Author Archive

Sabar Ketika Sakit

Assalamualaikum wbt

Saya ada membaca satu artikel kupasan tentang sabar ketika sakit. Cabang-cabang sabar ketika sakit ini ada lima.

Pertamanya, sabar agar berbaik sangka (husnuzzon) kepada Allah itu datang dalam hati. Tubuh badan kita ini milik Allah. Jadi jika Allah hendak menguji kita, itu adalah haknya. Mungkin kita pernah berbuat salah dengan anggota yang diberikan-Nya itu. Tapi ini tidak bermaksud Allah itu hendak menyakiti kita. Bukan begitu. Tapi, mungkin tanpa sedar (atau memang kita sedar) kita berbuat sesuatu yang tidak disukai Allah. Jadi Allah ingatkan kita, “Yang, lain kali jangan tengok TV ke, series yang didownload ke, lama-lama sangat ye. Pening la kepala tu nanti. Dalam series semua tu, bukannya elok sangat kandungannya. Ada adegan itu ini. Yang fikir semula ye Yang.” Ataupun mungkin. “Yang, lain kali sayang sikit perut tu ye. Janganlah sumbat makanan sampai nak terbelahak semula. Kesian kat perut tu ye. Lain kali nak makan tu baca basmalah sekali ye.” Ataupun mungkin juga, “Yang, kaki tu janganlah sesuka hati je nak terpijak kasut orang tu orang ni dalam metro tu. Orang lain pun nak pergi kerja kasut kilat-kilat juga ye Yang.” Kalau kita berfikir baik begini, hati pun rasa lapang dengan Allah. Allah nak tegur kita dengan cara yang beginilah tu.

Keduanya, sabar agar tidak mengeluh. Ujian sakit ini bukannya senang untuk kita terima dengan lapang dada. Tambahan pula kalau sakit yang diuji itu sakit kuat. Sakit yang memerlukan rawatan yang lama atau lebih teruk jika sakit yang boleh meragut nyawa. Kalau tahap pertama sabar tadi kita dah dapat lalui, insya Allah kita akan faham kenapa kita tidak sepatutnya mengeluh dengan ujian ini. Fikir dengan lebih lapang dada. Allah mahu kita lebih banyak mendekatkan diri kepada-Nya dan dalam masa yang sama memahami bahawa kita kufur nikmat jika mengeluh-ngeluh dengan ujian yang datang ini sedangkan kita masih ada banyak anggota atau benda lain yang boleh kita guna pakai. Teringat saya pada skrip drama lakonan M. Rajoli dulu-dulu. Tajuk cerita saya dah lupa. Dalam cerita itu, dia tersabit betisnya sediri ketika bekerja di kebun. Antara yang disebutkannya ialah: Alhamdulillah. Ingat juga Allah pada aku ni. Betulkan? Sebab tak semua daripada kita dapat merasa ujian sakit ni. Jadi, jika kita terpilih untuk merasa sakit, itu maknanya kita antara yang terpilih diingati oleh Allah. Kan istimewa tu.

Ketiganya, sabar menafakuri hikmah sakit. Saya rasa tak perlu ulas panjang. Sebetulnya, dalam dua cabang sabar yang sebelum ini pun ada hikmah yang dapat kita pelajari dan diperjelaskan secara membelai hati. Hikmah yang ada mungkin kita tidak terus nampak tapi jika kita ambil masa untuk menafakurinya (memikirkannya), kita pasti akan belajar sesuatu. Kalau susah sangat lagi, ingat sajalah macam apa yang ornag putih selalu kata tu: Everything happens for a reason. Kan?

Keempatnya, sabar untuk berikhtiar. Allah datangkan sakit pada kita bukannya untuk suruh kita duduk berputus asa dan memikirkan yang buruk-buruk saja. Allah itu Ketua Segala Doktor. Kalau Dia izinkan kita sihat, pastinya kita akan sihat. Tapi, tugas kita sebagai si sakit ini ialah berikhtiar untuk menyembuhkan diri. Berusaha mencari apa yang terbaik untuk pulih semula. Tiada sakit yang tiada penawar melainkan mati. Rasulullah dan ingatkan kita tentang ini. Kalau nak ikutkan, setakat sakit kaki tersepak tunggul takkannya membawa mati. Tapi kalau kita biarkan luka kecil yang ada sampai bernanah-nanah, kemudian ada jangkitan kuman lain pula hingga memburukkan lagi keadaan dan kemudian terjadinya sepsis dan segala kemungkinan yang lain, mati dalam kes ini adalah tidak mustahil. Jadi, jangan berhenti berharap. Tiada musibah yang menimpa kecuali dengan izin-Nya saja.

Kelimanya, sabar untuk berniat supaya cepat sembuh agar dapat meneruskan ibadah. Tak dinafikan, apabila kita sakit, aktiviti ibadah kita juga sedikit terganggu. Yang pening kepala, tak dapat nak meneruskan bacaannya lama-lama. Yang sakit perut, asyik nak berkejar ke tandas saja. Tak dapat nak duduk hentap lama-lama, contohnya ketika sedang membaca buku fikrah. Yang sakit kaki, kurang sempurna keadaan solatnya. Jadi, Allah menyuruh kita terus bersemangat untuk kembali sihat agar ibadah harian dan kerja kita dapat disempurnakan seperti biasa semula. Jangan malaskan hati. Seburuk-buruk penyakit ialah hati yang rosak.

Apa yang boleh saya kata ya? Sebenarnya kepala, perut dan kaki saya sakit secara berjemaah. Sepanjang di hospital pagi tadi saya sakit kepala. Bila ada masa rehat, saya mesti tidur sekejap. Memang sangat sakit. Perut saya pula pedih semacam hari ini. Bila fikir-fikir semula, agaknya sebab semalam makan banyak sangat waktu berbuka. Dan kaki saya sangat sakit di kedua-dua ibu jari. Bak kata ayah, penyakit keturunan. Hehe. Saya pernah ada masalah cyst. Bila terpaksa jalan banyak, memang kaki saya akan sangat sakit di bekas tempat cyst itu. Tulang pun berbunyi-bunyi. Orang yang mendengar memang ngeri. Yang saya terkilankan, saya tak boleh duduk tahiyyat akhir dengan sempurna. Ubat yang di Malaysia dulu saya tertinggal di atas peti di rumah (emak, ada lagi tak ubat tu?). Nampaknya saya kena beli ubat baru untuk kali ini. Erm. Tapi kena tunggu dapat kad bank dululah. Sekarang masih belum stabil. Saya nak berjimat dengan duit yang ayah masukkan untuk saya. Sekarang ni, saya akan bertukar menjadi Tukang Urut Tradisional. Perlukan khidmat? Telefon saja! Hehe.

Nota: Mengada betul saya nak tulis nota ni. Lama dah tak tulis nota kaki =p Kalau ada apa-apa yang salah dalam perkongsian kali ni, tegurlah saya ye. Ha. Sila dengar nasyid Rahmat Ujian kat bawah ni ye. Indah! Wardah je hati saya di hari Jumaat ini =)


Posted on October 24th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

Rutin

Assalamualaikum wbt

Penatnya. Awal pagi gelap lagi saya dah keluar ke hospital. Naik metro, jalan kaki. Ulang-alik begini. Petang sampai saja rumah mesti terlepek kepenatan. Rehat sekejap. Lepas makan malam, solat Maghrib, menghadap buku sehingga 2.30 pagi. Nasib baik ada Fareena dan Fatt penyeri dalam bilik waktu studi di tengah malam. Hmm. Penatnya macam ni. Untuk memotivasikan diri, saya membayangkan diri saya 2 tahun daripada sekarang. Pasti lebih teruk daripada ini. Semoga rutin ini berbaloi untuk dikenang satu hari nanti.

~Off to hospital. Salam.

Posted on October 23rd, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Kahwin Atur

Assalamualaikum wbt

Tadi Siva menelefon saya. Siva ini rakan satu batch dari India. Saya baik dengannya. Di sini, pelajar-pelajar dari India agak kurang serius dalam pelajaran tetapi mereka masih berjaya hidup hingga ke tahun akhir ini. Ajaib betul. Tapi Siva ini lain. Dia pandai, rajin, baik budi dan hormatkan rakan-rakan Muslim perempuan. Walaupun mukanya tipikal saja seperti kaum India dari India, tapi dia ada manisnya yang tersendiri. Dia selalu senyum dan punya lesung pipit di pipi kanan. Saya senang berkawan dengannya. Dia menelefon untuk mendapatkan case history saya untuk subjek Paediatrics pada tahun lalu. Ini laporan lama tapi saya memang menyimpan semua rekod kerja saya. Jadi, saya menyuruhnya datang ke rumah.

Sementelah dia datang itu, adalah kami berborak sekejap di muka pintu. Disebabkan kami berlainan kumpulan, tiada posting yang kami sempat bersama. Sentiasa di hospital yang berlainan. Tadi dia bertanya, apa rancangan saya selepas habis nanti. Saya jawab mudah sajalah, balik terus dan kerja. Tak mahu tangguh-tangguh. Dia gelak besar. Balasnya, itu sudah tentulah. Lain-lain perancangan bagaimana pula. Bila saya hendak menyambung postgraduate tanyanya. Saya pun menerangkan sistem di Malaysia bagaimana. Setelah dia faham, laju dia bertanya, habis tu, bila nak kahwin. Takkan kerja dan belajar saja. Saya pun tergelak dengar soalannya ni. Saya balas, kalau ada jumpa nanti, kahwinlah saya.

Sebaik selepas saya menjawab, dia pun membalas semula. Katanya, dia pun akan bekerja wajib selama 2 tahun dulu dan kemudian akan kahwin. Menurutnya, nak stabilkan diri dulu baru hendak kahwin. Saya pun mencelah, jadi maknanya dia sudah ada seseoranglah ya sekarang ini. Saya cucuk lagi, di sini atau di Indiakah gadis itu? Laju dia menjawab semula, jelas dia di sini selalu berseorangan. Mana mungkinnya dia ada kekasih. Saya pun kata, ya tak ya jugak ya. Dengan tenang dia menyambung, nanti saya akan kahwin melalui arranged marriage, kahwin atur. Saya terkejut juga mendengarnya. Saya bagai orang bodoh bertanya, jadi, emak ayah awaklah yang akan carikan. Jawab Siva dengan senyuman, ya.

Bagi saya, terbukti Siva ini memang baik. Dia masih lagi tidak menolak nilai tradisi yang diamalkan oleh masyarakatnya. Mungkin ada yang mengatakan ini kuno, tapi saya puji Siva kerana sesungguhnya saya yakin dia merupakan anak yang baik dan taat akan ibu bapanya. Bukan senang untuk kita utuh dengan tradisi kalau kita sudah banyak terdedah dengan kemodenan. Tambah-tambah pula status keluarga Siva ini bukanlah sebarangan. Mereka keluarga yang berstatus baik. Saya puji kerana mereka masih kekal mengamalkan tradisi ini.

Bagi saya, kalau tradisi ini masih diaplikasikan dengan luas di kalangan masyarakat kita pun tak ada salahnya. Dapat juga elakkan maksiat couple muda-mudi sekarang.

Ingat ya Sang Kancil. Single makes simple. Double makes trouble. Jangan tersilap langkah ya. Kat atas sana ada yang melihat kita. Daa~

Posted on October 23rd, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Arkitek

Assalamualaikum wbt

Semakin saya menggilai seni binaan dan seni kreatif hiasan bangunan, semakin saya rasakan mereka yang bergelar arkitek itu adalah seorang yang cool. Cuma itulah fasalnya. Setakat pemerhatian saya, sangat kurang arkitek yang berblog (kecuali sepupu saya yang seorang tu saja yang saya tahu berblog). Kalau tak, bolehlah saya tahu banyak tentang kehidupan harian dan skop kerja dari kaca mata seorang arkitek. Ada tak arkitek yang singgah di sini? Hehe. Teringin juga hendak kenal. Paling habis, nanti saya boleh kata pada kawan saya: Kawan saya si Polan(ah) bin(ti) Polan(ah) tu seorang arkitek. Cool kan? Entah kenapa, saya suka melihat seni melukis yang ada pada mereka. Kagum. Sebab itu saya kata mereka cool~

Cool itu bagi saya maksudnya bergaya. Jadi, pada kaca mata saya, seorang arkitek itu sungguh bergaya dengan caranya tersendiri. Setuju tak? =) Saya undi setuju!

Posted on October 22nd, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

Penawar

Assalamualaikum wbt

Semalam saya memang buat kerja gila. Tanpa sebarang pengenalan diri (selain daripada student card), saya mengikut Fareena dan Farhan keluar untuk auntumn photo outing. Wanie pun ikut sama. Farhan handal mengambil gambar. Kamera gedabak-gedabak ni kan (Canon EOS 400D). Saya perlu juga keluar daripada rumah untuk melapangkan fikiran. Kami sepakat menuju ke Varabyovy Gory, Bukit Pipit. Lucu kan nama tempat ini? Letaknya hanya diseberang sungai kawasan kami tinggal ini. Tapi kami ke sana menaiki metro. Takkan nak merentas sungai melalui jambatan dengan berjalan kaki pula. Kawasan ini adalah kawasan ekologi burung. Letaknya di tepi Sungai Moscow (Moskva River). Di sepanjang sungai ini ada laluan pejalan kaki yang rapi dan kawasan ekologi burung di sebelah atasnya pula penuh dengan pokok maple. Suasana musim luruh yang semakin ke penghujungnya memang terasa kerana daun maple memang sudah bertukar warna menjadi kuning keperangan. Ada juga warna alam yang lain termasuk merah, hijau muda dan oren. Sangat cantik. Tidak lama kami melalui eco trail setelah puas berjalan dan bergambar kerana hari mulai hujan renyai.

Hari ini saya cuti sehari. Hari pelepasan untuk menyiapkan laporan autopsi. Selepas Zohor tadi saya terus ke Deans. Beratur dalam sejam, saya dapat memboloskan diri untuk masuk ke bilik tersebut. Sebelum itu, pegawai yang bertugas itu marah-marah kerana pelajar-pelajar yang datang semuanya punya masalah remeh-temeh yang tak sepatutnya terjadi. Tapi sebaik saja saya masuk, saya terangkan masalah saya, dia terus kasihankan saya dan dengan segera menyiapkan pengenalan diri sementara untuk saya. Sedikitpun dia tak marah-marah seperti yang dibuatnya pada orang lain sebelum saya. Sebaik selesai semuanya, saya ucapkan terima kasih dan terus balik. Saya maklumkan ayah tentang urusan di sini semua sudah selesai. Emak terus menelefon. Leganya mendengar suara emak. Suara terapi. Suara penawar kesedihan!

Posted on October 20th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »