Archive for the ‘Homestay PPIM 2008’ Category

Homestay PPIM 2008

Assalamualaikum wbt

Seperti yang telah dirancang sejak 3 bulan yang lalu, maka pada 25-28 Julai lepas, telah berlangsungnya Program Homestay Dan Kemasyarakatan PPIM 2008 Di Perkampungan Orang Asli (Homestay PPIM 2008). Pada mulanya, tapak POS yang dicadangkan ialah Pos Sungai Pelatok di Sungai Siput menjadi pilihan tetapi di saat akhir, tapak program ditukarkan ke POS Raya di Simpang Pulai, jalan menuju ke Cameron Highland. Pertukaran berlaku atas sebab-sebab teknikal yang penting untuk keselesaan semua pihak yang terlibat.

Jika pada program Sunathon 2007 anjuran PPIM-RSC saya telah memandu ke sana, kini saya dihantar oleh ayah saya pula. Kami bertolak ke Ipoh pada hari Khamis lepas melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang-Ipoh. Kami singgah di Cameron Highland ketika menuju ke sana. Ayah ada kerja yang hendak dibuat di sepanjang perjalanan di Kuala Lipis dan Gua Musang. Perlu memeriksa network Celcom di sana. Jadi, saya bertindak sebagai setiausahanya di sepanjang perjalanan. Sebaik tiba di Ipoh, saya dijemput oleh Zaid, Pengarah Program Homestay PPIM 2008, dan dibawa terus ke rumahnya. Di sana, kesemua AJK lain telah siap berkumpul dan telah tiba beberapa jam lebih awal. Sebelah malamnya, selesai solat Isyak, kami bermesyuarat untuk pengemaskinian yang terakhir dan selepas itu kami semua berjaga sehingga jam 3 pagi membuat kerja-kerja membalut hadiah, hamper dan lain-lain. Keesokannya, semuanya bermula.

Hari Pertama
Jam 11 pagi, Zaid, Jamzuri, Haneem dan saya bergerak menuju ke POS Raya. Kami melawat pentadbiran Sekolah Kebangsaan POS Raya yang telah memberikan kerjasama penuh sebagai tuan rumah untuk program ini. Sekitar jam 2.30 petang, beberapa orang AJK ditugaskan di Medan Gopeng, Ipoh untuk menyambut ketibaan peserta-peserta yang dijadualkan berkumpul di situ sebelum berangkat beramai-ramai ke POS Raya. 3 buah trak dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli datang menjemput kami semua. Trak terakhir yang membawa hadiah dan AJK-AJK tiba di POS Raya pada jam 6.30 pm. Selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami makan malam dan seterusnya mendengar sesi taklimat daripada Ustaz Fattar, Pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang bertugas di POS tersebut. Seterusnya mendengar taklimat penuh program daripada Zaid dan kemudian para peserta dilepaskan untuk berehat. Peserta perempuan yang seramai 45 orang tidur di kuaters guru di perkarangan sekolah dan peserta lelaki yang seramai 15 orang menggunakan surau sebagai tempat tidur mereka. Pada malam itu, AJK berjaga sehingga jam 1.30 pagi untuk menguruskan beberapa perkara. Saya, Haneem, Ainul, Anis dan Nasuha tidur di ruang tamu rumah guru itu. Ada 2 buah rumah diperuntukkan untuk peserta perempuan. Malam itu, kami terpaksa berstokin, tidur dengan 2 lapis baju dan menggunakan segala jenis kain batik dan selendang Pashmina yang kami ada untuk menepis kesejukan. Teramat sejuk! Saya terbangun pada jam 4 pagi kerana terlalu sejuk dan sudah tidak boleh tidur selepas itu.

Hari Kedua
Dimulakan dengan jemaah Subuh, pengisian, senaman pagi (yang menguji tahap pernafasan sungguh!) oleh Encik Azhar, wakil daripada JHEOA Pusat dan seterusnya sarapan pagi. Kemudian kami mengikuti pengisian ringkas oleh Ustaz Hafizuddin, wakil dari JAKIM yang menerangkan pantang larang masyarakat Orang Asli dan juga pengalamannya berhadapan dengan pelbagai kerenah mereka. Selepas itu, slot Ziarah 1 bermula. Kami bergerak mengikut kumpulan masing-masing menuju ke rumah keluarga angkat masing-masing dengan membawa hamper hadiah. Pada mulanya, semuanya masih tiada idea apakah penerimaan mereka terhadapan kunjungan kami. Namun selepas kami (kumpulan saya) selesai di rumah yang pertama, kami mulai kenal bagaimanakah mereka ini. Secara umum, kami boleh katakan bahawa mereka ini sangat pemalu. Mereka hanya bercakap bila perlu saja.

Sebenarnya, cabaran terbesar kami ialah agama. Jika sebelum ini kami telah bersiap sedia dengan masyarakat yang kesemuanya Islam (di POS Sungai Pelatok seperti yang dirancang) tapi setelah lokasi ditukar ke POS Raya, kami berhadapan dengan masyarakat Islam yang minoriti. Jadi, ketika sesi Ziarah 1, kami perlu menjaga sentimen agama dan berbual dengan mereka secara permukaan saja. Bagi keluarga yang telah sedia Islam, kami dapat melihat betapa sebenarnya mereka ini hanya Islam pada nama. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh pihak JAIP untuk memberikan pendidikan agama kepada mereka. Di POS ini, gerakan mubaligh Kristian adalah sangat aktif. Dalam diam, terdapat sebuah gereja yang didirikan di celah-celah semak untuk digunakan oleh mereka. Bagi yang Kristian, mereka menerima pelbagai kemudahan dari segi material yang mana ini dijadikan daya penarik untuk memikat hati masyarakat di sini. Saya teringat kata-kata Ustaz Fattar. Beliau pernah ditanya oleh masyarakat di sini yang cuba didekatinya. Tanya mereka: Apakah yang boleh mereka daat jika mereka memeluk Islam. Menurut Ustaz, jika sekiranga Islam dapat menawarkan kesenangan yang jauh lebih baik daripada agama Kristian, baru mereka bersedia untuk memeluk Islam. Inilah juga yang saya sendiri saksikan ketika sesi Ziarah 1 itu. Ketika mengunjungi keluarga Kak Alang yang beragama Kristian. Keluarganya susah tapi menerima banyak pertolongan daripada pihak mubaligh Kristian di sana. Jadi mereka sekeluarga berasa terhutang budi dengan keluhuran yang ditunjukkan oleh pihak Kristian.

Jadi, satu lagi kesimpulan yang boleh saya katakan tentang mereka ini ialah manja. Masyarakat Orang Asli bersifat ‘bergantung’. Mereka selalu mengharapkan ada sesuatu yang diberikan terlebih dahulu sebelum mereka perlu membuat sesuatu. Tapi 1 lagi yang boleh saya pelajari daripada mereka ialah sifat kesederhanaan dan menerima hidup mereka seadanya. Tapi, jangan tak tahu ya. Mereka ini kuat melawa bagi yang perempuannya. Alat solek adalah antara bahan umpan yang diberikan jika ada program yang dibuat untuk mengajak mereka terlibat sama. Bagi kelas dewasa (belajar membaca), setiap kehadiran akan diberikan RM19. Fuh. Sampai begitu sekali daya tarikan yang perlu dibuat.

Selesai Ziarah 1, kami semua mengikuti slot Eksplorasi Alam. Kami masuk hutan, mendaki bukit dan belajar membuat atap atau tikar mengguakan daun rumbia. Ini memang pengalaman yang berharga buat kami. Sebelah petangnya, ada aktiviti Sepetang Bersama Kanak-kanak Orang Asli. Walaupun hari hujan yang sangat lebat, namun aktiviti ini teramat berjaya. Saya terharu dan sebak melihat suntikan semangat yang berjaya kami berikan kepada adik-adik ini. Apa yang boleh saya simpulkan, sebenarnya adik-adik ini dahagakan aktiviti-aktiviti motivasi yang lain dari yang lain. Mereka ini berpotensi besar sebenarnya. Ramai yang pandai-pandai, petah berkata-kata dan pelbagai lagi bakat mereka. Pada petang itu, kami berikan peluang mereka menggunakan mikrofon untuk bercakap, kami melukis bersama mereka, bersoal jawab tentang pelajaran dan pelbagai lagi. Banyak hadiah disediakan jika mereka dapat menjawab dengan betul. Sungguh. Ini adalah aktiviti yang paling menyentuh hati kami semua. Ketika Nasuha mengacarai slot ini, dia mengajak adik-adik ini berjanji untuk tidak ponteng sekolah dan meletakkan pelajaran sebagai perkara yang penting untuk masa depan. Jika sebelum program ini mereka tidak tahu apa cita-cita mereka, tetapi sehari selepas slot ini, saya bertanya kepada beberapa orang pelajar. Ada yang jawab: Nak jadi macam kakak. Nak jadi doktor. Saya terharu mendengarnya. Kerana sebelum itu, adik yang sama itu, saya tanyakan tentang cita-cita, dia jawab dia tidak pernah tahu nak jadi apa apabila besar nanti. Pada masa yang sama dengan slot bersama kanak-kanak ini, sekumpulan peserta ditugaskan untuk bergotong-royong mengecat sekolah dan ada juga yang bertugas memasak. Hari itu memang badan saya berbau asap sehingga ke malam.

Sebelah malamnya, selesai Maghrib, kami dipersembahkan dengan tarian Sewang oleh penduduk kampung sebagai tanda penerimaan atas lawatan yang kami buat. Selepas itu, kami mendengar pengisian tentang Cabaran Dakwah oleh Ustaz Ridhuan Md. Nor yang sangat istimewa. Padat dengan ilmu. Saya bagai disuntik dengan semangat baru selepas mendengar segala sirah nabi yang Ustaz sampaikan pada malam itu. Seperti biasa, kami AJK berkumpul lagi pada malam itu untuk persiapan bazar pada keesokannya. Kami hanya naik ke rumah apabila hari telah menunjukkan jam 2 pagi dan cuaca pada malam itu teramatlah sejuk kerana hujan lebat pada sebelah petangnya.

Hari Ketiga
Selesai Subuh dan tazkirah, kesemua peserta turun menjamu sarapan dan seterusnya membuat persiapan Grand Sukaneka. Hari itu saya bertugas di Bazar Jumbo Sale. Kami menjual pakaian terpakai yang kami bawa dengan harga yang sangat murah (semurah 50 sen saja!) untuk mengutip derma buat tabung sekolah. Bukan kami sengaja hendak neyusahkan mereka kerana menjual baju-baju itu tetapi sekiranya kami memberi secara percuma, pasti tidak adil kerana ada keluarga yang tidak hadir ke tapak bazar. Dan siapa kata mereka tidak berduit. Menurut pihak kantin, anak-anak mereka sentiasa banyak wang untuk berbelanja di kantin. Tambahan pula, sekarang ini musim petai dan durian menjadi-jadi. Maka, bertambahlah pendapatan mereka. Menjelang tengahari, kami hanya memberikan pakaian-pakaian tersebut secara percuma dan agihan dibuat seadil yang boleh.

Sekitar jam 11.30 pagi, padang mula dikosongkan untuk memberi laluan kepada slot Medical Check Up. Kami mendapat kerjasama penuh daripada pihak Jabatan Kesihatan. Untuk slot itu, 2 orang peserta yang telah grad, Kak Murni dan Kak Im, bertindak sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan. Bagi pelajar tahun akhir seperti saya dan beberapa orang yang lain juga, kami juga bertugas sebagai doktor yang memberi konsultasi kepada mereka yang hadir. Saya masih ingat peristiwa ketika berada di meja kempen kesihatan. Ada pamplet tentang kempen penghapusan nyamuk, lalat dan tikus diletakkan di situ. Sekumpulan pelajar datang mendekati saya setelah mereka diberi makan vitamin C dan ubat cacing. Salah seorang daripada mereka memegang pamplet itu. Saya mengambil peluang untuk berborak dengan mereka. Saya bertanya secara rawak di mana boleh ditemui nyamuk, lalat dan tikus. Jawab mereka: Di rumah. Ok. Yang ini masih boleh diterima akal. Saya sedang mencari idea untuk mengaitkan tentang penyakit yang dibawa oleh haiwan-haiwan ini. Lalu saya bertanya: Apa yang kamu buat kalau jumpa tikus? Jawab mereka: Makan. Ok. Yang ini buat saya tersentak sekejap kerana saya membayangkan jawapan yang lain, tapi yang sangat lain pula saya dengari. Tapi saya teruskan juga soalan-soalan saya sehingga saya dapat sampai kepada motifnya. Ada juga penerangan daripada mereka mengatakan tikus itu digoreng untuk dimakan. Kosong sekejap otak saya untuk meneruskan penerangan. Tapi saya kena berhati-hati menerangkan ini semua kerana ia berkaitan dengan sentimen gaya hidup. Jamzuri dan Hafiz yang ada di situ juga tergelak selepas saya ceritakan semula tentang hal ini.

Oh ya. Saya tak puas hati dengan alat ukur ketinggian yang disediakan. Macam manalah pula saya hanya 152 cm saja. Ini tak boleh jadi. Memang tak aci. Hafiz, KS tahulah KS ni 30 cm kurang dari kamu. Tapi yang renek-renek tu comel tau. Bila jalan sebelah kamu, nanti orang ingat KS jauh lebih muda dari kamu. Huhu. Dan untuk Al, awak kata saya boleh pilih berapa ketinggian yang saya nak, kan? Haa… Saya nak 181 cm. Nak lawan Hafiz. Huhu. Terima kasih buat semua terutamanya Kak Murni dan Kak Im yang telah bertugas dengan baik pada hari itu. Juga Shirah dan Dalila yang bertungkus-lumus menjadi doktor yang berjaya pada hari itu. Sungguh saya katakan. Serak suara saya terpaksa bercakap banyak pada hari itu. Sebelah petangnya, kami ke air terjun di kawasan belakang POS tersebut. Pak Lang yang membawa kami. Di sana, kami ditunjukkan dengan cara memasak nasi di dalam buluh dan membuat perangkap. Banyak ilmu yang kami perolehi. Pada mulanya saya tak berhajat untuk mandi. Tapi ketika saya cuba berjalan di dalam air menuju ke arah Gmex, Aishah dan Nasuha, saya tergelincir dan sudahnya saya basah kuyup juga. Aishh… Apalah nasib. Bila hendak balik, saya disimbah air oleh Pak Lang. Katanya, saya banyak termenung. Huhu. Oh ya. Encik Idris, Pegawai JHEOA negeri yang mengiringi kami di sepanjang program juga turut turun bermain air dengan pelajar lelaki yang lain. Encik Idris ni cool dan diam saja orangnya. Jadi, kami segan dan tertanya-tanya apakah agaknya komen beliau tentang program ini secara keseluruhannya. Ok. Cerita ini kita akan tahu di hujung entri nanti.

Sebelah malamnya, kami mendengar forum santai yang dipaneli oleh Dr. Latif dan Dr. Awisol. Sangat best! Slot ini memang ditunggu-tunggu oleh kesemua peserta. Banyak pengalaman yang kami dapat jadikan sebagai pengajaran. Seperti biasa, AJK tidur lewat pada malam itu untuk memastikan kelancaran program pada keesokannya.

Hari Keempat
Selesai sarapan, kami ber-LDK. Saya menangis mendengarkan kesimpulan yang diberikan oleh wakil dari kumpulan saya. Bagi semua peserta, saya yakin tiada yang tidak tersentuh dengan apa yang dikatakan oleh Saliha. Diharapkan kita semua dapat berubah dan menyiapkan diri untuk menjadi lebih baik lagi selepas ini. Tidak kiralah dalam apa perkara sekalipun.

Selepas itu, kami menjalankan slot Ziarah Wida’ sebagai tanda perpisahan dengan penduduk POS tersebut. Kami melawat semula keluarga angkat kami. Saya terharu. Mereka sebetulnya sedih dengan keberangkatan pulang kami. Katika di rumah Kak Sarini, saya terharu kerana telatah anaknya Franky yang comel membuatkan saya sedih untuk melangkah pergi. Uzair, nanti KS nak gambar tu tau. Agagaga yang comel, kan =)

Sebaik berkumpul semula, kami bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan membuat persiapan untuk majlis penutup. Tengahari itu ada kenduri disediakan untuk peserta dan penduduk POS. Sebetulnya, setiap kali makan pun, kami akan makan bersama penduduk kampung yang datang ke khemah makan kami. Waktu ini juga kami guna pakai untuk berinteraksi lebih dengan mereka.

Sebelum majlis penutup bermula, ada sesuatu telah terjadi. Mekna, Wani, Kak Mawaddah, Roy, Al, Luqman dan Haneem, sila jaga rahsia. Hehe. Ketika mendengar sesi ucapan, kami semua tertunggu-tunggu ucapan dan komen daripada Encik Idris yang kami semua hormati itu. Dan alangkah terharunya kami semua apabila beliau menyatakan betapa program kali ini sangat berjaya, lain dari yang lain dan membawa kesan yang tersendiri kepada masyarakat di situ. Saya masih ingat peristiwa ketika saya mengiringi Encik Idris untuk turun ke padang pada petang hari ketiga. Saya bertanyakan pendapatnya tentang perjalanan program setakat ini. Encik Idris tersenyum dan mengatakan: Sangat Ok. Saya suka. And I wonder apa akan jadi tahun depan. Saya cuak sekejap dengan apa yang dibayangkannya tentang tahun hadapan. Kemudian Encik Idris menyambung: Akan ada tak lagi program yang macam ni pada tahun depan. Oh. Waktu tu hanya Allah yang tahu betapa terharunya saya dengan respon yang saya dengar daripanya. Terima kaish Encik Idris kerana bersama-sama dengan kami di sepanjang program dan di setiap aktiviti. Kami masuk kampung, Encik ikut serta, kena kejar anjing bersama-sama, kami masuk hutan panjat bukit, Encik ikut sama, kami terjun sungai, Encik pun terjun juga. Encik Idris memang best! (Psssttt… Bukan macam orang tu kan. Liplap liplap aje. AJK-AJK, kamu semua tahu siapa tu kan. Haha).

Selepas itu sesi fotografi dan perpisahan. Kami bersiap mengemaskan rumah masing-masing sebelum menaiki trak pada pukul 5 pm. Ketika hendak meninggalkan perkarangan POS Raya, adik-adik sekolah itu berkumpul di tepi jalan untuk memberikan lambaian terakhir buat kami semua. Aaa… Rasa sebak. Macam nak nangis. Tapi memandangkan ramai lagi yang ada di atas trak itu, saya tahan-tahankan.

Kesimpulannya, Program Homestay PPIM 2008 ini memang sangat berjaya dan menggembirakan. Saya telah ikut serta dalam semua aktiviti cuti musim panas anjuran PPIM-RSC dan sejujurnya, inilah aktiviti yang paling best, membuka mata saya tentang 1 dunia yang belum pernah saya terokai, saya belajar bermacam-macam perkara daripada masyarakat di sini dan aktiviti ini meliputi aspek fizikal, rohani dan yang lebih utama, kami semua turun padang untuk berdakwah yang belum pernah kami lakukan secara terus dan langsung seperti kali ini. Dan sejujurnya saya belum pernah bekerja dengan komiti yang sangat bagus seperti kali ini. Walaupun pelbagai masalah yang kami hadapai di peringkat awal persiapan dan perancangan, namun kami masih tetap kekal bersatu untuk menjayakan program kali ini. Buat semua AJK Homestay PPIM 2008, Zaid, Uzair, Husni, Hafiz, Al, Syazwan, Peja, Tuan, Jamz, Kak Mawaddah, Haneem, Nasuha, Gmex dan Ainul, saya/KS ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama yang tak berbelah bagi daripada kalian. Kamu semua telah banyak menjadi tulang belakang saya/KS sepanjang program ini berlangsung.

Juga buat peserta-peserta program Homestay PPIM 2008, terima kasih tak terhingga atas kerjasama dan komitmen yang sangat sangat sangat sangat sangat sangat sangat baik yang telah diberikan! Saya/KS terharu kerana program ini tidak akan berjaya dengan gilang-gemilangnya tanpa kerjasama dari semua. Dan saya/KS rasa gembira dapat mengenali wakil-wakil daripada Mesir (Sharifah dan Farhana), Indonesia (Fahmi dan Husna) dan wakil dari negara-negara lain. Buat Solhaa, saya terkejut rupanya awaklah blogger yang pernah menegur saya suatu ketika dahulu. Malu pula saya. Hihi. Dan buat Roy, kalau ada lagi teka-teki, simpan-simpan dulu ok. Nanti ada masa, ada rezeki, silalah beri teka-teki lagi. Insya Allah saya dah tak lampi dan slow dah. Huhu. Juga Muzafar, Ismail, Luqman, Kak Hir, Af’idah, Zahid, Yaqin, Syakirah serta kesemua peserta perempuan yang lain, TAHNIAH! Program ini berjaya kerana kalian semua! Semoga kita bertemu lagi di program yang akan datang Insya Allah. Dan semoga semangat kita akan tetap tinggi untuk meneruskan tarbiah, dakwah dan membawa misi pendidikan buat semua!

Nota 1: Saya balik ke Temerloh pada malam itu juga dengan menaiki bas dan tiba ke rumah pada jam 3 pagi.

Nota 2: Saya/KS tak banyak koleksi gambar. Sibuk kehulu-kehilir, jadi tak sempat nak ambil gambar. Nanti saya/KS akan kutip dari kamu semua ye. Hehe. Terutamanya daripada Haneem, Hafiz, Jamz dan Uzair :p

Nota 3: T-shirt program kali ini sangat cantik. Masih ada baki 10 helai untuk t-shirt perempuan. Labuh dan berlengan panjang (boleh klik di sini untuk lihat). Yang tinggal cuma size S dan M. Bagi yang berminat untuk membeli, sila buzz saya ye =) Siapa cepat dia dapat tau.

Posted on July 30th, 2008 by Sarah  |  29 Comments »