muntah-muntah tu pun hanya hilang selepas hari raya. Waktu itu usia kamu sudah masuk 25 minggu. Barulah keadaan pulih. Dan selera makan mama mencanak-canak naik. Tapi berat mama tidaklah naik mana sangat. Yang paling mama suka makan ialah aiskrim Magnum Classic! Suka gila! Ayah risau je mama akan overweight tapi ayah tetap belikan mama aiskrim tu. Haha. Allah tu maha tahu segalanya. Elok saja mama dari alahan mengandung, mama dipindahkan ke Kuala Lipis pula. Di situlah mama dan ayah mula duduk di rumah sewa pertama kita.

Mama suka bekerja di Kuala Lipis. Keadaannya tak sesibuk di Temerloh dulu. Dan mama ditempatkan di Jabatan Anaesthesiologi juga. Mama suka! Sebab mama sangat minat Anaesth! Sebelum memulakan kerja di OT, mama ditempatkan terlebih dahulu di OPD. Jaga klinik pesakit luar dan buat general call. Penat Ya Rabbi! Disebabkan itulah mama mengalami premature contraction ketika kamu baru berusia 27 minggu. Menangis mama memikirkan kamu mungkin dilahirkan tidak cukup bulan. 27 minggu itu adalah telalu kecil! Severe premature! Hampir seminggu mama ditahan di wad di Temerloh. Mama memang banyak menangis ketika itu tapi pada masa yang sama mama juga banyak berdoa. Alhamdulillah segalanya selamat.

Kalau anak mama nak tahu, yang paling mama sedihkan sekali ialah bila mengenangkan keadaan mama yang sarat dan tinggal berseorangan di sana. Ramaaaai sangat yang tanya mama, kuat ke duduk seorang diri kat sana? Sedihnya hati bila berulang kali orang tanya soalan tu. Hakikatnya, mama sangaaaaat sedih. Setiap hari mama rasakan kosong dan sunyi. Mama hanya bercakap bila di hospital. Bila bertemu rakan sekerja. Di rumah, hanya sunyi yang menemani mama. Kalau mama tak oncall, pukul 5 lebih mama sudah sampai di rumah. Mama akan ternanti-nanti ayah menelefon. Ayah sibuk ketika ini. Selalu balik lewat. Kadang-kadang bila mama menelefon ayah, ayah masih lagi di pejabat. Sebelah malamnya pula kadang-kadang ayah ada urusan lain. Hari yang ayah ada usrah, mama akan tunggu ayah telefon selewat 12 tengah malam. Sunyi tak terkata hidup mama.

Mama uruskan semuanya sendirian. Daripada makan minum sehinggalah sakit lenguh badan mama. Apabila mendengar suara ayah di telefon, mama mesti menangis. Siapa kata mama kuat? Cengeng sebenarnya mama ni tau. Kadang-kadang, ayah tak perlu bersuara pun. Cukup dengan menerima panggilan ayah dah boleh buat mama menangis. Setiap pagi mama bangun pada pukul 5.30 am. Apabila mama ke bilik air untuk mandi, mama selalu berpesan pada diri mama sendiri. Mama perlu berhati-hati. Lantai basah, licin. Jangan jatuh. Setiap kali mama ceritakan pesan mama pada diri sendiri ini kepada ayah, ayah akan diam di hujung talian dan mungkin juga menangis sebenarnya. Lalu ayah akan berkata: Maafkan abang. Abang tak dapat teman sayang kat sana. Mama bergenang air mata tapi mama ingatkan ayah: Takpe. Allah jaga mama dan baby di sini.

Pernah pada satu hari, mama turun membantu di klinik OPD kerana tidak cukup doktor. Beban kerjanya sudah tentulah berat. Waktu itu kamu sudah pun masuk 36 minggu. Pesakit sangatlah ramai. Mama duduk di kerusi terlalu lama sehingga mama sakit pinggang yang amat sangat. Mama memandu pulang ke rumah dalam keadaan sakit. Sudahnya, mama langsung tidak dapat tidur walaupun sepicing pada malam itu. Ayah risau. Mama sudah tertekan dengan mata yang tak boleh lelap. Mama mengaji saja sepanjang malam. Banyak kali ayah telefon untuk menemani mama. Badan mama terasa lemah sebab tidak boleh tidur. Keesokannya itu mama oncall. Alhamdulillah, selepas pukul 5 petang, tiada kes kecemasan. Mama balik berehat di rumah. Mama berkira-kira, selepas Isyak, mama hendak tidur terus, takut-takut ada kes di tengah malam buta. Nanti tak sempat tidur pula.

Selesai saja mama berdoa, ayah menelefon mama. Ayah bertanya apa yang mama sedang buat. Mama jawab, mama baru sudah solat dan sudah hendak tidur selepas itu. Tiba-tiba ayah menyuruh mama membuka pintu. Ayah sedang menunggu di luar pintu. Ya Allah. Terperanjat sungguh mama. Ayah balik! Dengan bertelekung, mama membuka pintu dan terus memeluk ayah. Mama dan ayah menangis berpelukan. Ayah kata, ayah balik semata-mata untuk menemani mama tidur. Ayah nak pastikan mama tidur. Malam itu, mama boleh tidur, Alhamdulillah. Dan keesokannya, ayah bertolak untuk pergi kerja pada jam 5 pagi dan mama ke hospital pada jam 6.30 pagi kerana ada kes secara tiba-tiba. Walaupun penat mama belum hilang sepenuhnya, tapi mama gembira kerana ayah pulang untuk menemani kita.

Oh ya. Kalau anak mama nak tahu, sepanjang mengandungkan kamu ni, mama sudah 2 kali khatam Al-Quran. Alhamdulillah. Memang Al-Quran lah peneman mama setiap hari di rumah ni. Subuh-Subuh mama mengaji. Maghrib mama mengaji. Lepas Isyak pun mengaji. Bila sunyi mama mengaji. Bila tak boleh tidur mama mengaji. Mama bacakan Al-Quran untuk tenangkan hati mama dan mama hendak kenalkan anak mama dengan ayat-ayat Allah ni. Setiap kali lepas mengaji, mama rasa puas. Hilang rasa penat. Dan yang pasti, respon dari anak mama pun lebih aktif. Main tendang-tendang kat dalam. Suka betul mama. Huhu. Sekarang pula mama sedang cuba menghabiskan Surah Yasin sebanyak 40 kali. Kebetulan, ketika mama khatam kali yang kedua, cukup-cukup saja 40 hari sebelum due date kamu. Moga-moga Allah permudahkan proses kelahiran kamu nanti, ya sayang.

Anak mama, insya Allah kalau diizinkan, mama berniat untuk menyusukan kamu sepenuhnya dengan susu badan selama dua tahun. Mama dah siap sediakan pam dan segala gadget yang perlu untuk membuat stok susu nanti. Mama mahukan barakah dalam membesarkan kamu dengan susu ibu seperti mana yang dituntut di dalam Al-Quran dan mengikut sunnah Rasulullah. Mama harap, dengan barakah susu ibu, anak mama akan menjadi mukmin yang mentauhidkan Allah dan tak gentar untuk menyebarkan kebenaran itu. Setiap hari mama mendoakan ini. Dan mama sentiasa luahkan apa mama doakan dan rasa ini kepada ayah. Ayahlah penyokong nombor satu mama. Moga-moga nanti Allah murahkan rezeki anak mama dengan susu yang banyak dan tak putus-putus, insya Allah.

Anak mama, di saat mama menulis penutup nota ini, mama baru saja pulang daripada last check up di Klinik Desa Lebak. Mama sendirian saja ketika ini. Kebetulan yang lain keluar pula. Sebenarnya mama sudah mula rasa sakit-sakit. Tapi kekerapannya masih jarak-jarak. Mama rasa, memang sudah sampai masanya kamu nak keluar, ya? Hehe. Sambil menulis ini, sekejap-sekejap mama akan memegang pinggang menahan sakit. Ya. Mama yakin ini memang contraction pain. Huuu. Tiba-tiba mama rasa seram sejuk. Mama dah nak bersalin! Anak mama dah nak keluar!

Apa-apapun, mama nak anak mama tahu. Mama terlalu menghargai pengalaman kita hidup sebagai satu selama 40 minggu ini. Pengalaman yang terlalu berharga. Pengalaman yang tak boleh ditukar ganti. Kita hidup sebagai satu jasad, berkongsi segalanya. Terima kasih kerana memberikan mama pengalaman ini. Terima kasih kerana menemani mama di saat mama sunyi. Semoga mama dan ayah dapat menjadi ibu bapa terbaik buat kamu di dunia ini nanti.

Sakit dah semakin kerap ni. Andai kata mama syahid ketika melahirkan kamu, mama nak anak mama tahu, mama terlalu sayang kamu! Jika tak sempat bertemu di dunia, jadilah anak soleh yang mendoakan mama sentiasa. Moga-moga Allah temukan kita di syurga.

Sayang sepenuh jiwa,

Mama.

Nota: 8 Mac – Selamat Hari Wanita. Peliharalah diri dan aurat kita. Sesungguhnya kita adalah harta yang amat berharga. ๐Ÿ˜‰

Posted on March 8th, 2012 by Sarah  |  43 Comments »

Selamat Hari Lahir, Abang

Assalamualaikum wbt

Sejak mengenalinya pada tahun 1995 dan mengetahui bahawa tarikh lahirnya jatuh pada 13 Februari, saya tidak pernah melupakan ulangtahun kelahirannya itu. Tak tahulah kenapa, walaupun pernah berpisah berbelas-belas tahun lamanya, saban tahun, apabila tibanya tarikh ini, hati saya akan terdetik: Oh, birthday dia hari ini.

Dua tahun lalu, 13 Februari 2010, saya mengucapkan selamat hari lahir buatnya lewat laman Facebook saja. Tiada sebarang notifikasi daripada Facebook sebagai peringatan tentang tarikh lahirnya. Tetapi saya ingat. Saya ucapkan selamat. Saya mendoakan dia sentiasa hidup dilimpahi rahmat. Dan tanpa disangka, sayalah orang pertama yang berbuat demikian. Dan itu jugalah antara sebab musabab yang membuatkan dia terfikir bahawa saya ini ada perbezaan. Seraya mengiyakan hatinya juga merasa sedikit kelainan.

Pada hari ini, usianya berubah mencecah 27 tahun. Dan kali ini saya tidak perlukan Facebook sebagai wadah bicara. Kerana kami sudah halal untuk bertemu mata. Apatah lagi berbual mesra. Untuk meraikan kesyukuran dipanjangkan umurnya.

Selamat hari lahir buat sahabat baik saya, suami tercinta, yang juga ayah kepada anak kecil itu. Semoga umur yang bertambah ini disyukuri dengan sebaiknya dan makin mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta. Saya mahu memanfaatkan usia muda dengannya. Saya mahu belajar menjadi tua bersamanya. Saya mahu terus bersamanya hingga ke syurga.

Saya menangis jika saya sayangkan sesuatu. Itu memang semulajadinya saya. Dan saya menangis apabila memeluknya sambil mengucapkan ‘Selamat hari lahir, Abang’.

Abang,ย ya lublyu tebya!

Posted on February 13th, 2012 by Sarah  |  12 Comments »

Izz Zamani

Assalamualaikum wbt

Hari ini umur Izz sudah pun 19 hari. Terasa baru sangat lagi melahirkan Izz. Masih teringat lagi detik-detik hendak melahirkan dia. Ketika sedang meneran yang penghabisan di saat kepala Izz sudah hampir keluar, suami saya berkata: Sayang, rambut dia lebat! Wah. Saya pun apa lagi. Terus terasa bersemangat hendak meneran sekuat yang boleh. Dan memang selepas itu, kepala Izz pun keluar dan dengan sekali teran pula selepas itu, keluarlah Izz sepenuhnya.

Itu 19 hari yang lalu. Di saat dia lahir, rambutnya sangat lebat dan terpacak-pacak. Memang terujalah saya melihatnya. Pada sebelah malamnya pula saya tidak boleh lelap kerana asyik melihat dia nyenyak tidur di samping saya sambil menyusu. Rambut pacak, kulit cerah, mata sepet. Cukup sifat untuk jadi artis K-Pop, kata adik saya. Haha.ย Dan kini, rambut Izz yang terpacak itu sudah tiada. Izz botak. Licin. Dicukur dan ditahnikkan pada hari ke-9 yang lalu. Dan insya Allah pada cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina ini, Izz akan diaqiqahkan pula.

Izz suka penyekkan mukanya ke bawah. Maksud saya, dia suka menekan bahagian dagunya ke dada. Jadi akan kelihatan mukanya menjadi penyek dan pipinya melebar. Sejak hari pertama lagi saya sudah memanggilnya Si Penyet. Hihi. Comel sungguh apabila dia membuat muka penyek begitu. Setiap kali melihat dia membuat muka begitu, saya akan memberitahu suami saya bahawa Izz sedang membuat muka asam kundur. Huhu. Err. Siapa pernah main permainan Plants vs Zombies? Kalau nak tahu bagaimana rupanya asam kundur yang saya maksudkan tu, rupanya ialah seperti buah yang digunakan untuk menghempap zombi yang datang yang berharga $50 dalam permainan itu. Huhu. Dan kadang-kala, apabila Izz menangis, dia akan mengeluarkan bunyi seperti zombi berdolfin pula! Huhu. Nampak sangat saya dan suami dipengaruhi oleh permainan itu!ย :mrgreen:

Yang saya sedar, Izz biasa terjaga sekitar jam 10 malam sama ada kerana hendak menyusu atau perlu menukar pampersnya. Jika hendak menukar pampers, suami saya akan membawanya ke tilamnya di hadapan TV di ruang rehat dapur. Dan pada ketika itu jugalah adik-adik saya sedang menonton rancangan 30 Minit Ustaz Don. Iya. Izz sukakan Ustaz Don! Setiap kali Ustaz Don mengaji lagilah Izz suka. Dia akan diam saja walaupun hakikatnya pampersnya ketika itu penuh! Huhu.ย Oleh itu, suami saya memamnggil Izz dengan nama Izz Don Zamani. Hihihi. Moga-moga Izz mendapat berkat ilmu yang ada pada Ustaz Don ya.

Setiap kali hendak menyusukan Izz, saya akan membacakan beberapa surah lazim dan doa untuk Izz. Al-Fatihah, doa makan, doa tidur (of course lepas menyusu tu dia akan terus tidur, kan), ayat Kursi, ayat 1000 dinar, 3 Qul dan syahadah. Jika dia masih berjaga juga, Izz sangat suka akan selawat Solla ‘alaikallah dan Tubna ilallah. Dodoi-dodoi, mesti dia akan tidur juga. Cuma, di waktu malam saja kadang-kala Izz akan meragam. Yang itu memang sangat mencabar kesabaran. Tidur duduk bersandar di kepala katil atau pun tidak cukup tidur itu memang perkara biasa bagi saya. Tapi saya sangat bersyukur. Suami saya sangat banyak membantu. Emak apatah lagi. Emak yang menyediakan tempat bersalai dan bertungku saya setiap pagi. Emak juga yang memandikan Izz. Emak menyediakan makanan orang berpantang untuk saya dan emak jugalah yang mendodoikan Izz pada masa-masa tertentu jika Izz menangis dan saya pula sedang mandi atau makan.

Suami saya pula yang menukarkan pampers Izz. Terutamanya di malam hari. Dia belajar segala selok-belok menjaga anak dengan emak. Dia juga yang menolong saya menyediakan perkakas untuk mengepam susu untuk dibuat stok. Dia tak jemu memberikan semangat ketika saya ada kalanya tertekan melihat stok susu yang sedikit ketika dipam. Dia juga yang mengurus dan menyusun stok-stok susu di dalam peti. Dia mengurut tapak kaki saya yang kelenguhan dan disebabkan keadaan kesihatan saya tidak berapa memuaskan, suami saya jugalah yang akan mendukung Izz untuk dibawa ke mana saja. Saya tidak dibenarkan untuk mengangkat benda berat sedikit pun. Dan jika ada masa lapang, suami saya jugalah yang akan menemani saya bermain game. Hehe.

Dan sememangnya benar. Sesusah-susah zaman mengandung, susah lagi apabila sudah bergelar ibu. Sebab itulah syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu. Subhanallah. Kini, sudahย 19 hari bersama Izz Zamani. I feel awesome!ย :cool:

Izz Zamani kesayangan mama dan ayah, Izz terlalu comel di mata dan hati kami! Jadilah penyejuk mata dan hati kami juga ya, sayang.

Nota: Terima kasih atas ucapan tahniah daripada semua. Buat semua yang meninggalkan komen di entri lepas, terima kasih juga saya ucapkan! Tak sempat nak balas kesemuanya!

Posted on January 16th, 2012 by Sarah  |  28 Comments »

Merajuk-merajuk Sayang

Assalamualaikum wbt

Disebabkan jemu duduk seorang diri di wad ni, maka terhasillah karangan saya yang seterusnya. Hehe. Eh, di wad? Kenapa di wad? Ok. Yang itu kita cerita kemudian. Hari ni mama nak cerita kisah mama merajuk dengan ayah. Hihi.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Betul tak? Mustahil tiada suami isteri yang tak pernah tak sependapat, bermasam muka, merajuk, bergaduh dan sebagainya. Tapi harapnya, selepas sesi itu berlalu, pasangan tersebut belajar sesuatu daripadanya dan ikatan kasih sayang menjadi lebih kukuh. ๐Ÿ˜‰

Kisahnya, sewaktu dalam perjalanan pulang beraya ke Batu Pahat, saya menyatakan keinginan saya untuk makan Nasi Beriyani Gam Johor. Sangat teringin. Saya belum pernah makan nasi beriyani gam. Kata suami, nanti kita cari bila dah sampai sana.

Hari raya pertama berlalu dengan cepatnya. Tambahan pula, kami hanya tiba di rumah Atuk menjelang jam 10 malam kerana berkumpul dan beraya di rumah datuk saudara di Kampung Bagan terlebih dahulu. Jalan pula sesak apabila hendak balik ke Kampung Parit Haji Sidek. Hari pun sudah malam. Tiada kedai makan kelihatan di sepanjang jalan yang masih buka. Lagipun itu hari raya pertama. Beragaklah sikit, kan. Siapa yang nak buka kedai untuk berniaga. Hehe.

Keesokannya pula, saya dan suami mengikut umi dan baba beraya ke beberapa buah rumah saudara mara di sekitar Batu Pahat. Hampir jam 4 petang, barulah kami bertolak pulang ke Temerloh. Saya tidak makan tengahari kerana sudah bersiap sedia kalau-kalau encik suami memang hendak membawa saya makan nasi beriyani gam. Saya memang sudah teruja sangat. ๐Ÿ˜†

Sayangnya, saya lihat suami saya seperti lupa dan perjalanan diteruskan menuju terus ke arah Yong Peng, kemudian Labis, kemudian Segamat dan seterusnya sudahpun memasuki Gemas. Memang saya diam saja di sepanjang perjalanan. Tanda protes secara diam. Dalam hati saya berkata, mesti suami saya lupa bahawa isterinya ini sedang mengidamkan nasi beriyani gam JOHOR. Bila sudah memasuki Gemas, Negeri Sembilan, ok, sedar dirilah, wahai Sarah. Apa yang diidamkan takkan tercapai dah. Huhu. ๐Ÿ™

Ketika jalan sedang sesak teruk berhampiran Bandar Sri Jempol, suami saya bersuara menanyakan kenapa saya diam dan kelihatan seperti tidak ada mood. Saya memberi alasan sakit pinggang dan memang benci dengan kesesakan jalan raya. Itu memang fakta. Saya memang tak boleh tahan dengan kereta yang banyak-banyak dan tersengguk-sengguk bergerak.

Suami saya bertanya lagi, mesti ada perkara lain yang menjadi isu ni. Alang-alang dia sudah bertanya begitu, saya katakan padanya: “Ada sesuatu yang abang lupa.” Suami saya diam seketika.

Sejurus kemudian dia menjawab. “Abang ingat sayang teringin nak makan nasi beriyani gam. Tapi sayang sendiri tengok mana ada kedai yang buka, kan. Lagipun hari ni raya kedua. Orang tak mula berniaga lagi.”

Saya teringat apa yang suami saya katakan semalamnya itu. “Abang kata dekat dengan Hospital Batu Pahat ada satu kedai best. Tapi kenapa abang tak nak lalu situ dulu tadi? Paling habis, kita cuba cari. Tapi abang tak cuba pun lagi tadi.” ๐Ÿ™

Saya diam, suami saya pun diam. Begitulah perjalanan kami menuju ke Temerloh. Hanya singgah solat sebentar di Masjid Jempol dan kemudian menyambung perjalanan menuju ke Temerloh. Sampai di rumah, saya menghidangkan apa-apa yang boleh kami makan kerana lapar dan kemudian saya terus tidur. Saya sangat keletihan. Esoknya kerja pagi. Maka saya tidur dengan ditemani air mata ibu mengandung yang mengidam nasi beriyani gam. Keranamu nasi beriyani gam, esoknya saya bangun dengan mata yang sembap. Sob sob sob~ ๐Ÿ™

Tapi rajuk sudah hilang. Saya sudah pujuk hati. Saya tidak simpan sikit pun dalam hati walaupun sebenaarnya masih kempunankan nasi beriyani gam itu. Esoknya kami sudah mesra bercinta seperti sedia kala. Hehehe. ๐Ÿ˜€

Dan pada 9 September lepas, itulah hari terakhir saya bertugas sebagai seorang HO dan juga merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Hospital Temerloh. Iya. Saya telah dipindahkan ke sebuah hospital lain untuk meneruskan jawatan MO saya pula. Di mana saya dihantar, itu kita cerita kemudian. Disebabkan saya bercuti sehingga 18 September, saya dan suami mengambil kesempatan ini untuk membuat persiapan menyambut kelahiran anak kami. Kami berdua memang teruja hendak memulakan sesi memburu barang-barang bayi. Semuanya comel-comel! Hehe. ๐Ÿ˜‰

Kami mulakan dengan membuat tinjauan harga dan senarai yang perlu di internet. Ada juga yang terus dibeli sscara online. Dan ketika pulang ke Putrajaya, kami mengambil kesempatan itu untuk ke beberapa buah pusat membeli-belah, Jaya Jusco dan juga ke Fabulous Mom untuk mencari barangan yang telah disenaraikan. Disebabkan Kaklong ada meninggalkan agak banyak pakaian bersaiz newborn milik Anis untuk diperturunkan kepada anak saya pula nanti, jadi kami tak membeli banyak pakaian newborn. Membazir saja nanti. Nanti baby guna baju-baju Kakak Anis dulu ya. Hehe. ๐Ÿ˜‰

Sudah hampir pukul 4 petang, barulah kami hendak pulang ke Presint 14. Suami mengajak saya pergi makan dulu. Dia tahu, sekarang ni jadual makan saya rapat-rapat tapi saya tidak boleh makan banyk-banyak. Tapi saya lihat suami saya tidak masuk ke simpang yang menuju ke Presint 14 mahupun 15. Biasanya kami membeli makanan di restoran-restoran di Presint 15 tu saja. Kata suami, petang tu hendak cari makanan di Bangi pulalah. Saya hanya menurut saja. Janji dapat makan nasi. Perut dah lapar. Hehe.

Saya sebenarnya agak kelembikan pada waktu itu kerana sudah mula sakit pinggang. Tapi sebaik kereta suami mula memasuki kawasan deretan restoran di seksyen berapa entah tu, saya jadi sedikit teruja. Mata saya sebenarnya sudah menangkap satu papan tanda restoran di situ.

Restoran Anje Nasi Beriyani Gam Johor!

Hanya Allah dan suami saya saja yang tahu betapa tersengih dan lebarnya saya tersenyum pada ketika itu! Daripada memesan makanan di kaunter sshinggalah kami duduk menghadap makanan kami. Memang saya tersenyum saja. Selepas suami membacakan doa makan, saya pegang tangan kirinya dan mengucapkan terima kasih dengan diiringi senyum yang lebar meleret. Selepas itu, saya memang tekun menjamah nasi beriyani gam saya sehinggalah licin sepinggan penuh nasi itu. Tak langsung diangkat muka saya ni dan tak sepatahpun keluar apa-apa daripada mulut saya dek kerana terlalu menikmati hidangan itu. Subhanallah. Memang sedap. Sehingga saya licinkan segala apa yang ada di dalam pinggan saya! :mrgreen:

Suami saya hanya diam dan tersenyum dengan gelagat saya. Hehe. Tak mampu nak komen apa dah agaknya. Haa, tu sebabnya orang dah kata. Mengidam orang mengandung ni bukan boleh dibuat main. Hihi. Nasib baik saya bukan mengidam benda pelik-pelik atau mahal-mahal. Cuma sekadar nasi beriyani gam Johor saja. ๐Ÿ™‚

Selesai makan dan basuh tangan, saya mencapai tangan suami dan tak mahu lepaskannya. Itu tanda saya betul-betul berterima kasih dengan apa yang dia lakukan untuk saya.

Terima kasih, abang. Sarah cinta abang banyak-banyak muah muah! Abang tau tu, kan? Sampai bila-bilapun Sarah akan ingat tarikh hari itu: 12 September 2011. ๐Ÿ˜‰

Posted on September 27th, 2011 by Sarah  |  25 Comments »