Hati Perempuan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah hari ke-20 kita berpuasa. Menjengah ke 10 malam terakhir ni, sepatutnya kita semakin rancak nak beribadah. Tapi, di level manakah kita?

Jujurnya saya sendiri memang terkejar-kejar nak buat segalanya tahun ni. Dari bangun sahur, panaskan makanan untuk bersahur, solat Subuh, mengaji, siapkan keperluan baju anak-anak sementara suami basuh botol dan isi susu anak-anak dalam cooler bag masing-masing, gosok baju, mandi, pergi kerja, sibuk Ya Rabbi Ya Fatahu Ya Alim di tempat kerja, petang balik redah jam, jemput anak-anak di tadika dan taska, solat asar, memasak, berbuka sambil suap anak makan sekali harung, mandikan anak-anak, solat Maghrib berjemaah sekeluarga, main dengan anak-anak, tidurkan Zayd sementara suami dan Izz ke surau untuk tarawikh dan selepas itu barulah dapat betul-betul menekun mengaji. Rasa macam tak cukup 24 jam yang ada pada diri sendiri. Rasa seperti, kenapa orang lain macam lama je masa mereka dan masa saya singkat. Ha gitu. Dan rutin yang sama akan berulang pada keesokannya.

Bila dah tiba ke penghujung Ramadhan ni, lagu raya pun semakin banyak berkumandang di radio. Saya ingat lagi, waktu itu 15 Ramadhan. Saya ke JKR di Jalan Sultan Salahuddin kerana ada mesyuarat di sana. Dalam radio berkumandang lagu raya Awie dan Ziana tu. Diikuti pula dengan lagu oleh Faridah Joned. Entah macam mana, air mata saya bergenang. Eh, Ramadhan dah semakin nak habis. Begitulah kata saya dalam hati. Sebak sangat hati. Sebab saya terfikir yang saya masih belum sempat betul-betul manfaatkan peluang Ramadhan kali ini dengan semaksimumnya. Terasa terlalu banyak kekangan. Terasa terlalu banyak tanggung jawab lain yang perlu saya selesaikan.

Malam tadi pula, saya kejut suami untuk bangun solat dan mengaji. Saya duduk mengaji di sofa. Suami saya bangun lalu sambung tidur di sofa bertentangan. Dalam pada mengaji tu, Zayd terjaga. Berlari saya ke bilik. Tepuk-tepuk Zayd, dia terlelap semula. Kemudian saya kembali ke depan untuk sambung mengaji. Saya lihat suami saya masih tidur. Saya kejutkan semula. Rugi kalau tidur. Tapi dia masih tidur. Tapi saya biarkan saja sebab saya tahu sekejap lagi dia akan bangun juga. Tapi seketika kemudian, Zayd terjaga lagi. Kali ini sebab berlaga tidur dengan abangnya yang sama-sama lasak.

Saya berlari ke bilik semula untuk menidurkannya. Suami saya tak sedar akan hal itu. Jadi ketika sedang menidurkan Zayd di bilik, hati saya bermonolog. Biasalah. Orang otak komplikated seperti saya ni mesti akan fikir ikut ceruk mana yang boleh dia rasionalkan keadaan. Terdetik dalam hati saya, seronoknya jadi lelaki. Malam-malam bila anak terbangun ke apa, emaknya yang dicari. Sama ada untuk menyusu atau mencari teman untuk tidur di sebelah. Orang lelaki boleh teruskan solat dan mengaji. Nak solat sampai lebam pun boleh. Nak atau tak saja. Huhu. Orang perempuan bila dalam gelap tengah tidurkan anak, nak mengaji pun tak dapat. Berzikit, selawat bolehlahkan. Tiba-tiba diri saya memarahi diri saya sendiri.

Siapa tahu, barangkali Allah melihat amalan saya yang sedang menidurkan anak itu sebagai usaha saya yang bersengkang mata cuba mencari lailatul qadar juga. Barang kali juga, pahala saya berjaga untuk menidurkan anak itu sama pahalanya dengan orang yang sedang rukuk sujud menyembah Allah dalam solat-solat sunat mereka. Barang kali juga, berjaga untuk menidurkan anak itu dianggap qiamullail juga di sisi Allah kerana niat telah di pasang di dalam hati. Apa-apa pun boleh kalau Allah kehendaki.

Bila saya sudah pujuk diri sendiri dengan rasional barang kali itu, barag kali ini, saya rasa lega. Sebaik saya ke ruang tamu semula, saya lihat suami saya sedang menunaikan solat. Saya sambung mengaji sedikit lagi dan kemudian ke bilik tidur semula. Saya hanya bangun semula untuk sahur pada pukul 5. Saya sedang memanaskan lauk di dapur, saya lihat suami solat di ruang tamu. Ah, untungnya dia. Tak perlu terkejar-kejar menyiapkan segalanya. Boleh solat sunat dulu sebelum bersahur. Tapi saya pujuk diri sendiri semula. Barang kali Allah terima apa yang saya lakukan untuk suami saya ini sebagai ibadah yang mungkin sama besar pahalanya dengan menunaikan solat sunat itu.

Dan begitulah diri saya ini. Selalu kena pujuk hati sendiri bila diri sendiri tak sempat nak buat sebanyak mana yang orang lain dapat buat untuk Ramadhan kali ini. Saya tengok ramai kawan-kawan di sekeliling saya yang ada banyak masa. Tapi mereka tak ambil peluang tu untuk pulun mengaji. Tapi saya kagum betul dengan seorang pegawai berpangkat JUSA C di pejabat saya sekarang. Sudah menanti untuk pencen dia ni. Tapi bila ada senggang waktu, dia mengaji. Semalam waktu bertembung dengannya di surau untuk solat, dia sudah jauh meninggalkan saya. Sudah hampir khatam satu Quran. Saya pula ketinggalan 2 juzuk dari ukuran relatif hari berpuasa. Walaupun dia terpaksa mengusung Qurannya yang besar kerana matanya sudah tidak nampak, tapi dia buat juga. Saya ni Quran kecil je. Senang je nak usung ke sana-sini. Tapi tetap ketinggalan juga dari dia. Malu oi. Malu. T____T

Kembali ke kisah pagi tadi, selesai Subuh dan mengaji, sebelum mandi dan menyiapkan anak-anak, saya lelapkan mata sebentar di ruang tamu. Badan saya terlalu penat semenjak kebelakangan ini. Sedar-sedar saja, saya lihat baju saya dan uniform Izz juga sudah siap digosok oleh suami. Allahu. Sob sob sob. Dia siap gosokkan baju kurung yang paling cantik yang saya ada buat masa ini dengan corak bungaan seperti Rosalinda ayammor tu yang berona pastel. Dalam hati terdetik lagi. Barang kali, ini cara suami saya nak tambah lagi pahala dia di bulan Ramadhan ni. Kerana di bulan Ramadhan ni, dia sangat banyak menolong saya menyelesaikan kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak.

Jadi, satu pengajaran yang saya dapat dalam Ramadhan kali ini ialah, pahala itu bukan saja terus menerus dalam bentuk ibadah khusus. Tetapi pahala itu juga boleh diraih dikala kita dapat memudahkan urusan orang lain.

Hari ini 7 Julai 2015. Saya merasa cukup dan syukur atas segala apa yang Allah telah kurniakan dan tambahkan untuk hidup kami sekeluarga.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Nota: Ahha. Tajuk propa sangat macam drama. Tapi sesungguhnya drama Hati Perempuan yang di TV hari tu tak mewakili kata hati saya sebab sememangnya hati saya bengang setiap kali tertengok drama tu. Merajuk tak habis-habis. Apekehalnya. HA HA HA.

3 Responses to “Hati Perempuan Di Bulan Ramadhan”

  1. teenz abu bakar says on :

    Yang!!
    Sebijik sama pemikiran kita laaa.. Dan selalu juga pujuk hati ini insya Allah kita akan diberi pahala yang sama hebatnya sbb tunaikan tanggungjwb sebagai ibu/isteri yang tak pernah putus dari mata celik smp mata pejam ni..

    Semoga kita dapat khatam Al Qur’an Ramadhan kali ini. INSYA ALLAH

    Reply

  2. Siti hajar says on :

    A good reminder kak sarah untuk semua orang yang sibuk di bulan ramadhan ni 🙂

    Reply

  3. ieda says on :

    sama jugaklah….bila fikir Allah bagi pahala tu ja yg boleh buat rasa lega sikit…

    Reply

Leave a Reply