Archive for the ‘Life’ Category

Gembira, Penat Dan Terkilan

Assalamualaikum wbt

Entri ini ditulis dalam keadaan malas tetapi tangan gian hendak menulis. Jadi semuanya ringkas saja. Dalam pada saya tidak tahu bagaimana hendak menempuhi kebosanan hari semalam, sudahnya semalamlah hari yang paling memenatkan bagi saya. Saya bangun awal pagi kerana cuba hendak membiasakan diri dengan jadual cycle baru yang mana hospital terletak jauh dari rumah. Terpaksa bertolak awal ketika hari masih gelap.


Dalam pukul 11.30 pagi, dua orang junior datang ke rumah mengajak saya ke tasik berhampiran dengan kawasan kami ni. Jadi, saya pun mengikut mereka ke sana. Serius sakit segenap sendi badan bermain-main di atas ais, berlakon menjadi snow angel, meluncur menuruni bukit curam, baring-baring di atas tasik beku itu dan seribu satu jenis aksi yang lain.


Di sebelah petangnya, hanya saya dan Wanie yang berada di rumah. Wanie bertungkus lumus menyediakan makan malam kami serumah (padahal yang lain makan di luar, tinggallah kami makan berdua saja). Selepas makan, saya pula yang bertungkus lumus di dapur. Memasak untuk satu majlis di rumah kami. Majlis apa, tunggu entri bila saya rajin nanti.


Dan awal pagi tadi, Subuh baru saja masuk, hari masih gelap, rembang siang masih belum kelihatan, saya sudah meninggalkan rumah seorang diri menuju ke hospital. Kisah ini berbaur unsur terkilan sebenarnya. Sebab terlalu banyak masa saya terutamanya sejak dua tahun kebelakangan ini dihabiskan seorang diri. Mungkin ada yang kata saya skema. Tapi prinsip saya ialah, meletakkan yang hak pada tempatnya. Jika kita ada tanggung jawab dan peranan yang perlu dijalankan dengan amanah, jadi kita perlu laksanakan dengan sebaiknya. Baik dari segi masa dan hasilnya. Berikan yang terbaik pada tanggung jawab kita itu. Kalau tidak, kita tidak amanah pada diri dan tanggung jawab yang kita pikul itu.

Tapi tiada yang berfikir seperti saya fikir. Jadi, hiduplah saya seorang diri. Dan terpaksalah Wanie menjadi mangsa saya menangis tadi. Ya. Tadi saya menangis terkilan.

Nota 1: Terima kasih Che Nab, Amil, Aainaa, kembarku Yan (hehek), Husna, Kuzie dan Anet. Kamu semua memang best!
Nota 2: Mengantuknya (-_-) Baru pukul 6.18 pm je ni.

Posted on December 30th, 2008 by Sarah  |  37 Comments »

Kembar (i)

Assalamualaikum wbt

Seingat saya, sejak tingkatan 3 lagi saya mula menjadi seorang yang kuat berimaginasi. Serba-serbi saya bayangkan. Ketika itu, ada sepasang kembar keturunan Syed-Sharifah ni baru masuk sekolah saya. Maka, saya pun mula berangan bahawa saya mempunyai kembar. Lagi unik, saya membayangkan bahawa kembar saya itu seorang lelaki.

Ketika tingkatan 5, saya mengalami sedikit gangguan alam ghaib ketika di sekolah. Waktu itu saya berhenti berimaginasi sekejap. Saya selalu rasa seram jika berangankan kembar imaginasi saya itu sebab ‘benda’ itu akan menyusul tidak lama selepas itu. Saya akan rasa begitu begini, berat kaki dan macam-macam bunyi saya akan dengar. Saya kan penakut (tak guna perkataan mungkin dah). Jadi untuk mengelakkan hal-hal menyeramkan terjadi, saya elakkan daripada berimaginasi tentang apa-apa saja.

Tetapi di sini, saya mula menyambung aktiviti lama yang kuat berimaginasi dan berangan tentang sesuatu yang pelik-pelik. Kembar yang saya cipta dulu kembali wujud dalam kepala saya. Saya selalu membayangkan, kalau saya ke mana-mana seorang diri, saya tidak perlu risau apa-apa kerana kembar saya itu ada bersama saya. Dulu saya pernah menjelajah Moscow seorang diri dan serius pada ketika itu saya tidak rasa langsung bahawa saya sendirian. Kembar imaginasi saya itu ada bersama saya.

Saya tidak tahu bagaimana hendak membayangkan rupa atau sifat si kembar ini. Yang pasti, dulu saya namakannya Safuan. Dari tingkatan 3 sehingga 5. Tapi selepas tamat sekolah saya sudah tidak rasa lagi yang nama Safuan sesuai untuknya sebaliknya saya (yang dalam proses cuba membuang habit suka berimaginasi ini) telah nekad untuk tidak menamakannya apa-apa. Mungkin dengan cara itu saya akan kurang terfikir-fikir tentang kembar imaginasi saya ini.

Yang boleh saya kata, perangai kuat berimaginasi ini bertahan sehingga saya di tahun kedua di sini saja. Waktu itu saya rasa saya perlu betul-betul fokus dengan apa yang saya lakukan. Perlu matang dalam segala aspek dan perlu buang segala sifat budak-budak yang ada. Salah satunya termasuklah si kembar itu. Memang saya tak terfikir langsung dah tentang kewujudan dia dalam minda separuh sedar saya yang telah wujud bertahun-tahun dalam kehidupan saya.

Sehinggalah setahun lebih yang lalu, saya mula mengenali seseorang. Dia bukan orang lain. Orang yang dekat dalam kehidupan keluarga saya. Apabila mengenalinya, saya lihat perangainya lebih kurang seperti kembar imaginasi saya itu. Malah, dia juga seorang yang berimaginasi bahawa dia juga mempunyai kembar. Ajaib betul. Kami sebaya. Tarikh lahir kami hampir-hampir saja. Disebabkan dia lahir terlebih dahulu, jadi dialah abang dan saya adiknya.

Imaginasi saya jadi kenyataan. Kisahnya bukan setakat di sini. Kembar imaginasi saya kini bukan lagi sekadar bayangan tapi benar-benar muncul dalam kehidupan harian. Cuma masih belum ada rezeki agar yang maya menjadi nyata.

Bersambung…

Nota 1: Nama Safuan itu dulu saya beri kerana saya sukakan huruf F. Kalau dah kembar, biasanya huruf awal nama juga adalah sama, kan. Jadi, muncullah Safuan. Kebetulan, nama kembar yang nyata itu juga bermula dengan S dan mempunyai huruf F. Huhu.
Nota 2: Saya menulis entri ini kerana ditanya oleh Khairul apakah yang saya maksudkan dengan kembar imaginasi saya.

Posted on December 29th, 2008 by Sarah  |  49 Comments »

My Holiday Routine

Assalamualaikum wbt

At the moment, I am 100% agree with my ayah. Too much holiday will slow down our momentum to work. I was lazying around for the past two days. I did revise my notes and all but it didn’t seem enough to satisfy me. Since Embassy of Malaysia held an open house celebrating the belated Eid Adha, so I just agreed to tag Fareena and Wanie to go there. Nothing much we did. Eating, chatting, eating some more, chatting some more and on the way back, we had some snow fight. There’s nothing more professional I could do other than this. I am dead bored with my holiday routine. I still have one more day left to kill. I can’t wait to go to hospital again this Tuesday. Ah no. I sound like so nerdy.

Note 1: Ayah, Uncle Isa’s son (Alumni SMSPP) sent his warmest salam to you.
Note 2: I’ll write something more beneficial later.
Note 3: Please suggest me what should I do tomorrow. I don’t want to be a dugong in my room.

Posted on December 29th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Ayah

Assalamualaikum wbt

Tadi ayah menegur saya di Gtalk. Ayah memaklumkan bahawa mereka semua sedang berada di rumah Tok Penang. Saya bertanya, kenapa mengejut sungguh ayah balik kampung kali ini. Kalau tidak kerana saya menelefon adik saya, Adnan, semalam petang, saya mungkin tidak tahu akan hal ini. Jawab ayah, Tok Anjang (Abang Tok Penang) meninggal dunia kelmarin di Alor Setar. Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Barulah saya tahu duduk perkara yang sebenar.

Ayah menanyakan khabar saya, duit poket cukup atau tidak dan beberapa perkara lain. Semuanya baik-baik saja, jawab saya. Badan sihat, duit ada, sekarang sedang cuti dan tahun baru nanti pun cuti lagi. Ayah bertanya tentang sambutan Krismas di sini bagaimana keadaannya. Saya menceritakan keadaan orang di sini yang serba ringkas saja sambutan mereka kerana mereka di sini gila kerja (walaupun agak lembap sistem-sistem yang digunakan). Tambahan pula, perayaan sebenar disambut pada 7 Januari nanti. Sempat ayah mengomen, katanya di Malaysia cuti banyak sangat. Sampai nak dekat sebulan. Teringat pula rungutan seorang blogger di blognya.

Sebelum mengakhiri perbualan, kata ayah:
“See you. 6-7 bulan saja lagi. Lepas ni cuba belajar selok-belok orang Islam di Rusia pulak.”

Saya tak pernah rasa kecewa dengan nasihat dan pandangan daripada ayah. Ayah memang memahami jiwa saya. Dia tahu saya berhajat untuk ke beberapa buah bandar Islam berdekatan ketika cuti nanti. Dan ayah tak pernah melarang saya walau dia tahu saya berkemungkinan pergi secara solo sekalipun sebab ayah sangat percayakan saya.

Nota 1: Bajet sudah diluluskan oleh ayah! Saya boleh mendapatkan barang itu. Horray!
Nota 2: Saya sayang ayah saya. Saya juga sayang emak saya. Saya sayang keluarga saya!
Nota 3: Saya yakin, kawan-kawan baik saya seperti Faiq, Yasir, Acai, Nadia, Akak dan Cik Ati akan mengejek saya ini anak ayah. Siapa cakap macam tu, nanti saya kejar dengan rotan! =p

Posted on December 27th, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Dalam Kenangan

Assalamualaikum wbt

Awal Muharam 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 sudah semakin hampir. Selama ini, jika saya hendak menyasarkan azam baru untuk sesuatu tahun itu, saya ada kriteria saya yang tersendiri. Azam yang berbentuk perubahan positif untuk sifat dan hati sebagai seorang Muslim dan anak, saya sentiasa mengguna pakai kalendar Hijrah sebagai titik permulaan. Saya senaraikan apa yang saya sasarkan dalam tempoh setahun itu. Bagi perubahan dari segi etika diri, cita-cita dalam pelajaran dan pekerjaan juga sasaran dalam setahun mendatang sebagai seorang pelajar, saya menjadikan kalendar Masihi sebagai titik permulaannya.

Kali ini, tahun baru Hijrah dan Masihi tiba pada masa yang hampir sama. Jadi, untuk kali ini saya telah merangkumkan kesemuanya dalam satu senarai. Sebelum saya mula menyenaraikan target saya untuk setahun mendatang ini, saya mengkaji dulu pencapaian saya untuk tempoh setahun ini.

Alhamdulillah, sebelum habis beberapa hari lagi dalam tahun 1429 Hijrah dan 2008 ini, hampir 100% target saya sebagai seorang Muslim dan anak tercapai. Jadi sasaran saya untuk tahun depan semoga apa yang saya telah mulakan akan saya teruskan selamanya dengan penghayatan yang lebih. Bukankah maksud istiqamah itu ialah berterusan dan semakin memperbaiki kualiti pekerjaan kita itu. Jadi, untuk tahun baru ni, saya cuma nak tambah satu. Saya berniat dalam tahun 2009 ni saya sudah boleh memberi duit kepada emak ayah pula. Fuh. Bertahun menunggu hajat ni untuk disuarakan. Akhirnya tiba juga tahun yang dinanti-nanti. Moga saya dan emak ayah saya panjang umur untuk disempurnakan hajat ini. Saya ni umur sudah 23 tapi masih lagi mendapat duit poket dari ayah. Ditanggung serba-serbi lagi. Rasa tak sabar untuk melakukan yang sebaliknya pula.

Sebagai seorang pelajar pula, Alhamdulillah juga saya ucapkan. Pencapaian saya sepanjang tahun 2008 sangat memuaskan hati. Saya mendapat straight excellent dalam 8 subjek ketika final exam yang lalu walaupun dalam keadaan sakit-sakit. Juga medapat testimoni yang baik ketika praktikal dan pengurusan masa yang sangat memuaskan hati saya. Tapi kekurangannya tetap ada. Saya masih belum dapat mengawal emosi dengan baik ketika musim exam dan yang paling utama, saya masih lagi terikat dengan pelbagai tugas. Saya sudah di tahun akhir. Ini yang perlu saya beri perhatian selepas ini.

Jadi, salah satu niat saya pada tahun depan, saya mahu melepaskan segala tugas yang ada dan menjalani kehidupan sebagai pelajar normal yang tidak terikat dengan sebarang tugas luar sama ada persatuan atau penulisan yang lain. Saya mungkin nampak seperti pentingkan diri sendiri. Tapi saya terpaksa. Jadi, saya harap saya ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Ada beberapa lagi azam saya untuk tahun baru ini. Yang paling utama ialah tamat belajar tepat pada masanya dengan keputusan yang boleh membanggakan diri sendiri. Setakat ini, keputusan saya cukup boleh buat saya sangat senang hati dan emak ayah saya tersenyum. Tak perlu saya lihat orang lain. Saya akan berpuas hati jika saya dapat mencapai target diri sendiri yang saya buat sejak 5 tahun yang lalu. Serius Ya Allah. Moga-moga Kau permudahkan niatku ini.

Tentang kahwin, sila jangan tanya lagi. Saya belum terfikir lagi sebab saya mahu tunggu computer geek datang melamar dengan ros merahnya. Hahaha.

Salam Maal Hijrah 1430 Hijrah
dan
Selamat Tahun Baru 2009

Nota: Kalau ada rezeki, blog ini juga akan berubah hosting pada tahun baru ini insya Allah =)

Posted on December 26th, 2008 by Sarah  |  38 Comments »