Archive for the ‘Friends’ Category

Nostalgia Seorang Pembahas Cabuk

Assalamualaikum wbt

Ewah. Tajuknya macam apa saja bunyinya, kan. Tiba-tiba saya rasa ingin berkongsi cerita ketika zaman sekolah dahulu. Apa lagi kalau bukan dunia saya dengan perbahasan. Dulu saya pernah berniat hendak merahsiakan identiti sebagai bekas pembahas daripada pengetahuan ramai tetapi dalam satu entri lama dahulu, seorang junior saya telah mendedahkan segalanya di ruangan komen. Punahlah impian nak menyimpan cerita lama di dalam poket. Alang kepalang semua pun sudah tahu, jadi saya pun terasa hendak berkongsi sedikit pengalaman dulu-dulu.

Saya mula berbahas sejak darjah 4. Ketika itu perlawanan hanyalah di antara rumah sukan. Sukan Ilmiah Dwi Tahunan. Peringkat sekolah sajalah. Saya masih ingat guru yang membuatkan saya terlibat dengan bahas. Ustazah Norlida. Guru sementara pada ketika itu. Dialah yang memperkenalkan bahas pada saya. Seterusnya ketika dalam tingkatan dua, saya bersekolah sidang petang. Mungkin secara kebetulan saya yang pada ketika itu menjadi anak murid kesayangan cikgu Bahasa Melayu dan Sejarah merangkap Guru Penasihat Badan Disiplin dan jurulatih bola jaring saya, Cikgu Zaitun, saya telah diserap antara 8 orang yang pergi menonton tayangan promosi Bahas Ala Parlimen yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1998. Ketika saya menonton video promosi itu sudahpun tahun 1999 dan juara Piala Perdana Menteri tahun 1998 adalah milik Sem. Men. Sains Teluk Intan (selepas ini baca SEMESTI). Dan setelah disaring, saya satu-satunya pelajar tingkatan 2 yang dipilih untuk menyertai pasukan bahas Bahasa Melayu Sek. Men. Agama Al-Khairiah bersama-sama 5 orang lagi pelajar tingkatan 4 yang lain. Kak Maslina, Suhaimi (Matmie), Fadlian, Syamley dan Fakhrul Rofiz. Saya diletakkan dalam pasukan utama dan Syamley dan Fakhrul akan bergilir-gilir menjadi simpanan bagi pertandingan yang berbeza. Saya memang sangat kekok pada mulanya kerana mereka semua di sidang pagi dan sudah senior-senior. Sayalah yang paling kecil dari segi umur dan saiz dalam pasukan itu. Tahun 1999 menjadi titik permulaan saya membina nama dalam Bahas Bahasa Melayu di daerah Temerloh. Saya memegang posisi pembahas ketiga merangkap tugas sebagai tukang bidas segala-galanya. Lain katanya, saya tidak boleh bergantung dengan sebarang teks melainkan isi-isi penting yang ringkas dan dengan spontannya perlu berhujah untuk membidas. Inilah peranan orang ketiga. Tapi saya juga boleh dan pernah memegang posisi sebagai pembahas pertama atau Perdana Menteri dan juga pembahas kedua.

Dan pada tahun itu juga saya dipaksa mewakili sekolah dan seterusnya menang untuk mewakili daerah dalam syarahan Bahasa Melayu ke peringkat negeri. Alhamdulillah. Rezeki agaknya. Saya menjuari Syarahan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang. Dan pada tahun yang sama, kakak saya memenangi Syarahan Bahasa Arab peringkat negeri bagi kategorinya dan bagi adik saya pula, Adnan, memenangi Syarahan Bahasa Inggeris bagi kategorinya. Lengkap 3 bahasa.

Pada tahun 2000, saya masih dikekalkan dalam pasukan utama. Saya sudah di sidang pagi dan kemesraan bersama senior-senior bahas yang lain memang sudah serasi. Saya masih ingat kepadatan jadual saya pada ketika itu (sebab itu saya tidak suka tuisyen kerana menambahpenatkan lagi diri). Pernah sekali dulu saya dalam masa seminggu lebih berderet-deret setiap hari mengikuti pertandingan yang berbeza-beza. Bermula dengan Bahas Ala Parlimen Piala Dato’ Shukur dari hari Isnin sehingga Jumaat. Diikuti dengan berkampung di sekolah saya untuk mewakili Syarahan Bahasa Arab peringkat Zon (saya berpaling tadah masuk Syarahan Bahasa Arab menggantikan kakak saya. Kakak saya sudah bertukar sekolah selepas PMR) dari Jumaat petang sehingga Isnin dan pada hari Rabunya pula terus bertolak ke Kuala Lipis untuk mewakili kontijen Temerloh dalam Syarahan Bahasa Arab peringkat negeri dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang.

Penat memang tidak terkata. Saya tidak duduk di hostel. Saya budak luar yang berulang. Waktu itu, saya hanya pulang ke rumah untuk mengosongkan beg baju dan mengisinya dengan baju baru untuk ke perlawanan yang berikutnya. Dan satu lagi, saya pulang ke rumah untuk membuat air asam jawa buatan sendiri yang saya jadikan petua melegakan tekak. Kalau suara tidak dijaga, agaknya bertukarlah suara saya menjadi suara garau selepas berderet-deret mengguna pakai peti suara kurniaan Allah ini. Berikutnya, apabila liga Bahas Bahasa Inggeris bermula, saya kembali sibuk kerana saya turut mewakili sekolah sebagai pembahas Bahasa Inggeris. Lagi sekali, posisi saya diletakkan sebagai orang ketiga. Geram betul saya.

Tahun 2000 satu rekod buat saya. Setiap pusingan perlawanan, saya telah dipilih sebagai Pembahas Terbaik. Lucu pun ada. Sebab kebanyakan peserta semuanya lebih senior dari saya. Paling tidak boleh saya lupakan adalah perlawanan dengan Sek. Men. Dato’ Bahaman di Lanchang. Kesemua pembahasnya adalah pelajar lelaki tingkatan 5. Saya bertindak sebagai pembahas ketiga pada ketika itu. Kami menang. Dan selang beberapa hari selepas itu, saya mendapat panggilan telefon di rumah daripada ketiga-tiga mereka secara berasingan. Haha. Popular pula rasanya pada ketika itu. Tapi maaflah ye. Saya abaikan saja mereka selepas panggilan pertama itu. Tamatlah riwayat Ridhwan, Zakri dan Hannif. Wah! Saya masih ingat nama mereka.

Tahun berikutnya saya berpindah ke KISAS. Ini sekolah impian saya. Ada banyak faktor yang mendorong saya ke sana termasuklah pasukan bahas sekolah ini yang menjadi salah satu daripada tujuan ke sana. Sungguhpun pada mulanya saya tidak sukakan KISAS dan kehidupan berasramanya dan kedudukan saya yang diletakkan dalam pasukan Bahas Bahasa Inggeris, saya tidak rasa menarik langsung KISAS. Saya tidak jumpa kehidupan lama saya dulu. Saya tidak lama bersama bahas Bahasa Inggeris. Dua tiga bulan saja. Tapi bermula dengan mewakili KISAS dan Selangor di Perkampungan Penulis Muda Peringkat Kebangsaan di Terengganu, guru pengiring yang juga merupakan guru penasihat bahas Bahasa Melayu KISAS telah menyemak kembali latar belakang saya dan saya telah dijemput untuk menyertai pasukan Bahas Bahasa Melayu. Bukannya saya tidak mencuba dalam pemilihan pelapis tapi kumpulan bahas saya telah dibubarkan kerana 2 orang pelajar putera yang diletakkan sekumpulan dengan saya telah menarik diri di saat akhir.

Dipendekkan cerita, sejak Jun 2001, kehidupan saya dalam famili kecil pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS pun bermula. Tugas saya pada mulanya hanya sebagai kuli kecil yang menjadi tukang cari fakta kes dari internet, tukang belikan air dan makanan dan segala kerja-kerja pengemaskinian untuk pasukan utama. Ada 3 orang guru penasihat. Cikgu Noridah, Cikgu Jamaliah dan Cikgu Siti Arfah. Pasukan utama terdiri daripada Abang Fairuz, Kak Najah, Kak Erny Julia, Abang Khairil dan Khaliz. Pasukan pelapis pula ada Wira Al-Fatah, Naseem, Ainur dan saya sendiri. Saya memang bukan objek penting sepanjang tahun 2001. Tapi dari situlah saya mula belajar selok belok Piala Perdana Menteri (PPM) yang menjadi tujuan saya. Sebetulnya tahun itu saya lebih menyerlah dalam Syarahan Bahasa Arab. Mungkin kerana rekod lama, cikgu-cikgu lebih melihat saya berpotensi dalam bahagian ini.

Tahun 2002 menyaksikan segalanya. Saya diletakkan dalam pasukan utama bersama-sama Khaliz (Perdana Menteri) dan Naseem (menteri ketiga). Simpanan untuk PPM ialah Husna Harun dan simpanan untuk Piala Dato’ Shukur ialah Shafie Jameran dan Husna. Pelengkap pasukan kami (macam saya dulu-dulu waktu tingkatan empatlah) turut ada Anas Hamim, Mursyida dan Nurul Syuhadah. Saya tidak pernah menganggap mereka tidak penting. Sebaliknya merekalah adik-adik yang paling banyak membantu saya melengkapkan diri untuk menjadi pembahas yang baik. Bermula dengan Piala Dato’ Shukur peringkat daerah (johan) dan seterusnya ke peringkat negeri. Final bertemu SMAP Kajang tapi bukan rezeki kami untuk ke Sarawak pada tahun itu (ada ketidakadilan dalam sistem penghakiman pada waktu itu. Aisshhh… Saya akan ingat sampai bila-bila. Hihi). Seterusnya kami mula sibuk dengan PPM. Cuti penggal dikorbankan dengan PPM yang berkampung di Sek. Men. Sains Dungun pada tahun itu. PPM sangat mendera fizikal dan mental. Jika tidak bersedia, memang boleh tersungkur. Ketika liga yang memenatkan itu, KISAS dilihat sebagai pasukan yang punya trademark yang tersendiri. Saya diletakkan sebagai pembahas kedua diapit oleh 2 orang lelaki yang sangat tinggi. Bila mana orang menyebut tentang pasukan KISAS, mereka akan terbayangkan kedudukan tinggi-rendah-tinggi. Itulah kombinasi Khaliz-saya-Naseem. Ketika itu, semua orang kenal kami. Saya pun kurang pasti dengan jelasnya apa yang buat kami lain dari yang lain. Mungkin kerana ketiga-tiga kami mempunyai stail yang tersendiri dan watak kami semuanya berbeza.

Alhamdulillah, PPM berjaya melangkahkan kaki ke final. Sementara menanti final di bulan September, kami menyertai Debat Piala Terbuka UIA kali yang pertama. Liganya sangat memenatkan. Alhamdulillah. Kami menang debat ini dengan liku perjalanan yang sangat payah. Sementara menanti final PPM juga, Naseem dan Husna memenangi Syarahan Bahasa Melayu peringkat kebangsaan dan Khaliz pula menjadi johan Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan. Saya lebih tertumpu dalam bidang penulisan pada waktu itu. Murah rezeki famili bahas kami untuk tahun itu.

Ketika final PPM, kami bertemu pasukan legenda, SEMESTI. Pasukan yang saya kagumi sejak tahun 1999. Bertemu Lim Ann Nee, Amir Syafiq dan Fadhly Khairi adalah pengalaman yang hebat. Tajuk final PPM tahun 2002 ialah Karnival Jualan Mega Meningkatkan Ilmu Kepenggunaan Di Kalangan Masyarakat. KISAS menjadi pihak kerajaan dan saya diberi tanggung jawab untuk menjadi penggulung pasukan. Sesungguhnya persediaan untuk final memang sangat menyeksakan. Pulang ke hostel lewat jam 1 atau dua pagi selepas diskusi. Sesi prep petang terbang melayang kerana digunakan untuk diskusi juga. Segalanya hanya untuk PPM. Kalaulah sehari ada 24 jam, hampir 20 jam hidup saya bersama dengan bahas sahaja. Tapi Alhamdulillah. Sungguhpun malam sebelum final itu saya mengalami tonsilitis, Naseem yang tidak berapa sihat juga pada waktu itu, pasukan bahas Bahasa Melayu KISAS 2002 berjaya menjuarai Piala Perdana Menteri (PPM) pada tahun itu dan membawa pulang piala yang sudah 19 tahun tidak kembali ke kolej! Alhamdulillah! Segala puji dan syukur hanya layak untuk-Nya.

Setiap daripada kami bertiga punya kelebihan masing-masing. Saya pernah digelar sebagai robot oleh senior-senior dulu. Adalah kisahnya kenapa begitu. Dan disebabkan karakter yang berbeza-beza ini, pasukan kami tahun itu sangat unik. Hasilnya, Khaliz pernah menjadi Pembahas Terbaik Daerah Klang, saya menjadi Pembahas Terbaik Negeri Selangor dan Naseem menjadi Pembahas Terbaik Kebangsaan. Saya sayang dua orang teman saya ini. Mereka berdua banyak membantu saya membentuk satu karakter yang tiada pada orang lain pada waktu itu. Dan kerana mereka jugalah saya nampak lain ketika beraksi di pentas. Sebenarnya saya terkejut kerana selepas meninggalkan dunia perbahasan, rupanya-rupanya stail dan cara yang saya gunakan dulu-dulu telah digunapakai pula oleh junior-junior bahas dari pelbagai sekolah. Kata mereka, stail Kak Sarah KISAS. Lucunya. Macam legenda pula. Padahal siapa sajalah saya ni hendak dibandingkan dengan Khaliz dan Naseem.

Begitulah kisahnya. Selepas tahun 2002, saya tidak lagi berbahas. Sudah pencen sepenuhnya. Cuma setiap kali pulang ke Malaysia, saya akan melawat KISAS dan melatih adik-adik di sana. Begitu juga dengan sekolah lama saya dulu. Cukuplah menjadi juruletih saja. Pernah tahun lalu saya dihubungi oleh pendebat-pendebat Uniten yang saya temui ketika menyaksikan Debat Piala Timbalan Canselor UKM yang mengajak saya mengambil bahagian dalam Pesta Debat Bahasa Melayu sempena 50 tahun kemerdekaan. Tapi malangnya saya tidak dapat menghubungi Hafizi dan Meor (bekas pembahas SMAP Kajang dan SERATAS yang belajar bersama saya di Moscow) untuk membentuk pasukan dari Moscow. Ada beberapa kali berhubung dengan wakil-wakil dari Uniten itu. Faizal dan Niko (atau Niki) namanya. Bersungguh-sungguh mereka mengharapkan penyertaan dari Moscow. Tapi tiada rezeki.

Ada yang bertanya, bagaimana saya belajar untuk SPM pada tahun 2002. Jawapannya mudah. Walau sibuk dan letih yang macam mana sekalipun, saya akan memastikan sebelah malamnya saya akan menelaah sehingga jam 2 pagi di bilik. Saya wajibkan diri supaya saya tidak ketinggalan. Sendiri memilih untuk berbahas, sendiri jugalah yang bertanggung jawab pada pelajaran kan. Dan sebaik telah menjuarai PPM, saya punya betul-betul 40 hari saja sebelum SPM menjelma. Saya tahu saya tidak akan dapat pulun 100% pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk tidak terlepas mengamalkan 40 kali bacaan Yaasin setiap hari sebelum menjelangnya SPM. Tahun itu, saya, Khaliz dan Naseem bukan sekadar menggondol PPM, kami juga sapu bersih SPM dengan jayanya. Alhamdulillah.

Petua saya hanya satu. Walau sibuk macam mana sekalipun, kita perlu bijak bermain dengan emosi dan menyusun jadual harian dengan baik. Jangan jadikan alasan sibuk dengan kokurikulum untuk tidak belajar. Salah begitu. Sebaiknya jadikan kesibukan itu sebagai guru terbaik untuk melatih diri menjadi lebih berdisiplin dengan masa dan diri sendiri. Huhu. Saya budak skema dulu. Lupa pula!

Di sebalik kejayaan pastilah ada pendorongnya kan. Pendorong saya waktu itu pastilah emak dan ayah saya. Setiap perlawanan-perlawanan penting saya pasti akan ada mereka datang bersama menyaksikannya. Juga 2 orang senior lepasan KISAS yang tidak jemu-jemu melatih kami dulu. Kak Anisa dan Abang Wan. Terima kasih Kak Ani, Abang Wan. Jasa kalian tidak akan saya lupakan. Juga senior-senior bahas KISAS yang ketika itu kebanyakannya sedang melanjutkan pelajaran di UIAM. Terutamanya Abang Cipul dan ramai lagi pendebat UIAM yang selalu menjadi pengkritik tetap kami. Kalau tak silap ada seorang yang namanya Abang Faizi. Inilah orang pertama yang kata suara saya seksi. Auw… Seksi ke apanya. Ganas macam jantan. Huhu. Abang Cipul, gelaran robot untuk saya itu kekal sehingga habis sekolah tau!

Inilah kisahnya. Inilah sejarahnya. Saya kini bukan lagi Sarah yang dulu. Saya seorang pembahas pencen yang tidak punya apa-apa lagi melainkan secebis kenangan manis yang insya Allah akan saya kenang selagi hayat dikandung badan.

“Andainya masih ada cinta dalam hatiku, akanku berikan kepada menteri yang kedua”. Pasti Fadhly Khairi tersenyum andai dia terbacakan entri ini… Nostalgia sungguh. 😊

Tuan Pengetua Ustaz Haji Abdullah Hussien, Naseem, Khaliz, Umi Ida, saya, Husna dan Umi Siti

Nota:
Maaf dengan sangat. Saya sibuk sekarang. Rindu-rindu, bacalah entri-entri lama dulu ye.

Posted on May 6th, 2008 by Sarah  |  64 Comments »

Khabar Dari Moscow

Assalamualaikum wbt

(Entri ini panjang. Abaikan kalau malas baca) =)

Update terkini: Holiday = Have Fun (Pena) dan Lukisan Alam (Wanie)

Pada hari Rabu lepas, saya telah menyertai junior-junior lelaki pergi memancing. Mereka berlima lelaki dan termasuk saya, ada 4 orang pelajar perempuan. Kesemuanya 9 orang. Makanya nelayan-nelayan moden pada petang itu ialah Harjit (Ketua Nelayan), Khairul (Davai), Mani, Mun, Paan, Fatt, Pena, Emy dan saya. Sebelum bertolak, saya memaklumkan ayah tentang aktiviti petang itu melalui sms. Kami bertolak pada jam 4 petang dari rumah. Cuaca memang panas pada petang itu. Saya sendiri tidak membawa sebarang jaket kerana saya tahu cuaca memang panas kerana pada sebelah paginya saya telah ke hospital terlebih dahulu. Sekitar 45 minit menaiki metro, kami tiba di stesyen yang dituju. Dari stesyen itu, kami perlu berjalan kaki menuju ke jalan besar dan menaiki bas menuju ke kawasan kolam yang dimaksudkan. Oh terlupa. Sebelum itu, kami ada tersesat sedikit kerana Harjit terlupa arah yang sebenar. Tak jadi hal. Jalan-jalan tanya orang keliling baru ada rasa mencabar. Oh terlupa lagi. Yang budak-budak perempuan ni pula, sebaik keluar dari stesyen metro, mereka terpandangkan Discount Center. Pusat membeli belah yang menawarkan harga terbaik untuk jenama Adidas, Puma, Nike dan beberapa jenama yang lain. Sabar ajelah oi. Ok. Sambung cerita.

Sewaktu di dalam bas, saya menerima balasan daripada ayah. Tanyanya: Dah dapat berapa ekor ikan? Yang ini buat saya tergelak. Sampai pun belum lagi, ada ke patut ayah tanyakan berapa ekor sudah ditangkap. Hehe. Sebenarnya kami lambat sampai kerana sesat dan jalan sesak. Saya memberitahu itu kepada ayah. Lalu dibalasnya: Kalau nanti tak dapat ikan, balik pergi memancing kat pasar aje lah. Kami semua tergelak apabila saya bacakan kandungan sms dari ayah ini. Sebaik turun dari bas, baru kami tersedar bahawa kami terlajak 1 stesyen. Aduh. Berjalan kaki patah ke belakang semula. Tak jadi hal. Seronok jalan kaki ramai-ramai. Gembira je rasa.

Sebenarnya ini pertama kali saya pergi memancing di sini. Kawasan kolam yang kami kunjungi ini memang banyak ikan. Kolam ini adalah kawasan air yang disalurkan dari Sungai Moscow yang mengalir berhampiran. Kawasan ini namanya Ploshad Andropova yang terletak di Avtozavodskaya-Kolomenskaya. Kawasannya luas dan nyaman. Untuk mendapatkan feel memancing, budak-budak lelaki itu sengaja memilih kawasan yang berpokok untuk kami berkumpul. Maka, terbentanglah tikar kami yang penuh dengan segala jenis makanan. Macam nak berkelah pula. Disebabkan kami ini memancing ikan Rusia, jadinya umpan kami hanyalah roti. Kot-kot dapat menarik selera mereka, kan. Kami gunakan baton (tipikal roti tempatan). Maka selepas budak lelaki siap memasang pancing, kami pun mula memancing. Saya dan Fatt berkongsi pancing. Dan begitu juga yang lain. Berkongsi dan bergilir-gilir menunjukkan kehebatan masing-masing. Termasuklah kehebatan memasang umpan. Hoho.

Dipendekkan cerita, ikan pertama berjaya ditangkap oleh Mani. Kemudiannya diikuti oleh Fatt. Tercabarlah si Ketua Nelayan, Davai dan Mun kerana mereka ini adalah otai-otai memancing. Ada ikan lagi tak lepas tu? Haha. Tiada. Itu sajalah 2 ekor ikan yang berjaya kami tangkap untuk hari itu. Seronok memancing pada petang itu. Kami solat Asar pun di atas tikar di tepi kolam saja. Sambil menghargai nikmat musim bunga dan angin sepoi-sepoi yang datang dari arah sungai.


Inilah kami yang gigih!

Tekun sungguh Davai. Davai dan Munlah yang paling banyak taktik dan teknik untuk memancing. Malangnya, tangan mereka kurang tuah sikit untuk petang itu. Dan saya pula tidak membawa sebarang jaket. Apabila hari sudah semakin senja, angin agak kuat dan sejuk. Paan memberikan saya sweaternya. Besar gedabaklah untuk saya. Bila tiba di rumah malam itu, saya selsema dan mata pula mengalami radang kerana habuk.

Ada sesuatu yang saya puji pada junior-junior lelaki saya ini. Mereka semuanya berbudi bahasa (inikah terjemahan terbaik untuk gentlemen?). Contohnya, apabila saya mula bersin-bersin sebab agak sejuk disebabkan angin petang dan begitu juga Fatt (sebab kami berdua je yang tidak membawa jaket), Paan dan Harjit menawarkan sweater masing-masing. Sebaik meninggalkan kawasan kolam itu untuk pulang (sekitar jam 9 malam, Maghrib baru saja hendak masuk), Mani dan Mun bergilir-gilir menjadi orang yang berjalan di belakang sekali untuk keselamatan. Terima kasih semua. KS puji sikap kamu semua. Nak tahu selepas itu kami ke mana? Semasa sesat mencari arah ke tempat itu, kami ada menemui sebuah restauran makanan Jepun dan kami sempat melihat papan menu yang diletakkan di luar restauran. Harganya jauh lebih murah daripada restauran yang biasa kami pergi di Akhodny Ryad! Agaknya kawasan ini adalah di luar kawasan City Center. Kami pun apa lagi. Bagai nelayan pulang petang yang kebuluran menuju ke restauran itu dan jangan terkejut, ada seorang daripada kami yang makan sampai 5 hidangan bayarannya hanya lebih kurang RM100! Sangat murah! Dan ada yang pada mulanya berkira-kira hendak berjimat kerana takut terlebih bajet juga membuat ulangan tempahan kerana harganya memang murah dan sangat sedap. Saya sendiri makan 2 jenis makanan berkongsi dengan Emy. Saya habis tak sampai RM30. Sangatlah murah. Kami duduk di situ sampai jam 11.15. Siap solat Maghrib segala. Antara yang kami bualkan adalah tentang kampung halaman masing-masing. Paan dan Mani yang tak sudah-sudah memberikan info tentang Perak, terutamanya Ipoh dan Batu Gajah. Dan kebetulan saya dan Harjit berasal daripada tempat yang sama, kami bercerita itu ini tentang Temerloh. Kesimpulannya? Kesimpulannya ialah, Temerloh Bandar Ikan Patin yang best! Huhuhu. Jam 12.15 barulah kami sampai semula ke rumah kerana mengambil jalan jauh dengan menaiki metro.

Dan pada 1 Mei setiap tahun, di People Friendship University (PFU) akan diadakan Colours of the World. Hari di mana pelajar-pelajar dari seluruh dunia yang menuntut di PFU akan membuat pameran mempromosikan negara masing-masing. Di PFU tiada penuntut Malaysia (uni ini bukan dalam senarai JPA atau MARA). Jadi, tiada gerai pameran Malaysia. Agak rugi saya kira kerana terdapat komuniti pelajar Malaysia yang ramai di sini dan Malaysia pula mempunyai tradisi dan kesenian yang sangat cantik untuk diperkenalkan kepada ramai. Di PFU terdapat wakil daripada 114 negara di dunia. Tapi jumlah gerai yang dibuka tidak sebanyak itu rasanya. Tapi sungguh! Memang padat dan meriah di situ. Setiap negara yang punya tarian tradisional akan memasang muzik dan mereka akan terhenjut-henjut menari beramai-ramai, mengajar dan mengajak orang lain menari sekali. Cuba bayangkan jika ada Malaysia di situ. Dan cuba bayangkan jika tiba-tiba ada yang berpencak silat dan berzapin inang di situ. Pasti meriah dan menarik kerana tiada satupun tarian di dunia yang boleh menandingi atau menyerupai tarian kita. Kita sungguh unik! Tak tipu.

Kami semua 9 orang. 8 perempuan dan seorang saja laki. Di kawasan PFU, kami terserempak dengan ramai lagi rakan-rakan Malaysia yang lain. Dari uni kami mahupun dari uni yang satu lagi.

Cuba lihat. Betapa ramainya orang yang datang. Ini baru di sebelah dataran. Belum di tapak pameran dan dataran makan. Saya kan agak kureng sikit dengan orang ramai begini. Sudahnya kami berempat duduk-duduk dan melihat orang lalu-lalang saja. Sakit kepala. Nasib baik ada Pena yang tinggi yang boleh saya jadikan pelindung daripada terik. Huhu. Terima kasih ye Pena.

Kami tidak lama di sana. Sejam lebih saja. Inipun kami berpecah 3 kerana ada yang sangat gembira bergambar dan berjalan ke sana sini. Bagi yang berminat dengan barang-barang jualan, mereka menjenguk ke setiap gerai-gerai yang menarik (Iku la tu kan. Siapa lagi). Dan bagi yang lembik dan malas, kami berjalan sikit saja. Selepas tu hanya duduk-duduk saja. Selepas itu kami semua berjanji untuk berkumpul di Devi’s. Sebuah kedai makanan India. Semuanya hendak makan Nasi Beriyani. Saya tidak. Makan Shezchwan Noodles aje. Itupun separuh saja. Mily yang habiskan. Pening sangat. Dalam perjalanan pulang, kami melalui semula PFU. Jam 7 petang. Semuanya telah dikosongkan. Sangat menepati masa dan kerjasama daripada polis sangat tip-top! Keselamatan sangat dititikberatkan. Tiada gaduh-gaduh bagai. Pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkan tapak sedang bekerja. Sungguh cepat dan cekap semuanya diuruskan. Mantap. Pukul 8 sudah tiba di rumah. Maghrib masih lambat. Semuanya tersadai berehat.

1 Mei juga merupakan tarikh keramat buat saya. 1 Mei 2008 telah genap kisahnya saya terbakar 15 tahun yang lalu (rujuklah entri lama). Terima kasih Allah atas nikmat umur dan nyawa yang dipanjangkan. Dan terima kasih emak ayah kerana menjaga Ngah. Ha. Siapa nak kulit cantik, jangan lupa petua kulit pisang yang pernah saya cerita dulu ye 😉

Posted on May 2nd, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

Aiman Mohd Shukor

Assalamualaikum wbt

Hari ini 29 April. Ulang tahun kelahiran Adik Aiman yang ke-10. Ini adik bongsu saya. Buat Adik Aiman, Selamat Hari Lahir.

Aiman merupakan adik yang paling suka request saya masak itu ini ketika di rumah. Dia jugalah yang boleh menjadi peneman terbaik untuk dibawa berjogging (mak tak bagi jogging seorang diri di Taman Tasik Temerloh *saya pun tak berani*). Dia juga peneman terbaik yang boleh saya bawa ikut membeli barang (makanan ringan) selepas berjogging. Kadang-kala, selepas berjongging kami berdua akan singgah makan roti canai di Old Town. Sangat best. Dia ini agak lembik badannya tapi hebat bertaekwando. Ada beberapa pingat yang telah dimenanginya. Tapi dia pernah patah tangan tahun lalu. Tak pasti pula saya sama ada dia masih aktif atau tidak. Rasanya masih bertaekwando lagi cuma sudah tidak seperti dulu.

Jika hari dia ada taekwando, pulang dari menjemputnya, wajiblah kami singgah di pasar tani. Wajiblah dibelikan untuknya air coconut shake sehinggakan abang di kedai itu sudah mengenalinya. Aiman suka bergambar dan akan membuat simbol peace. Dia rasa cool begitu agaknya. Hehe. Aiman seorang yang tinggi. Umurnya 10 tahun tapi sudah hampir mencecah bahu adik saya Adnan yang paling tinggi melangit di rumah itu. Dan Aiman ini manja dengan semua. Dengan emak ayah dan juga Tok dan Mak Tam.

Saya teringat dulu kami mengusiknya dengan memanggilnya sotong (sumpah Aiman. Ni Adi yang kata mula-mula tu tau). Dia sedang melukis di meja makan sambil berdiri dan kami semua pula duduk-duduk menonton TV di sofa dapur. Tiba-tiba Adi berkata: ‘Cuba tengok sotong tu berdiri’, kami semua menoleh. Aiman terdengarkan usikan kami. Dia melukis sambil bergenang air mata. Sebak pula saya rasa ketika itu. Dan kemudian, dia jerit kuat-kuat ‘Aiman bukan sotonglah!’ dan terus berlari ke biliknya dan mengunci pintu dari dalam. Sayalah yang pergi mengambil gugusan kunci pintu-pintu bilik dan kemudian memujuknya. Saya duduk di tepi katilnya dan hanya begini yang saya katakan. ‘Aiman bukannya sotong, kan. Aiman tak kuat je lagi. Aiman besar sikit nanti Aiman kuatlah kan’. Terus dia kesat-kesat air mata dan ke dapur semula untuk menyambung lukisannya. Saya rasa, disebabkan inilah dia berusaha untuk membuktikan dia kuat dengan bertaekwando.

Aiman, awak memang kuat. Buktinya, awak selalu jadi peneman dua orang kakak awak ini, awak selalu jadi peneman emak di rumah, awak selalu tolong Abang Azizi dan awak selalu jagakan adik Iman untuk Mak Tam. Dan awak memang anak yang baik. Awak dengar kata, boleh diharap untuk menolong kerja rumah dan awak rajin bangun pagi sebelum Subuh masuk sebab awak hendak solat hajat terlebih dahulu. Ngah yakin, emak dan ayah sejuk hati melihat awak begini.

Selamat hari lahir Adik Aiman. Semoga awak cemerlang dalam semua yang awak ceburi. Doa Ngah pada adik-adik setiap kali ulang tahun sama saja. Semoga menjadi anak yang baik, dengar kata dan jangan tinggal solat.

Dan saya juga hendak mengucapkan Selamat Hari Lahir buat beberapa nama penting dalam hidup saya:

::Sepupu saya Farzana Che Ismail (25 April)
::Sepupu saya Syafiq Che Ismail (30 April)
::Sepupu saya Rifqa Kamarul Ariffin (30 April)
::Kawan saya yang ada signifikannya yang tersendiri Ammar Azhar (1 Mei)
::Abang kesayangan keluarga bahas kami, Abang Wan Zokhrie (3 Mei)

Dan ucapan selamat pengantin baru buat Iffah Azhar (adik Ammar) yang akan melangsungkan majlisnya pada 1 Mei ini di Doha, Qatar. Ifa, akak doakan semoga jodoh kamu berdua diberkati dan berkekalan insya Allah 🙂 Akak dah janji nak ucap dalam Bahasa Arab. Tapi dah terlupa pula teks panjang yang akak hafal dari malam tu. Jadi pendeknya hanyalah Alf Mabruk ya ukhti 🙂

Posted on April 29th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »

Sepetang Bersama Mereka

Assalamualaikum wbt

Kegembiraan

Kesungguhan
Keceriaan

Persahabatan

Gelak-tawa

Suka-duka

Pasti akan terpahat selamanya

Semalam hari yang indah. Hari saya dapat bersuka-ria bersama adik-adik serumah dan beberapa orang junior tahun 3 yang lain. Saya kecil saja. Kira tahun 3 pun boleh jugalah. Seperti lazimnya, musim bunga sentiasa menyajikan suasana yang ceria. Bak kata sesetengah pelajar, musim bunga juga musim menjadi. Apa yang menjadi, nanti kita dengar komen adik-adik ini ye.

Perkongsian sepetang bersama mereka cukup mudah.
Akal yang cerdas lahir daripada badan yang cergas.
Ukhwah itu indah jika bertemu dan berpisah kerana Allah.

Saya juga tenang. Dapat berehat-rehat melepas tekanan. Bersama mereka yang menceriakan. Saya tersenyum. Dan mereka ketawa keriangan.

Posted on April 8th, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

Review : Keputusan Pilihanraya 12 Negaraku Tercinta

Assalamualaikum wbt

Saya kira saya tidak perlu mengulas panjang. Semalam memang sebuah sejarah buat negara apabila 5 negeri akhirnya mendapat kepimpinan baru. Kepimpinan Barisan Alternatif. Kepimpinan Pembangkang.

Kemenangan besar PAS di Kelantan bukanlah sesuatu yang pelik. Sudah dijangkakan. Monopoli DAP di Pulau Pinang juga sudah saya jangkakan. Mungkin kerana keinginan masyarakat Pulau Pinang yang inginkan orang lain menggantikan Koh Tsu Koon sudah jelas sejak sekian lama.

Namun, perubahan yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah benar-benar di luar jangkaan saya. Ini kemenangan besar. Ini perubahan yang dinanti-nantikan. Ini sejarah dalam pentadbiran negara.

Ada 2 ironi yang saya fikir-fikirkan sejak semalam. Pertama, Pak Lah kini bergelar pembangkang di negeri sendiri. Keduanya ialah ironi pihak kerajaan menjaga baik Sabah dan Sarawak selama ini. Sebenarnya fungsi dua buah negeri ini kepada BN hanyalah sebagai penyelamat di saat kesesakan. Cuba bayangkan, tanpa kerusi majoriti sumbangan Sabah dan Sarawak, Malaysia kini sudah mempunyai sebuah pentadbiran penuh yang semuanya baru. Ok. Ini hanya imaginasi saya. Mungkin selepas ini tiba masa untuk Sabah dan Sarawak pula untuk membuat pertukaran dan perubahan. Anjakan paradigma kata politikus.

Semalam, saya khusyuk dari pagi ke tengah malam menatap Malaysiakini untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Dan saya bersama dua orang rakan di Malaysia yang turut melaporkan berita-berita terkini. Terima kasih Azwan sebab membantu saya mendapatkan keputusan terkini bersama-sama sampai ke pagi buta dan seorang lagi seorang kawan lama saya, seorang peguam yang ada memberikan sedikit info juga (dia tak baca blog ni rasanya). Cuba bayangkan, makan dan belajar semuanya di depan laptop. Gara-gara menunggu keputusan Pilihanraya 12.

Majoriti 2/3 juga telah dihapuskan oleh pembangkang. Ramai yang sujud syukur kerana sekarang sudah semakin ramai suara yang boleh membela rakyat di dalam Parlimen (baca: KJ dan Adnan Yaakob tak boleh sesuka hati buat pasal). A good check and balance. Dan saya yakin, doa dan harapan rakyat Malaysia kini ialah untuk melihat perubahan ini adalah perubahan yang positif. Yang boleh membawa manfaat buat semua. Ini bukan satu eksperimen tapi inilah doa dan harapan yang diharap-harapkan.

Malam tadi saya sujud syukur sebab kepimpinan ulama diakui oleh rakyat Kedah pula. Saya nak pindah duduk Kedahlah pula. Ups. Saya lupa. Saya ada kampung di Pulau Pinang (kawasan Pak Lah nun) dan di Sungai Petani. Ya. Saya nak jadi orang Kedah! Hehe.

Dan hari ini, 9 Mac 2008, kawan baik saya sewaktu sekolah rendah di Pusat Pengajian Islam Al-Mukmin telah selamat mendirikan rumah tangga. Tahniah buat Siti Hajar Mohd Yasin. Sebenarnya saya sudah terputus hubungan dengannya sejak dia berpindah sekolah di hujung darjah 1. Langsung tidak dengar berita. Sehinggalah di hujung tahun lepas saya terjumpa sebuah blog rahsia yang rupa-rupanya adalah milik Hajar. Blog yang menjadi tempat luahan hati Hajar pada seorang lelaki tanpa lelaki itu ketahui. Dan pada hari ini, selamat sudah Hajar menjadi isteri yang sah buat Mohd Idham (ED) di Tronoh. ED, itulah nama yang tersurat di blog rahsia itu. Menurut Hajar, sebulan lebih lepas mula menulis blog rahsia itu, ED menghubunginya dan ikatan pertunangan terikat. Dan kini, 4 bulan selepas segalanya berlaku, mereka telah bergelar suami isteri. Kerja Allah. Itulah jawapan mereka berdua ketika saya menelefon mengucapkan tahniah petang tadi. Selamat berbahagia buat Hajar dan ED.

Posted on March 9th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »