Archive for the ‘Tazkiyatunnafs’ Category

Allah Ada Bersamamu, Anak Syurgaku.

Assalamualaikum wbt

Jumaat yang penuh barakah.

Sewaktu menjemput Izz di tadikanya sebentar tadi, saya terlihat 2 orang budak lelaki yang baru saja turun dari van sekolah dan berlari menuju ke rumah mereka. Di pintu pagar rumah tersebut, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menunggu di situ. Barangkali itu adik kepada 2 orang budak lelaki tersebut.

Saya terbayangkan Izz dan Zayd. Mungkin suatu hari nanti beginilah keadaan mereka. Berlarian pulang ke rumah sekembalinya dari sekolah. Tapi sayangnya, rezeki untuk seorang adik perempuan menanti mereka di pagar rumah masih belum ada. Atau setepatnya, rezeki seorang adik untuk mereka berdua belum lagi tiba.

Atau yang lebih tepat, rezeki itu baru saja kembali semula kepada penciptanya.

Selesai Subuh pagi tadi, mama menyambut sendiri kelahiran janin mama yang berusia 3 bulan. Missed miscarriage yang hanya mama tahu 11 hari yang lalu. Alhamdulillah ala kulli hal. Sempurna keluarnya beserta kantung. Sebesar tapak tangan sudah saiznya. Allah lebih menyayanginya lebih daripada apa yang bakal mama dan ayah berikan.

Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita sekeluarga. Allah Maha Penyayang mendatangkan rasa bahagia dan gembira buat kita sekeluarga apabila diberitakan perkhabaran adik baby akan lahir tahun depan. Allah jugalah Yang Maha Baik memudahkan pemergian anak syurga ini. Kerana Allah itu Maha Segala Tahu apa hikmahnya dan kenapa dipinjamkan seketika lalu terus diambilNya tanpa sempat zahirnya dipeluk-cium, ditatap-tatang, disusu, dididik dan disayangi sepenuh jiwa. Allah memang Maha Tahu kenapa waktu ini yang dipilihNya untuk mengambil kembali anak syurga ini.

Di hari Jumaat yang penuh barakah ini, mama dan ayah berlapang dada dengan pemergian ini. Kami yakin ada hikmah yang sangat besar mengapa semua ini direncanakan ke atas kami. Dan salah satunya ialah, mama dan ayah tahu, ada seseorang sedang menanti mama, ayah, Abang Izz dan Abang Zayd di syurga. Nantikan kami di sana. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa mama dan ayah untuk berkumpul bersama kamu di syurga nanti.

Petang tadi, sebaik tiba di rumah Tok Wan dan Tok di Temerloh, ayah mengebumikan jasad kecilmu di tanah subur di belakang rumah. Sayu hati mama tatkala meletakkan balutan kecil itu ke dalam tanah. Kerana buat masa ini, ini sajalah rezeki mama dapat melihat jasad kamu buat kali terakhirnya, yang lahirnya terlalu awal, terlalu kecil dan tanpa nyawa. Semoga kita bertemu lagi nanti di syurga.

Bermainlah di sana.
Bergembiralah.
Allah ada bersamamu, anak syurgaku.

Mama,
28 Ogos 2015

Posted on August 28th, 2015 by Sarah  |  4 Comments »

Hati Perempuan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah hari ke-20 kita berpuasa. Menjengah ke 10 malam terakhir ni, sepatutnya kita semakin rancak nak beribadah. Tapi, di level manakah kita?

Jujurnya saya sendiri memang terkejar-kejar nak buat segalanya tahun ni. Dari bangun sahur, panaskan makanan untuk bersahur, solat Subuh, mengaji, siapkan keperluan baju anak-anak sementara suami basuh botol dan isi susu anak-anak dalam cooler bag masing-masing, gosok baju, mandi, pergi kerja, sibuk Ya Rabbi Ya Fatahu Ya Alim di tempat kerja, petang balik redah jam, jemput anak-anak di tadika dan taska, solat asar, memasak, berbuka sambil suap anak makan sekali harung, mandikan anak-anak, solat Maghrib berjemaah sekeluarga, main dengan anak-anak, tidurkan Zayd sementara suami dan Izz ke surau untuk tarawikh dan selepas itu barulah dapat betul-betul menekun mengaji. Rasa macam tak cukup 24 jam yang ada pada diri sendiri. Rasa seperti, kenapa orang lain macam lama je masa mereka dan masa saya singkat. Ha gitu. Dan rutin yang sama akan berulang pada keesokannya.

Bila dah tiba ke penghujung Ramadhan ni, lagu raya pun semakin banyak berkumandang di radio. Saya ingat lagi, waktu itu 15 Ramadhan. Saya ke JKR di Jalan Sultan Salahuddin kerana ada mesyuarat di sana. Dalam radio berkumandang lagu raya Awie dan Ziana tu. Diikuti pula dengan lagu oleh Faridah Joned. Entah macam mana, air mata saya bergenang. Eh, Ramadhan dah semakin nak habis. Begitulah kata saya dalam hati. Sebak sangat hati. Sebab saya terfikir yang saya masih belum sempat betul-betul manfaatkan peluang Ramadhan kali ini dengan semaksimumnya. Terasa terlalu banyak kekangan. Terasa terlalu banyak tanggung jawab lain yang perlu saya selesaikan.

Malam tadi pula, saya kejut suami untuk bangun solat dan mengaji. Saya duduk mengaji di sofa. Suami saya bangun lalu sambung tidur di sofa bertentangan. Dalam pada mengaji tu, Zayd terjaga. Berlari saya ke bilik. Tepuk-tepuk Zayd, dia terlelap semula. Kemudian saya kembali ke depan untuk sambung mengaji. Saya lihat suami saya masih tidur. Saya kejutkan semula. Rugi kalau tidur. Tapi dia masih tidur. Tapi saya biarkan saja sebab saya tahu sekejap lagi dia akan bangun juga. Tapi seketika kemudian, Zayd terjaga lagi. Kali ini sebab berlaga tidur dengan abangnya yang sama-sama lasak.

Saya berlari ke bilik semula untuk menidurkannya. Suami saya tak sedar akan hal itu. Jadi ketika sedang menidurkan Zayd di bilik, hati saya bermonolog. Biasalah. Orang otak komplikated seperti saya ni mesti akan fikir ikut ceruk mana yang boleh dia rasionalkan keadaan. Terdetik dalam hati saya, seronoknya jadi lelaki. Malam-malam bila anak terbangun ke apa, emaknya yang dicari. Sama ada untuk menyusu atau mencari teman untuk tidur di sebelah. Orang lelaki boleh teruskan solat dan mengaji. Nak solat sampai lebam pun boleh. Nak atau tak saja. Huhu. Orang perempuan bila dalam gelap tengah tidurkan anak, nak mengaji pun tak dapat. Berzikit, selawat bolehlahkan. Tiba-tiba diri saya memarahi diri saya sendiri.

Siapa tahu, barangkali Allah melihat amalan saya yang sedang menidurkan anak itu sebagai usaha saya yang bersengkang mata cuba mencari lailatul qadar juga. Barang kali juga, pahala saya berjaga untuk menidurkan anak itu sama pahalanya dengan orang yang sedang rukuk sujud menyembah Allah dalam solat-solat sunat mereka. Barang kali juga, berjaga untuk menidurkan anak itu dianggap qiamullail juga di sisi Allah kerana niat telah di pasang di dalam hati. Apa-apa pun boleh kalau Allah kehendaki.

Bila saya sudah pujuk diri sendiri dengan rasional barang kali itu, barag kali ini, saya rasa lega. Sebaik saya ke ruang tamu semula, saya lihat suami saya sedang menunaikan solat. Saya sambung mengaji sedikit lagi dan kemudian ke bilik tidur semula. Saya hanya bangun semula untuk sahur pada pukul 5. Saya sedang memanaskan lauk di dapur, saya lihat suami solat di ruang tamu. Ah, untungnya dia. Tak perlu terkejar-kejar menyiapkan segalanya. Boleh solat sunat dulu sebelum bersahur. Tapi saya pujuk diri sendiri semula. Barang kali Allah terima apa yang saya lakukan untuk suami saya ini sebagai ibadah yang mungkin sama besar pahalanya dengan menunaikan solat sunat itu.

Dan begitulah diri saya ini. Selalu kena pujuk hati sendiri bila diri sendiri tak sempat nak buat sebanyak mana yang orang lain dapat buat untuk Ramadhan kali ini. Saya tengok ramai kawan-kawan di sekeliling saya yang ada banyak masa. Tapi mereka tak ambil peluang tu untuk pulun mengaji. Tapi saya kagum betul dengan seorang pegawai berpangkat JUSA C di pejabat saya sekarang. Sudah menanti untuk pencen dia ni. Tapi bila ada senggang waktu, dia mengaji. Semalam waktu bertembung dengannya di surau untuk solat, dia sudah jauh meninggalkan saya. Sudah hampir khatam satu Quran. Saya pula ketinggalan 2 juzuk dari ukuran relatif hari berpuasa. Walaupun dia terpaksa mengusung Qurannya yang besar kerana matanya sudah tidak nampak, tapi dia buat juga. Saya ni Quran kecil je. Senang je nak usung ke sana-sini. Tapi tetap ketinggalan juga dari dia. Malu oi. Malu. T____T

Kembali ke kisah pagi tadi, selesai Subuh dan mengaji, sebelum mandi dan menyiapkan anak-anak, saya lelapkan mata sebentar di ruang tamu. Badan saya terlalu penat semenjak kebelakangan ini. Sedar-sedar saja, saya lihat baju saya dan uniform Izz juga sudah siap digosok oleh suami. Allahu. Sob sob sob. Dia siap gosokkan baju kurung yang paling cantik yang saya ada buat masa ini dengan corak bungaan seperti Rosalinda ayammor tu yang berona pastel. Dalam hati terdetik lagi. Barang kali, ini cara suami saya nak tambah lagi pahala dia di bulan Ramadhan ni. Kerana di bulan Ramadhan ni, dia sangat banyak menolong saya menyelesaikan kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak.

Jadi, satu pengajaran yang saya dapat dalam Ramadhan kali ini ialah, pahala itu bukan saja terus menerus dalam bentuk ibadah khusus. Tetapi pahala itu juga boleh diraih dikala kita dapat memudahkan urusan orang lain.

Hari ini 7 Julai 2015. Saya merasa cukup dan syukur atas segala apa yang Allah telah kurniakan dan tambahkan untuk hidup kami sekeluarga.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Nota: Ahha. Tajuk propa sangat macam drama. Tapi sesungguhnya drama Hati Perempuan yang di TV hari tu tak mewakili kata hati saya sebab sememangnya hati saya bengang setiap kali tertengok drama tu. Merajuk tak habis-habis. Apekehalnya. HA HA HA.

Posted on July 7th, 2015 by Sarah  |  3 Comments »

Memerdekakan Diri

Assalamualaikum wbt

Sebelum Izz hendak tidur semalam, dia menyuruh saya menelefon ayahnya. Sebaik selesai si ayah mengucapkan selamat malam dan mengingatkan Izz untuk membaca doa-doa rutin bersama saya, lalu telefon pun dipadamkan.

Izz: Ok mama. Sleep.
Mama: Jom sleep. Jom baca doa sama-sama.
Izz: Esok ayah alik?
Mama: Insya Allah ayah balik lepas kelas. Izz kenalah doa banyak-banyak ok.
Izz: Angun pagi. Bersolat. Izz doa.
Mama: *Terdiam*

Terdiam kerana sangat terharu rupa-rupanya motivasi sebelum tidur setiap hari yang saya selalu sebutkan padanya perihal esok pagi perlu bangun untuk solat Subuh, bukan ke sekolah atau aktiviti yang lain, terpahat dalam memorinya. Lalu kami membaca susunan doa-doa yang menjadi rutin sebelum tidur kami, memperbaharui syahadah, melafazkan zikir Ya Latif dan Izz memeluk lengan kiri saya lalu terus tidur.

Kadang-kadang ada banyak perkara menyedihkan boleh terjadi dalam hidup kita. Kita berbuat baik dengan orang, orang salah anggap dengan kita. Kita berbaik sangka dengan orang, orang pula fikir kita talam dua muka. Kita ambil berat dengan orang, orang kata kita buang tabiat pula. Kita mendoakan yang baik-baik untuk orang dengan seikhlasnya, tapi orang kata kita menunjuk-nunjuk pula.

Terlalu payah sifir hidup ini bila kita fikir apa yang orang fikirkan tentang kita. Jadilah orang yang berjaya memerdekakan diri daripada apa yang difikirkan oleh orang lain. Kerana di penghujung hari, apa yang dilihat Allah pada kitalah yang paling penting, bukannya apa yang dinilai dan dilihat manusia.

Kita tak hidup dek puji. Kita tak mati dek keji.

Dan bagi saya, dengan melayan fitrah anak kecil yang masih suci jiwanya adalah salah satu cara untuk kembali menginsafi diri. Kerana dia mengajar saya untuk melihat apa yang penting di mata Allah. Bukan mata manusia. Semuanya kembali kepada sesusuk objek itu; hati.

image

Sesi baca doa dengan Izz tatkala saya yang jauh daripadanya.

Posted on May 4th, 2014 by Sarah  |  9 Comments »

Suatu Hari Nanti, Dia Akan Bergelar Abdul Malek!

Assalamualaikum wbt

Sebelum sibuk kembali menjadi rutin saya, baiklah saya menyempatkan diri menulis di sini. Apa yang hendak saya kongsikan kali ini baru saja terjadi minggu lepas. Kisahnya, terjadi di dalam dewan bedah tempat saya bekerja.

Pesakit itu seorang lelaki bernama Malek, berketurunan Orang Asli, berumur 31 tahun. Ketika saya menerima pesakit ini di ruangan Reception, saya sangkakan dia ialah seorang Melayu. Kulitnya cerah dan dia tidak berslanga seperti Orang Asli kebanyakannya. Dia mengalami kecederaan di lengan kirinya akibat terkena sabit. Maka dia perlu menjalani pembedahan kecil untuk membaik pulih lukanya itu.

Disebabkan lukanya di bahagian lengan, maka dia perlu diberikan bius penuh. Dimulakan dengan ubat tidur dan kemudian satu tiub akan dimasukkan di mulutnya dan disambungkan ke mesin ventilator untuk membantu pernafasannya sepanjang pembedahan dijalankan.

Sudah menjadi kebiasaan, saya akan menyuruh pesakit saya berdoa, selawat dan mengucap sebelum ubat bius diberikan. Selain dapat menenangkan pesakit, ini juga sebagai persediaan sekiranya inilah kali terakhir pesakit tersebut dapat melihat dunia ini. Segalanya adalah mungkin apabila sudah berada di atas meja pembedahan. Bukan semua Orang Asli beragama Islam. Ada yang Kristian dan ada yang tiada agama. Memandangkan namanya Malek, jadi, saya pun bertanyakan padanya tentang agamanya sambil-sambil tangan saya laju membuat persiapan untuk pembiusan.

“Awak agama apa, Malek?”

Dia diam seketika. Kemudian saya lihat dia memandang ke arah bahu kirinya yang memang sejak awal tadi lagi saya lihat ada ukiran tatu di situ.

“Keluarga saya semua Islam. Dah lama mereka masuk Islam.” Kemudian dia diam semula. Jadi saya menyampuk kembali.

“Tapi awak belum Islam ye? Kenapa awak tak ikut keluarga awak yang lain masuk Islam?”

“Saya ada tatu ni. Macam mana saya nak masuk Islam?”  Suaranya jelas sayu! Allah. Luluh hati saya mendengarkan hal itu.

“Eh, tak apa tatu tu. Takde hal la tu. Bila awak masuk Islam, tatu semua tu Allah dah tak kira dah. Tu cerita lama awak. Bila masuk Islam, awak dah mula dengan buku baru. Bersih, kosong lagi. Awak tak ada dosa apapun waktu tu. Rugi la kalau awak tak dapat sama-sama dengan keluarga awak di akhirat nanti, kan.”

Tiba-tiba MA saya menyampuk. “Innallaha ma’assobiriin. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” Haha. Terus semua staff nurse yang berada di dalam bilik itu turut ketawa bersama.

“Jadi sekarang awak tak ada agamalah, ye? Ok ok. Kalau macam tu, awak berdoa dalam hati moga-moga pembedahan ni tak ada apa-apa masalah dan semuanya berjalan lancar ye. Ok. Sekarang tarik nafas dalam-dalam, kemudian hembus.”

Malek mengangguk-anggukkan kepala mendengar arahan daripada saya kerana saya sudah mula memberikan oksigen untuk memulakan prosedur pembiusan. Seketika kemudian, Malek sudah tidur, di-intubate dan pembedahan pun bermula.

Setelah selesai pembedahan, Malek ditempatkan di ruangan Recovery untuk pantauan sebelum dihantar balik ke wad. Ketika dia terbaring berehat di situ, saya mendekatinya.

“Ok, Malek? Ada sakit kuat tak kat tangan tu? Haa. Awak doa banyak-banyak supaya cepat elok tangan ni, dapat tolong mak tebas hutan semula. Pasal tatu awak ni, jangan risau-risau dah. Walaupun ada tatu, awak tetap boleh masuk Islam. Awak boleh bersama-sama semula dengan semua keluarga awak. Ok, ye?”

Malek mengangguk lagi. Dia tidak tersenyum tapi saya yakin dia sedang berfikir. Saya sendiri juga sedang berfikir. Apabila dia telah kembali ke kampungnya, siapa yang akan membuat follow up atas apa yang saya ceritakan kepadanya tadi? Pandaikah dia untuk mencari Islam itu sendiri? Bolehkah dia dan keluarganya mendapat didikan agama yang sempurna? Sejujurnya, segalanya kabur bagi saya. Saya cuma berdoa dalam hati, moga suatu hari nanti, dia akan bergelar Abdul Malek, hamba kepada Yang Maha Memerintah. Insya Allah.

Saya insaf dengan apa yang berlaku. Dia takut-takut untuk memeluk Islam kerana cetek ilmu. Tapi saya lihat dia ada kemahuan ke arah itu. Sedangkan kita pula mendapat Islam secara warisan, diperkukuhkan dengan ajaran demi ajaran yang kita terima daripada ibu bapa, guru, pendakwah dan sesiapa saja di sekeliling kita. Tapi persoalannya, adakah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan iman itu. Dan sudahkah kita menjalankan tanggung jawab kita untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Allah… Terasa berat tanggung jawab di bahu ini. Selagi mana ada manusia yang tidak tahu apa itu Islam, kita juga turut mendapat sahamnya. Allah…

Suatu hari nanti, dia akan bergelar Abdul Malek! Aminkanlah doa saya ini, ya kawan-kawan.

Posted on August 14th, 2012 by Sarah  |  13 Comments »

Modesty

Assalamualaikum wbt

Time flies very fast. It’s Friday. I just had my bad day which was on Monday morning and it seems to me it just happened yesterday. I woke up late and needed to rush to hospital. Luckily my blue scrub attire did soothing my adrenaline rush.

I did some hadith readings last night. To revise one’s self and soul, we need to be reminded, don’t we? So, I spent time reading hadiths from the book of belief (iman) compiled in The Sahih Collection of Al-Bukhari (by Imam Bukhari).

We may claim we have found tranquility in life and our dignity is kept best at the most profound place in our heart. But have we ever revised how modest have we been to Allah, our parents and to people around us. Let’s not forget. Modesty is the bareroot of self reconstruction. We need to feed our soul and the most simple way is by being modest in life. Yet, it is the hardest thing seems to accomplish.

We tend to brag over things we think we are good at. We turn proud when people tell some compliments. We think we are always right. We fight over things which actually we should not bring them up. We stand our ego. We make prior on what give benefits on us though it smashes and kills the hearts of many.

That is what a normal mankind does. And that shows we are lacking in modesty. And we forget that modesty is a branch of belief.

It was related from Abu Hurayra, may Allah be pleased with him, that the Prophet, may Allah bless him and grant him peace, said, “Belief has over sixty branches. Modesty is a branch of belief.”

As simple as that, it explains how ego oneself to admit the thick ego one has built in the heart. As long as we don’t take it away, modesty won’t come in major to shower our life and to streghten our belief.

It was related from Anas that the Prophet, may Allah bless him and grant him peace, said, “Whoever possesses three attributes will experience the sweetness of belief: that he loves Allah and His Messenger more than anything else; that he loves someone for the sake of Allah alone; and he hates reverting to disbelief as much as he would hate being thrown into a fire.”

May we become one of them, be granted with the sweetness of belief. A stumble may prevent a fall. Imam Syafie once said, the easiest way to reach modesty is to run a humble life. Please, do think, obviously we can see the logic.

Note 1: Dear me, do practise what you preach.
Note 2: Modesty – Ular menyusur akar tak hilang bisanya. (English? Anyone? But I think the Malay one is better~)
Note 3: Don’t ever tell me I am pretending to be a holy virgin here. I know some will tell this right to my face. Thanks but no thanks. Check your own life.

Posted on January 23rd, 2009 by Sarah  |  10 Comments »