Melatah Eh Eh Eh
Kelmarin hari Isnin. Pukul 7 pagi rumah saya dah kosong. Lepas menyapu bawah garaj kereta tepi rumah, saya mengambil galah yang disandarkan pada pokok manggis. Saya kait buah manggis dan apa lagi. Saya bersarapankan buah manggis segarlah pagi kelmarin.
Pagi Selasa pula, saya menjenguk pokok betik di tepi rumah Tok. Ada yang sudah masak. Saya jolok dengan galah yang telah diubahsuai untuk menurunkan betik masak. Jadi, sarapan saya pagi tadi ialah buah betik segar. Ingatkan nak simpan dalam peti dan makan bila hendak makan tengahari. Tapi godaan perut terlalu kuat. Sekelip mata saya dan Mak Tam habiskan betik itu.
Sekitar pukul 10 pagi, saya baru sudah menyapu halaman. Tok Cik saya datang. Sudahnya saya, Tok Cik dan Mak Tam tercongok di bawah pokok manggis menjolok buah lagi. Datang adik saya Adlan, dia sergahnya Tok Cik saya dengan niat menyakat. Memang Tok Cik terkenal dengan kuat melatah. Lan hanya menyebut: Haa… Makan manggis! Tok Cik terus melatah dengan menyabung ayat itu menjadi panjang berjela: Oh makan manggis. Makan sorang-sorang. Eh sorang-sorang apanya. Ni ada Ani (Mak Tam) dengan Sarah. Eh Sarah duduk jauh. Ini Fatimahnya (Kaklong). Eh apa kerja Fatimah balik, dia kerja. Awok ni Lan. Eh Lan makan manggis. Eh manggis masam manis. Eh manggis ada ais. Awok ni Lan. Eh Lan kait manggis.
Haaa… Ni belum dengar semuanya lagi. Tak campur versi yang ada mengutuk, mencarut dan segala macam perkataan lagi keluar. Saya gelak mengekek-ngekek mendengar Tok Cik melatah. Tak baiknya saya. Tapi memang lucu! Bila Mak Tam menyapa Tok Cik ketika dia sedang melatah tu, lagi berjela-jela dia melatah. Yang paling menarik, di hujung latahannya pagi semalam, sempat dia berpantun 6 kerat!
Hitam-hitam si tampuk manggis,
Luarnya hitam dalamnya putih,
Kupandang hitam rasanya manis,
Lagi kupandang bertambahlah kasih,
Lagi kukasih bertambahlah sedih,
Kasihku hilang tak balik-balik.
Pantunkah? Apa-apa ajelah. Yang pasti apa yang dilatahkan oleh Tok Cik ini sangat mendalam maksudnya ok. Terdiam pula saya mendengarnya. Memang orang tua dah lebih dulu makan garam daripada kita, kan.
Pokok rambutan dah mula berputik. Nanti saya nak dengar Tok Cik berpantun versi buah rambutan pula. Hehehe.
Sejak balik cuti, saya jarang makan makanan berat untuk sarapan. Paling habis pun saya akan jamah roti dan minum nescafe. Lepas tu saya akan cari buah. Kalau stok mangga atau jambu batu tiada, saya akan kait manggis di pokok. Tak sabar tunggu rambutan memerah. Sekarang masih hijau kelat lagi. Pernah tengok rambutan jadi telur ayam? Haa… Kalau nak tengok, tunggu nanti ye. Saya akan tunjukkan. Inilah untungnya duduk di kampung dan ada banyak pokok buah di rumah. Bolehlah mempraktikkan diet yang sihat. Hahaha (~~,)v Ok. Nak tidur awal. Esok pagi mahu jogging di tasik. Jogginglah sangat ye. Balik jogging makan macam-macam. Takde maknanya kan. Hehehe =)
Nota ilmu: Pasti ramai yang tengok debat antara DSAI dengan Dato’ Seri Shabery Chik kan. Saya ni bukan siapa-siapa pun nak bercakap tentang politik (kalau saya tulis lebih-lebih, ada yang meluat pula nanti). Tapi bila mendengar perdebatan tu tadi, kita dengan jelas dan nyata dapat bezakan siapa yang berdebat dengan fakta dan siapa pula yang berdebat mengungkit-ungit cerita entah apa-apa dan lebih kepada hendak menjaga nama. Kot ye pun dah tiada modal nak dihujahkan sangat, tapi janganlah sampai memalukan diri sendiri di khalayak ramai. Awak tu Pak Menteri. Bikin malu saja apabila setiap soalan yang diajukan tidak dijawab dengan setepatnya. Ini kalau ada terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris (nanti siaran ulangan di TV3 mesti ada terjemahan), buat malu pada 1 dunia saja ada Menteri Penerangan yang begini. Takkan Pak Menteri kita ni dikira melatah orang tua pula kot. Tak tua mana pun lagi Pak Menteri kita ni. Saya tidak pula kata DSAI betul semuanya. Tapi kredibiliti dan debat yang berteraskan ilmu dan fakta daripada DSAI benar-benar membuktikan beliau ialah ilmuan bidang ekonomi yang layak untuk dipanggil untuk membincangkan isu ini dan seterusnya pendapat ilmuan yang sebeginilah yang perlu kita pohonkan tunjuk ajar untuk mengatasi masalah yang melanda negara. Ini tidak. Ramai yang membodoh sombong.
Kalau rasa diri bukan harimau, jangan cuba mengaum. Jangan nanti dah terbuat silap, jadi seperti kasawari. Badan di luar, kepala sorok dalam pasir. Sebesar-besar bangkai gajah, takkan tertutup dek sepasang kaki semut hitam. Ok. Titik.