Akhirnya Mickey Pergi Jua
Bangun pagi tadi, saya menjenguk si kecil berdua itu. Stewart sedang tidur dan si Mickey pula terlentang di luar rumah kecilnya. Saya membuka sangkar Mickey dan mengangkatnya keluar. Tiada sebarang bantahan daripadanya. Saya sudah mula tidak sedap hati. Biasanya, untuk mengangkat mereka keluar, saya akan bersiap sedia memakai sarung tangan untuk mengelakkan tangan saya calar dicakar mereka.
Tapi pagi tadi, Mickey sangat pasif. Tiada tindak balas agresif daripadanya. Saya membelek-belek mukanya. Hidungnya kering dan tidak kemerah-merahan seperti biasa. Sebenarnya sejak saya mengambil alih menjaga mereka berdua, Mickey memang jauh lebih pasif berbanding Stewart yang sangat aktif.
Yang paling ketara, Mickey berak cair. Najisnya bukan bulat-bulat kecil seperti Stewart. Untuk pengetahuan semua, najis hamster adalah sama seperti tikus. Bulat-bulat bujur bewarna hitam dan kering. Berlainan sungguh si Mickey. Tetapi ketika Sha datang menjenguk saya di bilik sebelum pergi bercuti, Sha ada memberitahu bahawa Emy pernah memberitahunya bahawa si Mickey ini beraknya cair. Saya memang pelik tapi memandangkan berak cair ini sudah lama bermula, jadi saya buat tidak kisah.
Selepas saya meletakkan Mickey di dalam sangkarnya semula, saya menghubungi Emy. Saya khabarkan keadaan hamsternya yang seekor ini. Emy memberitahu, dia yakin dia sempat balik untuk menguruskan Mickey. Dia pun sudah berada di lapangan terbang untuk bertolak balik ke Moscow. Saya pun membilang masa.
Sekitar 11 pagi, saya lihat Mickey semakin lemah. Saya tak keruan. Saya nekad hendak membawanya berjumpa veterinar. Tapi suhu sejuk di luar. Baru saya terfikir. Bagaimana saya hendak membawanya keluar menaik bas menuju ke zoomagazin (Pet Shop) yang terdekat di The Old Arbat Street. Selepas Zohor, saya mengambil keputusan untuk menelefon emak. Sebelum menjadi cikgu, emak saya bertugas sebagai Penolong Pegawai Haiwan Daerah. Saya mendapatkan khidmat kaunseling daripada emak. Cemasnya saya waktu itu seperti ada orang hendak bersalin.
Emak bertanyakan keadaan fizikal si Mickey. Saya memberitahu segalanya. Dari kisah beraknya, kepasifannya, kurang makannya, saiznya yang kecil berbanding Stewart dan keadaannya yang seperti sudah hendak mati gayanya. Emak menerangkan tentang hipotesisnya bahawa Mickey mungkin dari awal lagi mengalami ketidaksesuaian (non-compliant) kepada jenis makanan yang diberikan padanya. Sebab itu beraknya cair sejak awal lagi. Saya bertanya kenapa dengan tiba-tiba dia boleh jatuh sakit. Emak menjawab, kemungkinan besar dia dijangkiti virus. Emak menyuruh saya melihat hidung Mickey. Saya menerangkan bahawa ianya kering. Punggungnya juga kering. Emak kata, kemungkinan besar benar ini disebabkan jangkitan virus. Sebab itu prosesnya sekejap saja. Badan Mickey sedang mengalami dehidratasi yang menyebabkan hidung dan punggungnya kering.
Emak menyuruh saya mengasingkan Stewart daripada Mickey. Sebenarnya awal-awal lagi saya sudah mengasingkan mereka. Saya sudah jangka ini mesti ada kaitan dengan jangkitan virus atau bakteria. Saya membiarkan Stewart terus berada di dalam bilik saya manakala Mickey saya pindahkan di depan TV. Buat kesekian kalinya, saya membersihkan lagi sangkar mereka berdua.
Selepas menelefon emak, saya masih cemas. Saya menelefon zoomagazin yang berdekatan itu untuk mendapatkan khidmat nasihat. Saya menerangkan keadaan Mickey kepada veterinar yang bertugas. Dia juga menerangkan bahawa daripada apa yang diterangkan, dia juga berpendapat bahawa Mickey diserang jangkitan virus. Dia menasihatkan saya supaya Stewart diletakkan di tempat yang bertutup dan terasing daripada Mickey. Saya sudahpun melakukannya. Dan dia menasihatkan agar Stewart dibawa untuk mendapatkan suntikan jika dia juga mulai lemah. Alhamdulillah, Stewart masih sangat sihat.
Selepas solat Asar, saya menjenguk Mickey semula. Saya terdiam sejenak. Mickey diam saja dan apabila saya menolak sedikit badanya, dia sudah tidak bergerak. Saya duduk mencangkung di sisi sangkar comel Mickey. Mickey sudah tiada. Betapa jarak masa di antara kali terakhir saya melihatnya dan saya solat Asar adalah kira-kira 20 minit saja. Saya menelefon sekali lagi zoomagazin itu. Dia menyuruh saya merasa badan Mickey sama ada masih merasa getaran atau tidak. Saya katakan tidak. Veterinar itu mengesahkan, Mickey sudahpun tiada. Saya memandang jam. Jam menunjukkan pukul 2.45 petang.
Akhirnya, Mickey pergi juga meninggalkan Emy dan Daus (tuannya) juga saya si pembela yang sudah mula sayangkannya. Sungguh. Saya tidak pernah menyukai binatang-binatang berbulu. Kalau kucing ayah di rumah, saya rasa hendak sepak pun iya. Saya geli. Tapi lain pula dengan Stewart dan Mickey ini. Tempatnya sudah pasti di syurga. Semoga setiap decitannya selama ini mengingatkan saya tentang mengingati mati. Nampaknya, betullah kata Emy. Dia sempat pulang ke Moscow untuk menguruskan Mickey buat kali terakhir. Buat kali yang terakhirnya.
Nota 1: Kumpulan virus yang menyerang rodent dan manusia adalah berbeza. Saya tidak perlu risau apa-apa.
Nota 2: Bagi yang di Moscow, nah ni nombor zoomagazin di Stary Arbat. Veterinarnya sangat bagus. +7 (499) 241-6523.
Nota 3: Kalau ini manusia, tahu juga saya hendak buat apa. Tapi ini adalah haiwan. Betapa ilmu Allah itu sangat luas dan tak terhimpun dek akal.