Archive for the ‘Life’ Category

Walimah Kaklong Dan Abang Hashim

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, pada 28 Mei yang lalu, Kaklong telah selamat diijabkabulkan dengan Abang Hashim, lelaki yang berjaya menawan hati Kaklong, emak dan juga ayah. Mereka tidak punya kisah cinta seperti orang lain. Tiada semua tu. Secara tiba-tiba saja, eh eh, keluarga dah pun rancang majlisnya. Hehe. Abang Hashim ni pun orang Temerloh juga. Mereka berdua sama-sama bersekolah menengah dari tingkatan 1 hingga 3 di sekolah yang sama. Sudah jodoh, mereka bertemu semula ketika raya tahun lepas.

Mungkin kerana Kaklong merupakan cucu sulung untuk keluarga sebelah Pahang, jadi majlisnya juga sangat meriah. Keluarga sebelah Penang ada yang datang awal-awal lagi. Pada malam akad nikah itu, agak kelakar juga sewaktu ayah hendak mengijabkan Abang Hashim dengan Kaklong. Ayah pula yang tersasul lebih-lebih. Tapi Alhamdulillah. Dengan sekali lafaz, Kaklong dan Abang Hashim sah menjadi suami isteri. Saya terharu sangat bila melihat emak memeluk Kaklong. Mengalir air mata emak. Saya pun tumpang tersentuh sama.

Malam itu, kendurinya kami semua menjamu kari kambing dan beberapa lauk kampung orang Temerloh yang lain. Sebenarnya kami jangka untuk majlis akad nikah, kendurinya sederhana saja. Tapi tak sangka pula ramai sungguh yang datang pada malam itu. Untuk majlis Kaklong ini, saya dapat cuti selama empat hari. Sudahlah baru bertukar ke jabatan baru, minta pula cuti lama-lama. Pada mulanya saya sangat risau cuti saya tidak diluluskan. Tapi atas alasan kakak hendak berkahwin, cuti saya diluluskan. Tapi sebelum bercuti, saya oncall sebanyak lima kali secara selang sehari. Separuh mati rasanya. Tapi demi Kaklong, semuanya saya sanggup.

Pada 29 Mei pula, majlis kendurinya berlangsung dengan sangat meriah. Saya pun tak sangka majlis akan jadi semeriah itu. Emak dan ayah menerima kunjungan lebih daripada 2000 tetamu termasuk dua buah bas ekspress yang disewa oleh keluarga dan kawan-kawan ayah dari Penang yang datang secara rombongan. Kebetulan kawan-kawan ayah Alumni SMS Pulau Pinang (sekarang SMS Tun Syed Sheikh Shahabuddin) sedang bereunion di Genting Highland. Mereka semua turun ke kenduri itu.

Yang saya boleh katakan, saya memang tak menang tangan untuk hari itu. Sampaikan, disebabkan terlalu ramai tetamu pada satu-satu masa itu, mereka terpaksa menunggu di khemah bubur kacang atau berdekatan dengan khemah air sebelum ke khemah makan. Termasuklah kawan-kawan saya yang datang dari KL ni. Yasir Tamizi, Azwan Ngali dan Alin. Mereka saya bawa masuk ke rumah terlebih dahulu. Kasihan mereka kena menunggu. Sudahnya saya menjamu mereka makan di dalam rumah saja. Makan tepi pelamin pengantin. Hehe. Istimewa tu. Apapun, terima kasih sangat sebab sudi juga memenuhi jemputan kenduri pertama keluarga kami ni. Lain kali datang lagi ya.

Kenduri Kaklong juga telah menjadi rekod kenduri di kampung kami. Lapan kawah nasi beriyani semuanya. Menunya nasi beriyani dengan ayam rempah. Tapi Tok saya ada juga menyediakan nasi putih untuk dijamu dengan lauk ikan patin masak tempoyak. Oh ya. Untuk kawan-kawan yang datang dari jauh tu, ada juga yang bedal makan nasi beriyani dengan ikan patin. Huhu~

Apapun, kami sekeluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat kaum keluarga, ahli qariah yang banyak membantu dan kawan-kawan yang telah datang memeriahkan majlis pertama emak dan ayah ini. Semoga Kaklong dan Abang Hashim disatukan Allah dalam rahmah sampai ke syurga. Disember ini kenduri kedua pula akan menyusul. Insya Allah, segala kekurangan yang ada pada kenduri pertama ini akan kami baiki.

Keesokannya, 30 Mei, kami berarak ke rumah Abang Hashim pula. Tak pasal-pasal saya terpaksa menjadi pengapit Kaklong untuk hari itu. Rumah Abang Hashim berdekatan saja dengan hospital tempat saya bekerja. Ada beberapa tetamu di kenduri itu berkata, mereka seakan mengenali saya. Dalam hati saya berkata, ‘ini mesti jumpa di hospital ni’. Yang paling sadis, saya terdengar perbualan ini:

A: Yang jadi pengapit pengantin perempuan tu macam kenal je kan.

B: Owh… Tu kakak pengantin perempuan tu. Dia doktor. Kesian kan. Tak kawin lagi dia.

Saya yang terdengar ni macam: ‘Aik, kau apasal nak kesian pulak. Saya bukannya kakak pengantin. Apa salahnya pun kalau jadi doktor dan tak kawin lagi.’ Tapi makan hati jugalah bila terdengar orang sebut macam tu. Balik rumah tu, asyik termenung panjang saja.

Dan pada 29 Mei juga, saya bertemu sejarah saya yang sudah lama hilang. Terima kasih Ya Allah kerana mengembalikannya kepada saya.

Nota 1: Official Photographer untuk majlis ini ialah Kerul Shukor. Gambar memang cantik. 🙂

Nota 2: Kenduri dibuat secara rewang. Memang penat. Hari Isnin tu bila saya pergi kerja, terus oncall. Kawan-kawan tanya, tak penat ke? Ish… Jawapannya dah tentulah maha penat. :|

Nota 3: Seminggu selepas kenduri Kaklong, menyusul pula kenduri sepupu terapat saya, Nisa dan Nabil. Tunggu entri seterusnya. 🙂

Posted on June 20th, 2010 by Sarah  |  20 Comments »

Sebulan Di Pediatrik

Assalamualaikum wbt

Saya ada sebut kan yang saya kini di Jabatan Pediatrik? Saya sangat suka berada di sini dan memang sangat kena dengan jiwa saya. Kerja memang sangat teruk. Round tiga kali sehari. Tak sempat makan, minum, tidur, rehat mahupun hendak ke tandas. Huhu. Tapi saya selesa berada di dalam dunia kanak-kanak. Sedahsyat manapun kerja saya sampai tak sempat hendak mandi jika post call, tapi bebannya tidak sama seperti yang saya lalui ketika di Medical dulu.

Saya teringat ketika musim sejuk tahun dua di Moscow dulu, saya dan Abang Khairil (Masih ingat pada entiti bernama Abang Khairil kan? Tak payah saya hendak perkenalkan lagi. Hehe) keluar mencari hadiah untuk kawan-kawan yang bakal diziarahi Abang Khairil di UK, di dalam metro kami disapa ramah oleh seorang makcik. Dia bertanya apa yang kami buat di Moscow itu. Apabila diterangkan oleh Abang Khairil bahawa kami pelajar perubatan, dia kelihatan teruja. Dia bertanya, apa bidang yang kami pilih. Kedua-duanya menjawab kami belum membuat keputusan lagi. Lantas makcik itu memberi cadangan. Katanya: “Jadilah pakar kanak-kanak. Banyak pahala (Dia tak lah sebut perkataan pahala. Maksud lebih kurang ayat dia macam tu lah) yang kamu akan buat. Kamu tolong dia dari kecil. Dia sihat. Dia jadi orang berguna. Dia buat baik pada orang lain pula. Kamu pun dapat pahala juga.” Sampai sekarang saya masih ingat apa yang diperkatakannya. Abang Khairil ingat tak? Hehe.

Dua minggu selepas melapor diri di jabatan ini, Ketua Jabatan saya membuat round mengejut di cubicle saya. Ada hampir 30 pesakit yang berada di situ pada waktu itu. Saya membentangkan kesemua kes di situ sendirian kerana dua lagi HO yang sepatutnya berada di situ juga telah MIA. Huh. Benci nak sebut. Sakit hati bekerja dengan bangsa tu. Asyik buat hal saja. Ok. Tukar mood. Baca dengan hati yang lapang semula. Apabila sampai saja ke pesakit yang terakhir, Ketua Jabatan saya bertanya: “Sarah, would you consider to become my MO in Paeds?” Dan saya pun tak semena-mena telah bertukar menjadi orang gagap. Huhuhu. Saya senyum-senyum dan membalas semula: “Tengoklah dulu boss ye. Insya Allah kalau ada rezeki.”

Dalam hati sebenarnya nak saja saya jawab: “Saya nak kawin. Saya nak ikut suami saya.” Hahahaha. Wah. Warna merah. Tu tandanya ayat serius. Hahaha~  :lol:

Nota 1: MIA = Missing in action.

Nota 2: Selepas sebulan berada di Pediatrik, seperti biasa, saya menghadiahi diri sendiri dengan buku sebagai tanda ‘Sarah, awak patut berehat’. Dan saya memilih ‘Tidak Secantik Husna’. Tak jemu saya membacanya.

Nota 3: Bulan Rejab ni. Jom puasa sunat semampu mungkin ye kawan-kawan.

Posted on June 17th, 2010 by Sarah  |  14 Comments »

Kisah Empat Bulan

Assalamualaikum wbt

Lamanya tak menulis di sini. Terasa kosong otak bila hendak mula menulis. Mungkin sebab penat masih belum hilang. Mungkin sebab mengantuk. Mungkin juga sebab sudah terlalu banyak cerita yang tertangguh, jadi sekarang sudah tidak rasa teruja hendak berkongsi di sini. Entahlah. Tapi saya rasa alasan paling tepat kerana saya sangat sibuk.

Nak dipendekkan cerita, cerita untuk tempoh empat bulan yang pernah saya sebutkan tu saya rangkumkan dalam tiga perenggan sajalah ya. Alhamdulillah. Saya sudah sebulan selesai menamatkan posting Orthopedic saya. Nampaknya, jiwa saya bukan ke arah tulang belulang ni. Saya memang sama sekali tak berminat. Jiwa saya tak terasa berada di situ. Huhu. Orthopedic memang santai. Pergi tidaklah seawal mana. Hari yang tidak oncall, pukul lima sudah boleh pulang. Kalau oncall pun, keadaannya tidaklah sedahsyat ketika saya di Medical dulu. Terlalu banyak bezanya. Dah saya menyudahi posting saya kali ini tanpa perlu membuat pembentangan di CME. Iya-iya saja saya bersungguh-sungguh menyiapkan slide saya dengan sebaiknya. Siap tak cukup tidur. Tapi sudahnya bos saya hanya menyuruh saya meninggalkan slide itu di PC di wad saja. Untungnya nasib. Huhu.

Dalam tempoh empat bulan itu juga, saya terlepas untuk membuat entri hari lahir buat adik-adik saya yang tidak pernah saya lupa untuk sediakan entri khas untuk mereka sebelum ini. Kekangan masa. Minta maaf Azizi dan Aiman. Saya juga terlepas hari lahir ayah dan emak. Apapun, mereka tahu saya sayang mereka dengan sangat.

Dan dalam tempoh empat bulan ini juga, keluarga saya telah menerima seorang ahli keluarga yang baru. Alhamdulillah. Kaklong telah selamat berkahwin dengan Abang Hashim. Untuk cerita kenduri Kaklong, tunggu entri seterusnyalah ya. Saya tiba-tiba sudah menguap. Petanda entri terpaksa diberhentikan secara tiba-tiba sekali lagi.

Kenapa saya cepat sangat mengantuk sekarang ni? Sebab, saya kini berada di Jabatan Pediatrik. Hari-hari hidup saya bersama bayi-bayi yang comel dan gebu. Dan saya sedang menjalani oncall secara selang sehari.

Ya Rabbi… Sangat memenatkan. Dan penuh dengan tekanan.

Sehingga saya tanpa sengaja telah mengabaikan insan-insan penting dalam hidup saya. Hmm. Ni dah menguap-menguap ni, ada potensi tertidur di tepi laptop lagi ni. Kasihan dia untuk kesekian kalinya.

Nota: Dan saya sangat suka dengan perkembangan dalam tempoh empat bulan ini. ;-)

Posted on June 14th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Kasih Setahun

Assalamualaikum wbt

Nota ringkas untuk kamu,

Selamat setahun, sayang =)

Ikhlas, Sarah.

Posted on June 5th, 2010 by Sarah  |  3 Comments »

Kononnya…

Assalamualaikum wbt

Dengan bersemangat, saya berhajat hendak menulis panjang pada malam ini. Tapi tiba-tiba pula menguap. Mengantuk dah datang. Kita sambung cerita hari esok sajalah ya.

Esok, kita buat cerita panjang rangkuman kisah empat bulan. Macam-macam rasanya yang hendak saya cerita. Tapi serius memang tak boleh tulis malam ni. Mengantuk sangat dah ni.

Selamat malam semua.

🙂

Posted on May 13th, 2010 by Sarah  |  13 Comments »