Selamat Hari Raya
Assalamualaikum wbt
Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua!
Dalam pada saya duduk membebel meluahkan dilema hati seorang perempuan di bulan Ramadhan, dalam pada saya rasa sempat tak sempat nak khatamkan Quran untuk Ramadhan kali ini, dalam pada saya tak menang tangan nak uruskan anak-anak, kerja rumah dan tugasan di tempat kerja, rupa-rupanya, semua itu Allah sempatkan saya untuk laksanakannnya. Semuanya sempat. Di subuh hari terakhir Ramadhan, sempat juga saya khatamkan Quran. Sempat juga saya sediakan biskut untuk Zayd yang sesuai dimakan olehnya di musim-musim raya ni. Sempat juga saya kemas beg baju untuk 4 orang yang penat jiwa dan raga fikir nak bawa apa untuk balik kampung. *pecah kepala*
Baiknya Allah itu.
Jadi kisahnya raya kami kali ini di Batu Pahat. Di kampung sebelah ibu mertua saya. Kami tiba ke sana sehari sebelum raya. Kesemua adik beradik ipar dan biras saya pun beraya di sana. Kali ini saya sempat buat macam-macam benda di kampung Atuk. Saya seronok melihat anak-anak saya dapat mengenali kaum keluarga di sana. Cuma yang tak berapa seronoknya kami terpaksa duduk di hotel kali ni. Ikutkan saya, saya tak suka. Saya lebih suka duduk beramai-ramai di rumah keluarga dan masak-masak segala makanan raya ke, sarapan pagi ke, makan tengahari ke, makan malam ke semuanya bersama-sama. Bukan setakat tunjuk-tunjuk, arah-arah tahu-tahu dah siap semuanya depan mata. Minta saya dijauhkan dari sifat dan sikap buruk begini.
Petang raya kedua kami pulang ke Temerloh. Memang Waze suruh ikut jalan entah ceruk mana entah. Ada jalan yang melalui gugusan felda yang saya tak pernah lalu sejak lahir tapi hanya setakat pernah dengar namanya. Lalu jalan dalam 100%. Dan tidak bertembung dengan kesesakan lalu lintas langsung. Itu yang paling penting. Kalau tak, berulanglah sejarah beraya di tahun pertama perkahwinan dulu. Sedang mengandung, tersekat dalam kesesakan sehingga mengambil masa 7 jam untuk sampai ke Temerloh dari Batu Pahat dan sedang dalam fasa muntah-muntah yang belum reda. Allah sajalah yang tahu betapa tertekannya saya apabila berada dalam kesesakan sebegitu.
Alhamdulillah pada malam hari raya ketiga, kesemua adik beradik saya berkumpul di rumah emak dan ayah. Bila tiba di rumah emak, barulah saya jumpa lemang, rendang, laksa dan nasi putih untuk dimakan. Kebulur nasi yang amat sangat dah. Huhuhu. Hari raya kelima barulah kami pulang ke Putrajaya kerana pada hari ini, saya dan suami sudahpun mula bekerja kembali.
Gambar raya tahun ini tak ada yang betul-betul menjadi. Sebab Izz dan Zayd masing-masing dengan fe’elnya yang tersendiri. Ini baru anak 2. Kalau sudah 3, tak ada langsung kot gambar raya agaknya. Haha.
Selamat hari raya sekali lagi! Nanti saya sambung cerita mee hailam terlebih banyak kejadian di bulan puasa dulu yang tak sempat nak dikongsikan lagi.