Archive for the ‘PPIM’ Category

Mengejar Dateline

Assalamualaikum wbt

Program Autumn Gathering yang berlangsung dari pagi sehingga jam 6 petang tadi berjaya mencapai matlamat. Ini pendapat peribadi saya. Dalam leka-leka kita, bila ada sesuatu yang menyentap kita supaya kembali sedar kan bagus. Tapi, separuh jalan program berlangsung, sekitar 11 pagi, saya menerima SMS daripada Maryam, Timbalan Setiusaha SMSA, persatuan pelajar universiti saya. Katanya, ada mesyuarat Editorial Board pada petang ini.

Zap. Terpotong sekejap mood ketika itu. Tapi saya balas juga mesejnya: Ok.

Selepas slot kedua, sekitar 4 petang, saya pun bergegas pulang meninggalkan yang lain terus berprogram. Saya target untuk sampai sebelum pukul 5 dan kemudian menyambung kerja saya yang banyak itu dan selepas Isya’ saya akan terus menuju ke tempat mesyuarat di Bilik Studi. Saya sampai betul-betul pukul 5, sudah Maghrib. Selesai Isya’, saya ke tempatnya dan mesyuarat berjalan. Kali ini mantap. Semua menepati waktu. Saya suka begini. Masing-masing datang dengan tidak kosong. Ada persediaan dari segi idea yang hendak dicadangkan dan kupasan terus kepada isi kandungan isu akan datang.

Tetapi terlebih dahulu, Tjen Jung, Setiausaha SMSA, yang bertanggung jawab menguruskan Behind The Stethoscope (BTS), majalah mini yang kami kelolakan, menyampaikan ucapan tahniah buat Editorial Board SMSA yang telah berjaya membuat ‘a kicking start’ untuk isu pertama sem ini. Ya. Saya sendiri pun sangat berpuas hati dengan isu pertama yang lalu. Untuk BTS, saya sebagai satu-satunya pelajar tahun akhir yang terlibat dalam Editorial Board dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan ruangan akademik dan laporan-laporan khas yang berkaitan. Untuk isu lepas, ada 2 artikel yang saya kelola. Dan untuk isu akan datang, fuh, lebih banyak dan semuanya penting! Nasib baik Jumaat ini hari terakhir saya untuk posting kali ini. Selepas itu, saya akan fokus menyiapkan artikel-artikel ini. Dateline adalah pada 13 November depan. Sebenarnya, menulis sesuatu artikel tidak mengambil masa yang lama. Saya ada sebuah buku kecil yang saya bawa ke mana saja saya pergi. Sebenarnya, ini buku koleksi sajak. Disebabkan kali ini saya terlibat dalam penulisan artikel dan laporan pula, maka, saya membuat draf tentang artikel dan laporan ini di dalam buku itu juga yang lazimnya saya buat ketika di dalam metro. Sambil berdiri pun bolehlah. Draf saja pun. Buruk-buruk pun tak mengapa. Untuk sendiri faham. Hehe. Oh ye. Macam mana nak menulis sambil berdiri di dalam metro yang bergerak laju? Pasang kuda-kuda dengan kuat dan mantap. Ups~

Ok. Sudah dulu. Malam ini saya akan bersengkang mata untuk menyiapkan semua kerja saya ni. Saya hendak mengejar dateline yang saya tetapkan pada diri saya sendiri. Esok hari terakhir cuti. Saya nak berehat. Nak tidur puas-puas. Dah berapa minggu saya rasa macam tak cukup tidur aje ni.

Nota: Tiba-tiba saya teringatkan entri Wanie suatu ketika dulu tentang kami serumah. Saya rasa, tahun depan kalau saya baca semula entri Wanie ni, saya boleh menangis kot =D

Posted on November 4th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »

Masa

Assalamualaikum wbt

Hari ini Rusia bercuti umum sempena Hari Revolusi dan cutinya dipanjangkan sehingga esok. Sejarahnya, Hari Revolusi ini disambut sebagai memperingati sejarah Revolusi Oktober di Rusia pada tahun 1917 yang menjadi titik mula fasa kedua dalam sejarah Revolusi pemerintahan Rusia yang bangun menuntut perubahan sistem Ke-Tsar-ian (sistem pemerintahan Tsar) yang akhirnya menjadi Soviet Union. Bagi memperingati peristiwa ini, tarikh 7 November telah dipilih. Uniknya di Rusia ini, tarikh ulang tahun sebegini tidak semestinya diraikan atau dicuti-umumkan hanya pada tarikhnya. Mereka boleh meminda tarikh itu untuk disesuaikan dengan keadaan minggu itu sama ada hari cuti itu jatuh pada hujung atau di awal minggu. Ikut suka hati Tsar-Tsaritsa mereka aje.

Semalam hampir seharian saya menghabiskan masa di luar rumah. Saya ada mesyuarat PPIM-RSC di RSMU. Nostalgia sungguh bila menghadiri ‘lagi’ perjumpaan sebegini. Saya pun tidak sangka saya masih ‘wujud’ dalam RSC kerana setahu saya, saya sudah ‘tiada’ lagi dalam RSC. Ahmad Fardi tegaskan juga saya perlu hadir. Memikirkan saya, Ahmad, Jamzuri dan Zaid sajalah orang lama dalam RSC, saya hadirkan diri juga. Lebih-lebih lagi, Zaid, Jam dan beberapa perwakilan lain daripada Kursk dan Nizhny Novgorad turut hadir sama. Saya ini orang tua (Zaid pun kata dirinya begitu. Hehe). Di Moscow ini saja suara atau khidmat saya sudah tidak diperlukan (terasa macam Tun Mahathir bagi ucapan sebelum letak jawatan dulu-dulu). Tapi semalam, saya rasa saya perlu lebih giat bekerja untuk memastikan saya pulang dengan keadaan PPIM RSC mantap dan terurus. Tapi, masihkan saya diperlukan? Cuma saya rasa, satu benda yang semua orang Melayu-Muslim perlu perbetulkan. Ketepatan masa. Saya cukup berkira tentang hal ini. Jangan disebabkan ada yang memandang remeh akan hal ini, Melayu-Muslim itu dilabel suka berlengah dan tak berpegang pada janji. Saya bukan orang yang layak untuk menegur tapi inilah sikap buruk majoriti orang kita yang pada saya membawa kesan besar dalam pengurusan masa orang lain yang terlibat, yang mana mereka ini mempunyai banyak kerja lain yang bertimbun dan telah menyusun jadual yang tersendiri. Serius saya ada banyak kerja sebenarnya kebelakangan ini. Hmm. Tapi kadang-kala, saya tak boleh berkira dengan orang lain tentang masa sebab kalau tidak, mahu dipressi agaknya saya ni. Haha.

Hari ini ulang tahun ke-23 seorang rakan di sini. Aizat Sabri. Selamat hari lahir, Aizat. Sila jangan menangis dah. Huhu. Dan hari ini saya menyertai Autumn Gathering anjuran PPIM Moscow Chapter. Akan memfokuskan tentang The Miracle of the Human Creation. Insya Allah pasti menarik.

Tapi kan, saya ada banyak sangat kerja yang perlu disiapkan. Banyak sangat. Differential Diagnosis untuk keseluruhan posting ini perlu dihantar pada hari Rabu ini. Saya sudah mula buat sejak Jumaat malam yang lepas tapi sehingga ke hari ini, hanya 30% saja yang baru siap. Malam tadi, sebaik sampai ke rumah sekitar 11 lebih dan ketika rakan serumah semuanya menonton cerita hantu 4-Bia beramai-ramai, saya menekun seorang diri dalam gelap di meja saya menyambung tugasan saya ini. Banyaknya. Hari ini saya akan tiada di rumah lagi. Esok pula mungkin ada tournament. Sempatkah untuk saya siapkan semuanya?

Hassan Al-Banna ada mengingatkan. Tanggung jawab itu sesungguhnya lebih banyak daripada masa. Sewaktu lapang, kita jarang ingat tentang tanggung jawab kita tapi sewaktu kita sibuk, ketika itulah kita ingat segala yang perlu kita selesaikan. Jangan kita terbunuh dek pedang masa yang tajam sudahlah, kan.

Posted on November 3rd, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Homestay PPIM 2008

Assalamualaikum wbt

Seperti yang telah dirancang sejak 3 bulan yang lalu, maka pada 25-28 Julai lepas, telah berlangsungnya Program Homestay Dan Kemasyarakatan PPIM 2008 Di Perkampungan Orang Asli (Homestay PPIM 2008). Pada mulanya, tapak POS yang dicadangkan ialah Pos Sungai Pelatok di Sungai Siput menjadi pilihan tetapi di saat akhir, tapak program ditukarkan ke POS Raya di Simpang Pulai, jalan menuju ke Cameron Highland. Pertukaran berlaku atas sebab-sebab teknikal yang penting untuk keselesaan semua pihak yang terlibat.

Jika pada program Sunathon 2007 anjuran PPIM-RSC saya telah memandu ke sana, kini saya dihantar oleh ayah saya pula. Kami bertolak ke Ipoh pada hari Khamis lepas melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang-Ipoh. Kami singgah di Cameron Highland ketika menuju ke sana. Ayah ada kerja yang hendak dibuat di sepanjang perjalanan di Kuala Lipis dan Gua Musang. Perlu memeriksa network Celcom di sana. Jadi, saya bertindak sebagai setiausahanya di sepanjang perjalanan. Sebaik tiba di Ipoh, saya dijemput oleh Zaid, Pengarah Program Homestay PPIM 2008, dan dibawa terus ke rumahnya. Di sana, kesemua AJK lain telah siap berkumpul dan telah tiba beberapa jam lebih awal. Sebelah malamnya, selesai solat Isyak, kami bermesyuarat untuk pengemaskinian yang terakhir dan selepas itu kami semua berjaga sehingga jam 3 pagi membuat kerja-kerja membalut hadiah, hamper dan lain-lain. Keesokannya, semuanya bermula.

Hari Pertama
Jam 11 pagi, Zaid, Jamzuri, Haneem dan saya bergerak menuju ke POS Raya. Kami melawat pentadbiran Sekolah Kebangsaan POS Raya yang telah memberikan kerjasama penuh sebagai tuan rumah untuk program ini. Sekitar jam 2.30 petang, beberapa orang AJK ditugaskan di Medan Gopeng, Ipoh untuk menyambut ketibaan peserta-peserta yang dijadualkan berkumpul di situ sebelum berangkat beramai-ramai ke POS Raya. 3 buah trak dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli datang menjemput kami semua. Trak terakhir yang membawa hadiah dan AJK-AJK tiba di POS Raya pada jam 6.30 pm. Selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami makan malam dan seterusnya mendengar sesi taklimat daripada Ustaz Fattar, Pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang bertugas di POS tersebut. Seterusnya mendengar taklimat penuh program daripada Zaid dan kemudian para peserta dilepaskan untuk berehat. Peserta perempuan yang seramai 45 orang tidur di kuaters guru di perkarangan sekolah dan peserta lelaki yang seramai 15 orang menggunakan surau sebagai tempat tidur mereka. Pada malam itu, AJK berjaga sehingga jam 1.30 pagi untuk menguruskan beberapa perkara. Saya, Haneem, Ainul, Anis dan Nasuha tidur di ruang tamu rumah guru itu. Ada 2 buah rumah diperuntukkan untuk peserta perempuan. Malam itu, kami terpaksa berstokin, tidur dengan 2 lapis baju dan menggunakan segala jenis kain batik dan selendang Pashmina yang kami ada untuk menepis kesejukan. Teramat sejuk! Saya terbangun pada jam 4 pagi kerana terlalu sejuk dan sudah tidak boleh tidur selepas itu.

Hari Kedua
Dimulakan dengan jemaah Subuh, pengisian, senaman pagi (yang menguji tahap pernafasan sungguh!) oleh Encik Azhar, wakil daripada JHEOA Pusat dan seterusnya sarapan pagi. Kemudian kami mengikuti pengisian ringkas oleh Ustaz Hafizuddin, wakil dari JAKIM yang menerangkan pantang larang masyarakat Orang Asli dan juga pengalamannya berhadapan dengan pelbagai kerenah mereka. Selepas itu, slot Ziarah 1 bermula. Kami bergerak mengikut kumpulan masing-masing menuju ke rumah keluarga angkat masing-masing dengan membawa hamper hadiah. Pada mulanya, semuanya masih tiada idea apakah penerimaan mereka terhadapan kunjungan kami. Namun selepas kami (kumpulan saya) selesai di rumah yang pertama, kami mulai kenal bagaimanakah mereka ini. Secara umum, kami boleh katakan bahawa mereka ini sangat pemalu. Mereka hanya bercakap bila perlu saja.

Sebenarnya, cabaran terbesar kami ialah agama. Jika sebelum ini kami telah bersiap sedia dengan masyarakat yang kesemuanya Islam (di POS Sungai Pelatok seperti yang dirancang) tapi setelah lokasi ditukar ke POS Raya, kami berhadapan dengan masyarakat Islam yang minoriti. Jadi, ketika sesi Ziarah 1, kami perlu menjaga sentimen agama dan berbual dengan mereka secara permukaan saja. Bagi keluarga yang telah sedia Islam, kami dapat melihat betapa sebenarnya mereka ini hanya Islam pada nama. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh pihak JAIP untuk memberikan pendidikan agama kepada mereka. Di POS ini, gerakan mubaligh Kristian adalah sangat aktif. Dalam diam, terdapat sebuah gereja yang didirikan di celah-celah semak untuk digunakan oleh mereka. Bagi yang Kristian, mereka menerima pelbagai kemudahan dari segi material yang mana ini dijadikan daya penarik untuk memikat hati masyarakat di sini. Saya teringat kata-kata Ustaz Fattar. Beliau pernah ditanya oleh masyarakat di sini yang cuba didekatinya. Tanya mereka: Apakah yang boleh mereka daat jika mereka memeluk Islam. Menurut Ustaz, jika sekiranga Islam dapat menawarkan kesenangan yang jauh lebih baik daripada agama Kristian, baru mereka bersedia untuk memeluk Islam. Inilah juga yang saya sendiri saksikan ketika sesi Ziarah 1 itu. Ketika mengunjungi keluarga Kak Alang yang beragama Kristian. Keluarganya susah tapi menerima banyak pertolongan daripada pihak mubaligh Kristian di sana. Jadi mereka sekeluarga berasa terhutang budi dengan keluhuran yang ditunjukkan oleh pihak Kristian.

Jadi, satu lagi kesimpulan yang boleh saya katakan tentang mereka ini ialah manja. Masyarakat Orang Asli bersifat ‘bergantung’. Mereka selalu mengharapkan ada sesuatu yang diberikan terlebih dahulu sebelum mereka perlu membuat sesuatu. Tapi 1 lagi yang boleh saya pelajari daripada mereka ialah sifat kesederhanaan dan menerima hidup mereka seadanya. Tapi, jangan tak tahu ya. Mereka ini kuat melawa bagi yang perempuannya. Alat solek adalah antara bahan umpan yang diberikan jika ada program yang dibuat untuk mengajak mereka terlibat sama. Bagi kelas dewasa (belajar membaca), setiap kehadiran akan diberikan RM19. Fuh. Sampai begitu sekali daya tarikan yang perlu dibuat.

Selesai Ziarah 1, kami semua mengikuti slot Eksplorasi Alam. Kami masuk hutan, mendaki bukit dan belajar membuat atap atau tikar mengguakan daun rumbia. Ini memang pengalaman yang berharga buat kami. Sebelah petangnya, ada aktiviti Sepetang Bersama Kanak-kanak Orang Asli. Walaupun hari hujan yang sangat lebat, namun aktiviti ini teramat berjaya. Saya terharu dan sebak melihat suntikan semangat yang berjaya kami berikan kepada adik-adik ini. Apa yang boleh saya simpulkan, sebenarnya adik-adik ini dahagakan aktiviti-aktiviti motivasi yang lain dari yang lain. Mereka ini berpotensi besar sebenarnya. Ramai yang pandai-pandai, petah berkata-kata dan pelbagai lagi bakat mereka. Pada petang itu, kami berikan peluang mereka menggunakan mikrofon untuk bercakap, kami melukis bersama mereka, bersoal jawab tentang pelajaran dan pelbagai lagi. Banyak hadiah disediakan jika mereka dapat menjawab dengan betul. Sungguh. Ini adalah aktiviti yang paling menyentuh hati kami semua. Ketika Nasuha mengacarai slot ini, dia mengajak adik-adik ini berjanji untuk tidak ponteng sekolah dan meletakkan pelajaran sebagai perkara yang penting untuk masa depan. Jika sebelum program ini mereka tidak tahu apa cita-cita mereka, tetapi sehari selepas slot ini, saya bertanya kepada beberapa orang pelajar. Ada yang jawab: Nak jadi macam kakak. Nak jadi doktor. Saya terharu mendengarnya. Kerana sebelum itu, adik yang sama itu, saya tanyakan tentang cita-cita, dia jawab dia tidak pernah tahu nak jadi apa apabila besar nanti. Pada masa yang sama dengan slot bersama kanak-kanak ini, sekumpulan peserta ditugaskan untuk bergotong-royong mengecat sekolah dan ada juga yang bertugas memasak. Hari itu memang badan saya berbau asap sehingga ke malam.

Sebelah malamnya, selesai Maghrib, kami dipersembahkan dengan tarian Sewang oleh penduduk kampung sebagai tanda penerimaan atas lawatan yang kami buat. Selepas itu, kami mendengar pengisian tentang Cabaran Dakwah oleh Ustaz Ridhuan Md. Nor yang sangat istimewa. Padat dengan ilmu. Saya bagai disuntik dengan semangat baru selepas mendengar segala sirah nabi yang Ustaz sampaikan pada malam itu. Seperti biasa, kami AJK berkumpul lagi pada malam itu untuk persiapan bazar pada keesokannya. Kami hanya naik ke rumah apabila hari telah menunjukkan jam 2 pagi dan cuaca pada malam itu teramatlah sejuk kerana hujan lebat pada sebelah petangnya.

Hari Ketiga
Selesai Subuh dan tazkirah, kesemua peserta turun menjamu sarapan dan seterusnya membuat persiapan Grand Sukaneka. Hari itu saya bertugas di Bazar Jumbo Sale. Kami menjual pakaian terpakai yang kami bawa dengan harga yang sangat murah (semurah 50 sen saja!) untuk mengutip derma buat tabung sekolah. Bukan kami sengaja hendak neyusahkan mereka kerana menjual baju-baju itu tetapi sekiranya kami memberi secara percuma, pasti tidak adil kerana ada keluarga yang tidak hadir ke tapak bazar. Dan siapa kata mereka tidak berduit. Menurut pihak kantin, anak-anak mereka sentiasa banyak wang untuk berbelanja di kantin. Tambahan pula, sekarang ini musim petai dan durian menjadi-jadi. Maka, bertambahlah pendapatan mereka. Menjelang tengahari, kami hanya memberikan pakaian-pakaian tersebut secara percuma dan agihan dibuat seadil yang boleh.

Sekitar jam 11.30 pagi, padang mula dikosongkan untuk memberi laluan kepada slot Medical Check Up. Kami mendapat kerjasama penuh daripada pihak Jabatan Kesihatan. Untuk slot itu, 2 orang peserta yang telah grad, Kak Murni dan Kak Im, bertindak sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan. Bagi pelajar tahun akhir seperti saya dan beberapa orang yang lain juga, kami juga bertugas sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang hadir. Saya masih ingat peristiwa ketika berada di meja kempen kesihatan. Ada pamplet tentang kempen penghapusan nyamuk, lalat dan tikus diletakkan di situ. Sekumpulan pelajar datang mendekati saya setelah mereka diberi makan vitamin C dan ubat cacing. Salah seorang daripada mereka memegang pamplet itu. Saya mengambil peluang untuk berborak dengan mereka. Saya bertanya secara rawak di mana boleh ditemui nyamuk, lalat dan tikus. Jawab mereka: Di rumah. Ok. Yang ini masih boleh diterima akal. Saya sedang mencari idea untuk mengaitkan tentang penyakit yang dibawa oleh haiwan-haiwan ini. Lalu saya bertanya: Apa yang kamu buat kalau jumpa tikus? Jawab mereka: Makan. Ok. Yang ini buat saya tersentak sekejap kerana saya membayangkan jawapan yang lain, tapi yang sangat lain pula saya dengari. Tapi saya teruskan juga soalan-soalan saya sehingga saya dapat sampai kepada motifnya. Ada juga penerangan daripada mereka mengatakan tikus itu digoreng untuk dimakan. Kosong sekejap otak saya untuk meneruskan penerangan. Tapi saya kena berhati-hati menerangkan ini semua kerana ia berkaitan dengan sentimen gaya hidup. Jamzuri dan Hafiz yang ada di situ juga tergelak selepas saya ceritakan semula tentang hal ini.

Oh ya. Saya tak puas hati dengan alat ukur ketinggian yang disediakan. Macam manalah pula saya hanya 152 cm saja. Ini tak boleh jadi. Memang tak aci. Hafiz, KS tahulah KS ni 30 cm kurang dari kamu. Tapi yang renek-renek tu comel tau. Bila jalan sebelah kamu, nanti orang ingat KS jauh lebih muda dari kamu. Huhu. Dan untuk Al, awak kata saya boleh pilih berapa ketinggian yang saya nak, kan? Haa… Saya nak 181 cm. Nak lawan Hafiz. Huhu. Terima kasih buat semua terutamanya Kak Murni dan Kak Im yang telah bertugas dengan baik pada hari itu. Juga Shirah dan Dalila yang bertungkus-lumus menjadi doktor yang berjaya pada hari itu. Sungguh saya katakan. Serak suara saya terpaksa bercakap banyak pada hari itu. Sebelah petangnya, kami ke air terjun di kawasan belakang POS tersebut. Pak Lang yang membawa kami. Di sana, kami ditunjukkan dengan cara memasak nasi di dalam buluh dan membuat perangkap. Banyak ilmu yang kami perolehi. Pada mulanya saya tak berhajat untuk mandi. Tapi ketika saya cuba berjalan di dalam air menuju ke arah Gmex, Aishah dan Nasuha, saya tergelincir dan sudahnya saya basah kuyup juga. Aishh… Apalah nasib. Bila hendak balik, saya disimbah air oleh Pak Lang. Katanya, saya banyak termenung. Huhu. Oh ya. Encik Idris, Pegawai JHEOA negeri yang mengiringi kami di sepanjang program juga turut turun bermain air dengan pelajar lelaki yang lain. Encik Idris ni cool dan diam saja orangnya. Jadi, kami segan dan tertanya-tanya apakah agaknya komen beliau tentang program ini secara keseluruhannya. Ok. Cerita ini kita akan tahu di hujung entri nanti.

Sebelah malamnya, kami mendengar forum santai yang dipaneli oleh Dr. Latif dan Dr. Awisol. Sangat best! Slot ini memang ditunggu-tunggu oleh kesemua peserta. Banyak pengalaman yang kami dapat jadikan sebagai pengajaran. Seperti biasa, AJK tidur lewat pada malam itu untuk memastikan kelancaran program pada keesokannya.

Hari Keempat
Selesai sarapan, kami ber-LDK. Saya menangis mendengarkan kesimpulan yang diberikan oleh wakil dari kumpulan saya. Bagi semua peserta, saya yakin tiada yang tidak tersentuh dengan apa yang dikatakan oleh Saliha. Diharapkan kita semua dapat berubah dan menyiapkan diri untuk menjadi lebih baik lagi selepas ini. Tidak kiralah dalam apa perkara sekalipun.

Selepas itu, kami menjalankan slot Ziarah Wida’ sebagai tanda perpisahan dengan penduduk POS tersebut. Kami melawat semula keluarga angkat kami. Saya terharu. Mereka sebetulnya sedih dengan keberangkatan pulang kami. Katika di rumah Kak Sarini, saya terharu kerana telatah anaknya Franky yang comel membuatkan saya sedih untuk melangkah pergi. Uzair, nanti KS nak gambar tu tau. Agagaga yang comel, kan =)

Sebaik berkumpul semula, kami bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan membuat persiapan untuk majlis penutup. Tengahari itu ada kenduri disediakan untuk peserta dan penduduk POS. Sebetulnya, setiap kali makan pun, kami akan makan bersama penduduk kampung yang datang ke khemah makan kami. Waktu ini juga kami guna pakai untuk berinteraksi lebih dengan mereka.

Sebelum majlis penutup bermula, ada sesuatu telah terjadi. Mekna, Wani, Kak Mawaddah, Roy, Al, Luqman dan Haneem, sila jaga rahsia. Hehe. Ketika mendengar sesi ucapan, kami semua tertunggu-tunggu ucapan dan komen daripada Encik Idris yang kami semua hormati itu. Dan alangkah terharunya kami semua apabila beliau menyatakan betapa program kali ini sangat berjaya, lain dari yang lain dan membawa kesan yang tersendiri kepada masyarakat di situ. Saya masih ingat peristiwa ketika saya mengiringi Encik Idris untuk turun ke padang pada petang hari ketiga. Saya bertanyakan pendapatnya tentang perjalanan program setakat ini. Encik Idris tersenyum dan mengatakan: Sangat Ok. Saya suka. And I wonder apa akan jadi tahun depan. Saya cuak sekejap dengan apa yang dibayangkannya tentang tahun hadapan. Kemudian Encik Idris menyambung: Akan ada tak lagi program yang macam ni pada tahun depan. Oh. Waktu tu hanya Allah yang tahu betapa terharunya saya dengan respon yang saya dengar daripanya. Terima kaish Encik Idris kerana bersama-sama dengan kami di sepanjang program dan di setiap aktiviti. Kami masuk kampung, Encik ikut serta, kena kejar anjing bersama-sama, kami masuk hutan panjat bukit, Encik ikut sama, kami terjun sungai, Encik pun terjun juga. Encik Idris memang best! (Psssttt… Bukan macam orang tu kan. Liplap liplap aje. AJK-AJK, kamu semua tahu siapa tu kan. Haha).

Selepas itu sesi fotografi dan perpisahan. Kami bersiap mengemaskan rumah masing-masing sebelum menaiki trak pada pukul 5 pm. Ketika hendak meninggalkan perkarangan POS Raya, adik-adik sekolah itu berkumpul di tepi jalan untuk memberikan lambaian terakhir buat kami semua. Aaa… Rasa sebak. Macam nak nangis. Tapi memandangkan ramai lagi yang ada di atas trak itu, saya tahan-tahankan.

Kesimpulannya, Program Homestay PPIM 2008 ini memang sangat berjaya dan menggembirakan. Saya telah ikut serta dalam semua aktiviti cuti musim panas anjuran PPIM-RSC dan sejujurnya, inilah aktiviti yang paling best, membuka mata saya tentang 1 dunia yang belum pernah saya terokai, saya belajar bermacam-macam perkara daripada masyarakat di sini dan aktiviti ini meliputi aspek fizikal, rohani dan yang lebih utama, kami semua turun padang untuk berdakwah yang belum pernah kami lakukan secara terus dan langsung seperti kali ini. Dan sejujurnya saya belum pernah bekerja dengan komiti yang sangat bagus seperti kali ini. Walaupun pelbagai masalah yang kami hadapai di peringkat awal persiapan dan perancangan, namun kami masih tetap kekal bersatu untuk menjayakan program kali ini. Buat semua AJK Homestay PPIM 2008, Zaid, Uzair, Husni, Hafiz, Al, Syazwan, Peja, Tuan, Jamz, Kak Mawaddah, Haneem, Nasuha, Gmex dan Ainul, saya/KS ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama yang tak berbelah bagi daripada kalian. Kamu semua telah banyak menjadi tulang belakang saya/KS sepanjang program ini berlangsung.

Juga buat peserta-peserta program Homestay PPIM 2008, terima kasih tak terhingga atas kerjasama dan komitmen yang sangat sangat sangat sangat sangat sangat sangat baik yang telah diberikan! Saya/KS terharu kerana program ini tidak akan berjaya dengan gilang-gemilangnya tanpa kerjasama dari semua. Dan saya/KS rasa gembira dapat mengenali wakil-wakil daripada Mesir (Sharifah dan Farhana), Indonesia (Fahmi dan Husna) dan wakil dari negara-negara lain. Buat Solhaa, saya terkejut rupanya awaklah blogger yang pernah menegur saya suatu ketika dahulu. Malu pula saya. Hihi. Dan buat Roy, kalau ada lagi teka-teki, simpan-simpan dulu ok. Nanti ada masa, ada rezeki, silalah beri teka-teki lagi. Insya Allah saya dah tak lampi dan slow dah. Huhu. Juga Muzafar, Ismail, Luqman, Kak Hir, Af’idah, Zahid, Yaqin, Syakirah serta kesemua peserta perempuan yang lain, TAHNIAH! Program ini berjaya kerana kalian semua! Semoga kita bertemu lagi di program yang akan datang Insya Allah. Dan semoga semangat kita akan tetap tinggi untuk meneruskan tarbiah, dakwah dan membawa misi pendidikan buat semua!

Nota 1: Saya balik ke Temerloh pada malam itu juga dengan menaiki bas dan tiba ke rumah pada jam 3 pagi.

Nota 2: Saya/KS tak banyak koleksi gambar. Sibuk kehulu-kehilir, jadi tak sempat nak ambil gambar. Nanti saya/KS akan kutip dari kamu semua ye. Hehe. Terutamanya daripada Haneem, Hafiz, Jamz dan Uzair :p

Nota 3: T-shirt program kali ini sangat cantik. Masih ada baki 10 helai untuk t-shirt perempuan. Labuh dan berlengan panjang (boleh klik di sini untuk lihat). Yang tinggal cuma size S dan M. Bagi yang berminat untuk membeli, sila buzz saya ye =) Siapa cepat dia dapat tau.

Posted on July 30th, 2008 by Sarah  |  29 Comments »

Tinggal Dulu

Assalamualaikum wbt

Saya sangat sibuk dalam masa terdekat ini. Saya undur diri dulu buat seketika. Minggu depan mungkin akan lega sedikit. Sepeninggalan ini, saya ingin berkongsi lagu pilihan saya kali ini. Lagi tepat, lagu kegemaran saya yang terkini. Bukan setakat suka kerana lagunya cantik tetapi juga kerana bahasanya indah dan penuh nasihat.

Tidak mengira manusia sama saja
Di dalam diam ada hati ingin bercinta
Orang muda menanggung rindu
Orang lama menanggung ragam
Carilah, pilihlah yang sepadan

Jika bercinta jangan hanya ikut rasa
Guna akal, guna fikiran, berwaspadalah
Sesal dahulu pendapatan, kemudian tidak berguna
Terlajak tindakan merana

Mata bertentangan mata
Bak minyak disambar api
Janganlah asyik bercinta
Semua kerja tak jadi
Seperkara usah lupa
Memohon izin doa restu
Saudara, ayah ibu

Berenang-berenang di muara
Hati-hati dilambung ombak
Dah berzaman asyik bercinta
Entahkan jadi entahkan tidak

Disebut-sebut peribahasa
Habis manis sepah dibuang
Usahlah begitu hendaknya
Terlanjur bercinta berkekalan

Kenapa saya sibuk? Saya ada majlis besar di hujung minggu ini. Anual General Meeting of Islamic Medical Association of Malaysia – Moscow Student Chapter (IMAM-MSC) (Boleh rujuk sini: Blog Rasmi PPIM-MMA). Juga hendak study dengan intensif. Saya agak serabut dan sibuk kebelakangan ini. Kalau saya tidak gagah dan macho, agaknya saya sudah tertekan dengan ujian yang tak seberapa ini.

Tinggal dulu. Daa~ Salam.

Posted on March 22nd, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Kisah Sebuah Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Malam semalam, saya lelap mata pada jam 2.30 pagi. Itupun baru mula siap-siap untuk naik katil. Entah pukul berapa saya terlelap. Sekitar 3.50 pagi, saya sudah terjaga sebaik mendapat mesej daripada seorang kawan. Hendak tidur semula, mata sudah segar. Hati pulak cuak. Bangun sekejap. Baca nota. Sekitar 5.20 pagi, baru saya rasa mengantuk semula sedangkan saya kunci jam pada pukul 6 pagi (biasanya bangun 6.30 pagi sepanjang cycle ni). Tapi memandangkan ada exam, jam dikunci lebih awal. Malang nasib, disebabkan baru terlelap semula pada jam 5.30 pagi, saya tidak sedar jam berbunyi pada pukul 6. Dan disebabkan sudah biasa setiap hari bangun pada jam 6.30 pagi, walaupun tanpa jam, saya terbangun sendiri. Siap-siap, ulang baca nota untuk habiskan pusingan ketiga, sarapan (minum air je pun) dan bertolak ke hospital.

Alhamdulillah. Exam Trauma siang tadi, saya examted. Susah hendak terang bagaimana prosedurnya tapi pendek cerita Alhamdulillah mendapat markah yang warnanya berterbangan. Sebaik habis exam sekitar pukul 1 tengahari, saya bergegas ke Pejabat Dekan. Perlu menguruskan hal visa (untuk pulang bercuti nanti) dan ada mesyuarat bersama Puan Timbalan Dekan. Ada senggang masa kurang lebih 1 jam sebelum Pejabat Hal Ehwal Pelajar English Medium dibuka. Saya, Farah dan Faisal singgah di McCafe. Saya sekadar lalu minum Iced Cafe dan menjamah seketul muffin coklat. Itu saja.

Bergegas ke Pejabar Dekan. Uruskan visa (Alhamdulillah siap). Farah dan Faisal terus balik sebab mereka berdua tidak terlibat dengan mesyuarat itu. Saya terus menunggu di Pejabat Dekan sehinggalah mesyuarat tamat sekitar 4 petang. Misi berjaya tapi mesyuarat lanjutan bersamanya akan disambung pada Selasa depan. Aduh! Bergegas pulang (Ada insiden terjadi. Ini cerita lain kali ye. Hihi). Sampai sekitar 4.15 petang di bilik. Hanya sempat melepas lelah seketika, air pun tak sempat diteguk, terus saya berkejar ke perpustakaan pula. Wajib. Untuk meminjam buku bagi cycle baru yang akan bermula esok. Bertolak pukul 5 dari bilik dan perpustakaan akan ditutup pada pukul 6. Jadi saya berlari dari bilik menuju ke stesyen metro dan berlari menuruni escalator sedalam 150 meter ke bawah tanah. Di dalam metro tidak dapat duduk. Penuh. Orang pulang dari kerja. Kaki sudah lenguh kerana berlari dan nafas pula semput.

Tiba di perpustakaan 10 minit sebelum pukul 6 petang. Makcik-makcik pustakawan yang bekerja tergelak melihat saya. Makcik, kasihanlah saya ni. Penat tau. Saya jadi pengunjung terakhir perpustakaan petang tadi. Turun ke tingkat bawah perpustakaan untuk mengambil winter coat pada pukul 6.10 petang. Sempat menelefon seorang junior berkenaan hal PPIM. Selesai. Bergegas ke stesyen metro semula. Sambil berjalan, sambil menelefon. Perlu pulang, ada mesyuarat pada pukul 7 malam. Di dalam metro, penuh lagi. Terpaksa berdiri. Saya dapat berpegang pada palang pemegang dengan sempurna. Jadi saya tutup mata. Tidur. Sedar-sedar sudah sampai di stesyen tempat membuat pertukaran. Nasib baik ada seorang jejaka Rusia menegur sama ada saya hendak turun di stesyen itu atau tidak. Jika tidak, dia minta saya berikan laluan sebab dia hendak keluar. Oh. Saya juga hendak keluar, kata saya. Kami melangkah keluar bersama-sama ratusan lagi yang turun membuat perukaran di situ.

Sampai di stesyen tempat tinggal saya, saya keluar dan berjalan laju. Singgah di kedai runcit seketika. Terlalu haus. Wajib beli air. Nescafe X-press jadi pilihan. Lihat jam. Oh tidak! Saya sudah lewat untuk mesyuarat. Mahu telefon pengerusi maklumkan keberadaan saya di luar. Periksa kredit telefon. Oh tidak! NEGATIF! -9 ruble! Patutlah saya tidak dapat menghantar mesej sewaktu di dalam metro. Ini gara-gara menelefon seorang kawan di Malaysia sampai tak ingat dunia tadi. Saya lihat diut kecil baki tadi hanya ada 30 ruble. Saya topup telefon di mesin topup dengan 30 ruble saja. Tak pernah hayat buat begitu. Tapi cukuplah dulu. Saya menelefon pengerusi persatuan. Suruh dia teruskan dulu mesyuarat. Katanya, baru tengah berkumpul semuanya. Aik, sudah 7.30 masih belum berkumpul semua ke? Saya jalan laju-laju.

Pukul 7.40 malam saya sampai di bilik. Terus bermesyuarat. Secara online. AJK semuanya tinggal di tempat yang berbeza. Mudah begini. Sambil menyuarat, saya teguk Nescafe X-press. Habis! Mesyuarat, mesyuarat dan mesyuarat sehingga jam 10.30 malam. Saya sudah terlalu penat. Urus-urus diri. Masuk dapur, baru tersedar saya belum makan apa-apa lagi hari ini melainkan muffin coklat tenghari tadi. Saya ambil sekeping roti. Saya keluarkan serunding. Letak serunding atas roti, kepitkan roti dan makan. Makanan rasmi saya hari ini ialah muffin coklat dan roti dengan serunding. Gabungan budaya timur dan barat, kan?

Apa motif entri ini? Sebenarnya, saya hendak minta maaf sebab otak masih belum mampu untuk menulis entri review tentang pilihanraya itu. Hati membuak-buak. Tapi untuk menulis satu topik yang berat, tidak boleh sambil lewa. Saya menulis, ada kawan-kawan yang baca. Setidak-tidaknya, mesti ada ilmu yang dikongsikan. Mana boleh menulis yang sambil lewa. Ye dak? Jadi, saya minta maaf. Otak saya sudah keras untuk malam ini. Esok pagi saya akan bangun pagi. Saya akan tuliskan entri itu sebelum bertolak ke hospital. Esok cycle baru bermula. Lebih dahsyat kali ini. Kelas dari 9 pagi hingga 4.30 petang. Setiap hari. Alhamdulillah hospitalnya sekitar kawasan ini saja. Subjek Pediatrics dan Psychiatry. Permisi dulu. Saya mahu tidur. Sudah 3 malam tidur saya macam ayam main kenyit-kenyit mata dengan itik.

Selamat malam dari Moskva yang dingin. Katil bujang saya sudah memanggil-manggil.

Rabbi yassir wala tu’assir…

Posted on March 7th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »