Archive for November, 2009

Hilang

Assalamualaikum wbt

Malas pula rasanya hendak menyambung cerita di entri lepas. Lagipun, bila cerita disimpan lama-lama, sudah tidak seronok pula jadinya. Lagipun cerita yang tertangguh tu tak penting. Jadi kita boleh abaikan sajalah. Huhu. Mesti ada yang bengang, kan. Ada ke patut cerita separuh-separuh pula.

Saya hendak cerita lain pula kali ni. 5 Novemver lepas, saya on call di wad bawah. Kenanga 14. Keesokan paginya, saya bergegas naik ke wad saya di Kenanga 12. Disebabkan saya sudah lambat untuk memulakan round saya di wad, jadi saya campak saja kesemua barang saya di bilik rehat HO itu. Balik kerja petang itu, saya ke kafe untuk membeli air. Sudah sampai di kaunter hendak membayar air, tengok-tengok beg duit saya tiada. Nasib baik ada Ain dan Muneer (kawan-kawan sama belajar di Moscow dulu) yang beratur di sebelah saya. Muneerlah yang membayarkan air saya dulu.

Saya tidak sedap hati. Tapi saya cuba berbaik sangka. Saya terus balik ke rumah untuk memeriksa sama ada saya ada tertinggal beg duit di rumah. Puas mencari. Tapi memang tiada. Malam itu saya keluar makan bersama ayah dan adik-adik saya. Emak tiada di rumah kerana ada perkhemahan dengan murid-murid sekolahnya. Selepas makan, saya meminta ayah menghantar saya kembali ke hospital untuk memeriksa bilik HO tempat kami semua menyimpan barang. Sedihnya… Memang beg duit saya sudah hilang. DICURI! Menyampah betullah.

Ikutkan, ini sudah kali ketiga beg duit saya dicuri. Tapi, inilah kali pertama saya kehilangan semua barang penting. Saya kehilangan kad pengenalan dan lesen kereta juga! Eiiiii! Ada persamaan di antara ketiga-tiga kes ini. Kesemuanya dicuri oleh pekerja yang mencuci atau membersihkan bilik. Kali pertama dulu di Egypt ketika saya bercuti ke sana. Waktu itu, room service yang mencuri. Saya kehilangan 400 USD waktu itu. Bengang betul, kan.

Kali kedua pula pada tahun lepas. Dicuri oleh pekerja yang membersihkan belakang hostel kami di Moscow. Waktu itu saya sedang mengikuti latihan futsal di kawasan lapang belakang hostel. Yang ini memang bengang tapi ada banyak hikmah yang terjadi. Yang kali ini Radicare pula yang mencuri. Lagilah saya bengang. Sebab habis satu purse itu diambilnya. Dengan kad pengenalannya, lesen memandunya, kad banknya, duitnya. Dan kali ini, saya kehilangan RM400!!!! Bengangnya!!!!!!! Kebetulan sangat saya membawa duit lebih hari itu kerana berhajat hendak pergi servis kereta kakak saya selepas balik kerja. Tapi lain pula jadinya. Geram tahap petala kelapan belas jadinya. Eiiiii… RM400 tu lebih dari cukup untuk belanja sebulan saya tau.

Jadi, hari Sabtu itu, selepas habis kerja tengahari itu, saya terus ke Balai Polis. Sepanjang 24 tahun menjadi orang Temerloh ni, itulah kali pertama saya masuk ke perkarangan Balai Polis itu. Selesai membuat laporan kehilangan kad pengenalan dan barang-barang penting itu, saya dibawa berjumpa dengan inspektor bahagian siasatan ke apa entah. Saya mengikut saja. Dalam kepala, saya membayangkan satu susuk yang berperut ke hadapan sedikit dengan misai tebal dan berwajah garang. Tiba-tiba…

“Jemput masuk, cik. Sila duduk. Sila duduk.” Mak aih. Rupa-rupanya, Tuan Inspektor tu sangatlah muda belia. Dengan pakaian kasualnya tu, cukup syaratlah untuk saya mengatakan dia kacak. Hahahahaha. Malu pula saya dengan diri sendiri dengan apa yang saya bayangkan sebentar tadi. Huhu. Ok ok. Harapnya tiada warga kerja Balai Polis Temerloh yang membaca blog ini. Huhu.

Jadi sekarang ni, saya hanya menggunakan kad pengenalan sementara. Lesen memandu telah siap dibuat baru tapi kad bank masih belum boleh diproses kerana perlu menunggu kad pengenalan betul siap. Nampak gayanya, walaupun sudah ada gaji di penghujung bulan ni, tiada maknanya juga sebab saya tidak boleh mengeluarkan duit dengan bebas. Kena guna buku banklah pula jawabnya. Macamlah saya ni ada masa sangat nak keluar di waktu pejabat untuk ke bank, kan. T____T

Yang paling saya terkilan, saya kehilangan dua benda lagi. Sebentuk cincin emas yang saya letakkan di bahagian zip duit syiling dan kad metro lama saya ketika di Moscow dulu. Cincin itu pemberian emak saya selepas SPM dulu. Saya tanggalkan cincin itu ketika hari pertama bekerja di sini dulu kerana kami tidak boleh memakai cincin ketika bekerja. Terkilan betul saya. Sekarang, saya langsung tiada cincin dah. T___T Kad metro itu pula menyimpan banyak kenangan sepanjang saya berada di Moscow. Dengan kad itulah saya ke hulu- ke hilir suatu masa dulu. Terkilannya…

Nota 1: Sekarang, beg sandang saya yang warna coklat itu sudah kehilangan temannya yang sedondon itu. Saya pakai beg duit buruk-buruk je sekarang.  Kalau ikut hati, nak bunjut-bunjutkan duit dalam sapu tangan je pun cukup dah. Siapa yang curi jugak, memang tak selamatlah hidup dia di dunia ini. Menyusahkan saya je kena keluar masuk Balai Polis sehingga terjumpa Tuan Inspektor muda tu. Haha.

Nota 2: Ok. Nak tulis entri kedua pula. Saya tengah bosan ni. Tu sebab rajin pula nak menulis. :mrgreen:

Posted on November 14th, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Dalam Renyai Hujan, Dalam Terang Bulan

Assalamualaikum wbt

Sudah seminggu lebih saya tidak membuka blog. Apa tidaknya. Sampai saja rumah, tak sempat lagi membuka tudung, saya memang sudah menghadap internet tapi hanya membuka email dan Facebook. Merayap sekejap membaca beberapa artikel penting (Iya, saya tahu. Malam-malam pun saya kena studi di rumah T____T ), kemudian terus masuk bilik dan tidur. Eh, tak mandi. Haha. Memang kadang-kadang tu tak sempat mandi pun. Letak beg, pegang handphone di tangan untuk memudahkan terjaga keesokannya dan terus tidur. Huhu. Habislah tiada siapa nak kahwin dengan saya. T____T

Sebenarnya ada macam-macam perkara terjadi sejak dua minggu yang lalu. Kisah on call dua minggu lalu. Kisah merawat kenalan keluarga saya yang kebetulan masuk ke wad saya. Kisah ke HKL nenoneno naik ambulan separuh gila nasib baik tak bersepai otak saya di atas jalan raya. Kisah hari Isnin yang gembira. Kisah duduk makan KFC seorang diri macam loser sambil layan lagu Ada Cinta dan kisah jatuh cinta di hospital. Hahaha. Saya tahu, kamu semua dah tak pelik sangat dengan semua cerita tentang hospital melainkan yang terakhir tu. Jeng jeng jeng. Saya tak nak cerita yang itu dulu. Kalau nak tahu, baca dulu cerita-cerita lain ni.

Sewaktu on call dua minggu yang lalu, waktu itu saya adalah 1st call yang bertugas di active ward. Massive admission sungguh malam itu. Bertalu-talu kes baru diusung naik dari Kecemasan. Dalam keadaan bekerja tanpa henti yang memerlukan pergerakan tangan dan kaki yang ligat, saya langsung tidak sempat MAKAN mahupun MINUM selama 24 jam! Nasib baik tiada apa-apa kecemasan yang dahsyat-dahsyat terjadi sepanjang malam itu melainkan seorang patient yang perlu di-intubate di tengah malam itu (Terkini: Patient itu baru meninggal dunia beberapa hari lepas. Al-Fatihah untuk arwah).

Kebetulan, wad yang aktif itu adalah wad baru saya. Keesokannya, saya mula bertugas di wad baru itu. Saya diletakkan di bahagian acute male. Kes-kes yang memerlukan perhatian rapi diletakkan di situ. Saya rasa kepala saya sudah separuh mereng pada waktu itu. Dan saya yakin, mesti ada yang sedar, saya tidak sempat mandi pun pagi itu. Hahahaha. Memanglah ada baju lain yang saya bawa tapi tidak sempat untuk pergi mandi pagi itu. Sewaktu solat Subuh tu, saya hanya gosok gigi, cuci muka tapi tak payah bangun pagi sebab memang tak tidur-tidur sepanjang malam itu.

Alkisahnya, selepas selesai ward round dengan MO dan specialist di wad baru itu, saya ke wad lama saya kerana hendak bertemu dengan pakar di sana. Ada urusan lama yang hendak saya sudahkan. Selesai bertemunya, saya ke tandas. Hajatnya sekejap saja. TETAPI, sedar-sedar saya sudah berada di sana selama hampir setengah jam. Cuba teka apa yang terjadi selama setengah jam itu? Hahaha.

Saya tertidur secara duduk dengan sopan sambil kepala terlentok di dinding tandas yang nasib baik memang sentiasa bersih dan wangi itu! Err. Ok ok. Saya mengaku. Ini bukan kali pertama saya tertidur begini. Hahaha. Ini adalah pengakuan berani mati. Sebelum inipun, saya pernah tertidur duduk begitu kerana kepenatan post-call. Siap pernah duduk berlunjur di dalam bilik air yang bersih itu! Hahaha. Err… Tidak berapa lucu saya kira. Silalah mengasihani saya atas insiden-insiden yang tidak semua orang terpaksa lalui ini. Siapalah yang mahu tidur dalam tandas, kan. Di atas toilet bowl pula tu. T____T

Cerita seterusnya, kebetulan seorang kawan ayah saya telah dimasukkan ke wad saya. Tapi sebelum tu, ini bukanlah kawannya yang pertama. Namapun saya ni berkhidmat di tempat sendiri. Hampir setiap hari saya bertemu dengan orang yang saya kenal. Jadi muka pasarlah saya di hospital ni. Saya kurang berpuas hati dengan diagnosis yang telah kawan saya berikan untuk kawan ayah saya ni. Tapi saya tidak membangkang terus diagnosis itu. Dalam hati, saya tetap memikirkan satu kemungkinan lain. Kebetulan petang hari kedua pakcik itu berada di wad, saya stay back untuk berbincang kes dengan kawan saya di wad walaupun saya tidak on call pada hari itu. Tiba-tiba berlaku kecemasan. Terkejut saya kerana yang sedang tenat itu adalah pakcik itu.

Pakcik itu kemudiannya telah dipindahkan ke bahagian acute male. Kini dia berada dibawa seliaan saya. Keesokannya, saya membentangkan kes itu kepada specialist, saya mengemukakan diagnosis saya, saya berjaya mendapatkan CT Brain urgent untuknya dan TAP! Diagnosis yang saya berikan adalah betul. Subdural Hemorrhage. Pendarahan dalam kepala. Malam itu juga (Saya tak on call, tapi saya stay back. Gilalah rajin, kan. Hahaha), kesnya berjaya dirujuk ke Neurosurgical Unit di HKL. Dan keesokan paginya, selepas saya selesai membuat semua review untuk cubicle saya, saya telah mengiringi pakcik itu ke HKL dengan menaiki ambulan. Ber-nenoneno-lah saya ke sana.

Tapi sumpah saya katakan. PENING! Laju sungguh ambulan hari itu. Tapi yang seronoknya kan, bila mengiringi patient ke hospital lain, saya macam dapat berehat kejaplah daripada segala hiruk-pikuk rutin di wad yang tak berkesudahan kerjanya tu. Huhu. Dalam perjalanan balik, saya duduk sebelah pemandu. Apa lagi. Tidurlah, kan. Dah berbulan tak ada peluang tidur siang, kan. Hehe. Oh ya. Dengan menaiki ambulan, perjalanan Temerloh-KL hanya mengambil masa 1 jam 10 minit saja. Masya Allah… Laju Ya Rabbi. Boleh pula sambil-sambil tu, pemandu ni bercerita dengan saya kisah-kisah ambulan kemalangan ketika hendak menghantar kes ke hospital-hospital lain, ada PPK mati, doktor mati. Huhu. Waktu tu, ambulan pula sedang ber-nenoneno dengan kelajuan 140 km/j. Saya duduk depan. Seram rasanya bila melalui kawasan Bukit Tinggi tu. Huhu.

Ok. Tukar cerita. Ini cerita gembira. Saya sudah mempunyai kereta. YEAY! Disebabkan saya ni tiada masa nak keluar ke tempat kereta tu untuk mengambil kereta tersebut, terpaksalah uncle tu menghantarkan kereta saya terus ke hospital. Huhu. ISNIN PERTAMA DI BULAN NOVEMBER ADALAH SUNGGUH MEMBAHAGIAKAN! Saya menggunakan Gen2. Hitam itu menawan. Cewah! Moga-moga saya cermat dan kereta saya ni dapat bertahan lama dengan saya, insya Allah. Tapi kan, saya tiada gaji lagi. Habislah saya bulan ni.  T___T

Cerita seterusnya. Eceh. Bajet macam Buletin Utama pula. Kebetulan semalam, adik saudara saya yang kemalangan bulan lepas tu teringinkan KFC. Dia meminta saya singgah dalam perjalanan pulang. Alang-alang dah singgah, saya pun belum makan apa-apa lagi sepanjang hari semalam, teruslah saya duduk makan di situ. Seorang diri saja tapi memesan Buddy Set yang untuk dua orang tu. Hahaha. Bukan apa. Saya nak dua ketul ayam. Tapi dapat air pun dua jugalah. Namapun Buddy Set. Tapi makan seorang diri. Duduk di satu sudut menghadap ke arah jalan raya. Termenung sajalah jawabnya. Tak kisahlah apa orang keliling saya nak kata. Saya makan kedua-dua ketul ayam, minum pun kedua-dua gelas air. Haha. Sambil tu, ada lagu Ada Cinta berkumandang. Sempatlah menambah perisa dalam menungan saya tu.

“Mengapa berat ungkapkan cinta padahal ia ada, dalam renyai hujan, dalam terang bulan, juga dalam sedu-sedan. Mengapa sulit mengaku cinta padahal ia terasa, dalam rindu dendam, hening malam, cinta terasa ada.”

Semua sila berhenti menyanyi sekarang. Huhuhu. Tapi puitis dan manis susunan ayatnya, kan. Maka tenggelamlah saya menghayati lirik lagu ini sambil makan KFC seorang diri.

Baiklah. Cerita yang terakhir tu saya sambung lain kalilah ya. HAHAHAHA. Mesti ramai yang bengang, kan. Kalau bengang, sila pergi dengar lagu Bengang. Huhu. Saya nak tidur dah ni. Inipun, sambil menaip entri, sambil makan nasi. Sekarang sudah pukul 11 lebih. Biasanya di saat ini saya sudahpun tidur. Esok pukul 4.30 pagi saya dah nak kena bangun studi sikit dan bersiap pergi kerja. Betul ni. Ni bukan alasan main-main. Saya kena tidur sekarang juga sebab saya dah terlajak waktu tidur yang sepatutnya. Dah lah esok saya oncall 1st call lagi. Nanti tak cukup tidur, siapa yang susah. Saya juga yang akan tertidur di dalam tandas lagi.

Jangan cakap banyak. Mari kita tidur. Selamat malam Malaysia dan Moskva!

Nota 1: Saya rindu dengan sangat pada Bumi Moskva dan seluruh kedinginannya! :cry:

Nota 2: Tajuk entri ni diberikan sebegitu rupa kerana di saat ini sedang hujan renyai dan bulan sedang mengambang penuh. ;-)

Nota 3: Saya memang tak sempat nak membalas komen tapi saya baca kesemua komen dan mesej daripada kawan-kawan. Terima kasih!

Posted on November 4th, 2009 by Sarah  |  36 Comments »