Archive for the ‘Love’ Category

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat” Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan 🙂

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu 🙂

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Posted on January 9th, 2008 by Sarah  |  50 Comments »