Suatu Hari Nanti, Dia Akan Bergelar Abdul Malek!
Assalamualaikum wbt
Sebelum sibuk kembali menjadi rutin saya, baiklah saya menyempatkan diri menulis di sini. Apa yang hendak saya kongsikan kali ini baru saja terjadi minggu lepas. Kisahnya, terjadi di dalam dewan bedah tempat saya bekerja.
Pesakit itu seorang lelaki bernama Malek, berketurunan Orang Asli, berumur 31 tahun. Ketika saya menerima pesakit ini di ruangan Reception, saya sangkakan dia ialah seorang Melayu. Kulitnya cerah dan dia tidak berslanga seperti Orang Asli kebanyakannya. Dia mengalami kecederaan di lengan kirinya akibat terkena sabit. Maka dia perlu menjalani pembedahan kecil untuk membaik pulih lukanya itu.
Disebabkan lukanya di bahagian lengan, maka dia perlu diberikan bius penuh. Dimulakan dengan ubat tidur dan kemudian satu tiub akan dimasukkan di mulutnya dan disambungkan ke mesin ventilator untuk membantu pernafasannya sepanjang pembedahan dijalankan.
Sudah menjadi kebiasaan, saya akan menyuruh pesakit saya berdoa, selawat dan mengucap sebelum ubat bius diberikan. Selain dapat menenangkan pesakit, ini juga sebagai persediaan sekiranya inilah kali terakhir pesakit tersebut dapat melihat dunia ini. Segalanya adalah mungkin apabila sudah berada di atas meja pembedahan. Bukan semua Orang Asli beragama Islam. Ada yang Kristian dan ada yang tiada agama. Memandangkan namanya Malek, jadi, saya pun bertanyakan padanya tentang agamanya sambil-sambil tangan saya laju membuat persiapan untuk pembiusan.
“Awak agama apa, Malek?”
Dia diam seketika. Kemudian saya lihat dia memandang ke arah bahu kirinya yang memang sejak awal tadi lagi saya lihat ada ukiran tatu di situ.
“Keluarga saya semua Islam. Dah lama mereka masuk Islam.” Kemudian dia diam semula. Jadi saya menyampuk kembali.
“Tapi awak belum Islam ye? Kenapa awak tak ikut keluarga awak yang lain masuk Islam?”
“Saya ada tatu ni. Macam mana saya nak masuk Islam?” Suaranya jelas sayu! Allah. Luluh hati saya mendengarkan hal itu.
“Eh, tak apa tatu tu. Takde hal la tu. Bila awak masuk Islam, tatu semua tu Allah dah tak kira dah. Tu cerita lama awak. Bila masuk Islam, awak dah mula dengan buku baru. Bersih, kosong lagi. Awak tak ada dosa apapun waktu tu. Rugi la kalau awak tak dapat sama-sama dengan keluarga awak di akhirat nanti, kan.”
Tiba-tiba MA saya menyampuk. “Innallaha ma’assobiriin. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” Haha. Terus semua staff nurse yang berada di dalam bilik itu turut ketawa bersama.
“Jadi sekarang awak tak ada agamalah, ye? Ok ok. Kalau macam tu, awak berdoa dalam hati moga-moga pembedahan ni tak ada apa-apa masalah dan semuanya berjalan lancar ye. Ok. Sekarang tarik nafas dalam-dalam, kemudian hembus.”
Malek mengangguk-anggukkan kepala mendengar arahan daripada saya kerana saya sudah mula memberikan oksigen untuk memulakan prosedur pembiusan. Seketika kemudian, Malek sudah tidur, di-intubate dan pembedahan pun bermula.
Setelah selesai pembedahan, Malek ditempatkan di ruangan Recovery untuk pantauan sebelum dihantar balik ke wad. Ketika dia terbaring berehat di situ, saya mendekatinya.
“Ok, Malek? Ada sakit kuat tak kat tangan tu? Haa. Awak doa banyak-banyak supaya cepat elok tangan ni, dapat tolong mak tebas hutan semula. Pasal tatu awak ni, jangan risau-risau dah. Walaupun ada tatu, awak tetap boleh masuk Islam. Awak boleh bersama-sama semula dengan semua keluarga awak. Ok, ye?”
Malek mengangguk lagi. Dia tidak tersenyum tapi saya yakin dia sedang berfikir. Saya sendiri juga sedang berfikir. Apabila dia telah kembali ke kampungnya, siapa yang akan membuat follow up atas apa yang saya ceritakan kepadanya tadi? Pandaikah dia untuk mencari Islam itu sendiri? Bolehkah dia dan keluarganya mendapat didikan agama yang sempurna? Sejujurnya, segalanya kabur bagi saya. Saya cuma berdoa dalam hati, moga suatu hari nanti, dia akan bergelar Abdul Malek, hamba kepada Yang Maha Memerintah. Insya Allah.
Saya insaf dengan apa yang berlaku. Dia takut-takut untuk memeluk Islam kerana cetek ilmu. Tapi saya lihat dia ada kemahuan ke arah itu. Sedangkan kita pula mendapat Islam secara warisan, diperkukuhkan dengan ajaran demi ajaran yang kita terima daripada ibu bapa, guru, pendakwah dan sesiapa saja di sekeliling kita. Tapi persoalannya, adakah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan iman itu. Dan sudahkah kita menjalankan tanggung jawab kita untuk menyampaikannya kepada orang lain.
Allah… Terasa berat tanggung jawab di bahu ini. Selagi mana ada manusia yang tidak tahu apa itu Islam, kita juga turut mendapat sahamnya. Allah…
Suatu hari nanti, dia akan bergelar Abdul Malek! Aminkanlah doa saya ini, ya kawan-kawan.