5 Kriteria Blog Yang Saya Lawati
Kalau sebelum ini saya selalu bercerita tentang kehidupan saya di sini dan memori di Malaysia juga pendapat peribadi saya tentang isu yang berlaku di sekeliling saya tapi kali ini saya hendak berkongsi tentang blog-blog yang menjadi pilihan saya.
Saya ada beberapa kriteria yang menyebabkan saya boleh jatuh cinta dengan sesebuah blog. Disebabkan kriteria-kriteria ini, saya pasti akan melawat blog-blog ini hampir setiap hari. Dipenghujung entri nanti, saya akan nyatakan apa yang saya buat dengan blog-blog yang saya minati ini.
1. Saya sukakan kekemasan. Jadi, dalam menulis entri juga, saya sukakan jika aspek kekemasan dititikberatkan. Maksud saya, alignment untuk entri itu mestilah disetkan sebagai justify atau kalau yang mahu ditengahkan, setkan dengan align center dengan sepenuhnya. Jadi, sesebuah blog itu akan nampak kemas dan rapi. Disebabkan faktor kemas ini, hari-hari saya melawat blog Nadia Yuna dan Menteil. Blog mereka kemas menurut pendefinisian saya tadi. Warna pilihan juga menepati citarasa. Seorang coklat gelap, seorang lagi putih bersih. Memang menjadi pilihan sayalah=)
2. Tiada widget atau aksesori elektronik tambahan yang terlalu berat. Mungkin ada yang tidak kisah tentang hal ini tapi saya kisah kerana kedudukan meja saya di rumah ini adalah yang terjauh daripada sumber wireless modem kami. Jadi, jika ada blog atau laman web yang berat untuk dibuka, prosesnya mengambil masa hampir seminit. Saya tak banyak masa hendak menunggu selama itu untuk proses ini. Jadi, ini menyebabkan saya kurang melawat blog-blog yang penuh dengan widget gambar, lagu, atau apa sahaja yang diletakkan di bahagian tepi blog yang boleh melambatkan proses. Jadi, atas sebab ini saya memilih blog Cikgu Jawe dan sebuah blog yang saya stalk (baca: intai-intai dari jauh saja) kerana keistimewaannya yang tersendiri. Pemilik blog ini adalah rakan email saya tapi link-nya tidak boleh diletakkan kerana dia sukakan privasi.
3. Saya suka membaca kisah-kisah orang yang berlainan bidang dengan saya. Saya suka untuk tahu hal-hal yang berkaitan kerjaya, studi ataupun apa saja yang terjadi dalam hidup mereka. Syarat utama yang sama ambil kira ialah cara penceritaan. Maka saya memilih 3 blog pilihan. Pertamanya Yasir Tamizi. Dia ini unik. Dari banyak segi. Saya suka cara dia menyampaikan pendapatnya sama ada tentang politik atau agama dan kadang-kala tentang kerjayanya dan aktiviti sampingannya dalam sebuah band. Blog Azwan Ngali juga menjadi pilihan saya. Ini antara rakan blogging yang terawal yang saya kenal tapi sayangnya saya tidak tahu apa masalahnya sehingga blognya tidak dapat dibuka sekarang (sejak minggu lepas). Mungkin dalam proses baik pulih. Yang ketiga ialah blog Critical Thinker. Dia inipun unik. Pada mulanya penuh rahsia tapi sekarang identitinya bukan lagi rahsia. Saya yakin dia ini orang yang berilmu dari cara penyampaian ceritanya. Dan setelah mengenali pemiliknya buat seketika, ternyata telahan saya benar belaka. Dia sedang melanjutkan pelajaran di Adelaide sana. Apa yang unik, ketiga-tiga mereka ini berblog dalam bahasa yang tersendiri. Kalau tak percaya, silalah kaji. Memang menarik. Hehe.
4. Saya seorang yang sangat pentingkan aspek bahasa. Saya lebih mengutamakan Bahasa Melayu. Jadi, di blog saya, saya akan menulis menggunakan bahasa formal. Jika saya selitkan penggunakan istilah pasar, saya akan italikkan perkataannya. Saya bukan pengamal bahasa rojak. Jadi, jika saya hendak menyelitkan perkataan Bahasa Inggeris di dalam entri (bukan di ‘Nota’), saya akan mengitalikkan perkataan tersebut supaya dapat dibezakan dengan bahasa standard yang saya gunakan. Begitu juga jika saya menulis di dalam Bahasa Inggeris. 100% akan menggunakan bahasa ini. Tiada rojak atau singkatan yang salah seperti gimme, gonna, lemme, gtg, etc dan lain-lain lagi. Di atas sebab ini, saya memilih blog Noktah Hitam yang 100% berblog dalam Bahasa Inggeris yang baik dan juga blog Najib (kawan baik adik saya) yang sangat unik bahasanya. Hampir 100% Najib menggunakan Bahasa Melayu di blog ini.
5. Saya suka membaca entri-entri yang bersifat prihatin agama dan masyarakat. Lagi seronok jika isu-isunya disampaikan dalam cara penceritaan yang unik. Jadi, disebabkan kriteria ini, saya menjadi mengunjung setia blog Cik Ati yang saya sayangi ini. Cik Ati memang best orangnya. Dan saya akui, dia bukan seorang yang berpura-pura dalam nasihat-nasihat yang terselit dalam penceritaannya. Saya tabik hormat pada Cik Ati =)
Dan disebabkan saya meminati blog-blog ini, saya bookmark-kan mereka di bahagian atas enjin internet yang saya gunakan ini untuk memudahkan saya melihat update terkini daripada mereka semua tanpa perlu saya merujuk ke blog saya untuk mencari link-nya. Kiranya, saya bookmark RSS blog-blog ini di toolbars kerena mereka semua istimewa bagi saya yang dahagakan ilmu pelbagai bidang yang merangkumi dunia dan akhirat. Dan sebenarnya, ada beberapa lagi blog yang saya bookmark-kan tetapi saya tidak tahu mereka tergolong dalam kategori mana satu. Antaranya ialah blog Salman Faris dan blog ibu saudara saya, Mak Andak =) Dua blog terakhir ini ialah blog wajib yang saya buka setiap hari sama ada kedapatan entri baru ataupun tidak. (“,)