Archive for the ‘Pilihanraya’ Category

Review : Keputusan Pilihanraya 12 Negaraku Tercinta

Assalamualaikum wbt

Saya kira saya tidak perlu mengulas panjang. Semalam memang sebuah sejarah buat negara apabila 5 negeri akhirnya mendapat kepimpinan baru. Kepimpinan Barisan Alternatif. Kepimpinan Pembangkang.

Kemenangan besar PAS di Kelantan bukanlah sesuatu yang pelik. Sudah dijangkakan. Monopoli DAP di Pulau Pinang juga sudah saya jangkakan. Mungkin kerana keinginan masyarakat Pulau Pinang yang inginkan orang lain menggantikan Koh Tsu Koon sudah jelas sejak sekian lama.

Namun, perubahan yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah benar-benar di luar jangkaan saya. Ini kemenangan besar. Ini perubahan yang dinanti-nantikan. Ini sejarah dalam pentadbiran negara.

Ada 2 ironi yang saya fikir-fikirkan sejak semalam. Pertama, Pak Lah kini bergelar pembangkang di negeri sendiri. Keduanya ialah ironi pihak kerajaan menjaga baik Sabah dan Sarawak selama ini. Sebenarnya fungsi dua buah negeri ini kepada BN hanyalah sebagai penyelamat di saat kesesakan. Cuba bayangkan, tanpa kerusi majoriti sumbangan Sabah dan Sarawak, Malaysia kini sudah mempunyai sebuah pentadbiran penuh yang semuanya baru. Ok. Ini hanya imaginasi saya. Mungkin selepas ini tiba masa untuk Sabah dan Sarawak pula untuk membuat pertukaran dan perubahan. Anjakan paradigma kata politikus.

Semalam, saya khusyuk dari pagi ke tengah malam menatap Malaysiakini untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Dan saya bersama dua orang rakan di Malaysia yang turut melaporkan berita-berita terkini. Terima kasih Azwan sebab membantu saya mendapatkan keputusan terkini bersama-sama sampai ke pagi buta dan seorang lagi seorang kawan lama saya, seorang peguam yang ada memberikan sedikit info juga (dia tak baca blog ni rasanya). Cuba bayangkan, makan dan belajar semuanya di depan laptop. Gara-gara menunggu keputusan Pilihanraya 12.

Majoriti 2/3 juga telah dihapuskan oleh pembangkang. Ramai yang sujud syukur kerana sekarang sudah semakin ramai suara yang boleh membela rakyat di dalam Parlimen (baca: KJ dan Adnan Yaakob tak boleh sesuka hati buat pasal). A good check and balance. Dan saya yakin, doa dan harapan rakyat Malaysia kini ialah untuk melihat perubahan ini adalah perubahan yang positif. Yang boleh membawa manfaat buat semua. Ini bukan satu eksperimen tapi inilah doa dan harapan yang diharap-harapkan.

Malam tadi saya sujud syukur sebab kepimpinan ulama diakui oleh rakyat Kedah pula. Saya nak pindah duduk Kedahlah pula. Ups. Saya lupa. Saya ada kampung di Pulau Pinang (kawasan Pak Lah nun) dan di Sungai Petani. Ya. Saya nak jadi orang Kedah! Hehe.

Dan hari ini, 9 Mac 2008, kawan baik saya sewaktu sekolah rendah di Pusat Pengajian Islam Al-Mukmin telah selamat mendirikan rumah tangga. Tahniah buat Siti Hajar Mohd Yasin. Sebenarnya saya sudah terputus hubungan dengannya sejak dia berpindah sekolah di hujung darjah 1. Langsung tidak dengar berita. Sehinggalah di hujung tahun lepas saya terjumpa sebuah blog rahsia yang rupa-rupanya adalah milik Hajar. Blog yang menjadi tempat luahan hati Hajar pada seorang lelaki tanpa lelaki itu ketahui. Dan pada hari ini, selamat sudah Hajar menjadi isteri yang sah buat Mohd Idham (ED) di Tronoh. ED, itulah nama yang tersurat di blog rahsia itu. Menurut Hajar, sebulan lebih lepas mula menulis blog rahsia itu, ED menghubunginya dan ikatan pertunangan terikat. Dan kini, 4 bulan selepas segalanya berlaku, mereka telah bergelar suami isteri. Kerja Allah. Itulah jawapan mereka berdua ketika saya menelefon mengucapkan tahniah petang tadi. Selamat berbahagia buat Hajar dan ED.

Posted on March 9th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »

Review : Pilihanraya 12 Negaraku Tercinta

Assalamualaikum wbt

“Burung apa tu, Pak?” tanya seorang anak.
“Burung murai” jawab si bapa.
“Burung apa tu, Pak?” tanya anak lagi.
“Burung murai” jawab si bapa lagi.
“Burung apa tu, Pak?” tanya anak mengulang benda yang sama.
“Burung murai” jawab si bapa penuh sabar.
“Burung apa tu, Pak?” tanya anak dengan muka penuh ingin tahu walaupun sudah tahu burung apa itu sebenarnya.
“Burung murai” jawab si bapa dengan tenang walaupun dia tahu anaknya itu sudah tahu burung apakah itu setelah berkali-kali dijawab soalan yang sama.

Itu saja. Tiada selingan lagu raya selepas dialog itu. Boleh kamu semua kaitkan adegan apakah yang senarionya sama dengan situasi di atas? Bukan petikan daripada mana-mana cerita Senario ye.

Sebenarnya 4 hari yang lalu saya melihat sebuah iklan pilihanraya kita di youtube (yang ditayang dengan jayanya di TV). Tali-bertali sandar-menyandar. Aduh. Perlu ke dibuat iklan yang sebegitu? Saya bukan apa. Terasa seperti yang punya iklan itu hendak memberitahu sesuatu yang orang sudah tahu tapi itu kisah lama. Dan sebenarnya orang dah taknak tahu pasal itu. Bukan bermaksud hendak melupakan tapi benda dah sedia ada dalam kepala, terangkan banyak mana sekali pun, orang akan jadi meluat dengar.

Situasi seorang anak, bapa dan seekor murai tu saya kaitkan dengan kesabaran pihak-pihak yang terlibat dalam arena politik negara yang berperanan untuk menerangkan kepada rakyat, atau masyarakat yang sebetulnya, tentang situasi yang ada dan kebenaran yang perlu ditegakkan walau penat macam mana sekalipun keadaannya. Kesabaran, kesabaran dan kesabaran mereka baru kebelakangan ini difahami dan dimengertikan kenapa. Kesabaran yang menuntut hati bekerja bersama rasional. Dan yang lebih utama, bertindak kerana iman dan bukan kerana kehendak peribadi.

Sejak demam pilihanraya melanda di mana-mana saja, saya juga turut tidak mengecualikan diri. Mungkin ada yang memperlekeh. Apalah yang saya dapat ubah sekalipun saya berkobar-kobar sekarang ini. Jawapan saya mudah. Sekurang-kurangnya saya tergolong bersama mereka yang celik. Di sana nanti, jika disoal, ada jawapan oleh hati saya, tangan saya, mata saya, mulut saya tentang tanggungjawab yang saya pikul.

Dan apabila wujud perbezaan, tak dapat dielakkan, persengketaan pun timbul. Hanya disebabkan berbeza latar belakang politik, ada yang hendak bergaduh bertegang urat menegakkan pendirian masing-masing. Saya bukan jenis yang begini. Tapi saya jumpa ramai yang begini. Banyak kali juga dalam masa 2 minggu ini saya berhadapan dengan rakan-rakan yang menyindir secara reverse psychology. Bagi saya mudah. Dengan orang yang begini, tiada guna kalau meninggi suara bergaduh tak memasal. Kita senyum, diam dan teruskan dengan kerja sendiri sudah. Saya ingat lagi 1 insiden hujung minggu lepas. Saya terserempak dengan seseorang (saya yakin dia tidak baca blog saya). Berfalsafah segala macam tentang kebersamaannya dengan kerajaan biru dan kebenciannya dia pada keputihan bulan dan mata serta roket angkasa. Mulanya saya mendengar sajalah. Bagi saya, tak perlu pun saya menjadi minyak mahupun air dalam situasi itu. Tapi kemudian saya diprovok apabila dengan sengajanya keperibadian tuan-tuan guru dan kethiqahan mereka dibanding-bandingkan dengan beberapa pengkhianat agama. Ini melampau. Akibat diprovok, saya deras. 200 km sejam.

“Eh, kot ye pun taksub dan suka pada yang satu ni, janganlah sampai kita mendatangkan fitnah pada orang yang faqih agama. Siapa kita nak menilai diorang. Jangan sebab nak jaga pride (maruah), bukak cerita orang lain pulak sampai nampak yang orang lain tu lagi buruk. Buruk sendiri pulak sorok belakang, simpan dalam CD, DVD kat rumah je. Kita bukan budak-budak lagi. Jangan sebab seronok sebab yang awak suka tu banyak hidurannya. Dan jangan pulak sebab takut kalau BA naik, banyak pulak yang agamanya.”

Ok. Saya tahu saya agak tajam waktu itu. Maafkan saya kawan. Saya sensitif bila agama dipersenda. Saya rasa saya bukan dalam kategori emo. Tapi kerana saya peduli agama. Saya tidak boleh dengar jika para ulamak dipersenda. Sehinggakan yang sudah selamat pulang kerahmat-Nya juga diungkit sama. Itu namanya menghina. Kalau saya ini peguam, saya saman awak ni. Atas akta menghina. Awak, takut tak dengan saya? Nasib baik saya bukan peguam.

Bagi saya, jangan disebabkan berbeza pendapat, kita bergaduh sesama sendiri. Tidak perlu begitu. Dan bukan begitu anjuran agama. Mengapa kita ada perbezaan kaedah feqah dalam setiap mazhab? Sebab dengan perbezaan itu memberi peluang untuk kita membuat penilaian dan perbandingan. Mana yang terbaik, yang itu kita guna. Dan sebenarnya perbezaan ini memberi peluang untuk kita lebih berfikir dan membuat timbang tara. Bukan untuk bergaduh bertekak sana, bertekak sini.

Lagi yang menjadi perhatian saya adalah fenomena berkempen di Malaysia. Walaupun saya tidak dapat melihat dengan mata kepala sendiri keadaan perang bendera dan poster di sana, tapi saya dapat gambarkan bagaimana situasinya. Saya buka dan baca dan lihat dan kaji banyak blog yang berkongsikan gambar ‘langit berdacing’, ‘bulan mengambang sejuta di awan biru’, ‘mata bukan matahari’ dan ‘roket terapung tak sampai ke ISS’. Semuanya semangat. Semangat berkempen. Tapi satu yang saya kurang setuju di sini. Ini membazir namanya. Beribu dihabiskan untuk poster-poster ini saja. Nanti akan dipungut buang juga. Ambil contoh di Rusia ini. Pilihanraya memilih parti mahupun presiden tidak ada langsung poster-poster membazir ini. Dan apa yang lebih menyedihkan, ada poster-poster menghina. Meletakkan gambar ‘kerbau pendek’ (baca: khinzir la tu) bersebelahan dengan gambar Tuan Guru Nik Aziz. Ini melampau. Kata-katanya pula: Pergi jahanam dengan agama. Hidup Melayu. Selamat pagi encik. Siapalah kita ini kalau tiada agama. Apalah yang ada pada bangsa kalau agama dibuang begitu saja. Sedih betul melihat mentaliti manusia yang sebegini.

Tentang SPR pula. Ini satu lagi masalah negara. Kenapalah kisah ketulusan dan ketelusan SPR masih hangat panas tak sudah-sudah sejak dulu. Saya sudah mula mendengar isu SPR ini sejak saya kecil lagi. Zaman Semangat 46 masih hidup marak. Ketika musim pilihanraya itu, semua orang Semangat 46 marahkan SPR kerana kononnya Ku Li kalah sebab SPR tidak telus. Apala-apalah. Nak cakap banyak, saya sudah ingat-ingat lupa kisahnya. Dulu saya tidak tahu SPR itu apa. Sama seperti SRP ke? Atau SPR itu juga sebuah parti? Masih kecil. Sampaikan waktu itu saya tidak tahu yang mencabut poster-poster adalah satu kesalahan. Tapi saya geram sebab papan tempat duduk buaian yang saya, Kaklong, Nan dan dua orang sepupu selalu naik di tebing rumah pun menjadi tempat tampalan poster. Kalau kami dengan slumber duduk atas buaian itu, nanti ditangkap kerana ‘membontotkan’ dacing pula. Haha. Ok. Saya agak ganas kali ini. Dan bagi PRU12 ini, SPR mulanya memberikan janji manis. Macam orang baru hendak berkahwin. Baru bertunang, dah tunjuk belangnya. Belum menikah lagi. Tak best lah begini. Hilang seri hubungan itu. Sepatutnya ketelusan dan ketulusan itu dizahirkan sejak dari sekarang. Sepatutnya, dizahirkan sejak dari dulu lagi kan. Ini belum lagi majlisnya, sudah nampak semua. Sudah hilang sparkling mereka ini. Ok. Tak lucu. Cuma yang terbaru ini tentang penggunaan dakwat dimansuhkan. Selamat petang pula encik. Apa kes ni? Bau belerang sudah mula menghangatkan ak47 setiap mata-mata yang menanti silap salah di majlis itu nanti. Jaga-jaga ya. Jangan sampai ditembak hidup-hidup di atas pelamin. Nanti ramai yang ucapkan selamat malam terus.

Ok. Saya sudah terlalu ganas untuk hari ini. Maaf salah silap terkasar bahasa, tertajam kata, terpanah petir terkena nyawa-nyawa yang ada dan terbakar jiwa-jiwa yang sedang panas membara. Maaf. Ini pendapat dan luahan seorang anak Malaysia Muslim yang mahukan Malaysia lebih intergriti, Islam lebih diberikan hak yang dominasi disamping agama lain tidak didiskriminasi dan bangsa Melayu yang sedar diri.

Esok harinya. Sudah dekat masa untuk semua membuat pertimbangan akal dan iman, bukan nafsu dan keinginan. Hak kita semua untuk melihat Malaysia yang lebih madani dengan hak ukhrawi tidak dikesampingkan dan hak insani disamaratakan. Dan esok juga Hari Wanita. Selamat Hari Wanita. Jadilah wanita yang membawa perubahan nusa pada hari esok ya!

“Dan bahawasanya kepada Tuhamulah kesudahan (segala sesuatu)” An-Najm : 42

QUNUT NAZILAH


Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu
Di batang-batang leher musuh-musuh kami

Dan kami berlindung dengan-Mu
Daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belah dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing-Mu kepada mereka.

Wahai Tuhan yang gagah perkasa
Wahai Tuhan yang penuh raksasa

Wahai Tuhan yang bersifat murka

Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Al-Ahzab
Kalahkan mereka! Kalahkan mereka!Kalahkan mereka!
Dan menangkan kami ke atas mereka!

Posted on March 7th, 2008 by Sarah  |  23 Comments »

The Man of My Life

Assalamualaikum wbt

Di YM (bila saya online), saya dapat lihat bermacam-macam status. Fokus utama adalah status rakan-rakan sekumpulan saya. Memandangkan esok kami akan menduduki exam Traumatology, Orthopedics and Disaster Surgery (Trauma), jadi antara statusnya berbunyi:

Trauma is indeed traumatizing! (Wendy)
I can’t read Trauma anyfuckingmore! (Faisal)
Sick~ (Davina)
Preparing… (Mustaqim)
A man has to do what he has to do. (Saya)

Inilah demam exam Trauma yang sangat mencuakkan kami semua. Kenapa? Sebab Trauma memang banyak bahannya dan sungguhpun saya sudah 2 kali ulang sempurna, saya masih cuak!

Tapi apa kaitan status saya di YM itu? Tak berunsurkan exam langsung. Tadi saya lihat ayah online di Google Talk. Kurang lebih pukul 1.30 pagi di Malaysia. Itu maksudnya ayah sudah pulang ke rumah. Saya menegur. Ayah membalas. Medium kami anak beranak adalah Google Talk.

Seperti biasa, topik kami adalah tentang politik. Saya memberitahu ayah bahawa saya telah jumpa gambarnya dalam Malaysia Today dan saya telah memberikan link itu kepada Nan. Ayah kata ayah letih sekarang ni. Sebenarnya, saya sendiri baru saja tahu siapa dan apa yang ayah saya uruskan sepanjang pilihanraya ini. Itupun melalui seorang kawan yang berada di Temerloh. Dan baru semalam ayah mengakuinya sendiri ketika saya menelefon rumah. Tidak pelik ayah sangat sibuk dan suaranya masih belum elok sepenuhnya.

Selepas berbincang ringkas tentang beberapa isu, saya kata pada ayah: Mesti ayah penat kan sekarang ni. Ayah membalas semula: A man has to do what he has to do. Saya rasa hendak menangis membaca apa ayah tulis. Saya membalas: Your words are really inspiring. Dan seperti lazimnya, ayah akan berhumor: Awak ingat ayah tak gheti bermadah ka. Ayah, you are the man of my life. I’m sure you know that.

Tadi, saya baca 2 entri ini. Yang ditulis oleh kembar saya Yasir dan kanda Azwan. Kedua-dua entri ini membuatkan saya hendak menulis review saya pula tentang demam pilihanraya 12 ini. Ditambah pula dengan mesej dari Acai yang memberitahu suasana di tanah air ibaratnya seperti akan terjadi pilihanraya berdarah. Ok. Ini menakutkan. Nauzubillah. Tapi saya tak boleh berlama dengan internet. Saya ada exam. Tunggu esok. Insya Allah akan ada review ringkas dari saya pula.

Sungguhpun kata-kata ayah itu merujuk kepada tanggungjawabnya, saya guna pakai ia dalam konteks saya sebagai seorang anak dan pelajar. Berusaha yang terbaik dan memberikan yang terbaik kerana itu tanggngjawab saya. Insya Allah. Yang terbaik untuk katalis hidup saya dan the man of my life.

Di saat sedang menulis ini, saya sedang mendengar lagu Geek in the pink nyanyian Jason Mraz dari playlist. Tiba-tiba saya terdengarkan kata-katanya: From zero to hero. Mari. Mari kita jadi hero.

Posted on March 6th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »