Menjadi Insan Berguna
Menulis tajuk entry saja sudah membuatkan saya tergelak. Bukannya apa. Bunyinya seperti saya hendak memberi motivasi. Padahal, itulah tema yang saya berikan untuk cuti kali ini. Cewah.
2 hari lepas, saya mengemas bilik, ruang tengah, tandas dan menggilap cermin-cermin yang ada. Hari ini pula, saya, Pena dan Fatt mencuci dapur, membersihkan peti ais, menyusun atur semula sususan perabot di dapur dan malam nanti saya hendak membuat cucur udang. Esok saya hendak ke Ikea. Mencari sebuah almari baru untuk dapur. Alang-alang, bolehlah saya ber-ice skating di Mega. Ya. Wajib jika tidak ramai orang. Terasa seperti orang malas saja jika duduk di rumah.
Menjadi insan yang berguna juga maksudnya saya menjadi orang yang tidak membazir makanan. Apa tidaknya. Asyik makan saja kerjanya. Matilah saya macam ni! Petang dan malam pula saya menghabiskan masa membaca buku-buku yang dibeli itu. Sekali dah menghadap buku, jangan harap saya pandang orang keliling.
Oh ya. Saya suka melihat sambutan tahun baru dari atas katil saya malam tadi. Menghadap ke langit dari katil, saya dapat melihat bunga api yang berwarna-warni. Indahnya (walaupun saya tidak dapat melihat bunga api di Putrajaya :p ). Suasana di luar bangunan hostel juga meriah. Kerana bagi orang tempatan, mereka lebih menyambut tahun baru berbanding Krismas. Kalaupun mereka hendak menyambut Krismas, sambutannya adalah pada 7 Januari kerana mengikut kiraan Orthodox (14 hari lebih lewat daripada Katolik). Kenapa mereka lebih meriah menyambut tahun baru dan kurang meyambut perayaan agama adalah antara kesan ideologi Komunisme satu masa dulu yang menyebabkan orangnya gila kerja dan kurang beragama.
Jadi, cuti tahun baru secara rasminya di sini adalah sehingga 10 Januari. Untuk memberi peluang mereka menyambut tahun baru dan Krismas. Malah, atas suara pekerja yang besar dan berkuasa, gedung-gedung perniagaan yang besar dan kompleks membeli-belah juga ditutup pada 1 Januari. Hebat sungguh suara pekerja di sini. Jika di Malaysia, pada 1 Januari itulah lagi ramai yang hendak keluar membeli-belah di tempat-tempat sebegini kan. Dan pada 25 Disember pula, tiada cuti disediakan. Pelikkan? Tapi inilah kalendar Orthodoxisme yang mereka gunakan.
_____________________________________________________________
Hari buat dia:
77) Teman sejati ialah orang yang mencintaimu meskipun telah mengenalimu dengan sebenar-benarnya iaitu baik dan burukmu.