Nostalgia Seorang Pembahas Cabuk
Assalamualaikum wbt
Saya mula berbahas sejak darjah 4. Ketika itu perlawanan hanyalah di antara rumah sukan. Sukan Ilmiah Dwi Tahunan. Peringkat sekolah sajalah. Saya masih ingat guru yang membuatkan saya terlibat dengan bahas. Ustazah Norlida. Guru sementara pada ketika itu. Dialah yang memperkenalkan bahas pada saya. Seterusnya ketika dalam tingkatan dua, saya bersekolah sidang petang. Mungkin secara kebetulan saya yang pada ketika itu menjadi anak murid kesayangan cikgu Bahasa Melayu dan Sejarah merangkap Guru Penasihat Badan Disiplin dan jurulatih bola jaring saya, Cikgu Zaitun, saya telah diserap antara 8 orang yang pergi menonton tayangan promosi Bahas Ala Parlimen yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1998. Ketika saya menonton video promosi itu sudahpun tahun 1999 dan juara Piala Perdana Menteri tahun 1998 adalah milik Sem. Men. Sains Teluk Intan (selepas ini baca SEMESTI). Dan setelah disaring, saya satu-satunya pelajar tingkatan 2 yang dipilih untuk menyertai pasukan bahas Bahasa Melayu Sek. Men. Agama Al-Khairiah bersama-sama 5 orang lagi pelajar tingkatan 4 yang lain. Kak Maslina, Suhaimi (Matmie), Fadlian, Syamley dan Fakhrul Rofiz. Saya diletakkan dalam pasukan utama dan Syamley dan Fakhrul akan bergilir-gilir menjadi simpanan bagi pertandingan yang berbeza. Saya memang sangat kekok pada mulanya kerana mereka semua di sidang pagi dan sudah senior-senior. Sayalah yang paling kecil dari segi umur dan saiz dalam pasukan itu. Tahun 1999 menjadi titik permulaan saya membina nama dalam Bahas Bahasa Melayu di daerah Temerloh. Saya memegang posisi pembahas ketiga merangkap tugas sebagai tukang bidas segala-galanya. Lain katanya, saya tidak boleh bergantung dengan sebarang teks melainkan isi-isi penting yang ringkas dan dengan spontannya perlu berhujah untuk membidas. Inilah peranan orang ketiga. Tapi saya juga boleh dan pernah memegang posisi sebagai pembahas pertama atau Perdana Menteri dan juga pembahas kedua.
Dan pada tahun itu juga saya dipaksa mewakili sekolah dan seterusnya menang untuk mewakili daerah dalam syarahan Bahasa Melayu ke peringkat negeri. Alhamdulillah. Rezeki agaknya. Saya menjuari Syarahan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang. Dan pada tahun yang sama, kakak saya memenangi Syarahan Bahasa Arab peringkat negeri bagi kategorinya dan bagi adik saya pula, Adnan, memenangi Syarahan Bahasa Inggeris bagi kategorinya. Lengkap 3 bahasa.
Pada tahun 2000, saya masih dikekalkan dalam pasukan utama. Saya sudah di sidang pagi dan kemesraan bersama senior-senior bahas yang lain memang sudah serasi. Saya masih ingat kepadatan jadual saya pada ketika itu (sebab itu saya tidak suka tuisyen kerana menambahpenatkan lagi diri). Pernah sekali dulu saya dalam masa seminggu lebih berderet-deret setiap hari mengikuti pertandingan yang berbeza-beza. Bermula dengan Bahas Ala Parlimen Piala Dato’ Shukur dari hari Isnin sehingga Jumaat. Diikuti dengan berkampung di sekolah saya untuk mewakili Syarahan Bahasa Arab peringkat Zon (saya berpaling tadah masuk Syarahan Bahasa Arab menggantikan kakak saya. Kakak saya sudah bertukar sekolah selepas PMR) dari Jumaat petang sehingga Isnin dan pada hari Rabunya pula terus bertolak ke Kuala Lipis untuk mewakili kontijen Temerloh dalam Syarahan Bahasa Arab peringkat negeri dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang.
Penat memang tidak terkata. Saya tidak duduk di hostel. Saya budak luar yang berulang. Waktu itu, saya hanya pulang ke rumah untuk mengosongkan beg baju dan mengisinya dengan baju baru untuk ke perlawanan yang berikutnya. Dan satu lagi, saya pulang ke rumah untuk membuat air asam jawa buatan sendiri yang saya jadikan petua melegakan tekak. Kalau suara tidak dijaga, agaknya bertukarlah suara saya menjadi suara garau selepas berderet-deret mengguna pakai peti suara kurniaan Allah ini. Berikutnya, apabila liga Bahas Bahasa Inggeris bermula, saya kembali sibuk kerana saya turut mewakili sekolah sebagai pembahas Bahasa Inggeris. Lagi sekali, posisi saya diletakkan sebagai orang ketiga. Geram betul saya.
Tahun 2000 satu rekod buat saya. Setiap pusingan perlawanan, saya telah dipilih sebagai Pembahas Terbaik. Lucu pun ada. Sebab kebanyakan peserta semuanya lebih senior dari saya. Paling tidak boleh saya lupakan adalah perlawanan dengan Sek. Men. Dato’ Bahaman di Lanchang. Kesemua pembahasnya adalah pelajar lelaki tingkatan 5. Saya bertindak sebagai pembahas ketiga pada ketika itu. Kami menang. Dan selang beberapa hari selepas itu, saya mendapat panggilan telefon di rumah daripada ketiga-tiga mereka secara berasingan. Haha. Popular pula rasanya pada ketika itu. Tapi maaflah ye. Saya abaikan saja mereka selepas panggilan pertama itu. Tamatlah riwayat Ridhwan, Zakri dan Hannif. Wah! Saya masih ingat nama mereka.
Tahun berikutnya saya berpindah ke KISAS. Ini sekolah impian saya. Ada banyak faktor yang mendorong saya ke sana termasuklah pasukan bahas sekolah ini yang menjadi salah satu daripada tujuan ke sana. Sungguhpun pada mulanya saya tidak sukakan KISAS dan kehidupan berasramanya dan kedudukan saya yang diletakkan dalam pasukan Bahas Bahasa Inggeris, saya tidak rasa menarik langsung KISAS. Saya tidak jumpa kehidupan lama saya dulu. Saya tidak lama bersama bahas Bahasa Inggeris. Dua tiga bulan saja. Tapi bermula dengan mewakili KISAS dan Selangor di Perkampungan Penulis Muda Peringkat Kebangsaan di Terengganu, guru pengiring yang juga merupakan guru penasihat bahas Bahasa Melayu KISAS telah menyemak kembali latar belakang saya dan saya telah dijemput untuk menyertai pasukan Bahas Bahasa Melayu. Bukannya saya tidak mencuba dalam pemilihan pelapis tapi kumpulan bahas saya telah dibubarkan kerana 2 orang pelajar putera yang diletakkan sekumpulan dengan saya telah menarik diri di saat akhir.
Dipendekkan cerita, sejak Jun 2001, kehidupan saya dalam famili kecil pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS pun bermula. Tugas saya pada mulanya hanya sebagai kuli kecil yang menjadi tukang cari fakta kes dari internet, tukang belikan air dan makanan dan segala kerja-kerja pengemaskinian untuk pasukan utama. Ada 3 orang guru penasihat. Cikgu Noridah, Cikgu Jamaliah dan Cikgu Siti Arfah. Pasukan utama terdiri daripada Abang Fairuz, Kak Najah, Kak Erny Julia, Abang Khairil dan Khaliz. Pasukan pelapis pula ada Wira Al-Fatah, Naseem, Ainur dan saya sendiri. Saya memang bukan objek penting sepanjang tahun 2001. Tapi dari situlah saya mula belajar selok belok Piala Perdana Menteri (PPM) yang menjadi tujuan saya. Sebetulnya tahun itu saya lebih menyerlah dalam Syarahan Bahasa Arab. Mungkin kerana rekod lama, cikgu-cikgu lebih melihat saya berpotensi dalam bahagian ini.
Tahun 2002 menyaksikan segalanya. Saya diletakkan dalam pasukan utama bersama-sama Khaliz (Perdana Menteri) dan Naseem (menteri ketiga). Simpanan untuk PPM ialah Husna Harun dan simpanan untuk Piala Dato’ Shukur ialah Shafie Jameran dan Husna. Pelengkap pasukan kami (macam saya dulu-dulu waktu tingkatan empatlah) turut ada Anas Hamim, Mursyida dan Nurul Syuhadah. Saya tidak pernah menganggap mereka tidak penting. Sebaliknya merekalah adik-adik yang paling banyak membantu saya melengkapkan diri untuk menjadi pembahas yang baik. Bermula dengan Piala Dato’ Shukur peringkat daerah (johan) dan seterusnya ke peringkat negeri. Final bertemu SMAP Kajang tapi bukan rezeki kami untuk ke Sarawak pada tahun itu (ada ketidakadilan dalam sistem penghakiman pada waktu itu. Aisshhh… Saya akan ingat sampai bila-bila. Hihi). Seterusnya kami mula sibuk dengan PPM. Cuti penggal dikorbankan dengan PPM yang berkampung di Sek. Men. Sains Dungun pada tahun itu. PPM sangat mendera fizikal dan mental. Jika tidak bersedia, memang boleh tersungkur. Ketika liga yang memenatkan itu, KISAS dilihat sebagai pasukan yang punya trademark yang tersendiri. Saya diletakkan sebagai pembahas kedua diapit oleh 2 orang lelaki yang sangat tinggi. Bila mana orang menyebut tentang pasukan KISAS, mereka akan terbayangkan kedudukan tinggi-rendah-tinggi. Itulah kombinasi Khaliz-saya-Naseem. Ketika itu, semua orang kenal kami. Saya pun kurang pasti dengan jelasnya apa yang buat kami lain dari yang lain. Mungkin kerana ketiga-tiga kami mempunyai stail yang tersendiri dan watak kami semuanya berbeza.
Alhamdulillah, PPM berjaya melangkahkan kaki ke final. Sementara menanti final di bulan September, kami menyertai Debat Piala Terbuka UIA kali yang pertama. Liganya sangat memenatkan. Alhamdulillah. Kami menang debat ini dengan liku perjalanan yang sangat payah. Sementara menanti final PPM juga, Naseem dan Husna memenangi Syarahan Bahasa Melayu peringkat kebangsaan dan Khaliz pula menjadi johan Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan. Saya lebih tertumpu dalam bidang penulisan pada waktu itu. Murah rezeki famili bahas kami untuk tahun itu.
Ketika final PPM, kami bertemu pasukan legenda, SEMESTI. Pasukan yang saya kagumi sejak tahun 1999. Bertemu Lim Ann Nee, Amir Syafiq dan Fadhly Khairi adalah pengalaman yang hebat. Tajuk final PPM tahun 2002 ialah Karnival Jualan Mega Meningkatkan Ilmu Kepenggunaan Di Kalangan Masyarakat. KISAS menjadi pihak kerajaan dan saya diberi tanggung jawab untuk menjadi penggulung pasukan. Sesungguhnya persediaan untuk final memang sangat menyeksakan. Pulang ke hostel lewat jam 1 atau dua pagi selepas diskusi. Sesi prep petang terbang melayang kerana digunakan untuk diskusi juga. Segalanya hanya untuk PPM. Kalaulah sehari ada 24 jam, hampir 20 jam hidup saya bersama dengan bahas sahaja. Tapi Alhamdulillah. Sungguhpun malam sebelum final itu saya mengalami tonsilitis, Naseem yang tidak berapa sihat juga pada waktu itu, pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS 2002 berjaya menjuarai Piala Perdana Menteri (PPM) pada tahun itu dan membawa pulang piala yang sudah 19 tahun tidak kembali ke kolej! Alhamdulillah! Segala puji dan syukur hanya layak untuk-Nya.
Setiap daripada kami bertiga punya kelebihan masing-masing. Saya pernah digelar sebagai robot oleh senior-senior dulu. Adalah kisahnya kenapa begitu. Dan disebabkan karakter yang berbeza-beza ini, pasukan kami tahun itu sangat unik. Hasilnya, Khaliz pernah menjadi Pembahas Terbaik Daerah Klang, saya menjadi Pembahas Terbaik Negeri Selangor dan Naseem menjadi Pembahas Terbaik Kebangsaan. Saya sayang dua orang teman saya ini. Mereka berdua banyak membantu saya membentuk satu karakter yang tiada pada orang lain pada waktu itu. Dan kerana mereka jugalah saya nampak lain ketika beraksi di pentas. Sebenarnya saya terkejut kerana selepas meninggalkan dunia perbahasan, rupanya-rupanya stail dan cara yang saya gunakan dulu-dulu telah digunapakai pula oleh junior-junior bahas dari pelbagai sekolah. Kata mereka, stail Kak Sarah KISAS. Lucunya. Macam legenda pula. Padahal siapa sajalah saya ni hendak dibandingkan dengan Khaliz dan Naseem.
Begitulah kisahnya. Selepas tahun 2002, saya tidak lagi berbahas. Sudah pencen sepenuhnya. Cuma setiap kali pulang ke Malaysia, saya akan melawat KISAS dan melatih adik-adik di sana. Begitu juga dengan sekolah lama saya dulu. Cukuplah menjadi juruletih saja. Pernah tahun lalu saya dihubungi oleh pendebat-pendebat Uniten yang saya temui ketika menyaksikan Debat Piala Timbalan Canselor UKM yang mengajak saya mengambil bahagian dalam Pesta Debat Bahasa Melayu sempena 50 tahun kemerdekaan. Tapi malangnya saya tidak dapat menghubungi Hafizi dan Meor (bekas pembahas SMAP Kajang dan SERATAS yang belajar bersama saya di Moscow) untuk membentuk pasukan dari Moscow. Ada beberapa kali berhubung dengan wakil-wakil dari Uniten itu. Faizal dan Niko (atau Niki) namanya. Bersungguh-sungguh mereka mengharapkan penyertaan dari Moscow. Tapi tiada rezeki.
Ada yang bertanya, bagaimana saya belajar untuk SPM pada tahun 2002. Jawapannya mudah. Walau sibuk dan letih yang macam mana sekalipun, saya akan memastikan sebelah malamnya saya akan menelaah sehingga jam 2 pagi di bilik. Saya wajibkan diri supaya saya tidak ketinggalan. Sendiri memilih untuk berbahas, sendiri jugalah yang bertanggung jawab pada pelajaran kan. Dan sebaik telah menjuarai PPM, saya punya betul-betul 40 hari saja sebelum SPM menjelma. Saya tahu saya tidak akan dapat pulun 100% pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk tidak terlepas mengamalkan 40 kali bacaan Yaasin setiap hari sebelum menjelangnya SPM. Tahun itu, saya, Khaliz dan Naseem bukan sekadar menggondol PPM, kami juga sapu bersih SPM dengan jayanya. Alhamdulillah.
Petua saya hanya satu. Walau sibuk macam mana sekalipun, kita perlu bijak bermain dengan emosi dan menyusun jadual harian dengan baik. Jangan jadikan alasan sibuk dengan kokurikulum untuk tidak belajar. Salah begitu. Sebaiknya jadikan kesibukan itu sebagai guru terbaik untuk melatih diri menjadi lebih berdisiplin dengan masa dan diri sendiri. Huhu. Saya budak skema dulu. Lupa pula!
Di sebalik kejayaan pastilah ada pendorongnya kan. Pendorong saya waktu itu pastilah emak dan ayah saya. Setiap perlawanan-perlawanan penting saya pasti akan ada mereka datang bersama menyaksikannya. Juga 2 orang senior lepasan KISAS yang tidak jemu-jemu melatih kami dulu. Kak Anisa dan Abang Wan. Terima kasih Kak Ani, Abang Wan. Jasa kalian tidak akan saya lupakan. Juga senior-senior bahas KISAS yang ketika itu kebanyakannya sedang melanjutkan pelajaran di UIAM. Terutamanya Abang Cipul dan ramai lagi pendebat UIAM yang selalu menjadi pengkritik tetap kami. Kalau tak silap ada seorang yang namanya Abang Faizi. Inilah orang pertama yang kata suara saya seksi. Auw… Seksi ke apanya. Ganas macam jantan. Huhu. Abang Cipul, gelaran robot untuk saya itu kekal sehingga habis sekolah tau!
Inilah kisahnya. Inilah sejarahnya. Saya kini bukan lagi Sarah yang dulu. Saya seorang pembahas pencen yang tidak punya apa-apa lagi melainkan secebis kenangan manis yang insya Allah akan saya kenang selagi hayat dikandung badan.
“Andainya masih ada cinta dalam hatiku, akanku berikan kepada menteri yang kedua”. Pasti Fadhly Khairi tersenyum andai dia terbacakan entri ini… Nostalgia sungguh. 😊
Nota:
Maaf dengan sangat. Saya sibuk sekarang. Rindu-rindu, bacalah entri-entri lama dulu ye.