Kehidupan
Assalamualaikum wbt
1. Selamat pengantin baru buat senior di Al-Mukmin dulu, Kak Tikah dan suami. Juga buat bekas rakan sekelas dan sebilik dengan saya di KISAS yang turut bersama-sama ke Russia dulu, Dyana Nizar dan suami. Dan buat adik sebilik dengan saya di Moscow dulu, Emy dan Firdaus. Barakallahulakum! Semoga perkahwinan kalian menjadi pelengkap agama dan semakin memantapkan lagi diri dan iman masing-masing. 🙂
2. Sejak berada di Jabatan Pembedahan Am ni, kadang-kadang rasa tertekan tu macam tak terkawal. Sampai ada rasa nak menangis. Tapi memang kena bersabar banyak-banyak. Hidup memang tak terurus. Dalam seminggu yang ada tujuh hari tu, saya oncall selang sehari sebanyak empat kali. Tarikh pun saya dah tertukar-tukar. Badan dan otak tak bergerak seiring lagi sebab terlalu penat. Sampai saja rumah bila post call, selesai saja isyak saya mesti sudah tidur. Tapi tekanan tu bukan setakat datang daripada beban kerja yang menimbun. Tapi dari segi layanan kita sebagai manusia. Hmm. Nanti saya kupas dalam entri seterusnya kalau ada masa.
3. Pagi tadi saya menghantar seorang pesakit yang ventilated pulang ke rumahnya untuk di extubate di rumahnya. Pesakit ini sudahpun diisytiharkan brain death. Ahli keluarga ingin membawanya pulang untuk melihat arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah. Ketika melihat seorang demi seorang ahli keluarga datang mencium dahi dan pipi arwah, saya yang sedang membuat manual bagging di sisi kepala arwah terasa sangat sebak. Terkebil-kebil mata saya pada waktu itu. Dan selepas semua anak dan ahli keluarga terdekat selesai mencium dahi dan membisikkan syahadah kepada arwah, saya pun melepaskan tiub oksigen daripada tekaknya dan memberhentikan segala jenis infusion pump yang terpasang di badannya. Setengah jam selepas itu, pesakit itu pun meninggal dunia. Saya meninggalkan rumah pesakit itu dengan seribu satu perasaan. Yang paling jelas saya pelajari, mati itu adalah pasti.
Nota: Err… Makin serba tak kena je rasa sekarang ni. ![]()

