Archive for the ‘Family’ Category

The Man of My Life

Assalamualaikum wbt

Di YM (bila saya online), saya dapat lihat bermacam-macam status. Fokus utama adalah status rakan-rakan sekumpulan saya. Memandangkan esok kami akan menduduki exam Traumatology, Orthopedics and Disaster Surgery (Trauma), jadi antara statusnya berbunyi:

Trauma is indeed traumatizing! (Wendy)
I can’t read Trauma anyfuckingmore! (Faisal)
Sick~ (Davina)
Preparing… (Mustaqim)
A man has to do what he has to do. (Saya)

Inilah demam exam Trauma yang sangat mencuakkan kami semua. Kenapa? Sebab Trauma memang banyak bahannya dan sungguhpun saya sudah 2 kali ulang sempurna, saya masih cuak!

Tapi apa kaitan status saya di YM itu? Tak berunsurkan exam langsung. Tadi saya lihat ayah online di Google Talk. Kurang lebih pukul 1.30 pagi di Malaysia. Itu maksudnya ayah sudah pulang ke rumah. Saya menegur. Ayah membalas. Medium kami anak beranak adalah Google Talk.

Seperti biasa, topik kami adalah tentang politik. Saya memberitahu ayah bahawa saya telah jumpa gambarnya dalam Malaysia Today dan saya telah memberikan link itu kepada Nan. Ayah kata ayah letih sekarang ni. Sebenarnya, saya sendiri baru saja tahu siapa dan apa yang ayah saya uruskan sepanjang pilihanraya ini. Itupun melalui seorang kawan yang berada di Temerloh. Dan baru semalam ayah mengakuinya sendiri ketika saya menelefon rumah. Tidak pelik ayah sangat sibuk dan suaranya masih belum elok sepenuhnya.

Selepas berbincang ringkas tentang beberapa isu, saya kata pada ayah: Mesti ayah penat kan sekarang ni. Ayah membalas semula: A man has to do what he has to do. Saya rasa hendak menangis membaca apa ayah tulis. Saya membalas: Your words are really inspiring. Dan seperti lazimnya, ayah akan berhumor: Awak ingat ayah tak gheti bermadah ka. Ayah, you are the man of my life. I’m sure you know that.

Tadi, saya baca 2 entri ini. Yang ditulis oleh kembar saya Yasir dan kanda Azwan. Kedua-dua entri ini membuatkan saya hendak menulis review saya pula tentang demam pilihanraya 12 ini. Ditambah pula dengan mesej dari Acai yang memberitahu suasana di tanah air ibaratnya seperti akan terjadi pilihanraya berdarah. Ok. Ini menakutkan. Nauzubillah. Tapi saya tak boleh berlama dengan internet. Saya ada exam. Tunggu esok. Insya Allah akan ada review ringkas dari saya pula.

Sungguhpun kata-kata ayah itu merujuk kepada tanggungjawabnya, saya guna pakai ia dalam konteks saya sebagai seorang anak dan pelajar. Berusaha yang terbaik dan memberikan yang terbaik kerana itu tanggngjawab saya. Insya Allah. Yang terbaik untuk katalis hidup saya dan the man of my life.

Di saat sedang menulis ini, saya sedang mendengar lagu Geek in the pink nyanyian Jason Mraz dari playlist. Tiba-tiba saya terdengarkan kata-katanya: From zero to hero. Mari. Mari kita jadi hero.

Posted on March 6th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Katalis Hidup

Assalamualaikum wbt

Kroniknya saya sekarang. Mengalami attention deficit yang maha dahsyat. Kalau saya sedang makan pun boleh termenung sampai tak sedar rupanya sudah hampir sejam setengah melayang di angkasaraya. Inikan pula tengah belajar. 2 jam menatap nota, setengah jam lagi termenung. Kronik. Saya perlukan pemangkin atau booster untuk kembalikan saya ke dunia asal. Datanglah cepat!

Hari Rabu lepas saya ada menelefon emak saya selepas selesai exam Infectious Disease. Emak baru sudah solat Asar bersama Adik Azizi dan mahu mengajar dua adik di rumah itu mengaji pula. Emak bercerita, Adik Azizi bertanya kepada emak: Emak doa ke untuk anak-anak emak? Emak menjawab semula: Emak sentiasa doa untuk semua anak emak.

Soalan Azizi itu ringkas tapi mendalam maksudnya. Jawapan emak pula pendek tapi itulah harapan dan sumber kekuatan saya. Emak tidak pernah lupa tarikh-tarikh exam dan hari-hari penting yang akan kami adik-beradik lalui. Bila ada presentation, bila ada colloqium, bila perlu hantar laporan, case history atau final year project (FYP). Emak ingat itu semua. Emak bacakan Yaasin untuk kami, emak berdoa panjang selepas solat untuk kami. Satu hari nanti, saya nak jadi emak yang baik macam emak saya. Macam emak saya. Macam emak saya.

Kenapa saya tulis ni? Sebab emak sayalah booster yang saya perlukan itu! Emak saya adalah katalis hidup saya. Aaa… Nak nangis…

Nota: Kalau ada yang sedar, saya ada letak ads Nuffnang dan Advertlets di blog saya sekarang. Saya pun tak tahu apa kebendanya kotak gambar gerak-gerak ni. Tapi seorang kawan suruh letak juga. Dia paksa. Haha. Dia kata nanti dapat duit. Saya tak faham konsepnya macam mana. Tapi saya layan je la. Tempohnya sebulan je. Kalau saya rasa serabut, nanti saya buanglah. Ok tak? Hihi.

Posted on March 4th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Zaman Dulu Kala

Assalamualaikum wbt

Sejak adanya entri tentang permainan tradisional yang saya tulis pada tahun lepas, entri itu menerima hit tertinggi daripada mereka yang mencari maklumat tentang permainan tradisional (setakat yang saya sedar). Jadi, saya teringat semula pada kisahnya kami sepupu-sepupu dulu yang rajin sangat bermain tuju selipar apabila semua balik berkumpul di Temerloh. Kawasan rumah Tok yang luas memang sangat strategik. Dicampur dengan halaman rumah Tok Cik, Mak Tam Chinor dan halaman rumah saya sendiri menjadikan bukit rumah kami cukup luas untuk kami semua lari bertempiaran bermain ketika cuti. Terutamanya cuti hujung tahun. Ini aktiviti wajib keluraga Bahaman ini.


Tapi baru-baru ni saya merajinkan diri membelek Friendster adik saudara saya. Ada pula gambar ketika mereka semua sedang bermain. Dan mentang-mentanglah geng sepupu-sepupu perempuan kebanyakannya semua sudah besar panjang, geng sepupu-sepupu lelaki telah curang dan memulakan tradisi baru pula. Ragbi. Sungguh tak aci. Manalah kami yang perempuan boleh main. Bila saya melihat gambar tu, walaupun saya tiada di sana ketika itu, saya dapat merasakan kemeriahannya. Dalam gambar di atas, cuma anak lelaki keluarga Mak De Aida saja yang tiada wakil. Mungkin Mak De tidak balik waktu itu. Oh. Terlupa nak cerita. Kami semua 29 orang jumlahnya.


Ini gambar ketika raya bulan 10 lepas. Aksi sepupu-sepupu dan adik saya. Merepek je. Ada telinga tutup, ada mata tutup, ada mulut tutup. Hehe.

Ini antara sepupu perempuan yang geng universiti. Ada lagi 2 orang yang seangkatan dan sangat rapat dengan saya dan Kaklong sejak kecil tapi tiada pula gambar mereka. Sekarang, kami sepupu-sepupu telah dipecahkan kepada 3 kumpulan. Geng universiti, geng sekolah menengah dan geng sekolah rendah beserta si kenit-kenit yang lain. Bila teringat kenangan kecil-kecil dulu, terasa betapa cepatnya masa berlalu. Dulu, kami semua boleh duduk berkumpul bawah selimut besar yang dikembangkan dengan kipas angin sambil bercerita hantu dan macam-macam lagi. Ayah Andak pernah merakamkan video aksi kami berkoir menyanyikan lagu Negaraku dengan memakai baju tidur. Kenangan tidak tidur malam kerana teruja dengan persediaan majlis perkahwinan Mak Andak dan kenangan tidur dalam kelambu bilik Tok sebelum rumah lama tu terbakar pada tahun 1998.

Saya rindu zaman kanak-kanak dulu! Membesar bersama Hidayah dan Linda, berlumba dalam peperiksaan bersama Nisa dan Mirul yang sebaya dengan saya, bermain bersama-sama adik-adik lelaki saya tak ingat dunia, intip Nan memancing di jeti Tok Cik, tengok adik-adik dan kawan-kawan mereka bermain lumba kereta Dash Yankuro, main banjir dengan Kaklong, ikut ayah pergi mandi sungai dan macam-macam lagi. Seronoknya…!

Dan lagu yang ada ini lagu Cantik. Lagu di zaman saya sekolah rendah. Mesti Kalong dan Nan ingat lagu ni, kan? Nan, Ngah rasa awak mesti ingat lagi lagu Casey. Yang kita selalu nyanyi waktu naik buai di rumah Tok Penang.

Posted on February 28th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »