Erti Setahun

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, kita sudah pun menempuh tahun baru 1431 Hijrah dan dalam beberapa jam lagi, kita akan mencecah tahun 2010 pula. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Tahun lepas di waktu ini, saya bertidur-tiduran saja di atas katil. Melihat bunga api warna-warni di langit sempena menyambut kedatangan tahun baru. Saya tidak ke mana-mana. Bagi saya, duduk di rumah diam-diam dan berehat-rehat saja jauh lebih berguna dan membahagiakan.

Rupa-rupanya tahun baru kali ini juga saya pun begitu. Saya jamin, sekejap lagi selepas Isyak saya akan terdampar di atas katil sambil membaca buku. Sebelum pukul 10 malam, saya pasti sudah terlelap. Tambahan pula, saya sedikit demam. Baru menerima vaksin H1N1 pada hari semalam. Habis sakit-sakit satu badan.

Ini konklusi pencapaian diri saya untuk tahun ini. Banyak sungguh rezeki yang Allah kurniakan untuk saya tahun ini. Yang terbesar, saya telah tamat belajar dengan baik, tepat pada masanya. Ada satu rahsia yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapun tentang peristiwa sebelum hari graduasi saya. Petang itu, saya keluar bersama kawan-kawan yang tidak mempunyai ahli keluarga yang bertandang untuk majlis konvokesyen kami. Kami ke sebuah coffee house di Arbat Street. Minum kopi sambil bercerita tentang kisah enam tahun kami mengembara bersama di Tanah Tsar itu. Penuh suka duka. Sebelum ke situ, saya bersama tiga orang kawan yang lain ke Manezh Shopping Complex untuk menemani dua orang kawan lelaki kami hendak membeli kemeja untuk majlis itu.

Ketika di dalam sebuah premis di situ, saya menerima mesej daripada emak bertanyakan aktiviti saya ketika itu. Saya menjawab sedang menemani kawan mencari baju untuk konvokesyen. Emak membalas:

“Sorry. Mak tak datang tengok Ngah konvo.”

Pendek saja balasan emak. Tapi dengan balasan yang pendek itu, air mata saya tak berhenti-henti mengalir. Habis satu pusat beli-belah itu dapat melihat saya berjalan sambil tersedu-sedan. Apabila ditanya oleh kawan-kawan saya yang bertiga itu apa sebabnya saya menangis, suara saya tidak keluar langsung. Saya sebak yang teramat sangat. Perit rasa tekak saya ketika itu. Yang saya tahu, saya sedih. Itu saja. Tapi saya tidak memberitahu kepada emak dan ayah langsung.

Alhamdulillah juga, kesemua azam saya untuk tahun 2009 telah tercapai. Semuanya! Hendak cemerlang dalam pelajaran. Hendak memulakan kerjaya. Hendak mula merasa memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh sendiri. Dan walaupun baru mula bekerja, Alhamdulillah saya sudah mempunyai tabungan hasil titik peluh sendiri yang sangat memuaskan hati.

Insya Allah, untuk tahun baru 1431 dan 2010 ini, saya juga ada azam yang sudah tersenarai. Yang boleh diringkaskan, semestinya mahu yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi.

Sejak masuk 1431 Hijrah, saya berazam untuk cuba solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun. Saya cuba sehabis boleh. Setiap kali seakan teralpa dengan tugasan yang memang tidak berkesudahan, saya cuba alih tumpuan saya. Saya larikan diri sekejap. Bukan susah untuk solat dengan cepat. Saya solat seadanya dengan pakaian yang saya ada. Tidak perlu berlari ke surau tempat saya menempatkan beg telekung saya. Cukup pakaian saya sempurna menutup aurat, ada wudhuk, saya sudah boleh solat. Tambahan pula, dengan adanya rakan sekerja yang saling mengingatkan tentang solat, saya rasa makin terjaga waktu solat saya. Dan sumpah saya katakan. Apabila dalam keadaan tertekan dan tegang dengan bebanan kerja yang berlambak, dengan melarikan diri pergi bertemu Tuhan adalah waktu yang sangat menenangkan jiwa. Sampai boleh tersedu-sedu menangis mengenangkan betapa tenang dan damainya rasa hati dan jiwa pada waktu itu. Agungnya hikmah solat itu ya.

Konklusi teringkas tentang 2009, inilah tahun yang telah menjadi pemisah saya yang remaja dengan saya yang dewasa. Terlalu banyak pengajaran hidup yang telah saya tempuhi ketika di Rusia dan semua itulah yang telah mendidik dan membentuk saya dalam dan luar.

Oh ya. Tentang kahwin, sila jangan tanya saya lagi. Memang belum terfikir untuk ke arah itu lagi tapi saya akui saya kena belajar untuk kembali membuka hati. Hey hey hey. Ini fitrahlah, bukan. ;-)

Salam Maal Hijrah 1431 dan Selamat Tahun Baru 2010.

Nota: Banyak juga kisah duka sepanjang 2009 ini. Susah-payah hidup ketika di Moscow dan ketidakstabilan emosi. Tapi saya pemendam orangnya. Walau terpaksa berikat perut dan menangis air mata darah sekali pun, saya sanggup asalkan saya tidak menyusahkan orang lain.

16 Responses to “Erti Setahun”

  1. diyana says on :

    Assalamualaikum salam maal hijrah 1431 dan selamat tahun baru 2010. Take care 😉

    Reply

  2. nadiayuna says on :

    Salam sarah =)

    Saya senyum bila awak senyum. Saya sedih kalau awak sedih. Muka saya juga akan berkerut kalau awak berkerut. Saya suka segala kimiaantarakita yang ada. Terutama apabila semuanya secara kebetulan dan ketidaksengajaan. Terasa macam. Oh. Suka awak sarah! U cheer me up. And i hope. I do cheer u too. Saya sangat bersyukur dapat kenal awak. Saya mahu menghitung detik untuk jumpa awak pulak. uhhh~bila agaknya dapat jumpa girlfriend kesayangan saya neh..

    jaga diri awak sebaiknya ya sarah. Senyumm juga =)

    ** ops.dah nak buka hati ya? nampak gaya awak dulu la ni. Saya hati dah bukak. Pintu pulak asyik tertutup. Nak kena orang tu mendaki tangga yang masih tinggi~ **

    Reply

  3. Rie says on :

    Assalamualaikum,
    Salam Maal Hijrah 1431 dan Selamat Tahun Baru 2010 buat Sarah juga! 😎

    Reply

  4. siti noor syazwana says on :

    Salam k.s..
    Selamat tahun baru 2010…
    Terima kasih atas segala ilmu (blog)..
    Moga akak terus menulis dan berkongsi ilmu akak…
    Didoakan yang baik-baik untuk akak juga!!

    Reply

  5. reyan mohmad says on :

    salam..

    selamat tahun baru 2010..dan salam maal hijrah 1431 dr.sarah..
    wish u hepi always..

    Reply

  6. azizah says on :

    semoga kasih sayang Allah sentiasa mencurah-curah buat kamu yang bernama sarah..

    Reply

  7. Khairul says on :

    Salam 1431 Hijrah dan 2010 juga Kak Sarah. Alhamdulillah segala azam KS tercapai, kagumnya saya ^_^

    Alhamdulillah KS dah ada di sini sekarang, untuk catatan hidup yang baru. Semoga berjaya, semoga dirahmati Allah 🙂

    Reply

  8. Noi says on :

    Selamat Tahun Baru buat Sarah juga 🙂

    Marilah sama-sama buat 2010 menjadi lebih baik.

    Reply

  9. IRIS says on :

    Salam 2010 Siti Anggerik.

    Selamat bersantai. 🙂

    Reply

  10. liya says on :

    salam sarah,

    selamat tahun baru juga –> muharram 1431 & januari 2010,
    moga segalanya dipermudahkan…. =)

    Reply

  11. Kasawari says on :

    Salam Sarah,

    lama bebenor tak melawat blog Sarah ni.. :mrgreen:
    dikesempatan ini… Kasawari menyusun sepuluh jari.. he he.. takder la..
    selamat menyambut tahun baru 2010 dan juga tidak terlewat salam Ma’al Hijrah..
    semoga segala apa jua buat sarah yang terbaik ya.. dan dipermudahkan..

    Reply

  12. chi am says on :

    selamat tahun baru Sarah! 😀

    Reply

  13. ruhana says on :

    selamat tahun baru 1431 hijrah dan selamat tahun baru 2010, sarah.
    kullu ‘aam wa antum bikhair.
    thank you for everything, sarah.

    Reply

  14. ruhana says on :

    sarah, saya suka kaler blog awak ni. cantiklah.

    Reply

  15. ruhana says on :

    kat atas ada gambar kupu-kupu dengan bunga-bunga.
    blog awak ni macam tamanlah.

    Reply

  16. nabzie says on :

    salam kak sarah,
    selamat tahun baru!tahun ni turn ktorg plak nak jadi doctor.oh sungguh tak sedia!
    kak sarah snow dah tebal giler ni,jom kte buat snow angel kat novodevichi cam tahun lepas!!! 😉 😉 😉

    Reply

Leave a Reply