Archive for the ‘Student’ Category

Dalam Kenangan

Assalamualaikum wbt

Awal Muharam 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 sudah semakin hampir. Selama ini, jika saya hendak menyasarkan azam baru untuk sesuatu tahun itu, saya ada kriteria saya yang tersendiri. Azam yang berbentuk perubahan positif untuk sifat dan hati sebagai seorang Muslim dan anak, saya sentiasa mengguna pakai kalendar Hijrah sebagai titik permulaan. Saya senaraikan apa yang saya sasarkan dalam tempoh setahun itu. Bagi perubahan dari segi etika diri, cita-cita dalam pelajaran dan pekerjaan juga sasaran dalam setahun mendatang sebagai seorang pelajar, saya menjadikan kalendar Masihi sebagai titik permulaannya.

Kali ini, tahun baru Hijrah dan Masihi tiba pada masa yang hampir sama. Jadi, untuk kali ini saya telah merangkumkan kesemuanya dalam satu senarai. Sebelum saya mula menyenaraikan target saya untuk setahun mendatang ini, saya mengkaji dulu pencapaian saya untuk tempoh setahun ini.

Alhamdulillah, sebelum habis beberapa hari lagi dalam tahun 1429 Hijrah dan 2008 ini, hampir 100% target saya sebagai seorang Muslim dan anak tercapai. Jadi sasaran saya untuk tahun depan semoga apa yang saya telah mulakan akan saya teruskan selamanya dengan penghayatan yang lebih. Bukankah maksud istiqamah itu ialah berterusan dan semakin memperbaiki kualiti pekerjaan kita itu. Jadi, untuk tahun baru ni, saya cuma nak tambah satu. Saya berniat dalam tahun 2009 ni saya sudah boleh memberi duit kepada emak ayah pula. Fuh. Bertahun menunggu hajat ni untuk disuarakan. Akhirnya tiba juga tahun yang dinanti-nanti. Moga saya dan emak ayah saya panjang umur untuk disempurnakan hajat ini. Saya ni umur sudah 23 tapi masih lagi mendapat duit poket dari ayah. Ditanggung serba-serbi lagi. Rasa tak sabar untuk melakukan yang sebaliknya pula.

Sebagai seorang pelajar pula, Alhamdulillah juga saya ucapkan. Pencapaian saya sepanjang tahun 2008 sangat memuaskan hati. Saya mendapat straight excellent dalam 8 subjek ketika final exam yang lalu walaupun dalam keadaan sakit-sakit. Juga medapat testimoni yang baik ketika praktikal dan pengurusan masa yang sangat memuaskan hati saya. Tapi kekurangannya tetap ada. Saya masih belum dapat mengawal emosi dengan baik ketika musim exam dan yang paling utama, saya masih lagi terikat dengan pelbagai tugas. Saya sudah di tahun akhir. Ini yang perlu saya beri perhatian selepas ini.

Jadi, salah satu niat saya pada tahun depan, saya mahu melepaskan segala tugas yang ada dan menjalani kehidupan sebagai pelajar normal yang tidak terikat dengan sebarang tugas luar sama ada persatuan atau penulisan yang lain. Saya mungkin nampak seperti pentingkan diri sendiri. Tapi saya terpaksa. Jadi, saya harap saya ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Ada beberapa lagi azam saya untuk tahun baru ini. Yang paling utama ialah tamat belajar tepat pada masanya dengan keputusan yang boleh membanggakan diri sendiri. Setakat ini, keputusan saya cukup boleh buat saya sangat senang hati dan emak ayah saya tersenyum. Tak perlu saya lihat orang lain. Saya akan berpuas hati jika saya dapat mencapai target diri sendiri yang saya buat sejak 5 tahun yang lalu. Serius Ya Allah. Moga-moga Kau permudahkan niatku ini.

Tentang kahwin, sila jangan tanya lagi. Saya belum terfikir lagi sebab saya mahu tunggu computer geek datang melamar dengan ros merahnya. Hahaha.

Salam Maal Hijrah 1430 Hijrah
dan
Selamat Tahun Baru 2009

Nota: Kalau ada rezeki, blog ini juga akan berubah hosting pada tahun baru ini insya Allah =)

Posted on December 26th, 2008 by Sarah  |  38 Comments »

Moscow Dan Isu Keselamatan

Assalamualaikum wbt

Elok saja selesai Subuh, saya terus ke dapur untuk memasak. Saya ada group discussion bersama team saya hari ini. Saya ditugaskan memasak. Senang saja. Buat nasi lemak sambal ayam. Habis cerita. Sedang saya memasak, telefon saya berbunyi. Panggilan dari emak dan ayah.

Saya memberi salam dua kali, orang di sebelah sana masih tidak mendengar suara saya sebaliknya masih berbual sesama mereka. Dan saya terdengar apa yang mereka bualkan. Dan saya sudah mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tambahan pula, masih gelap pagi lagi di sini ketika itu. Apa halnya emak dan ayah hendak menelefon. Saya terdengar mereka berbual begini:

Ayah: Dia tak tahu lagi kot pasal ni.
Emak: Kena cakap elok-eloklah kalau macam tu.
Ayah: Terkejut dia nanti.
Saya: (Cuak menanti)

Bila saya hulurkan salam ketiga, barulah mereka sedar saya sudah menjawab panggilan. Emak pun konon-konon cool memulakan perbualan dengan ceria. Ada gelak-gelak, suara ceria-ceria. Lalu emak pun menanyakan tentang keadaan di kawasan rumah saya di sini. Saya kata baik-baik saja semuanya. Barulah selepas itu emak menceritakan tentang berita yang didengarinya berkenaan letupan bom di sebuah pasar di Moscow yang menyebabkan ramai yang cedera parah. Saya sedikit terkejut. Emak bertanya, ada tak kemungkinan itu adalah pasar berhampiran rumah saya. Lagipun emak teringat cerita saya bahawa setiap Sabtu dan Ahad kami selalu ke pasar. Emak, kami ke pasar hampir setiap hari tau. Hehe.

Saya sudah tergelak-gelak. Emak cuak kalau-kalau pasar itu adalah yang berhampiran dengan rumah ini. Jawab saya, saya sendiri pun masih tidak tahu apa-apa tentang hal letupan itu. TV tak buka, radio pun tak dengar. Yang pasti, bukan pasar yang berdekatan ini. Malam semalam saya tidur sangat lewat. Tiada satu apapun kekecohan yang terjadi. Memang mustahil pasar ini. Lagi pula, pasar yang berdekatan ini adalah pasar yang paling dekat dengan Center of Moscow. Inilah juga pasar termahal dan paling sibuk ketika hari minggu. Pasar ini mempunyai pengurusan yang baik. Dari segi kebersihannya sama ada pasar luar atau yang di dalam bangunan. Pasar ini ada standardnya yang tersendiri. Hal-hal keselamatan juga insya Allah terjamin di sini.

Selesai memaklumkan pada emak ayah apa yang sepatutnya, saya berjanji akan memberitahu jika ada apa-apa perkembangan terkini (tapi saya tak sempat mesej atau telefon pun kerana sangat sibuk sepanjang hari). Sedang menunggu sambal yang ditumis, yang masuk ke bilik membelek-belek laman berita utama di Rusia. Utra.ru masih tiada berita terkini. Pelik sungguh. Sudahnya saya buka Rian.ru dan The Moscow Times. Barulah kedapatan berita tentang hal ini.

Seperti yang dijangkakan, kes letupan ini adalah kegiatan Skin Head. Kali ini, kes bom buatan sendiri. Saya malas hendak ulas lanjut tentang hal ini. Mesti ramai yang tertanya-tanya, selamat ke tidak Moscow ni. Banyak sungguh dengar kes itu ini. Meletup sana, meletup sini. Bunuh sana, bunuh sini. Pukul sana, pukul sini. Yang boleh saya katakan, kita tak cari pasal, kita tak tempah nahas, kita mungkin terselamat. Mungkin sajalah. Bukan 100% terkecuali. Ada yang innocent pun merasa juga sedebik dua.

Moscow ini selamat sebenarnya. Saya tak tipu. Tapi lumrahlah kalau ada yang ditakdirkan berhadapan dengan ujian sebegini. Di Malaysia sekalipun, ada juga kes ragut, pukul dan yang lebih menakutkan rogol. Di sini tiada langsung nak takut tentang rogol-rogol semua ni. Mereka menghormati perempuan jauh lebih baik daripada orang kita sendiri (atau kerana bila-bila saja mereka boleh dapat perempuan mereka dengan percuma?). Hehe.

Tapi apa-apapun, nah ini dedikasi khas untuk si Skin Head: “Bengong kau Skin Head! Bikin adrenaline rush saja! Apa kau ingat botak tu menarik? Apa kau ingat memukul orang tu macho? Kau silap besar. Kaulah manusia paling huduh dengan satu tindikan di tepi mata beserta tatu naga yang buruk rupa. Hah. Kau memang huduh wahai Skin Head. Dahlah busuk dalam metro pagi-pagi dengan kot bau masam seribu cuka. Ketiak masam tak reti nak shave pakai deadorant segala. Kau bengong, huduh dan busuk wahai Skin Head!” (Haha. Skin Head tak faham Bahasa Melayu!)

Nota 1: Saya bagi amaran, jangan tanya apa-apa tentang keselamatan, Skin Head dan sebagainya. Saya sangat malas dan tak suka nak jawab. Moscow ni selamat. Kalau tak bernasib baik saja baru terkena. Kat mana-mana pun sama saja hal ini.
Nota 2: Kes letupan itu berlaku di selatan Moscow. Jauh dari kawasan saya yang di tengah-tengah Moscow ini tapi agak berdekatan dengan sebuah hostel lain milik uni saya.
Nota 3: Saya dengar lagu You Belong To Me lebih dari 100 kali dah kot hari ni!
Nota 4: Esok kelas pukul 11. Horray~

Posted on December 22nd, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Dunia Pingpong


Assalamualaikum wbt

Ini gambar Pasukan Pingpong MMA di kejohanan Intervarsity Game (IG) pada tahun 2005. Pada tahun itu, IG telah berlangsung di Volgograd, salah sebuah bandar di Rusia. Ketika itu saya di tahun dua dan merupakan kali kedua mewakili uni saya dalam pasukan ini. Ketika IG berlangsung, disebabkan saya terikat dengan jadual perlawanan yang ketat, saya tidak sempat untuk melawat tempat-tempat bersejarah di sana termasuklah monumen Mother of Russia yang menjadi lambang kemenangan Rusia ke atas Jerman ketika Perang Dunia Kedua dulu.

Oleh sebab itu, saya berhajat untuk ke sana lagi ketika berlangsungnya IG pada April 2009 nanti yang kebetulan diadakan di sana sekali lagi. Kalau dulu Kontijen Moscow berangkat ke sana dengan menaiki bas dan memakan masa 18 jam perjalanan, kali ini saya taubat tidak mahu menaiki bas lagi. Saya mahu menaiki kapal terbang saja untuk menjimatkan masa. Penerbangan dalam negeri murah saja. Jadi saya akan berpakat dengan beberapa orang lagi untuk ke sana bersama-sama. Tambahan pula, saya tidak berniat untuk turut serta dalam IG kali ini. Saya hendak pencen.

Tetapi petang semalam saya dipanggil menghadiri mesyuarat Biro Sukan Badan Pelajar di sini. Saya digalaskan tanggung jawab sebagai Ketua Pingpong Wanita uni saya. Baru saja malam kelmarin saya nyatakan niat hendak pencen tahun ini, tiba-tiba ada-ada saja yang menanti. Tapi memandangkan ini tahun akhir saya di sini dan rekod tidak pernah kalah yang diukir oleh Pasukan Pingpong Wanita uni saya, maka saya menerima tanggung jawab itu. Tahun ini (April 2008), uni saya tidak mengambil bahagian dalam IG yang berlangsung di Nizhny Novrogorad kerana jadual penggal akademik waktu itu sangat padat. Maka kali ini kami insya Allah akan membuat comeback di IG Volgograd 2009. Sudah setahun lebih saya tidak beraksi. Dah ketat dah sendi-sendi ni. Jadi kita lihatlah bagaimana nanti ya. Kalau menang lagi, dapatlah saya bawa pulang pingat emas ke-4 dalam sukan pingpong ini.

Nota: Kaklong saya dapat posting di Sarawak. Jauh di sudut hati, saya terasa sedikit sedih. Bila saya jauh, dia yang dekat dengan rumah. Bila saya dah nak balik, dia pula yang semakin jauh. Dah lama tak hidup sebumbung dengan Kaklong. Rindunya zaman kecil-kecil dulu. Bergaduh tu memang ada tapi lama mana sangatlah bertahannya. Kami berdua saja perempuan di rumah tu 🙁

Posted on December 20th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

Handy Dandy Mnemonic

Assalamualaikum wbt

Five years ago, I was still innocent and barely understand dirty jokes circulated around me. Purely seen, the guys were very expert in these stuffs. It was some what scary to understand them, thus I preferred to remain blurred. But later I found it rather difficult to cope up with the group when stuffs like this were brought up into conversation.

I slowly accepted their way of joking and conversing. Yes. There are six men in my family but I hardly could listen to any dirty jokes out of them when my sister and I were around. Probably this is how they show their respect towards us. When it comes to friends, we are prone to be more open and that’s what I got in this very open friendship.

I’m sure you understand this more than I do. But could you ever imagine people talk about some medical stuffs and come to relate it with some dirty jokes? Yes! The medical students can do it.

During our Anatomy class on Brain and Nervous System (Fuh, it sounds heavy for a final year student. I really have to revise The Human Anatomy again!), I am used to memorize the 12 cranial nerves’ names using this mnemonic: On Old Olympus’ towering top, a Finn and German viewed a hop. The first letter in each word brings the same first letter for the 12 cranial nerves accordingly. I found this tips in the atlas provided by the library. Somehow a week later, I found out that the whole batch was using another mnemonic which was rather funny and easy. Here it goes:

Oh, oh, oh! To touch and feel a girl’s vagina… Ah, heaven!

It’s easier to memorize when it’s more real and by-nature in our life though it’s some kind of dirty joke. Well, people said, if there is something that can benefit you, why don’t you try it. And since then, I use this handy-dandy dirty mnemonic in my study. Haha. And yes, people said, if we blend up the goods and the bads in term of study, we tend to forget faster. The ‘ilmu is not blessed. Ironically, I (we all medical students!) still keep this mnemonic in memory better than the ‘on Old Olympus’!

Dirty jokes do work to balance our mind, sometimes. But don’t overload your head with such over-dirty jokes. It’s dangerous. At times, we do have to be pious, don’t we? Hehe.

Note 1: The 12 cranial nerves’ mnemonic stands for: Olfactory, Optic, Oculomotor, Trochlear, Trigeminal, Abducens, Facial, Auditory (Vestibulocochlear), Glossopharyngeal, Vagus, Accessory, Hypoglossal. It was written in a novel by (sorry, I forgot his name). A few novelholics in my batch commercialized it for Anatomy. I guess it is used everywhere. Who remember the author’s name (and the novel), please leave a comment. I can’t recall it anymore.
Note 2: I’m not being sarcastic. This is just a part of our life in med school. Haha. Jadi, sila bersihkan otak masing-masing selepas membaca entri ini =p
Note 3: This entry reminds me of a film somewhere in 2007: Perfume.
Note 4: I think I’ve lost 2 kg due to over exhausting weekend. I want more! Huhu. But seriously, I lost weight. My weekend seems neverendingly busy till we hit New Year here.

Posted on December 15th, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Menjadi Doktor Bukan Bukti Kepandaian

Assalamualaikum wbt

Saya ada program malam ini yang memerlukan perhatian dan tindakan saya. Slot Kesihatan Wanita. Selesai mengelolakan slot ini, saya terdiam sejenak di meja sambil menikmati jus aprikot sejuk. Menarik juga menjadi Pakar Sakit Puan rupanya ya.

Tadi ketika slot itu, saya banyak mengupas tentang isu kesihatan wanita. Dari mental sehingga kesihatan dalaman yang perlu dititikberatkan oleh semua. Sewaktu bercakap tentang isu itu, kadang-kadang saya terasa seperti Ustazah Bahiyyah. Kadang-kadang terasa seperti Dr. Hamid Arshad. Multi personaliti sungguh saya malam ini.

Apabila berfikir dua kali, saya langsung tidak pernah menyimpan hajat untuk menjadi Pakar Sakit Puan. Sewaktu balik kampung ketika pulang bercuti dulu, beberapa kali Tok saya bertanyakan tentang bidang perngkhususan yang saya mahukan. Jawapan saya tetap sama sejak dulu lagi. Pakar Bedah Kardiothorasik (Cardiothoracic Surgeon) (CTS).

Dan sejak dulu jugalah Tok saya tak jemu-jemu membangkitkan isu berapa lamakah saya perlu belajar lagi untuk mencapai tahap itu. Jawab saya, lama lagi. Perlu bekerja dua tahun sebagai Housemanship (HO), disambung dengan setahun sebagai Medical Officer (MO) sebelum berpeluang mengambil exam untuk menyambung dalam bidang Cardiology (jantung) dan seterusnya menyambung lagi dalam pengkhususan tinggi di bahagian Surgery (pembedahan). Saya juga masih belum jelas dengan laluannya yang sebenar tapi secara kasar, inilah peringkat-peringkat yang perlu dilalui.

Tok mengingatkan saya bahawa saya seorang perempuan dan pastilah peringatannya berupa setinggi mana pun seorang perempuan itu pergi, dia tetap perlu beringat bahawa dia ada suami dan keluarga untuk dijaga makan pakainya. Saya tak nafikan itu tetapi tidak boleh tidak, inilah yang menjadi impian saya sejak lama dulu.

Puas juga hendak meyakinkan Tok tentang hal ini. Sebenarnya sehingga ke hari inipun Tok masih lebih suka jika saya memilih bidang yang berkaitan dengan perempuan atau kanak-kanak. Dan adalah lebih baik jika saya masuk ke bahagian pentadbiran saja. Saya bukan mahu membantah atau apa, tapi minat saya bukan ke arah itu. Langsung tidak berminat.

Saya tidak nafikan, mungkin sekarang saya sangat berhajat untuk menyambung dalam CTS. Tapi segalanya bergantung kepada prestasi dan rekomendasi daripada pegawai atasan saya nanti. Mungkin baginya, saya lebih berpotensi dalam bidang lain dan saya akan diberikan tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan atas sokongan daripadanya. Waktu itu, segalanya mungkin berubah. CTS yang saya kejar-kejar mungkin tidak akan kesampaian. Dan sekiranya saya beralih arah berada di dalam bidang sakit puan, mesti ramai yang puas hati termasuk Tok dan mungkin emak ayah saya sendiri.

Saya sendiri masih kabur apa akan terjadi pada suatu hari nanti. Dapatkah saya bergelar CTS. Sejak awal lagi sudah ramai yang menegah. Kata mereka, bidang ini susah. Tapi saya tetap berhajat ke arah itu. Saya bukan hendak membuktikan saya pandai, terlalu pandai atau berlagak pandai. Kalau saya pandai, sejak dulu lagi saya tidak perlu memilih bidang ini sebagai jalan pilihan. Baiklah saya berada dalam jurusan yang melibatkan kajian formula. Contohnya, ilmu Matematik yang amat saya minati. Entah-entah, sekarang ini saya sudahpun mempunyai Master dalam Matematik. Entah-entah, dengan kepelikan saya yang selalu bermain nombor sehingga boleh mencipta cerita daripada nombor-nombor sudahpun memungkinkan saya mencipta formula saya sendiri. Itu baru namanya bijak pandai. Tapi saya tidak. Saya tidak memilih jurusan itu dulu. Sebaliknya berada di sini memilih bidang ini.

Saya tiada apa yang hendak dibuktikan dengan memilih bidang ini tapi saya melihat bidang ini adalah jalan pilihan yang diberikan Allah untuk saya. Kalaulah Tok saya yang menanyakan soalan ini kepada saya, apa yang ingin saya buktikan dengan bergelar doktor, saya tiada jawapan yang skema. Yang saya tahu, saya hendak menjadi doktor kerana bukan semua orang di dunia ini diberikan keberanian dan kesanggupan oleh Allah untuk memikul tanggung jawab ini. Saya tidak kata saya sanggup dan berani tapi hati saya telah digerakkan supaya menjadi sanggup dan berani untuk ke arah ini.

Kalaulah hati saya tidak diberatkan untuk ke arah ini, saya rasa sekarang saya sudah berada di sebuah firma guaman di Ibu Negara, menjalani chambering saya dengan jayanya. Malangnya, Allah tidak memberikan kekuatan dan kesanggupan untuk saya berani membuat keputusan memilih untuk menjadi seperti itu suatu masa dulu.

Saya harap Tok memaafkan saya. Saya degil dan tetap keras hati mahu cuba yang terbaik untuk mencapai apa yang saya hajatkan ini. Mungkin jika saya patah sayap tidak mampu mengejar impian menjadi seorang CTS, tersungkurlah saya nanti menjadi Pakar Sakit Puan atau Pakar Kanak-kanak yang pastinya boleh memuaskan hati banyak pihak.

Berdoalah saya untuk mencapai apa yang saya mahu. Berdoalah Tok dan sesiapa saja untuk mencapai apa yang kalian mahu. Menjadi doktor itu bukan bukti kepandaian sebaliknya menjadi bukti menerima taklifan dan amanah untuk kesejahteraan insan.

Posted on December 14th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »