Archive for January, 2008

Kisah Si Bodoh

Assalamualaikum wbt

Suatu ketika dahulu, saya pernah sangat bodoh. Saya tidak tahu perkataan apa yang patut saya guna walaupun saya benci mengatakan diri saya bodoh. Tetapi itulah hakikat. Lama saya biarkan diri terikat dengan kebodohan itu. Sebab saya tidak tahu dan tidak matang untuk mengatur kaki melangkah keluar dari kebodohan yang saya cipta itu. Mungkin kerana saya masih anak-anak dan tidak punya suara untuk berterus-terang. Kalau boleh diundurkan masa, saya mahu berada semula di suatu ketika dulu di saat sebelum kebodohan itu bermula.

Ada dua sebab saya mahu kembali ke waktu itu. Pertamanya kerana saya harapkan saya lebih matang membuat keputusan pada waktu itu. Agar tidaklah saya terpenjara dalam kebodohan itu. Kebodohan yang buat jiwa saya sakit tanpa mereka yang terlibat tahu bahawa saya tidak bersalah dan saya tersepit. Mereka tidak tahu itu! Kedua kerana saya harapkan insan-insan yang terlibat dalam kebodohan ini lebih berani dan tidak meninggalkan semuanya untuk saya tanggung seorang diri bertahun-tahun. Empat tahun. Ya. Empat tahun. Kenapa mereka itu semuanya lari tutup mata? Kenapa tidak mahu berdepan dengan saya yang saya kira jauh lebih matang dalam menghadapi hal ini daripada mereka? Kenapa dibiarkan masa menentukan semuanya? Penakutkah? Atau mahu meletakkan salah sepenuhnya kepada saya? Saya tidak pernah menipu mereka dan saya sangat jujur dalam meletakkan siapa saya pada masa dan ketika itu. Kenapa sudahnya saya yang dibiarkan dan akhirnya mencipta kebodohan yang saya sesalkan sekarang.

Saya kesal, sedih tetapi cerita bodoh itulah yang menjadikan diri saya yang sekarang. Jadi dalam pada itu, saya berterima kasih kepada mereka yang meletakkan saya dalam kebodohan lampau. Kerana membolehkan saya membezakan yang mana rasa, yang mana jiwa. Yang mana kawan, yang mana teman. Yang mana jahat, yang mana sahabat.

Beberapa hari yang lalu, saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai sahabat. Sungguh saya ikhlas. Saya hargai mereka sebagai sahabat sungguhpun mereka tidak mengiktiraf apatah lagi tahu akan apa yang saya sempurnakan itu. Semoga mereka tidak terleka dan mengulangi penderaan yang pernah mereka lakukan. Semoga mereka tahu di mana untuk menghentikan sebuah pertanyaan.

Buat mereka semua, belajarlah daripada sejarah. Jangan dikelek ke masa hadapan. Yang sudah tu sudahlah. Biarkan sejarah tinggal dengan sebuah noktah. Bukan koma yang ada sambungan. Saya minta maaf atas apa yang terjadi biarpun saya bukanlah punca segala. Saya tahu kamu tidak pernah tahu tentang hal ini. Saya bukanlah punca segala. Jadilah kita sahabat semula. Semoga persahabatan yang pernah wujud dulu, dijernih dan dihidupkan semula. Itu doa saya untuk tahun ini.

Pada hari ini genap empat tahun kita hidup dengan sejarah yang tidak sudah itu. Saya mahu kamu terus sebagai sahabat. Jangan pergi!

Nota: Sajak baru ada di blog lagi satu. Sabut Di Tengah Laut.

Nota 2: Menghayati hikmah Al-Baqarah 2:216 – Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Allah Taala A’lam…

Posted on January 4th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Menjadi Insan Berguna

Assalamualaikum wbt

Menulis tajuk entry saja sudah membuatkan saya tergelak. Bukannya apa. Bunyinya seperti saya hendak memberi motivasi. Padahal, itulah tema yang saya berikan untuk cuti kali ini. Cewah.

2 hari lepas, saya mengemas bilik, ruang tengah, tandas dan menggilap cermin-cermin yang ada. Hari ini pula, saya, Pena dan Fatt mencuci dapur, membersihkan peti ais, menyusun atur semula sususan perabot di dapur dan malam nanti saya hendak membuat cucur udang. Esok saya hendak ke Ikea. Mencari sebuah almari baru untuk dapur. Alang-alang, bolehlah saya ber-ice skating di Mega. Ya. Wajib jika tidak ramai orang. Terasa seperti orang malas saja jika duduk di rumah.

Menjadi insan yang berguna juga maksudnya saya menjadi orang yang tidak membazir makanan. Apa tidaknya. Asyik makan saja kerjanya. Matilah saya macam ni! Petang dan malam pula saya menghabiskan masa membaca buku-buku yang dibeli itu. Sekali dah menghadap buku, jangan harap saya pandang orang keliling.

Oh ya. Saya suka melihat sambutan tahun baru dari atas katil saya malam tadi. Menghadap ke langit dari katil, saya dapat melihat bunga api yang berwarna-warni. Indahnya (walaupun saya tidak dapat melihat bunga api di Putrajaya :p ). Suasana di luar bangunan hostel juga meriah. Kerana bagi orang tempatan, mereka lebih menyambut tahun baru berbanding Krismas. Kalaupun mereka hendak menyambut Krismas, sambutannya adalah pada 7 Januari kerana mengikut kiraan Orthodox (14 hari lebih lewat daripada Katolik). Kenapa mereka lebih meriah menyambut tahun baru dan kurang meyambut perayaan agama adalah antara kesan ideologi Komunisme satu masa dulu yang menyebabkan orangnya gila kerja dan kurang beragama.

Jadi, cuti tahun baru secara rasminya di sini adalah sehingga 10 Januari. Untuk memberi peluang mereka menyambut tahun baru dan Krismas. Malah, atas suara pekerja yang besar dan berkuasa, gedung-gedung perniagaan yang besar dan kompleks membeli-belah juga ditutup pada 1 Januari. Hebat sungguh suara pekerja di sini. Jika di Malaysia, pada 1 Januari itulah lagi ramai yang hendak keluar membeli-belah di tempat-tempat sebegini kan. Dan pada 25 Disember pula, tiada cuti disediakan. Pelikkan? Tapi inilah kalendar Orthodoxisme yang mereka gunakan.

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

77) Teman sejati ialah orang yang mencintaimu meskipun telah mengenalimu dengan sebenar-benarnya iaitu baik dan burukmu.

Posted on January 1st, 2008 by Sarah  |  25 Comments »