I Am On The Go!!!
Assalamualaikum wbt
Lamanya saya tidak menulis. Terlalu rindu untuk kembali aktif berkongsi cerita dan pengalaman. Mula-mula dikekangi masalah laptop rosak. Kemudian, keadaan kehidupan yang sedang diadaptasi dengan kehadiran Izz Zamani pula. Bila sudah mula bekerja, terbatas dek kesibukan oncall dan keletihan selepas balik kerja. Jika ada masa lapang, sudah pasti saya penuhi bersama suami dan Izz.
Terlalu banyak yang terjadi dalam tempoh empat bulan ini. Terlalu banyak! Kadang-kadang, pernah saja terdetik di dalam hati untuk kongsikan pengalaman dan pengajaran yang saya dapati daripada kerja dan kehidupan saya dengan rakan-rakan pembaca. Tapi, tetap tidak sempat untuk duduk menekun menulis.
Di hospital, saya ialah seorang doktor yang cuba memberikan yang terbaik untuk pesakit. Saya selalu keluar rumah dengan ikhlas niat untuk membantu orang lain. Kalau tidak begini, hari-hari yang saya lalui terasa sangat memenatkan. Saya suka kerja saya. Kalau tidak ikhlaskan niat, sia-sia saja apa yang saya lakukan. Walau terpaksa lalui oncall berderet seminggu dalam keadaan hanya ada dua orang MO di Jabatan Anaesthesiology dan ICU, saya tetap akan cuba berikan yang terbaik.
Di rumah pula, saya ialah seorang isteri dan ibu yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk suami dan anak saya. Setiap hari seboleh-bolehnya saya akan memasak untuk suami. Hanya jika saya oncall atau postcall yang terlampau penat saja baru kami akan membeli di luar. Pada masa yang sama, saya konsisten mengepam susu untuk Izz. Di hospital mahupun di rumah. Aktiviti mengepam adalah satu kemestian setiap hari. Hatta pukul 3 pagi pun saya bangun untuk mengepam setiap hari. Sejak Izz sudah mula makan ketika berumur 6 bulan lebih (Alhamdulillah, saya berjaya menyusukan Izz secara eksklusif dengan susu ibu selama 6 bulan penuh!!!), saya akan memasak buburnya setiap pagi. Hujung minggu yang tidak oncall, saya dan suami akan bergotong-royong menyediakan stok puri sayur dan buah-buahan Izz. Hanya masakan dari rumah tanpa sebarang gula, garam dan perasa tambahan untuk Izz buat masa ini. Rutin bangun pukul 5 pagi adalah jadual tetap saya.
I guess, this explains why this blog has been abandoned for the last 4 months. 😉 But now, say no more to laziness and tiredness. I’m on the go!Â
Suami saya dah bawa saya pergi beli laptop baru dan handphone saya sudah dinaiktarafkan versinya. Dah boleh jadi WiFi hotspot. Sekarang saya tak perlukan broadband lagi! I’m on the go! Anytime, anywhere. Insya Allah, akan lebih ada kesempatan dan masa untuk menulis di dunia saya ini.
Dan masih belum terlambat, Salam Ramadhan buat semua. Ya. Ini tahun pertama saya berpuasa dan menyusukan pada masa yang sama. Tapi itu bukan alasan untuk meninggalkan rutin berlumba-lumba untuk beribadah di bulan mulia ini, dan bukan alasan untuk tidak mengepam untuk Izz Zamani. 😉
Nota 1: Izz sudah 7 bulan. Sudah ada 2 batang gigi dan sudah mula hendak lepas tangan untuk berjalan. Yeay! 🙂
Nota 2: Entri tertunggak – Pengalaman melahirkan Izz Zamani! Hehe :p
Nota 3: Nanti akan kongsi perjalanan suka-duka menyusukan Izz dengan susu ibu. Kalau saya lambat, sila tuntut. HahaÂ
Nota 4: Pesanan saya turun temurun. Selamat bertadarus dan menghayati Al-Quran di bulan Ramadhan ini dan moga dapat diteruskan selamanya.